Bab 11

Romance Completed 17065

“Assalamualaikum. Boleh joint?” Satu suara menjadikan suapannya terhenti.

“Waalaikumussalam. Duduklah.”

Hisyam segera melabuhkan punggung di kerusi berdepan Sabrina. Hatinya mula berkira-kira untuk melakukan maraton.

“Awak suka kambing?” Sabrina bersuara sebaik melihat hidangan yang diambil Hisyam.

“Tak ramai orang suka kambing. Alasan cukup klise, panas. Awak tak takut kena darah tinggi?”

Hisyam sudah gelisah. Ramah pula Sabrina hari itu sedangkan dia masih terkial-kial menyusun kata.

“Daripada apa yang saya baca, Nabi Muhammad sukakan kambing. Nabi tak akan makan sesuatu yang memudaratkan, betul tak? Lagipun, tiada bukti saintifik yang mengaitkan daging kambing dengan darah tinggi. Satu lagi, saya nampak kari ni sedap.” Hisyam menjawab senafas.

Sabrina tersenyum mendengar jawapan itu. Memang rakan sekerjanya itu berubah dan kakitangan Mega Holdings masih tidak puas bergosip dan meneka punca perubahan itu.

“Saya nak tanya sesuatu, awak jangan marah.” Hisyam bersuara sebaik masing-masing selesai menghabiskan hidangan tengah hari.

Sabrina sekadar mengangguk.

“Pada usia ini, awak masih sendiri. Mengapa? Awak boleh tak jawab tetapi saya tak akan percaya kalau kerjaya menjadi keutamaan awak.”

“Mengapa awak tak percaya kalau saya kata kerjaya jadi penghalang untuk saya kahwin dan ada keluarga?”

“Entah tapi naluri saya kuat mengatakan awak bukan jenis yang meletakkan kerjaya sebagai keutamaan.”

“Jodoh belum sampai.”

“Tapikan kena usaha. Takkan nak tunggu jodoh datang melayang.” Pantas Hisyam memintas.

“Cuba awak cadangkan usaha yang bagaimana?” Permintaan Sabrina membuatkan Hisyam sedikit terkedu. Dia menggaru kepala yang tidak gatal.

Cadangan yang bagaimana perlu diberikan kepada perempuan seperti Sabrina, yang meletakkan maruah dan harga diri sebagai wanita di tempat paling tinggi.
Sabrina tersenyum melihat reaksi Hisyam. Serba tak kena padahal sebelum ini, berdepan dengan perempuan, dialah juara.

“Mungkin awak boleh mula dengan beri peluang kepada lelaki yang betul-betul ikhlas mahukan awak…seperti saya.”

Fuhh! Lega. Hilang rasanya beban yang menggunung di hati sebaik kata-kata itu terluah. Mungkin untuk pertama kali, nawaitu Hisyam sudah berubah. Dia sudah tidak endah dengan ikrar menjadikan Sabrina sebahagian koleksinya. Dia mahukan Sabrina sentiasa berada di sisinya. Sebagai isteri. Sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikirannya sebelum ini.

“Awak boleh dapat orang yang lebih baik daripada saya.”

“Masalahnya saya dah tak nak sesiapa yang lebih baik daripada awak. Saya cuma nak awak.”

Mendengar kata-kata Hisyam, Sabrina terdiam. Itulah yang pernah diucapkan kepada mama satu ketika dulu. Dia tidak mahu yang lebih baik. Dia cuma mahukan Fitri. Kini Hisyam bagaikan mengulangi kata-katanya.

“Apalah yang ada pada saya ni, Syam? Saya…” Belum sempat Sabrina menghabiskan ayat, Hisyam cepat memintas.

“Sebab tak ada apa-apalah saya sukakan awak. Saya dah jumpa ramai perempuan yang ada segala-galanya tapi baru ini saya jumpa seseorang yang tak ada apa-apa.”

Sabrina terus terdiam. Membiarkan otaknya bekerja menafsir kata-kata Hisyam satu persatu. Melihat Hisyam yang terus merenungnya dengan renungan yang berbeza daripada sebelum ini, Sabrina melarikan pandangan. Keikhlasan jelas terpancar pada pandangan itu.

“Awak dah ada sesiapa?” Suara Hisyam bergema di telinga. Sabrina bungkam. Tidak tahu hendak memberi jawapan.

Hendak dijawab ya, mengapa sehingga sekarang dia masih sendiri. Hendak dikata tidak, mengapa Fitri masih kekal kukuh di hati?

“Saya tak mahu memaksa. Apa pun jawapan awak, kita akan kekal sebagai kawan. Cuma saya minta beri peluang kepada saya.

“Saya tahu dunia kita berbeza tapi saya hendak berubah. Bantulah saya untuk berubah.”

Pantas Sabrina mengangkat kepala melihat Hisyam. Di depannya, Sabrina melihat Ain versi lelaki. Seseorang yang perlukan bantuan untuk kembali ke jalan Allah.

Perlukah dia berkorban sekali lagi? Tabahkah dia untuk melakukan pengorbanan sebegini besar? Persoalan itu terus menghantuinya sepanjang hari.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience