Bab 8

Romance Completed 17065

“Apa khabar princess aku?” Hafiz melontarkan soalan sebaik Fitri sudah mengambil tempat di depannya.

“Sihat. Dia ada juga tanyakan kau. Dah lama tak tengok kau, katanya.” Jawabnya sambil tangannya lincah melambai pelayan untuk memesan hidangan.

“Aku pun rindukan dia. Sibuk sikit lately ni. Itu yang tak dapat nak ke rumah kau.”

Perbualan terhenti seketika sebaik meja mereka didekati pelayan yang mahu mengambil pesanan.

“Kau sampai bila nak macam ni? Dah setahun ni.” Hafiz kembali bersuara sebaik pelayan restoran itu berlalu.

Fitri sekadar merenung sahabat di depannya itu. Sahabat yang tahu setiap inci kisahnya dengan Sabrina, faham seluruhnya keputusan diambil untuk mengahwini Ain dan tetap menyokong ketika keluarganya membantah keputusan itu.

“Sampai takdir ada cerita lain pulak untuk aku, kut.” Dia membalas selamba sambil membalas senyuman pelayan yang membawakan pesanan mereka.

“Kau kecewa dengan takdir sebelum ini? Takdir yang memisahkan kau dengan Sabrina?”

“Demi Allah tidak. Nauzubillah aku terasa macam tu. Itu namanya menolak qada dan qadar. Cuma sekarang ni takdir menetapkan aku selesa macam ni. Untuk esok, lusa aku belum ada jawapan.”

“Kalaulah manusia dalam dunia ni macam kau, yang reda dengan takdir tanpa merungut sikit pun, aman dunia ni, Fitri.” Komen Hafiz. Ikhlas.

Fitri sedikit tergelak. Lucu dengan komen Hafiz.

“Jangan memuji sangat. Kau buka pintu neraka untuk aku duk puji aku sampai macam tu sekali. Aku ni bukan malaikat. Sesekali bila iblis berbisik tu, aku tertanya juga mengapa takdir aku macam ni. Sesekali terlepas juga lidah aku merungut mengapa aku dan Sabrina tak dijodohkan.

“Tapi aku cepat-cepat istighfar. Cepat-cepat ingat balik Allah itu lebih tahu apa yang terbaik untuk makhluk-Nya. Ain yang terbaik untuk aku dan aku bukan yang terbaik untuk Sabrina. Titik. Habis cerita.”

Hafiz menggeleng perlahan. Kagum betul dia dengan sahabatnya yang satu itu. Cukup berlapang hati dengan segala yang menimpa. Bukan dia tidak tahu betapa Fitri cukup terseksa membuat keputusan memutuskan pertunangan dengan Sabrina. Bukan dia tidak tahu betapa sahabatnya itu berusaha menyabarkan hati hingga ke tahap paling tinggi ketika melepaskan Sabrina.

Kagumnya bukan tertumpah kepada Fitri seorang. Dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan betapa mulianya seorang Sabrina yang tega mencincang lumat hati sendiri melepaskan Fitri melafazkan akad nikah yang mengikat dia dengan Ain.

Hafiz tidak tahu bagaimana Sabrina berjaya menyembunyikan sendu pada wajah tatkala menghadiri walimah Fitri dan Ain dengan senyuman yang berbunga.

Dia tidak tahu bagaimana kedua-dua makhluk Allah berlainan jantina itu mampu mengharungi takdir yang sudah banyak memerangkap mereka yang tidak kuat iman untuk jatuh ke dalamnya tanpa sedikit pun rasa terkilan yang terlukis di wajah masing-masing. Sehingga kini jawapan kepada persoalan itu tidak pernah ditemui.

“Yang kau senyap ni kenapa pula?” Suara Fitri mengejutkan dia.

“Memikirkan kau dan Sabrina. Calang-calang orang boleh tabah macam kau berdua.”

“Itulah fungsinya akal dan iman. Kami bercinta kerana Allah dan berpisah kerana Allah. Dan kerana aku tahu Allah tidak menduga hamba-Nya di luar kemampuan kita.”

“Kau masih ingat dia?” Soalan itu tidak dijawab Fitri dan Hafiz sendiri sudah menduga jawapannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience