TUK 4 ❤️

Romance Series 38946

KEESOKAN paginya, Kamelia masih berkurung di dalam bilik. Dia tidak mahu keluar bertemu dengan sesiapun kerana dia masih trauma dengan apa yang telah berlaku.

     Cik Som mengetuk pintu bilik anaknya namun tiada jawapan yang kedengaran.

     “Kamelia, keluarlah. Mak dah masak makanan kegemaran kamu ni. Takkanlah kamu tak nak makan langsung?” panggil Cik Som dari luar bilik.

     Kamelia terbaring lesu sambil menangis. Semalaman dia tidak tidur kerana bermimpi buruk. Dia malu untuk berdepan dengan emak dan adiknya, lagi-lagi dengan lelaki yang datang ke rumahnya semalam. Dia malu apabila dia pulang dengan keadaan yang tidak sempurna. Dia tidak tahu bagaimana dia harus berdepan dengan semua orang. Hidupnya sudah musnah, hancur, gelap gelita. Dia jijik melihat dirinya sendiri.

     “Mak, kakak masih taknak keluar dari dalam bilik ke?” tanya Arif yang kebetulan baru sahaja keluar dari biliknya bersama Shah.

     Cik Som menggeleng kepala. Keluhan pendek dilepaskan. Dia mendekati anaknya.

     “Dia taknak keluar langsung. Mak risau apa-apa jadi dekat dia dalam bilik tu?” ujar Cik Som risau.

     Arif mengeluh perlahan. Shah hanya diam membatu.

     “Tak apalah, biar Arif yang panggil akak?” ujar Arif pula.

TOK! TOK! TOK!

     Pintu bilik Kamelia diketuk sekali lagi, kali ini Arif pula yang memanggilnya keluar.

     “Kak, Arif ni. Akak keluarlah. Janganlah buat kami risau, akak kena makan bagi cepat sihat. Akak, keluarlah kak. Kita orang semua risau dengan keadaan akak,” panggil Arif dengan lembut.

     Tiba-tiba Kamelia bersuara.

     “Akak taknak makan, akak masih kenyang. Jangan ganggu akak, akak nak bersendirian.” ujar Kamelia dari dalam bilik.

     Arif mengeluh sekali lagi.

     Cik Som mengusap lembut bahu anak lelakinya. “Tak apalah, kamu berdua makanlah dulu. Nanti kamu nak ke kebun kan tengahari nanti? Pergilah sarapan dulu, Arif bawa Shah pergi sarapan,” suruh Cik Som lembut.

     Arif dan Shah mengangguk faham. Mereka berdua terus menuju ke ruang dapur untuk sarapan pagi.

     “Arif nak minta maaf dekat abang pasal apa yang terjadi semalam. Sumpah Arif tak boleh nak kawal perasaan lepas tahu apa yang dah jadi dengan akak Mel. Arif tak sangka perangai si Roslan itu seteruk ini. Selama ni Arif hormat dengan keluarga dia tapi tak sangka si Roslan tu jahat!” bebel Arif panjang lebar bersama keluhannya.

     “Abang faham dengan perasaan Arif. Abang tahu Arif cuma nak lindungi kakak Arif. Kalau adik abang jadi macamtu pun abang akan mengamuk, berani ada lelaki tak guna cuba nak sentuh adik abang!” balas Shah geram.

     Arif tertewa kecil.

     “Tapi abang tak fahamlah kenapa kakak Arif taknak buat repot polis?” tanya Shah lagi.

     “Kakak memang perangai macamtu. Dia cepat sangat memaafkan orang lain walaupun orang tu dah buat macam-macam dekat dia,” Balas Arif sambil menyuap nasi lemak yang dimasak oleh maknya ke dalam mulut.

     “Tapi ini dah dikira kes cabul, hampir nak merogol pula tu. Sepatutnya lelaki macamtu dah masuk lokap! Kenapalah kakak kamu ni baik hati sangat?” ujar Shah tidak puas hati.

     Baginya, manusia seperti Roslan itu tidak layan mendapat keampunan.

     “Tapi Arif masih tak puas hati selagi Arif tak jumpa dengan si Roslan tu. Abang Shah kena tolong Arif. Abang bawak Arif jumpa dia. Tapi abang janganlah bagitahu dekat mak, kakak. Nanti diorang risau,” pujuk Arif.

     Shah melepaskan keluhan panjang. Dia datang ke sini bukan untuk menolong atau mengikut segala arahan mereka, tapi dia disuruh buat macam-macam pula.

     “Abang bukan taknak tolong tapi abang risau apa-apa jadi lepastu?” ujar Shah sambil mengerut dahinya.

     “Yang tu abang jangan risau. Apa-apa jadi Arif yang akan tanggung. Arif taknak akak senang-senang dipijak oleh jantan durjana tu! Abang tolong Arif ya?” pujuk Arif lagi sekali.

     Akhirnya Shah mengalah dan bersetuju untuk menolong Arif.

     “Apa yang kamu berdua tenagh bincangkan? Macam mustahak aje?” soal Cik Som yang tiba-tiba muncul dari belakang.

     Shah hanya tersenyum malu.

     “Tak ada apalah mak. Arif ingat nak ajak abang Shah ikut Arif ke kebun. Mana tahu abang Shah dapat idea nak buka kebun juga ke? Betul tak abang Shah?” tanya Arif sambil tersengih.

     Shah mengangguk laju. “Betullah tu. Shah pun macam teringin nak pergi tengok kebun yang Arif cakap tu. Boleh tak Shah ikut Arif?” tanya Shah kepada Cik Som.

     “Boleh, keluarlah. Mana tahu kalau kamu berdua tak ada dekat dekat sini buat sementara waktu, Kamelia selesa sikit nak keluar. Lagipun, sementara kamu tengah ada kat sini bolehlah kamu temankan si Arif tu kejap. Ronda-ronda satu kampung ke?” cadang Cik Som.

     “Baiklah mak. Harini Arif janji Arif akan balik awal. Mak jaga kakak tu tu elok-elok ya. kalau ada apa-apa mak telefon aje Arif, cepat-cepat Arif balik," balas Arif sambil menguntum senyum nipis.

     Cik Som mengangguk faham.

“MAK, Arif dengan abang Shah gerak dululah. Nanti kalau ada apa-apa mak telefon Arif terus,” ujar Arif sambil menyalam tangan emaknya.

     “Iye mak tahu, berapa kali kamu nak pesan?” bising Cik Som.

     Arif tertawa kecil. Shah juga turut menyalam tangan wanita itu.

     “Assalamualaikum,” Ucap Arif dengan Shah.

     “Waalaikummusalam, hati-hati bawa kereta tu,” balas Cik Som sambil melambaikan tangan ke arah anaknya.

     Mereka berdua mengangguk perlahan. Shah memandu keluar dari perkarangan rumah keluarga Kamelia itu. Keretanya laju menuju ke rumah Pak Mat, ayah kepada Roslan.

     “Ni ke rumahnya?” tanya Shah sambil memarkir keretanya tidak jauh dari kawasan rumah Pak Mat.

     “Betullah ini rumah Pak Mat. Rumah dia aje yang besar dekat sini,” balas Arif sambil memandang sekeliling rumah.

     Selepas memastikan rumah yang didatangi mereka berpenghuni, mereka terus keluar dari dalam kereta. Arif bergegas menuju ke pintu rumah Pak Mat.
    
     “Assalamualaikum, Pak Mat oh Pak Mat!”

     Arif mengetuk pintu kayu itu sekali lagi. Kali ini lebih kuat. Dia tidak sabar mahu berhadapan dengan jantan durjana itu. Selepas beberapa ketukan diberi, seseorang membuka pintu dari dalam.

     Wajah tua Pak Mat terjengul disebalik daun pintu.

     “Arif, kamu buat apa datang ke sini pagi-pagi buta ni?” tanya Pak Mat dengan wajah masamnya.

     “Saya minta maaf kalau saya mengganggu Pak Mat pagi-pagi ni. Tapi saya nak jumpa dengan Roslan, dia ada tak?” tanya Arif sambil menahan amarah di dalam dirinya.

     “Roslan? Kejap pakcik pergi panggil dia,” ujar Pak Mat berlalu pergi.

     “Lan! Oh Lan! Keluar cepat! Ada orang nak jumpa kamu ni!” laung Pak Mat kuat dari dalam rumah.

     Beberapa minit kemudian, kedengaran suara Roslan menjawab.

     “Ala, apa dia pak? Roslan ngantuklah nak tidur!” bedik Roslan.

     “Kamu jangan banyak cakap, cepat keluar ada orang nak jumpa kamu ni!” tegas Pak Mat sekali lagi.

     “Apa bising-bising ni? Lan nak tidur pun tak senanglah!” bisingnya sambil keluar dari bilik tidurnya. Dia mendekati ayahnya dengan malas. Roslan terkaku apabila dia memandang wajah bengis Arif bersama seorang lelaki di luar rumah ayahnya.

     “Kau ni dah kenapa Lan? Macam ayam berak kapur dah aku tengok?” tanya Pak Mat pelik melihat wajah anaknya yang tiba-tiba pucat dan sedikit cuak itu.

     “Tak ada apalah pak. Bapak masuk dalam dulu biar Lan cakap sebentar dengan diorang,” ujar Roslan sambil menghalau bapaknya.

     Pak Mat hanya mengangguk faham dan meminta diri untuk beredar.

     Selepas memastikan yang ayahnya sudah beredar dari ruang tamu dia terus mendekati Arif.

     “Kau nak apa pagi-pagi buta ni?” soal Roslan dengan suara yang sudah naik senada.

     “Apasal kau tak biar aje bapak kau dengar perbualan kita? Kecut? Takut kantoi dengan bapak kau?” perli Arif.

     Roslan tertawa sinis.

     “Kau merepek apa ni? Aku tak fahamlah?” ujar Roslan sambil bercekak pinggang.

     “Kau tak faham ke kau pura-pura bodoh? Luka tu kau dapat dari mana? Aku rasa kau tahu apa yang kau dah buat dekat kakak aku semalam sampai dia takut nak keluar bilik!” gertak Arif kasar.

     “Aku buat apa dekat kakak engkau? Kau ada bukti ke nak cakap aku apa-apakan kakak kau? Jangan nak main tuduh ya, berdosa besar tuduh orang sembarangan!” tengking Roslan tapi dia masih cuba mengawal suaranya.

     Arif sudah tertawa besar mendengar jawapan dari mulut Roslan.

     “Tahu pula fikir pasal dosa? Time semalam kau nak rogol kakak aku, kau tak fikir dosa pula? Eh jantan jenis apa kau ni!” tengking Arif.

     Roslan terus mendekati Arif dan memaut baju Arif dengan kasar.

     “Kalau orang tak kacau aku tak ada maknanya aku nak kacau dia balik. Tapi bila kakak kau menguji kesabaran aku, memang itulah balasannya!” balas Roslan dengan nada perlahan.

     “Dasar jantan tak guna! Kau memang sengaja kan Roslan. Kau dah cuba nak rogol kakak aku sekarang ni kau acah-acah tak bersalah. Kau memang manusia bertopengkan syaitan!” tengking Arif sambil menolak kasar tubuh Roslan.

     “Kau ada bukti apa yang nak mengatakan aku ni dah rogol kakak kau? Kau yakin yang kakak kau dirogol ataupun dengan rela hatinya sendiri?” tanya Roslan sambil tersenyum sinis.

     “Kurang ajar punya jantan!” tengking Arif. Dia cuba menahan diri daripada membelasah jantan tak guna itu.

     “Jantan mana pula yang kau bawa sekali ni Arif? Berapa banyak jantan yang kakak kau simpan? Semalam orang lain harini tukar orang lain pulak? Besar betul nafsu kakak kau ni!” ujar Roslan sambil tertawa besar.

     Belum sempat Arif ingin menghadiahkan sebiji tumbukan ke muka Roslan, Shah sudah menghalangnya.

     “Cukup, biar abang yang cakap dengan dia,” bisik Shah perlahan.

     Dia terus mendekati Roslan.

     “Eh bro, aku tak tahulah apa yang kau dah buat dekat kakak dia and apa hubungan kau dengan dia sekalipun. Tapi aku nak ingatkan kau yang kifarah itu pasti, walaupun kau taknak mengaku sekarang, lambat laun nanti kau akan melutut depan Kamelia sendiri untuk minta maaf atas segala kesilapan yang kau dah buat dekat dia. Kau ingat tu!” ugut Shah dengan tenang.

     Roslan mati kata-kata.

     Shah terus beredar dari situ dan pergi mendapatkan Arif.

     “Kau bernasib baik sebab tumbukan aku ni tak hinggap dekat muka kau. Kalau tak, mati kau harini!” ujar Arif keras.

     “Bro, kau ingat pesanan aku tadi. Sekarang kau boleh bahagia tapi lama-lama nanti kau yang akan merana!” ujar Shah lagi sekali.

Roslan hanya memandang tajam ke arah Shah dan juga Arif.

     Mereka berdua beredar dari situ, tidak mahu menunggu lama kerana tidak mahu membuat kacau.

     Pak Mat yang terdengar akan bunyi bising tadi terus bergegas ke luar rumah, dia melihat anaknya sedang terduduk di hadapan pintu rumah mereka.

     “Roslan, apa dah jadi ni? Kenapa Arif mengamuk dekat kau?” soal Pak Mat agak kasar.

     Roslan hanya mendiamkan diri dan tertunduk ke lantai.

     “Lan, kau dengar tak soalan aku ni? Apa yang kau dah buat dekat kakak si Arif tu? Kenapa kau diam!” soal Pak Mat lagi sekali.

     Roslan masih lagi diam.

     “Roslan! Kau dengar tak apa aku tanya!” jerkah Pak Mat pula.

     Belum sempat Pak Mat ingin mengatur langkah ke arah anaknya, Roslan sudah menumbuk kuat pintu kayu rumah ayahnya sehingga meninggalkan kesan retak.

     “Siallah! Kau jangan sibuk urusan aku boleh tak! Menyemak aje lah manusia dalam rumah ni!” tengking Roslan sebelum meninggalkan rumah.

     “Kurang ajar punya budak! Aku tak pernah ajar kau untuk kurang ajar dengan orang tua sendiri!” tengking Pak Mat kembali sambil tangannya dituding ke arah anak lelakinya yang sudah jauh meninggalkan kawasan rumah mereka.

     Pak Mat memegang dadanya yang tiba-tiba sakit sebelum jatuh terduduk di sofa ruang tamu.

     “Ya Allah bang, apa dah jadi ni?” jerit Mak Esah, isteri kepada Pak Mat.

     Dia segera mendapatkan suaminya.

     “Apa nak jadi dengan anak kita tu, Esah. Dia dah makin melampau,” ujar Pak Mat sambil mengerang kesakitan.

     “Saya tak tahulah nak cakap macammana lagi bang, nantilah saya cuba nasihatkan dia. Yang penting sekarang, abang kena makan ubat, kalau tak makin melarat sakit tu. Abang dahlah ada sakit jantung, kalau risau sangat boleh jatuh sakit!” bebel Mak Esah panjang lebar.

     Dia mengurut perlahan belakang badan suaminya sambil mengeluh perlahan.

     Pak Mat hanya diam sambil menggelengkan kepalanya.

CIK Som sedang sibuk mengacau bubur di dalam periuk untuk dihidangkan kepada anaknya. Kamelia masih lagi tidak keluar dari biliknya sejak pagi tadi. Dia risau apa-apa terjadi kepada anaknya.

     Tiba-tiba kedengaran pintu bilik anaknya terbuka. Laju Cik Som menutup api dapur dan bergegas ke depan. Kelihatan Kamelia sedang berjalan terhincut-hincut ke arah dapur sambil memegang tuala.

     “Kamelia, kamu nak mandi ke?” tanya Cik Som risau.

     Kamelia hanya mengangguk perlahan.

     “Nak mak masakkan air panas untuk kamu? Boleh kamu mandi air panas,” tanya Cik Som lagi.

     Kamelia menggelengkan kepalanya pula.

     "Tak apa mak, Mel boleh aje mandi air sejuk,” ujar Kamelia sambil dipimpin maknya ke bilik air.

     “Kamu mandi dulu, biar mak tunggu dekat luar. Lepastu kamu makan sikit ya, mak dah buatkan bubur tu,” ujar Cik Som setelah anaknya menghilangkan diri ke dalam bilik air.

     Sambil menunggu anaknya siap mandi, Cik Som sempat mengemas bilik tidur anak perempuannya itu. Dia melihat baju kurung yang dipakai oleh anaknya ketika kejadian kelmarin telah dicampak ke bawah katil. Cepat-cepat dia mengambil baju kurung tersebut untuk dibuang.

     “Arghhhh!”

     Jeritan bersama keluhan boleh di dengari sehingga ke ruang tamu.

     “Ya Allah, anak aku!” bergegas Cik Som berlari ke arah bilik air lalu mengetuk pintu bilik air tersebut berkali-kali.

     “Kamelia, kenapa tu? Kamu tak apa-apa ke dalam bilik air?” Panggil Cik Som cuak.

     Diam.

     “Kamelia? Janganlah diam aje, nak?” panggil Cik Som lagi.

     Setelah beberapa minit, pintu bilik air dibuka, terlihat Kamelia sedang menapak keluar dari dalam bilik air sambil menahan sakit.

     “Kamelia, kamu tak apa-apa ke?” tanya Cik Som sambil memegang lengan anaknya. Kamelia terus mengerang kesakitan.

     Dia menyentuh semula pergelangan tangan anaknya, sekali lagi Kamelia mengerang kesakitan.

     “Sakit mak...” Kamelia mengadu sakit.

     Cik Som melihat pergelangan tangan anaknya, terdapat kesan lebam yang sangat besar di bawah lengan anaknya yang sudah membiru.

     “Astaghfirullahalazim, teruk lebam tangan kamu ni?” ujar Cik Som risau dengan keadaan anaknya.

     Kamelia hanya diam sambil mengeluh kesakitan.

     Cik Som terus memimpin tangan anaknya ke dalam bilik. Dia menolong Kamelia menyarungkan baju ke tubuhnya sebelum mencapai minyak panas di atas meja untuk disapu di kawasan yang lebam tadi.

     “Kamu tahan sakit ya, nak. Lepas ni makan sikit lepastu berehat.” ujar Cik Som sambil berhati-hati menyapu minyak angin di bawah lengan anaknya.

     Kamelia menahan sebak. Air mata yang mengalir di tubir mata dibiarkan turun membasahi pipi mulusnya.

     “Mak, Kamelia dah tak ada apa-apa mak, Kamelia takut,” ujar Kamelia perlahan. Dia menunduk ke bawah.

     “Janganlah cakap macamtu sayang. Mak yakin anak mak tak bersalah. Kamelia jangan risau, mak yakin yang Roslan akan dapat pembalasannya!” ujar Cik Som sedikit tegas. Bahu anaknya diusap lembut.

     “Tapi Kamelia dah tak sempurna mak. Tak ada sesiapa yang nakkan Kamelia kalau diorang tahu Kamelia hampir kena rogol!” rintihnya lagi bersama air mata yang membasahi pipi.

     “Hei, kenapa cakap macamtu. Kamu kena percaya pada takdir. Belum tentu kamu cakap macamni, tak ada sesiapa yang tak nak dengan kamu kemudian hari. Mak yakin ramai lelaki dekat luar sana yang lebih baik yang boleh jaga dan terima kamu seadanya. Kamu jangan risau, mak percayakan anak mak. Mak yakin anak mak tak ada apa-apa,” pujuk Cik Som lembut.

     Cik Som memegang dagu anaknya lalu kepala anaknya dinaikkan perlahan-lahan. “Kamelia, pandang mak sekejap. Roslan tak sempat nak apa-apakan kamu kan?” soal Cik Som sambil memandang tepat ke dalam mata anaknya.

     Kamelia menyeka air matanya dengan lengan bajunya sebelum menjawab.

     “Dia tak sempat nak apa-apakan Kamelia tapi dia sempat sentuh Kamelia mak,” bisiknya perlahan.

     Cik Som menghembus nafas lega. “Itu yang mak nak dengar. Nasib baik ada hamba Allah yang membantu kamu. Kalau tak mak tak tahu macammana nak teruskan hidup tanpa kamu!” ujar Cik Som sambil menahan sendu.

     Kamelia mengalihkan pandangannya semula ke arah emaknya lalu tangannya mengusap lembut pipi emaknya.

     “Mel teruskan hidup Mel sebab Mel ada mak dengan Arif. Mak dengan Arif penyebab Kamelia untuk teruskan hidup sekarang!” ujar Kamelia lembut.

     Cik Som mengangguk dan kemudiannya memeluk erat tubuh anaknya.

     “Mak, Adam macammana? Dia tak apa-apakan?” tanya Kamelia setelah pelukan dileraikan.

     Cik Som mengangguk perlahan.

     “Alhamdulillah Adam baik-baik saja. Dia suruh mak bagitahu dia tentang keadaan Mel tapi mak tak sempat nak beritahu dia apa-apa sebab mak risau fikirkan kamu,” ujar Cik Som panjang lebar.

     “Tak apa, biar Mel sendiri yang berjumpa dengan dia nanti,” balas Kamelia. Genggaman tangan dikemaskan.

     “Tak perlu. Nanti mak ajak dia datang ke sini, kita buat makan-makan sikit atas tanda berterima kasih dekat dia sebab dah tolong anak mak?” ujar Cik Som. Tangan Kamelia ditepuk perlahan-lahan.

     Kamelia menguntum senyum manis.

     Kamelia menunduk seketika. Kemudian, dia mendongak semula untuk melihat wajah emaknya. “Mak... Adam tu baik, kan?”

     Cik Som tertawa kecil. "Mel suka dia ke?” usik Cik Som sambil mencuit pipi anaknya.

     Kamelia tertawa kecil lalu kepalanya digelengkan beberapa kali. “Mana ada, Mel cuma cakap dia baik aje. Mel tak maksudkan macamtu pun, tak mungkin dia dapat terima Mel lepas apa yang dah terjadi,” balas Kamelia perlahan.

     Dia menunduk malu.

     “Tak apa, nanti mak bagitahu dia ya?” ujar Cik Som.

     Kamelia mendongak. Dia memandang wajah emaknya tidak percaya.

     “Mak, janganlah! Malulah Mel nanti. Kalau dia dah ada kekasih hati atau tunang, macammana?” ujar Kamelia malu.

     “Nanti mak usahakan,” balas Cik Som sambil tertawa kecil.

     Kamelia sudah menarik muka masam. Lalu, tubuh emaknya dipeluk kemas.

     “Yang penting sekarang Mel rehat. Mak dah masakkan bubur untuk Mel. Mel nak makan dekat sini ke kat dapur?” tanya Cik Som setelah sekian lama mereka berdua mendiamkan diri sahaja.

     “Makan dekat dapur lah, Mel penat duduk dalam bilik.” jawab Kamelia sambil tersenyum nipis.

     Cik Som mengangguk.

     Lalu mereka berdua berlalu ke dapur.

“KURANG ajar betul kau, Kamelia. Kau tunggu, kau belum kenal lagi siapa Roslan yang sebenarnya! Kau dengan keluarga kau tak akan pernah hidup aman lepasni!” ujar Roslan bersama tawanya.

     “Aku akan musnahkan hidup kau cukup-cukup!” tambah Roslan lagi.

     Dia terus meninggalkan kawasan lepaknya.

“Terima kasih abang sebab tolong Arif harini. Tapi abang kena janji yang abang tak akan bagitahu mak dengan akak Mel pasal apa yang jadi harini?” pesan Arif.

     Shah menepuk bahu Arif perlahan. “Sama-sama, abang dapat bantu sikit-sikit aje dan abang janji yang abang tak akan bocorkan rahsia kita!” balas Shah sambil mengangkat tangan seakan bersumpah.

     Arif tertawa kecil melihat telatah lelaki di hadapannya itu.

     “Tapi abang, Arif masih tak tahu lagi apa tujuan abang datang ke kampung ni jumpa keluarga Arif? Abang siapa sebenarnya?” soal Arif musykil.

     Shah terdiam. Dia lupa akan tujuan asalnya ke sini. Belum sempat dia hendak menjawab tiba-tiba Pak Abu datang menyapa mereka berdua.

     Lega hatinya melihat Pak Abu datang. Tak perlulah dia menjawab soalan itu tadi.

     “Arif, siap dah semua kerja?” tanya Pak Abu.

     “Alhamdulillah, semua dah siap. Arif dah asingkan mana buah yang elok dengan yang dah rosak. Nanti Pak Abu hanya kena masukkan ke dalam lori aje nanti,” jelas Arif sambil bercekak pinggang.

     Pak Abu mengangguk faham sambil menepuk bahu anak muda itu perlahan.

     “Terima kasih banyak-banyak dekat Arif sebab sudi bantu pak cik harini. Tak sangka pula harini banyak permintaan dari kedai. Kalau tak, memang tak menang tanganlah pakcik nak buat seorang diri,”

     “Pak cik pun nak berterima kasih lah dengan anak muda ni sebab sudi membantu pak cik dengan Arif buat semua kerja ni. Pak cik risau kamu tak selesa pula buat kerja-kerja macamni,” ujar Pak Abu lagi kepada Shah.

     Shah menggelengkan kepalanya.

     “Eh, tak apa pak cik. Lagipun saya memang ikhlas nak tolong Arif dengan pak cik. Pak cik jangan risau ya, saya okay aje,” balas Shah sambil tersenyum nipis.

     “Alhamdulillah, nanti gaji pak cik akan bagi dekat kamu dengan Arif ya lepas pak cik dah dapat bayaran dari orang kedai,” ujar Pak Abu.

     Shah menggelengkan kepalanya. “Eh tak apa pak cik, tak payah susah-susah. Nanti gaji tu semua pak cik bagi aje dekat Arif. Saya tak nak pun. Lagipun yang bekerja dengan pak cik tu Arif, saya ni setakat membantu sikit-sikit aje. Tak payah gaji-gaji tu semua,” jelas Shah panjang lebar.

     “Ha yelah, beruntung Arif dapat kawan yang jujur dan ikhlas macam Shah ni,” puji Pak Abu.

     Arif hanya mengangguk sambil tersenyum.

     “Lagi satu pak cik, mana Abang Adam? Saya tak nampak dia pun harini?” tanya Arif pula.

     “Adam ke bandar ada urusan dia cakap, nanti dia baliklah tu.” balas Pak Abu.

Arif hanya mengangguk.

     “Adam? Siapa tu?” tanya Shah pula.

     “Anak pak cik. Dia berkawan dengan Arif juga. Satu sekolah dengan Arif dan kakaknya dulu,” balas Pak Abu.

     “Oh faham, rasanya ada terserempak haritu masa dia hantar kakak Arif balik rumah,” balas Shah perlahan.

     “Terserempak? Adam dengan Kamelia balik sekali ke?” tanya Pak Abu.

     Shah terdiam, dia sedar yang dia sudah tersalah cakap.

     “Mungkin abang Adam terserempak dengan kakak saya dekat pekan lepastu dia tolong hantar kakak saya balik kot, betul tak abang Shah?” jelas Arif sambil menyiku lengan Shah.

     Shah pantas mengangguk. Lalu, dia tersengih lebar.

ADAM singgah sebentar di rumah Kamelia sebelum pulang

     “Assalamualaikum, mak cik Som.” panggil Adam.

     “Waalaikummusalam,” terdengar suara seseorang membalas salamnya.

     Pintu dibuka, terjengul wajah tua Puan Kalsom di sebalik pintu lalu tersenyum ke arah Adam.

     “Eh, Adam rupanya. Kamu ada apa datang ke mari?” tanya Cik Som.

     Adam tersengih.

     “Saya datang sebab nak melawat makcik dan tanya khabar Kamelia. Kamelia macammana makcik, dia sihat?” Adam menanya khabar.

     “Alhamdulillah sihat, masuklah dulu. Biar makcik panggilkan Kamelia.” ajak Cik Som.

     Adam mengangguk sambil mengekori langkah Cik Som ke ruang tamu.

     “Duduk sini dulu, makcik buatkan kamu air.”

     Adam hanya mengangguk.

     Cik Som terus menuju ke bilik anaknya dan memanggil Kamelia keluar sebelum menghilangkan diri ke dapur.

     Selepas beberapa minit, Kamelia keluar dari biliknya. Terlihat wajahnya yang sedikit pucat.

     “Assalamualaikum,” ucap Kamelia lembut.

     “Waalaikummusalam,” balas Adam perlahan.

     Adam memerhatikan Kamelia, masih kelihatan lebam di tepi bibir kanan gadis itu dan luka di belah mata kanannya.

     “Maaflah buat awak tertunggu, tadi saya kemas bilik kejap,” jelas Kamelia sambil tersenyum hambar.

     Jantungnya berdegup kencang apabila teringat kembali kejadian tempoh hari. Pandangannya dibuang ke arah luar rumah. Malu untuk berhadapan dengan lelaki itu.

     “Tak apa, saya faham. Awak macammana? Sihat?” tanya Adam tanpa berlengah masa.

     Kamelia tersenyum sambil tunduk ke bawah.

     “Alhamdulillah, saya dah makin sihat. Luka-luka ni nanti hilanglah cuma trauma yang saya rasa mungkin ambil masa nak pulih. Awak fahamkan semua benda terjadi dengan sangat pantas, saya tak dapat nak hadam lagi dengan apa yang dah terjadi dekat saya haritu,” jelas Kamelia menahan sebak

     Adam memahami maksudnya.

     “Awak taknak buat repot polis ke?” tanya Adam.

     Kamelia mengalihkan pandangannya semula ke Adam.

     “Saya cuba tapi saya takut. Saya takut dia taknak mengaku apa yang dia buat dekat saya. Lagipun keluarga dia sangat dihormati dalam kampung ni, saya takut jika saya buat repot polis, dia akan cuba apa-apakan saya lagi, terutamanya keluarga saya.” balas Kamelia sambil mengerutkan dahinya. Keluhan berat dilepaskan.

     Kamelia meraup wajahnya. Air matanya mengalir lagi.

     ”Awak nak saya tolong awak?” tanya Adam risau akan keadaan Kamelia.

     “Tak perlulah. Saya taknak menyusahkan awak. Cukuplah awak tolong saya haritu. Saya taknak awak pula di apa-apakan oleh Roslan nanti,” balas Kamelia perlahan.

     Adam melepaskan keluhan panjang sambil memandang wajah Kamelia. Gadis tersebut hanya menunduk ke bawah. Malu mahu bertentang mata dengannya. Kenapa awak baik sangat Kamelia, bisiknya dalam hati.

     “Maaf kalau makcik mengganggu, makcik ada buatkan teh o panas dengan kuih seri muka untuk kamu. Makanlah sikit,” jemput Cik Som yang baru saja kembali dari dapur bersama dulang makanan.

     Kamelia pantas menolong emaknya menuangkan air ke dalam cawan lalu menghidangkannya kepada Adam.

     “Susah-susah aje makcik buatkan air untuk saya. Saya bukan lama sangat pun dekat sini,” Balas Adam sambil menghadiahkan senyuman manisnya kepada Kamelia.

     Kamelia tersipu malu.

     “Ala, nak susah apanya? teh o ni campak-campak aje dah siap. Kuih ni pula kebetulan pagi tadi makcik buat untuk sarapan pagi. Ada lebih tu makcik bagilah kamu rasa,” jelas Cik Som lalu melabuhkan punggung di sebelah anaknya.

     Adam tersenyum nipis. Terasa segan bila dia dilayan dengan baik oleh ahli keluarga itu.

     “Makanlah, jangan malu-malu,” ajak Cik Som lagi.

     Adam menghirup sedikit air lalu mencapai kuih yang dihidangkan di hadapannya tadi.

     “Hurm... sedapnya, kalau macamni tiap hari lah saya order macam-macam jenis kuih dekat makcik?” seloroh Adam lalu tertawa kecil.

     Cik Som menggelengkan kepala sambil ketawa kecil.

     “Apa susah, kamu jadi menantu makcik terus. Tiap hari makcik boleh masakkan untuk kamu. Lagi-lagi Kamelia ni pun pandai masak juga macam makcik,” ujar Cik Som cuba menyakat Adam.

     Terus sahaja Adam dan Kamelia memandang satu sama lain tanpa berkata apa. Terkejut dengan apa yang didengari mereka tadi.

     “Kenapa? Kamu berkenan dengan satu sama lain ke?” soal Cik Som sambil tersenyum penuh makna.

     Mulut Kamelia terkunci rapat, tidak tahu membalas apa-apa.

     Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam.

     “Waalaikummusalam, masuklah.” balas Cik Som.

     Adam berhenti mengelamun dan meneguk air teh o yang masih panas itu. Lalu, dia tersedak sambil mengipas-ngipas lidahnya yang terasa melecur itu.

     “Ya Allah, kenapa gelojoh sangat minum air tu. Kan panas lagi! Mel tolong ambilkan tisu dekat dapur untuk si Adam ni. Habis basah baju dia,” bebel Cik Som sambil mengelap baju Adam yang sudah basah itu.

     Kamelia bergegas ke dapur untuk mengambil tisu.

     “Panas makcik, nasib baik tak melecur lidah saya,” ujar Adam sambil mengelap bajunya.

     “Mak, siapa yang datang?” tanya Arif sambil menjinjing beg plastik berisi keropok lekor dan ayam goreng dari pasar malam.

     “Adam yang datang sebab nak melawat mak dengan kakak kamu,” balas Cik Som lembut.

     Kamelia kembali dengan kotak tisu di tangannya. Terus dia menyerahkan kotak tisu tersebut kepada Adam.

     “Terima kasih,” Adam menarik beberapa helai tisu dari dalam kotak lalu mengelap bajunya dengan tisu tadi.

     “Patutlah tadi tak datang kebun, rupanya jumpa akak Kamelia ya?” usik Arif.

     Shah hanya senyap. Entah kenapa dia tidak berapa gemar melihat Adam bermesra dengan Kamelia walaupun dia tidak mengenali lelaki itu dengan lebih rapat.

     “Apa? Adam tak pergi kebun! Betul ke?” soal Kamelia tajam.

     Adam hanya tersengih.

     “Sebenarnya tadi saya ke bandar cari barang, kebetulan masa on the way balik, saya lalu depan rumah awak sebab tu saya datang melawat,” balas Adam sambil tersengih.

     “Oh ye ke?” ujar Kamelia sambil tersipu malu. Tidak sangka Adam sangat prihatin terhadapnya. Tidak pelik dia boleh jatuh cinta dengan personaliti lelaki itu.

     “Maaf mengacau tapi saya nak masuk ke dalam bilik kejap, nak kemas baju sebelum bertolak balik.” ujar Shah tiba-tiba.

     Semua mata kini memandangnya termasuk Kamelia.

     Kamelia baru teringat dari semalam dia tidak berkesempatan untuk berborak dengan Shah, tiba-tiba sahaja lelaki itu sudah mahu pulang.

     “Shah dah nak balik ke? Kenapa tak duduk sini dua hingga tiga hari lagi?” soal Cik Som sedikit hampa.

     “Shah tak boleh lama-lama dekat sini, banyak kerja yang nak kena siapkan dekat pejabat tu. Lagipun Shah ambil cuti dua hari aje, itu yang Shah nak minta izin untuk balik harini,” jelas Shah sambil tersenyum nipis.

     Sebenarnya dia tidak mahu tinggal lama-lama di sini.

     “Hm, baiklah. Tapi sebelum balik kamu makanlah dulu? Makcik dah masak tadi, sayang pula kalau kamu tak sempat makan,” ajak Cik Som pula.

     Shah tidak menjawab. Dia hanya mengangguk sebelum bergerak ke bilik tidur milik Arif.

     “Adam, kamu pun makanlah kat sini ya? Makcik ada masak lebih tu. ajak Cik Som.

     “Boleh makcik,” balas Adam pendek.

     “Kalau macamtu makcik dengan Kamelia nak kemas dapur dulu. Kamu rehatlah dulu. Nanti makcik panggil untuk makan malam.” ujar Cik Som sebelum menarik tangan anak perempuannya ke dapur.

“MAKAN banyak-banyak, nanti kamu tak dapat merasa masakan macamni dekat bandar,” seloroh Cik Som.

     Shah tertawa kecil sambil mencedok kuah asam pedas daging tetel ke dalam pinggannya.

     “Sedap betul masakan makcik, tadi kuih seri muka sekarang asam pedas pula. Patutlah tiap hari Arif bawak bekal ke kebun,” puji Adam sambil menyuap nasi ke dalam mulutnya.

     Semangat betul dia makan malam itu, dari tadi dia asyik menambah nasi.

     “Ada-ada aje kamu ni kan, Adam. Sebelum ni yang kamu nampak Arif bawak bekal tu semua Kamelia yang sediakan. Sebab pagi-pagi lagi dia selalu rajin bangun untuk sediakan sarapan,” jelas Cik Som panjang lebar.

     “Oh ye ke? Mesti Kamelia pun pandai masak macam maknya?” tanya Adam teruja.

     Kamelia tersipu malu, mahu sahaja dia membenamkan wajahnya ke dalam kuah asam pedas waktu itu. Lagi malu apabila kedua-dua lelaki itu sedang memerhatinya. Tapi dia pelik kerana sejak tadi, Shah hanya diam dan menikmati makanannya sampailah sewaktu Adam memujinya tadi barulah Shah memandangnya.

Perempuan ni dah kenapa pandang-pandang aku dari tadi? Handsome sangat ke aku ni sampai dia tak boleh stop pandang aku?, soal Shah dalam hati sambil memandang ke arah Kamelia.

     “Shah? Pandang apa tu? Kalau kamu pandang Kamelia sampai tembus dinding belakang tu pun belum tentu habis nasi dalam pinggan kamu,” usik Cik Som.

     Shah tersedar dari lamunannya.

     “Mana ada makcik, saya tengah menikmati lauk asam pedas ni. Sedap sangat! Saya mesti akan merindui asam pedas ni bila balik KL nanti,” ujar Shah cuba menutup malu.

     “Baguslah kalau kamu rasa macamtu, makcik senang sangat kalau kamu semua suka dengan lauk yang makcik masak harini,” balas Cik Som sambil tersenyum bahagia.

     Jarang-jarang makan malam mereka semeriah ini. Selalunya hanya bertiga, akan tetapi malam ini sudah bertambah menjadi lima. Mana satulah bakal menjadi pilihan hati anaknya.

     MEREKA berempat menemani Shah sampai ke luar rumah. Shah memasukkan beg bajunya ke dalam bonet kereta sebelum kembali ke arah mereka berempat semula.

     “Terima kasih sangat sebab benarkan Shah tumpang rumah makcik dua harini dan Shah minta maaf sangat-sangat kalau Shah ada menyusahkan makcik sekeluarga,” ucap Shah ikhlas.

     Kamelia hanya tersenyum nipis. Dia tertunduk ke bawah.

     “Sama-sama. Nanti kalau ada masa, Shah datanglah lagi melawat makcik dekat sini. Makcik dah anggap Shah ni macam anak makcik sendiri. Nanti kamu kirim salam dekat ibu kamu ya. Makcik doakan semoga ibu kamu cepat sembuh. Makcik minta maaf sebab tak dapat nak melawat ibu kamu dekat KL,” ujar Cik Som sambil mengusap lembut bahu Shah.

     Shah terasa bahagia dilayan dengan baik.

     “Insya-Allah, nanti Shah sampaikan salam makcik dekat ibu. Dan Insya-Allah juga kalau Shah ada waktu yang terluang, Shah datang melawat makcik lagi. Tapi kalini Shah akan datang dengan buah tangan pula. Maaflah Shah tak sempat nak sediakan buah tangan untuk makcik,” jelas Shah panjang lebar.

     “Tak apa, makcik tak kisah sangat. Nanti kamu bawa kereta elok-elok. Malam-malam ni, jalan kampung gelap tak ada lampu, jadi jangan bawa laju sangat, risau terlanggar apa-apa ke nanti,” balas Cik Som risau.

     Shah mengangguk perlahan.

     “Baik makcik. Shah gerak dulu ya,” ujar Shah sebelum menyalam tangan wanita tua di hadapannya itu.

     Selesai menyalam Cik Som, Shah menuju ke arah Arif dan Adam.

     “Abang balik dulu, nanti kalau ada apa-apa masalah, call abang terus. Arif ada number abang kan?” tanya Shah sambil menepuk perlahan bahu Arif.

     “Ada, Insya-Allah kalau ada apa-apa nanti Arif call abang. Abang jaga diri, drive elok-elok. Nanti dah sampai bagitahulah,” ujar Arif sebelum menyalam tangan Shah.

     Shah hanya menguntum senyum ke arah Adam sebelum berlalu pergi ke keretanya. Dia sempat mencuri pandang ke arah Kamelia yang hanya berdiri tegak di sebelah emaknya. Shah menguntum senyum ke arah Kamelia dan gadis itu membalasnya. Kenapa mesti engkau? Keluh Shah sebelum membuka pintu keretanya.

     “Shah pergi dulu, assalamualaikum,” ucap Shah sebelum masuk ke dalam perut kereta.

     “Waalaikummusalam,” balas mereka berempat.

     Kereta milik Shah hilang di sebalik kegelapan malam. Shah sempat menekan hon keretanya sebelum memandu keluar dari perkarangan rumah Cik Som.

     Kamelia hanya senyap sambil memerhati kereta itu pergi.

     “Adam pun rasa yang Adam kena gerak sekarang,” ujar Adam pula.

     “Kamu pun nak balik? Ye lah, hati-hati balik tu. Kirim salam dekat abah kamu juga ya. Terima kasih sebab sudi melawat makcik dengan Kamelia harini,” ujar Cik Som sambil tersenyum nipis.

     “Baik makcik, saya balik dulu. Assalamualaikum,” ucap Adam sambil menyalam tangan Cik Som.

     Selepas itu, Adam alih ke Kamelia lalu tersenyum ke arah gadis itu. Dia perasan akan perubahan wajah Kamelia ketika itu. Sah dia malu bila aku senyum macamtu, ujar Adam dalam hati.

     “Awak jaga diri, kalau ada apa-apa bagitahu saya. Insya-Allah saya akan cepat-cepat datang ke sini,” ujar Adam sambil menatap wajah Kamelia.

     Kamelia mengangguk perlahan. “Insya-Allah saya boleh jaga diri saya. Terima kasih lagi sekali untuk harini. Assalamualaikum,” ucap Kamelia bersama senyuman manis di wajahnya.

     Adam terpesona melihat senyuman manis gadis itu. Lama mereka bertentangan mata.

     “Waalaikummusalam,” balas Adam sambil membalas senyum manis Kamelia.

     “Saya balik dulu ya. Assalamualaikum,” ucap Adam sebelum beredar ke keretanya.

     ”Waalaikummusalam,” balas mereka bertiga.

     Kereta Adam pun perlahan-lahan meninggalkan perkarangan rumah Puan Kalsom.

     Puan Kalsom dan Arif terus beredar ke dalam rumah semula meninggalkan Kamelia berseorangan di beranda rumah.

     “Shah? Adam? Kenapa dua-dua datang pada waktu yang sama? Apa maksud semua ni?” tanya Kamelia seorang diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience