Bab 9

Romance Completed 17065

“Assalamualakum Sabrina.”

“Waalaikumussalam.” Jawabnya sambil mengangkat kepala. Sedikit terkejut melihat lelaki di depannya. Penampilan yang seratus peratus berubah. Rambut perangnya sudah tiada. Bukan sekadar tiada rambut perang, dia tiada rambut. Botak!

“Saya nak kembali kepada asal. Pewarna yang saya pakai sebelum ni entah halal entah tidak.” Hisyam bagai menjawab persoalan dalam hati Sabrina.

Entah mengapa penampilan Hisyam hari itu mengundang senyuman Sabrina. Hisyam yang dikenalinya sebelum ini cukup sayangkan rambut ikalnya yang disimpan separas bahu.

Pernah dia mendengar Hisyam memberi amaran boleh kutuk kerjanya tetapi jangan sentuh rambutnya. Tetapi kali ini…

Dan senyuman Sabrina menghantar debar yang bukan sedikit ke dada Hisyam. Jarang gadis itu melemparkan senyuman yang pada perkiraannya dibayangi lucu bercampur sinis.

Degupan jantung yang tidak sekata melihat senyuman itu mengundang kehairanan Hisyam kepada diri sendiri. Sepanjang 35 tahun hayatnya, cuma sekali dadanya bagaikan hendak pecah menahan degupan kencang jantung…ketika berdepan dengan tok mudim.

Itu lainlah kerana wajah dan peranan tok mudim itu sendiri mampu membangkitkan gerun di hati dia yang baru berusia tujuh tahun ketika itu.
Sekarang lain. Di depannya sekarang ini seorang makhluk berlainan jantina yang sudah pasti kudratnya tidak sekuat mana. Lebih menghairankan lagi, bukan dia tidak pernah berdepan dengan perempuan. Pelbagai ragam, pelbagai keturunan, sehingga dia sendiri rambang mata untuk memilih. Tetapi yang pelbagai itu tidak pernah membuatkan dia kelu seperti ini. Yang pelbagai itu sebaliknya menjadikan dia pakar bahasa mengatur ayat-ayat cinta menggoda.

“Syam.” Mendengar panggilan itu, Hisyam terus kaku. Bukan tidak pernah namanya dipanggil selembut itu tetapi nadanya kali ini amat berbeza. Kelembutan itu terus menusuk hati. Dan tiba-tiba Hisyam inginkan Sabrina terus mengalun namanya selembut dan semerdu itu sehingga bila-bila.

“Syam. Mengapa ni?” Kali ini nada suara tu kedengaran agak kaget. Hisyam segera menarik dirinya kembali ke situasi semasa.

“Tak ada apa-apa. Maaf kalau ganggu awak. Saya pergi dulu.” Katanya lalu melangkah meninggalkan Sabrina yang masih terpinga-pinga.

Dalam biliknya, Hisyam meletakkan tapak tangan kanannya ke dada. Memujuk jantung yang masih terus-terusan melakukan maraton.

Apa kena dengan aku ni? Kalau macam ni, bukan dia yang melutut pada aku. Silap-silap haribulan aku yang merayu pada dia. Sabrina…apa kau dah buat pada aku? Hisyam bermonolog sendiri.

Hati…kalau ya pun nak berkenan bukan pada perempuan seperti Sabrina. Bertudung litup. Itu bukan taste aku.

Tapi kali ini Hisyam benar-benar tidak berupaya. Dia sudah tidak dapat mengawal hatinya. Dia hilang kuasa ke atas hatinya sendiri dan Hisyam perlu akur dengan kehendak hati yang berkeras meletakkan Sabrina di tempat paling tinggi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience