Bab 5

Romance Completed 17065

Dingin malam yang disirami hujan mengembalikan Sabrina ke satu masa ketika Hanis melepaskan kemarahan bertalu-talu apabila mendapatkan tahu dia dan Fitri mahu memutuskan pertunangan.

“Kenapa kau berdua ni? Tinggal enam bulan saja lagi. Please Rina. Jangan buat macam ni. Pedulikan perempuan tu.”

“Perempuan tu ada nama Han. Namanya Ain.” Perlahan dia menjawab. Hanis yang bercekak pinggang di depannya dipandang dengan mata berkaca.

“Come on la Rina. Nak berkorban pun biarlah bertempat. Sampai nak korban hati dan perasaan untuk perempuan yang selalu cari pasal dengan kita ni, apahal?” Lantang Hanis bersuara. Mujurlah rumah teres setingkat itu cuma disewa mereka berdua.

“Perempuan yang selalu cari pasal dengan kita tu dah berubah Han. Bukan setakat mengubah sikap, dia dah ubah pegangan dan akidahnya. Itu kita kena ambil kira.

“Dia bukan lagi Yvonne, gadis Kadazan Kristian yang kita kenal tu Han. Dia sekarang Ain Khadijah. Saudara baru yang wajib kita bantu.”

“Bantu dengan biar dia rampas Fitri daripada kau?”

“Dia tak rampas Fitri daripada aku, Han. Aku dan Fitri sama-sama ambil keputusan ni. Dia lebih perlukan Fitri daripada aku. Dia lebih perlukan bimbingan Fitri untuk mendalami Islam. Aku masih boleh harungi semua ni seorang diri tapi bukan Ain. Ain perlukan seseorang untuk melindunginya daripada ancaman keluarga dia.

“Ini sekecil-kecil pengorbanan yang boleh aku buat untuk bantu seorang saudara baru. Tolong faham Han.”

Hanis terus mundar-mandir di ruang tamu sambil sesekali memicit pelipisnya. Keputusan Sabrina kali ini memang langsung tidak difahaminya.

“Ramai lagi orang lain yang boleh bantu dia mengapa Fitri juga yang dia mahu? Sebab dia tahu Fitri tunang kau. Sejak kita di universiti lagi memang dia tak pernah puas hati dengan kau.

“Kau dah lupa apa dia buat waktu kita anjurkan malam kesenian Islam. Kalau kau lupa aku nak ingatkan. Dia sabotaj rancangan kita. Sanggup upah orang putuskan bekalan elektrik. Itu tak kira dia dengan rakan-rakan dia conteng poster, koyakkan banner. Aku tak faham mengapa kau jadi selembut ni, Rina.” Hanis sudah separuh menjerit.

“Han, apa yang dia buat tu sebelum dia jadi saudara kita. Sebelum Ain dapat hidayah. Dosa dia dah terhapus sepenuhnya sebaik dia mengucap syahadah. Kita tak boleh tengok apa yang dia buat sebelum memeluk Islam.

“Kalau nak dikira dosa sebelum Islam, Saidina Umar al-Khattab tu tak layak jadi khalifah, Khalid al-Walid tu tak layak termasuk dalam 10 sahabat yang dijanjikan syurga. Takkan kau lupa siapa Saidina Umar sebelum memeluk Islam. Pernah bunuh anak perempuannya malah nak bunuh nabi kita.

“Khalid pula panglima tentera kafir yang mengalahkan tentera Islam dalam Perang Uhud. Cuba kau tengok selepas mereka memeluk Islam. Jasa mereka kepada agama sampai dijanjikan syurga.” Hanis terdiam. Hujah yang langsung tidak dapat disangkal daripada sudut mana sekalipun.

Nyata Sabrina sudah bersedia mempertahankan tindakannya memutuskan pertunangan dengan Fitri malah merelakan Fitri mengahwini Ain demi mendidiknya mendalami agama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience