Bab 10

Romance Completed 17065

Sabrina duduk melepaskan lelah di atas sebuah bangku. Peluh yang membasahi dahi dilap lembut. Suasana petang minggu di Taman Tasik Permaisuri itu agak hiruk pikuk dengan suara kanak-kanak yang riang bermain permainan yang disediakan.

Melihat telatah kanak-kanak membuatkan hati Sabrina terhibur. Tanpa sedar, senyuman menghiasi bibirnya. Melihat wajah bersih kanak-kanak yang leka bermain menghantar ketenangan ke tasik hatinya yang sesekali masih dilanda badai.

Sabrina sendiri tidak tahu mengapa kakinya mudah mengikut kata hati yang tiba-tiba mahu mengunjungi tasik itu. Tasik yang banyak menyimpul kenangan bersama Fitri. Di situ, mereka sering berjoging dengan ditemani Hanis.

Di situ juga, dia dan Fitri memilih haluan masing-masing dengan janji perpisahan mereka adalah kerana Allah. Dengan janji, perpisahan mereka diiringi doa untuk satu sama lain. Dengan janji, tiada benci, marah apatah lagi dendam di hati. Janji untuk berpisah sebagai manusia bertamadun yang jauh sekali ingin memaki hamun atau menyalahkan antara satu sama lain.

Mereka bermula sebagai kawan dan akan tetap menjadi kawan. Tasik itu juga menjadi saksi air matanya jatuh berderai ketika sama-sama melafazkan: “Saat ini antara kita berdua yang ada hanya ikatan persahabatan.”

Mata Fitri yang berkaca ketika melihat Sabrina yang berlalu dengan senyuman juga kekal di dada tasik itu.

Sekali lagi fikirannya melayang kepada peristiwa enam tahun lalu. Buat kali pertama sejak berpacaran, Sabrina seorang diri menemui Fitri di situ. Mereka mahukan perbincangan yang jauh daripada mata dan telinga orang yang dikenali. Juga jauh daripada Hanis yang mula menghidu pertunangan mereka bakal terlerai di tengah jalan.

Semuanya kerana Ain Khadijah, dulunya mereka kenal sebagai Yvonne Iking. Gadis Kristian yang kerap mencabar kesabaran mahasiswa Islam kerana kelancangannya mempertikaikan ajaran agama suci itu.

Kejelitaan seraut wajah berdarah separuh Belanda dari sebelah ibu menjadikan Yvonne cukup digilai penuntut lelaki. Dia boleh mendapat sesiapa saja dengan cuma memetik jari.

Namun entah mengapa Fitri yang melekat kukuh di hatinya sejak tahun pertama. Apa yang menjadi masalah ialah Fitri bukan seperti lelaki lain yang memandang kepada rupanya. Hati lelaki itu terlalu kebal untuk diruntuhkan dengan kecantikan zahir semata-mata.

Cemburunya kepada Sabrina usaha dicerita. Gadis bertudung litup yang tidak pernah mencacatkan wajahnya dengan sebarang lorekan warna itu benar-benar menjadi saingan terbesarnya mendapatkan Fitri.

Namuan penghalang utama ialah Fitri tidak akan sekali-kali memperdagangkan agamanya demi cinta. Ketika diperangkap berada dalam satu bilik dengan Yvonne, mulutnya tidak henti-henti mengalunkan zikir.

Dan ketika Yvonne melondehkan pakaiannya satu persatu, Fitri tega membiarkan tapak tangannya dibakar api lilin semata-mata untuk mengingatkan api neraka jauh lebih menyakitkan jika dia terjerumus dalam bisikan syaitan.

Selepas kejadian itu, bayang Yvonne tidak lagi kelihatan. Khabarnya dia sudah berpindah universiti dan pertama kali bertemu semula Yvonne pada malam pertama Ramadan di masjid negara benar-benar menjadikan Sabrina kelu.
Yvonne Iking sudah tidak wujud. Ain Khadijah pula lahir. Sungguh bersih wajah Ain dibaluti tudung.

Sabrina masih ingat betapa bahunya dibasahi airmata Ain yang meminta maaf di atas segala kesalahannya. Sudahnya dia sama-sama dibanjiri airmata kesyukuran kerana hidayah Allah memihak kepada gadis itu.

Fitri sendiri seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihat saat Sabrina membawa Ain berjumpanya.

Segala-galanya juga masih jelas apabila Ain yang pucat lesi menceritakan ancaman keluarganya yang mahu dia kembali ke agama asal. Ketakutan yang terpancar pada wajah bersihnya bukan dibuat-buat.

Ain memerlukan seorang lelaki di sisinya sebagai suami. Bukan calang-calang lelaki yang boleh berfungsi dengan baik kepada seorang saudara baru.
Ketika itulah Sabrina menyedari Ain lebih memerlukan Fitri. Bukan sekadar sebagai pelindung tetapi juga pembimbing.

“Ain lebih perlukan Fitri, makcik. Rina tak perlu hadapi semua ancaman tu. Memang Rina masih perlukan panduan tapi Ain lebih perlukan bimbingan. Sekurang-kurangnya Rina ada pegangan asas tetapi bukan Ain. Kita kena lindung dia. Itu kewajipan kita, makcik. Jangan sampai dia terpaksa mengalah kepada ancaman keluarganya. Kita sama menanggung dosa jika itu terjadi.

“Rina tak terkilan terpaksa putus tunang dengan Fitri. Rina akan lebih terkilan kerana pentingkan diri sendiri dan seorang saudara baru pula menjadi korban.” Itu kata-katanya kepada ibu Fitri yang kemas memeluknya ketika mereka bersemuka untuk memutuskan pertunangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience