Bab 12

Romance Completed 17065

“Mama.” Sabrina kaget sebaik gadis kecil itu memanggilnya mama.

Dia melutut di depan budak perempuan yang dalam perkiraannya berusia lima tahun itu.

Berkulit putih bersih dengan mata sedikit sepet dan rambut agak perang diikat ekor kuda, wajah kanak-kanak itu seakan-akan pernah dilihat.

“Siapa nama?” Ramah dia bertanya sambil mengelap peluh di dahi.

“Sabrina.” Mendengar perkataan yang keluar daripada mulut comel itu, Sabrina mengerutkan dahi.

“Itu nama auntie. Bolehlah kita berkawan.” Balasnya lalu menghulurkan tangan. Sabrina sedikit kaget tatkala tubuhnya dipeluk erat gadis cilik itu.

“Rina rindu mama. Mama balik ye?” Sabrina makin tidak tentu arah. Airmata yang mengalir di pipi budak perempuan itu diseka lembut. Sudah. Anak siapa pula ni?

“Jangan menangis sayang. Sabrina datang sini dengan siapa?”

“Dengan baba.”

“Baba Sabrina kat mana? Mari auntie hantarkan.” Lembut dia memujuk.

“Baba dia ada kat sini.” Sabrina kaku sebaik suara itu menyapa pendengarannya. Betapa rindunya dia kepada suara itu. Selepas enam tahun, suara itu langsung tidak berubah. Tenang dan mendamaikan.

Perlahan Sabrina membawa tubuhnya berpaling ke belakang. Di situ, dia menemui wajah Fitri yang masih setia bergayut di tangkai hati.

Sabrina lantas menerkam ayahnya dan tergelak riang sebaik tubuh montelnya dipeluk erat Fitri.

“Apa khabar?” Suara Fitri memecah kesunyian yang tiba-tiba bertandang. Dia dan Sabrina sekadar berjalan mengelilingi tasik permaisuri sambil matanya cekap mengawasi Sabrina kecil yang lincah berlari-lari anak di depan.

“Alhamdulillah. Awak apa khabar?”

“Macam yang awak nampak.”

“Ain apa khabar? Dia sihat? Lama tak jumpa dia.”

“Awak nak jumpa dia?” Sabrina terdiam mendengar soalan itu. Hatinya berbelah bagi antara mahu dan tidak.

Dia mahu berjumpa Ain tetapi pada masa sama bimbang bengkak di hati semakin parah walaupun sebesar kuman pun Sabrina tidak pernah menyalahkan rakannya itu.

“Kalau nak jumpa dia datanglah ke rumah. Awak masih ingatkan rumah saya? Umi pun selalu tanyakan awak.”

“Insya-Allah.” Dia menjawab pendek.

Sepi kembali menyelubungi. Baik Sabrina mahupun Fitri tidak tahu apa yang mahu dibualkan. Tempoh masa enam tahun yang memisahkan mereka menjadikan mereka seolah-olah baru saling mengenali.

“Dah berapa anak?” Sabrina memulakan perbualan selepas agak lama melayan perasaan.

“Itulah seorang.” Ringkas Fitri menjawab.

“Yang seorang itu namanya Sabrina?” Fitri ketawa kecil.

“Ain yang nak sangat-sangat letakkan nama Sabrina. Dia kata dengan cara itu dia lebih dekat dengan awak. Dia juga harap Sabrina kami akan membesar menjadi wanita semulia rakan kami.”

“Mengapa dia panggil saya mama?” Langkah Fitri terhenti mendengar pertanyaan itu. Wajahnya sedikit berubah.

“Dia panggil awak mama?” Sabrina pantas mengangguk. Fitri mengusap perlahan rambutnya. Sungguh dia tidak menyangka si cilik itu mengecam Sabrina yang cuma dikenali dengan gambar yang ada dalam simpanan Ain.
“Fitri?” Dia pantas menoleh ke kiri. Pandangannya bertemu dengan wajah Sabrina yang menyimpan 1,001 pertanyaan.

“Datanglah ke rumah.” Mudah Fitri memberikan jawapan sebelum melaungkan nama Sabrina kecil yang masih asyik bermain.

Petang itu mereka berpisah dengan airmata Sabrina kecil masih jelas di mata, dengan rayuan kanak-kanak itu supaya mengikut mereka balik ke rumah masih kedengaran dan wajah serba salah Fitri masih lekat di penglihatan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience