Bab 14

Romance Completed 17065

Deraian airmata yang mengalir laju menuruni pipinya mungkin sama deras dengan hujan yang membasahkan bumi Kuala Lumpur.

Surah Yaasin yang dipegang kuyup dengan airmata yang tidak jemu-jemu turun sejak kembali dari rumah Fitri petang tadi.

Selepas agak lama berperang dengan perasaan sendiri, petang Ahad itu membawa Sabrina ke rumah Fitri.

Masih terasa hangat pelukan dan ciuman ibu Fitri yang teresak-esak menyambut kedatangannya. Masih terbayang wajah riang Sabrina kecil yang petah bercerita itu ini. Masih ternampak-nampak senyuman manis Fitri yang nyata agak terkejut dengan kunjungannya.

Masih juga jelas dalam ingatan betapa dia terjelepok memeluk nisan di kubur Ain sambil diperhatikan Fitri dan Sabrina kecil. Lama dia berteleku membacakan surah Yaasin untuk dikirimkan kepada sahabatnya di alam sana.

“Sudah setahun Ain meninggal. Barah hati. Saya sendiri tak tahu sampailah saat-saat akhir. Mungkin saya bukan suami yang baik sebab itu tak dapat kesan perubahan isteri sendiri.

“Ain juga yang ajar Sabrina panggil awak mama. Sejak Sabrina lahir, Ain tunjuk gambar awak dan sebut mama. Sampailah Sabrina besar dan boleh bercakap, itulah yang diajarnya. Saya sendiri tak sangka Sabrina kenal awak.”

Airmatanya yang tidak henti-henti turun selepas dikhabarkan mengenai kematian Ain, semakin murah jadinya mendengar cerita Fitri. Kepulangannya lewat petang itu dibekalkan dengan surat yang ditulis Ain kepadanya. Itu kata Fitri.

Kepulangannya petang itu juga disulami janji kepada Sabrina, ‘anaknya’, yang dia akan kembali.

Surah Yaasin ditutup. Telekung ditanggalkan. Airmata yang masih bersisa dilap sehingga kering. Dia sudah keterlaluan menangisi takdir dan pastinya bukan itu yang Ain mahukan.

Sampul bertulis indah namanya yang diletakkan di atas meja solek diambil. Matanya kembali panas. Sabrina menarik nafas seketika sebelum membuka sampul dan mengeluarkan surat yang dititipkan Ain untuknya.

Wajah bersih Ain Khadijah seakan-akan terbayang pada helaian surat yang membuatkan kilang airmatanya kembali bekerja mengeluarkan bebola kristal untuk entah kali ke berapa hari itu.

Saudaraku,

Aku tidak tahu ayat yang bagaimanakah perlu aku coretkan untuk aku gambarkan betapa mulianya hati seorang wanita bernama Sabrina. Sahabat yang tega mengorbankan hati dan perasaannya untuk seseorang yang hina seperti aku.

Sungguh aku tidak tahu bagaimana untuk aku laungkan rasa bersalah yang tidak pernah mahu pergi dari sisiku kerana melukakan sahabat sebaikmu.

Melalui Fitri aku mengenal Islam tetapi melaluimu aku menghayati keindahan Islam. Kau menjadi guru paling baik untuk aku benar-benar faham erti pengorbanan.

Sabrina,

Aku tidak tahu bagaimana untuk membalas jasamu dalam membela diri dan akidahku dengan menghadiahkan suami sebaik Fitri. Aku ingin syahid supaya namamu dapat kuseru menjadi salah seorang daripada 70 orang yang menemaniku di syurga. Namun Allah menghendaki aku menemui-Nya dengan cara lain tetapi Sabrina, aku tidak pernah lupa mendoakan kebahagiaanmu. Jika nyawaku menjadi galang ganti untuk kebahagiaanmu, aku mohon kepada Allah, ambillah nyawaku.

Sabrina,

Memang sesungguhnya aku bukan seorang sahabat yang baik kerana hidupku menghadiahkan derita buatmu dan matiku juga meninggalkan beban untukmu. Aku hadiahkan Fitri seorang Sabrina tetapi aku tidak diizinkan Allah untuk melihatnya membesar menjadi semulia Sabrina, sahabatku. Untuk itu, sahabat, aku amanahkan Sabrinaku kepadamu untuk kau didik menjadi wanita semuliamu. Jangan kecewakan aku, Sabrina. Aku merayu.

Aku juga kembalikan Fitri yang pernah kurampas dulu untuk menjadi pendampingmu, untuk membantumu mendidik Sabrina dan insya-Allah adik-adiknya menjadi umat Islam sejati. Inilah permintaan terakhirku.

Fitri seorang suami yang baik, teramat baik. Aku sanggup lakukan apa saja untuk membuatkan dia sentiasa gembira dan kebahagiaan Fitri berada di tanganmu, Sabrina. Aku mohon, bahagiakanlah dia.

Sahabat,

Aku mohon maaf di atas segala keterlanjuranku dan doakan semoga aku tenang di sisi Allah.

Yang amat menyayangimu,

Ain Khadijah Abdullah

Surat Ain dibawa rapat ke dada. Sabrina akhirnya terlena dengan airmata yang masih bersisa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience