Bab 19

Romance Completed 17065

Sabrina buntu. Hendak ditolak tak kena, diterima lagi tidak kena. Sudahnya dia mengangguk kepala tanda bersetuju menghadiri majlis harijadi anak tidak rasminya.

Sabrina kecil yang wajahnya agak muram sebentar tadi sudah bertukar rupa

“Tapi Rina kena tunggu sebab mama nak salin baju. Atau Rina nak teman mama?” . Tanpa menjawab pantas si kecil itu meluru masuk ke dalam rumah
teres dua tingkat itu.

“Sorry Fitri tak boleh jemput awak masuk. Tak ada siapa kat rumah.”

“Saya faham.” Fitri menjawab ringkas dan memasuki kereta semula sementara menantikan dua Sabrinanya datang kembali.

Enjin kereta dihidupkan sebaik ternampak kelibat dua Sabrina semakin mendekati pagar. Sabrina kecil segera membuka pintu belakang dan terus berbaring.

“Rina mengantuklah. Nak tidur kat belakang ni, selesa sikit. Mama duduk ajelah kat depan dengan baba.” Bijak dia memberi alasan dan Sabrina tidak punya pilihan lain.

Dengan rasa segan, dia membuka pintu penumpang depan dan melabuhkan punggung di sebelah Fitri yang dilihat sedaya upaya menyembunyikan senyum.
Elok saja kereta bergerak, Sabrina muncul di antara mereka.

“Hai! Kata mengantuk. Elok pula bangun.” Sabrina bersuara sambil mencuit pipi si cilik.

“Dah rasa tak mengantuk pulak.” Fitri yang tenang memandu tersenyum mendengar helah anaknya.

“Mama minta maaf sangat-sangat sebab tak tahu hari ini hari jadi Sabrina. Mama tak beli hadiah untuk Sabrina. Mama tak pandai cari hadiah. Sabrina nak hadiah apa? ”

“Betul mama nak beri hadiah pada Rina?” Si cilik itu cuba mengumpan.
Sabrina mengangguk. Namun senyuman lebar di bibir gadis kecil itu sedikit membuatkan tasik hatinya bergelora.

Janganlah budak ni minta yang bukan-bukan.

“Janji?”

“Janji.” Dalam keterpaksaan, Sabrina terlajak kata.

“Rina nak mama…” Sabrina menarik nafas mendengar patah demi patah perkataan yang keluar daripada mulut comel itu.

“…kahwin dengan baba dan tinggal dengan kami.” Dan nafasnya tersekat di situ.

Darah terasa menyerbu ke muka melihat senyuman lebar Fitri. Sedang si kecil itu sudah menutup mulut menahan ketawa.

Sabrina bungkam tidak tahu berkata apa-apa sehinggalah kereta berhenti di depan rumah Fitri. Banglo dua tingkat itu sedikit riuh dengan suara kanak-kanak yang dijemput meraikan hari jadi Sabrina.

Tak sempat berbuat apa-apa, Sabrina kecil lebih dulu membuka pintu kereta dan menariknya ke laman yang sudah dihias cantik.

Petah mulutnya memperkenalkan Sabrina kepada rakan-rakan yang bertandang. Dan hati Sabrina berlagu riang menemani gadis kecil itu sehingga majlis selesai.

Sekali lagi dia kehabisan kata-kata apabila diminta bersungguh-sungguh untuk tidur di situ tetapi mana mungkin Sabrina sanggup berada serumah dengan Fitri tanpa sebarang ikatan yang sah.

Hatinya turut merintih melihat airmata yang laju menuruni pipi Sabrina ketika melihat dia memasuki kereta untuk dihantar pulang oleh Fitri.

Di dalam kereta, mereka tidak bersuara. Cuma sesekali Sabrina mengelap airmata yang luruh.

“Thanks sebab tunaikan hajat Sabrina. I really appreciate it.” Giliran Fitri berterima kasih.

“It’s ok. Tak baik nak hampakan hajat budak-budak.”

“Hajat babanya macam mana?” Sabrina terkedu. Tidak menyangka kata-kata itu akan keluar daripada mulut Fitri.

“Kalau pun awak anggap permintaan Sabrina tak serius, baba dia serius minta awak berikan hadiah yang dia minta tadi.”

Sabrina diam. Tidak tahu hendak memberi reaksi. Pada masa sama dia juga mahu menilai reaksi lelaki itu.

“Ain?”

“Mengapa dengan Ain? Mencari pengganti tak bermakna saya tak sayangkan dia. Setiap malam saya mentahlilkan rohnya. Saya tak mampu besarkan Sabrina seorang diri.”

“Saya cuma untuk isi tempat seorang ibu buat Sabrina? Begitu?”

“Awak untuk isi tempat khas dalam hati saya sejak lama dulu. Tempat itu masih kosong. Tak boleh diisi oleh sesiapa walaupun Ain. Itu sebab pertama dan menjadi ibu untuk Sabrina, sebab kedua saya nakkan awak.” Tegas Fitri menjawab.

“Keadaan sekarang tak sama seperti dulu. Banyak kena saya pertimbangkan. Beri saya masa.”

“Ambillah seberapa banyak masa yang awak perlukan, Rina. I have forever to wait. Saya cuma nak confess saya dah tak mampu sekadar nak kawan. Saya mahukan lebih daripada itu.”

Kata-kata Fitri cuba dihapuskan daripada pendengaran saat dia mengangkat takbir melakukan istikharah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience