Bab 17

Romance Completed 17065

Sabrina yang agak kaget pada awalnya kerana tiba-tiba dipeluk erat, tersenyum melihat gerangan yang memeluknya. Tangan halus yang erat menggenggam tangannya diheret ke arah wakaf yang kosong di Taman Tasik Permaisuri.

Sebaik duduk, wajahnya dicium bertalu-talu sebelum lehernya dipaut rapat. Sabrina dapat melihat jelas senyuman yang terukir di bibir lelaki yang menemani gadis cilik itu. Tanpa sedar dia membalas senyuman Fitri dan membiarkan matanya mengekori langkah lelaki itu melewati wakaf yang diduduki dia dan si cilik itu.

“Rina rindu mama.” Sabrina kecil meluahkan rasa selepas melepaskan pelukan.

“Mama pun rindu Rina.”

“Mengapa mama dah tak datang rumah? Nenek pun selalu tanya mama.” Sabrina terdiam. Alasan apa perlu direka untuk menyedapkan pendengaran gadis kecil ini.

“Tak elok mama selalu datang rumah Sabrina.”

“Kenapa pula? Mama kan mama Rina. Kawan-kawan Rina, mama mereka semua duduk dengan dia orang. Tapi Rina pula, mama duduk kat rumah lain. Mama marilah duduk dengan Rina kat rumah nenek.”

“Tak boleh sayang. Kat rumah nenek, ada baba. Mama dengan baba tak boleh duduk dalam satu rumah sayang. Berdosa. Rina tahukan dosa tu apa?” Sabrina kecil mengangguk pantas.

“Tapi mengapa mama dan baba tak boleh duduk satu rumah? Kawan-kawan Rina yang lain boleh je mama dengan papa dia orang duduk sekali.”

Sabrina mula menggaru kepalanya yang bertudung. Harus bagaimana dia hendak menerangkan kepada kanak-kanak lima tahun mengenai apa sebenarnya yang menghalang dia dan Fitri duduk dalam satu rumah.
“Mama dan ayah kawan-kawan Rina tu dah kahwin sayang. Mama dan baba tak kahwin, jadi tak boleh duduk satu rumah.”

“Kalau macam tu, mama kahwinlah dengan baba. Lepas tu bolehlah mama duduk dengan baba, Rina dan nenek.” Sabrina pantas menutup mulut petah itu daripada terus berbicara. Matanya liar mencari kelibat Fitri sambil sebelah tangannya mengibas wajahnya tiba-tiba dirasakan panas.

Fuh! Mujurlah baba si Sabrina kecil ni sudah jauh meninggalkan mereka berbual berdua. Kalaulah Fitri mendengar saranan bernas anak daranya, Sabrina tidak tahu di mana hendak menyembunyikan mukanya.

“Mama tak nak kahwin dengan baba ke?” Sabrina sekali lagi menggaru kepalanya.

Aduh! Jawapan yang macam mana hendak diberikan kepada anak bijak ini.
“Bukan macam tu, sayang…”

“Habis, mama naklah kahwin dengan baba?” Sabrina terperangkap lagi.

Melihat Sabrina terdiam, si cilik itu tiba-tiba mengukir senyum. Sebelum sempat Sabrina menangkap dia sudah lebih dulu membuka langkah sambil melaungkan kata-kata yang membuatkan wajahnya tiba-tiba kebas.

“Rina nak beritahu baba mama nak kahwin dengan baba.”

Dan kali ini, Sabrina perlu memerah semula skil larian pecut yang kerap menempatkan dia di atas podium menerima pingat emas ketika bersekolah dulu untuk mengejar Sabrina kecil.

Mujurlah gadis kecil itu berjaya ditangkap sebelum sempat membisikkan apa-apa ke telinga Fitri yang kebingungan.

“Mengapa ni?”

“Mama nak…” Pantas tangannya menutup mulut si kecil.

“Tak ada apa-apa. Kami ke sana dulu.” Katanya sambil buru-buru mengatur langkah mengheret Sabrina yang tersengih-sengih menunjukkan isyarat bagus kepada babanya.

Memahami isyarat itu, Fitri mengenyitkan mata dan tahu cuma masa yang akan menjadi penentu bila dia akan memperoleh dua Sabrina dalam hidupnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience