Bab 4

Romance Completed 17065

“Kau masih ingatkan Fitri?” Soalan Hanis membuatkan Sabrina tidak jadi meneruskan suapan. Sudu berisi laksa yang hampir sampai ke mulut diturunkan kembali. Lembut matanya merenung ibu dua anak di depannya itu.

Hanis mengajaknya makan tengah hari bersama Jumaat itu. Masa rehat panjang membolehkan mereka menghabiskan masa lebih lama.

“Kalau aku jawab tak?”

“Nampak sangat kau tu pembohong.”

“Jadi, kau tahu jawapan aku.”

Hanis mengangkat kening kemudian menghabiskan nasi ayamnya yang cuma tinggal sesuap dua.

“Kau tahu dia dah balik KL?” Sabrina mengerutkan dahi. Setahunya Fitri memohon bertukar ke Johor enam tahun lalu kerana isterinya bekerja di negeri itu.

“Kau jumpa dia?”

“Terserempak dengan dia tahun lepas. Dia beritahu dah pindah KL balik.” Sabrina terdiam.

Mengimbau kembali saat dia dan Fitri masih bersama. Memadu cinta biarpun pada pandangan orang lain, janggal sekali.

Mereka tidak pernah keluar berdua. Hanis setia menemaninya setiap kali mereka ingin bertemu. Menonton wayang bersama jauh sekali. Berpegangan tangan langsung tak pernah.

Namun dia bahagia. Sedikit pun Sabrina tidak terkilan jika perjalanan cinta mereka tidak mengikut aturan yang dibuat berlandaskan nafsu. Apa yang penting bagi dia dan Fitri ialah cinta mereka perlu diangkat ke darjat lebih tinggi, tidak disulami dosa dan noda.

Biar sekuat mana godaan, mereka punya akal untuk membezakan antara dosa dan pahala.

Atas sebab itu juga, Sabrina tidak pernah menyesal apabila takdir menetapkan mereka tidak bersatu di penghujungnya. Dia tahu Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya dengan menulis takdir yang bertentangan dengan apa yang dimahukan.

Sabrina pasti ada hikmah yang menantinya.

“Rina kena sabar kerana semua ini ada hikmah yang menanti. Mana tahu Allah hadiahkan Rina seorang lelaki yang jauh lebih baik daripada Fitri,” Begitu kata mama ketika memujuknya suatu ketika dulu. Dia cuma tersenyum walaupun hatinya menjerit berkata: “Rina tidak mahu lelaki yang lebih baik mama. Rina cuma mahukan Fitri.”

“Kau tahu Rina, aku sampai sekarang masih tak berapa faham dengan tindakan kau dan Fitri. Just one thing, aku memang kagum dengan kau berdua. Sanggup ketepikan kepentingan sendiri demi satu hati lain.” Suara Hanis memecahkan kesunyian yang bertandang.

“Kalau kau kat tempat aku pun, kau akan buat benda sama Han. Aku mengaku memang sakit tapi dah namanya pengorbanan, mestilah sakit.”

“Kau tak nak jumpa Fitri?”

Sabrina menggeleng perlahan.

“Aku rasa lebih baik kami begini. Cukuplah aku tahu dia bahagia dengan Ain. Itu yang doakan selama ni.”

Dan aku tak putus mendoakan semoga kau dan Fitri kembali bersama, hati Hanis berkata sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience