Bab 3

Romance Completed 17065

Ketukan kecil di meja sedikit mengganggu tumpuannya pada laporan yang akan diserahkan kepada CEO Mega Holdings itu. Pantas dia mengangkat kepala dan wajahnya berubah sebaik matanya menyapa sekujur tubuh yang berdiri di depan mejanya.

“Yes Hisyam. Ada apa yang saya boleh tolong?” Sesopan mungkin Sabrina mengatur kata-kata menyapa rakan sekerja yang cukup tidak disenangi kerana tidak pandai menjaga mata. Dan kerana tidak faham bahasa.

“Dah 1.30 ni. Jom lunch.” Hisyam bersuara sambil matanya lekat memandang wajah yang manis bertudung itu.

“Thanks tapi saya masih kenyang.”

“Takkan kenyang kot. Kalau kenyang, just temankan I makan.” Hisyam masih berharap. Berdepan dengan lelaki yang seorang ini, nama Sabrina yang membawa maksud kesabaran tidak memberi makna.

“Minta maaf banyak-banyak Hisyam. Saya memang kenyang dan lagi pulak saya belum habis teliti laporan ni. Datuk nak tengok petang ini jugak.”

“Kalau I yang ajak, ada saja alasan you.” Suara Hisyam sudah berubah nada. Tercabar dengan penolakan Sabrina.

Gadis yang baru enam bulan menyertai keluarga besar Mega Holdings tetapi sudah diberikan mandat besar oleh Datuk Jaafar untuk menerajui jabatan kewangan syarikat berdasarkan pengalaman Sabrina di Australia.

Gadis yang cuba diumpan Hisyam dengan wajah kacak dan kedudukan sebagai anak saudara Datuk Jaafar tetapi sebelah mata tidak dipandang Sabrina. Ternyata Hisyam tersilap perkiraan.

Rupanya gadis yang pernah berada di negara yang tidak mengenal haram halal itu cukup sukar didekati. Aurat dan pergaulannya cukup terjaga. Sabrina yang dikenalinya cukup selesa berbaju kurung dan bertudung melepasi paras dada. Tidak cukup itu, siap bersarung kaki dan bersarung tangan.

Sungguh. Hisyam tidak pernah melihat aurat Sabrina melebihi wajah dan tangannya sekadar pergelangan tangan. Namun itu tidak menjadi kudis untuk Hisyam terus mencuba nasib.

Kedinginan Sabrina semakin melonjakkan keinginan mendekati gadis itu. Dia pernah juga merisik apa sebenarnya menjadikan Sabrina masih keseorangan pada usia 32 tahun.

Dengan seraut wajah ayu miliknya, Sabrina pada hemat Hisyam mampu mencairkan hati mana-mana lelaki normal tetapi gadis itu seolah-olah lebih senang sendiri.

“Saya minta maaf kalau awak terasa tapi saya benar-benar tak boleh nak tinggalkan kerja ni. Harap awak faham.” Kata-kata Sabrina menarik Hisyam kembali ke alam realiti.

Sekilas dia memandang Hisyam dan kemudian kembali tekun melakukan kerjanya yang sedikit terganggu, membiarkan Hisyam berlalu dengan dengusan kasar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience