TUK 11 ❤️

Romance Series 38946

“BETUL ke akak dengan abang tak duduk sini dah?” tanya Ariana berulang-kali.

     Dia memeluk erat tubuh di hadapannya itu.

     “Yana jangan risau, nanti kalau abang Shah cuti akak ajak dia balik sini. Kalau susah sangat, Yana datang terus dekat rumah kitorang,” balas Kamelia sambil menekup pipi Ariana dengan kedua-dua belah tapak tangannya.

     “Bosanlah kalau akak tak ada lepasni. Rumah ni kembali sunyi. Mak cik Kalsom dengan Arif pun dah balik, Yana tak ada kawan dah lepasni,” jawab Ariana sedaya upaya menahan air matanya.

     Namun dia tidak cukup kuat dan akhirnya menangis di dalam pelukan Kamelia.

     “Ala, kenapa Yana nangis? Akak dengan abang bukannya nak tinggalkan terus. Jangan risau nanti akak free akak datang sini,” pujuk Kamelia.

     Mak Tok menggelengkan kepala melihat kerenah cucunya. Baru semalam Kalsom dan anak lelakinya pulang ke kampung. Hari ini cucu menantunya pula yang akan berpindah ke rumah baru bersama cucu lelakinya. Pilu hatinya namun tiada siapa yang tahu.

     “Shah dengan Mel jaga diri baik-baik. Nanti jangan lupa buat apa yang Mak Tok pesan bila dah masuk rumah baru, solat jangan lupa. Barulah hubungan semua isteri tu aman tak ada gaduh-gaduh. Kalau ada apa-apa call aje terus Mak Tok. Nanti pandailah Mak Tok suruh Pak Hassan kamu tu hantar Mak Tok ke sana,” pesan Mak Tok sebelum memeluk erat tubuh cucu menantunya.

     “Insya-Allah, Mel akan ingat setiap satu pesanan Mak Tok. Mak Tok jangan risau, Shah dah janji nak jaga Mel elok-elok. Kalau ada apa-apa jadi, Mel akan terus contact Mak Tok dengan Yana. Mak Tok dengan Yana pun jaga diri tau.” balas Kamelia.

     Mak Tok mengangguk kepala.

     “Okay, beg dengan barang-barang semua dah siap susun dalam kereta. Boleh dah kalau nak gerak sekarang?” ujar Shah sambil memeluk bahu isterinya.

     “Jangan lupa kami dekat sini. Kalau free, rajin-rajinlah melawat kami dekat sini. Bukannya jauh mana pun kondo Shah dengan rumah kan?” ujar Mak Tok.

     “Insya-Allah Mak Tok. Kalau layan Mak Tok bercakap ni, sampai pagi esok pun kami tak gerak-gerak lagi. Silap hari bulan Mak Tok kunci pintu pagar terus tak bagi kami keluar,” usik Shah apabila neneknya tidak habis-habis memberikan pesanan kepada mereka berdua.

     Mak Tok menampar bahu Shah sambil menarik muka masam. Mereka yang lain hanya tertawa kecil.

     “Kami gerak dulu ye. Mak Tok dengan Yanajaga diri elok-elok dekat sini. Kalau ada apa-apa, call Shah terus. Kirim salam dekat ayah nanti kalau dia dah balik. Pesan dekat dia jangan sibuk kerja aje. Rehat-rehatlah dekat rumah dengan keluarga,” pesan Shah. Walaupun kedengaran biasa tapi mendalam maknanya.

     Kamelia hanya mampu tersenyum. Tidak mahu masuk campur urusan keluarga mentuanya. Dia menyalam tangan Mak Tok sebelum masuk ke dalam kereta.

     “Kami pergi dulu, assalamualaikum,” Ujar Kamelia seraya bergerak menuju ke pintu masuk kereta.

     “Waalaikummusalam.” balas Mak Tok dan Ariana.

     Perlahan-lahan kereta Shah meninggalkan perkarangan rumah yang sudah didudukinya sejak kecil lagi. Kena pengalaman baru bermula bersama isterinya, Kamelia.

     “ALHAMDULILLAH, kita dah selamat sampai ke destinasinya.” ujar Shah setelah dia memarkir keretanya di ruangan parkir kondominium mewah itu.

     “Betullah tak jauh sangat dari rumah family awak,” ujar Kamelia sambil membantu Shah mengeluarkan beg roda dan kotak barangan dari dalam kereta.

     “Aku saja cari rumah yang berdekatan dengan rumah family aku. Sebab senang kau nak ke sana kalau aku tak ada dekat rumah nanti. Kondo ni pun memang dah dekat dengan tempat kerja aku,” balas Shah tenang.

     Kamelia mengangguk faham.

     “Jom, aku tunjukkan direction ke rumah baru kita,” ajak Shah seraya menarik beg roda kepunyaan mereka.

     Kamelia hanya mengekori Shah kerana takut jika dia tersesat didalam bangunan yang ini.

     “Rumah kita tingkat berapa?” tanya Kamelia sambil melihat sekeliling lif. Lif pun nampak kaya, beruntung betul siapa pemilik bangunan ni, omel Kamelia dalam hati.

     “Tingkat 80.”

     Kamelia terpaku. Dia terus memegang pemegang di dalam lif tersebut. “Kondo ni ada berapa tingkat?” soalnya lagi.

     “Ada 80 tingkat lah.” balas Shah bersahaja.

     Ketar lutut Kamelia mendengarnya. “Seriouslah? Saya ni gayat wak. Saya tak suka tempat-tempat tinggi ni!” balas Kamelia dengan riak cuak.

     Dia sudah terbayang pemandangan dari rumah mereka yang berada di tingkat tertinggi kondominium itu.

     Shah tergelak kecil. Ada sebab lain dia membeli rumah di kondominium ini.

     “Jom, kita dah sampai.” Mereka terus keluar dari lift tersebut. Kelihatan sebuah pintu yang berada betul-betul berhadapan dengan lif yang mereka naiki tadi.

     “Eh, ada satu rumah aje ke dekat level ni?” tanya Kamelia pelik.

     Shah terus membuka kunci pintu rumah tersebut dan mengajak Kamelia masuk ke dalam.

     Terpegun Kamelia melihat susun atur  dalam rumah tersebut. Tampak mewah dan mengikut trend terkini tapi bersifat minimalist. Warna cat dinding dan barang perabot yang tak menjolok mata. Pandai Shah memilih perabot dan membuat susun atur rumah tersebut.

     “Cantik?” tanya Shah setelah selesai memasukkan barang mereka ke dalam rumah. Tak ada apa yang perlu dibawa sangat, kerana semuanya sudah lengkap di dalam rumah itu.

     Kamelia menekup mulutnya, matanya masih terbuntang luas.

     “Cantik sangat-sangat. Betul ke ni rumah kita?” tanya Kamelia sambil mengiakan soalan Shah.

     “Saya mestilah nak cari tempat tinggal yang selesa untuk awak dan kita sekeluarga. Saya taknak awak hidup terkontang-kanting macam dulu lagi dah. Dan kalau awak nak tahu, setiap bulan saya bagi duit belanja dekat keluarga awak di kampung. Jangan risau semuanya saya dah uruskan dari awal.” jelas Shah lagi.

     Kamelia terharu. “Terima kasih awak. Terima kasih sangat-sangat sebab awak dah banyak bantu saya sekeluarga. Saya tak tahu macammana nak balas budi awak?” balas Kamelia.

     Shah menggenggam jemari isterinya.

     “Ada satu cara. Kau kena tolong aku kemas rumah harini, lepastu masak sedap-sedap untuk aku. Boleh?” tanya Shah sambil menyandarkan beg roda mereka ke dinding.

     “Mestilah boleh. Takkan saya nak biarkan awak buat kerja seorang diri. Lepas dah siap ni semua, saya akan masakkan untuk awak.” balas Kamelia sambil tersenyum gembira.

     Shah tersenyum sambil mengusap lembut tapak tangan isterinya.

     “Ah penatnya,” ujar Shah yang sudah terbaring di atas sofa ruang tamu mereka.

     Dia tidak sangka rumah sekecil ini boleh buatkan dia penat bagai nak gila.

     “Awak nak apa-apa? Saya boleh buatkan?” tanya Kamelia yang sedang menuju ke dapur.

     “Haus,” balas Shah sambil mengurut lehernya yang terasa sengal itu.

     “Sekejap, saya buatkan air.”

     Selepas beberapa minit, Kamelia muncul dengan dulang air sejuk dan karipap goreng.

     “Minumlah dulu,” ajak Kamelia. Dia menuang air sejuk ke dalam gelas.

     Shah mencapai gelas air tersebut dan menguknya dengan rakus kerana terlalu dahaga.

     “Bila masa kau buat karipap ni?” soal Shah sambil menyuap sebiji karipap berinti sardin ke dalam mulutnya.

     “Semalam, Mak Tok yang ajar saya buat karipap ni. Lepastu dia suruh saya bawak sikit ke sini. Mak Tok cakap ini karipap favorite awak?” balas Kamelia sambil bersandar di bahu Shah.

     “Sedap, rasa karipap ni sama macam yang ibu selalu buat time aku kecil dulu,” puji Shah ikhlas.

     “Thanks. Awak, nanti kita lawat ibu lagi boleh? Saya tak puaslah jumpa ibu haritu?” tanya Kamelia.

     “Boleh, hujung minggu ni kita melawat ibu,” balas Shah sambil menarik Kamelia ke dalam dakapannya.

     “Ala awak berpeluhlah!” marah Kamelia apabila Shah menariknya ke dalam dakapan lelaki itu.

     “10 minit. Aku nak lelap kejap. Jangan pergi ke mana-mana.” balas Shah yang sudah memejamkan matanya.

     Akhirnya Kamelia akur. Kini mereka berdua sudah tertidur di dalam pelukan masing-masing.

     Malam itu, Kamelia sedang sibuk menyiapkan makan malam mereka berdua. Sementara menunggu Shah mandi dan turun ke bawah, dia sempat mengemas dapur agar nampak lebih teratur.

     “Uish, sedapnya bau. Masak apa ni?” soal Shah.

     “Saya masak lauk simple aje, ayam masak kicap dengan telur dadar. Awak makan kan?” tanya Kamelia sambil meletak pinggan nasi di atas meja.

     “Aku makan semua benda asalkan bukan batu, kertas, pasir.” balas Shah sambil mencedok kuah ayam masak kicap ke dalam pinggan nasinya.

     Selesai mengaminkan doa, mereka mula makan.

     Kamelia duduk berdepan dengannya. Agak janggal buat mereka untuk makan berdua kerana sebelum ini mereka selalu makan beramai-ramai bersama ahli keluarga yang lain. Hari ini merupakan hari pertama mereka makan berdua sebagai pasangan suami isteri.

     “Kau pandai bawak kereta?” soal Shah tiba-tiba.

     Kamelia mengangguk.

     “Tapi kenapa awak tak bawa kereta?” soal Shah lagi.

     Kamelia berhenti seketika sebelum memandang tepat ke arah Shah.

     “Saya tak mampu nak ambil lesen dulu. Apatah lagi nak beli kereta. Motor lama ayah tu aje lah sumber pengangkutan kami bertiga dekat rumah tu. Kalau tak ada motor ayah tu, tak bergeraklah kami.” terang Kamelia sambil menguis nasi di dalam pinggannya.

     Shah terdiam.

     “Aku minta maaf. Aku tak sengaja,”

     Kamelia menggelengkan kepalanya sambil tersenyum nipis.

     “Tak apa, saya faham.” balas Kamelia perlahan.

     Keadaan sepi seketika.

     “Awak jangan risau. Selagi saya masih ada dengan awak, awak nak pergi mana-manapun saya sanggup bawakan,” ujar Shah cuba untuk menghiburkan hati isterinya semula.

     Kamelia terharu.

     “Dah macam-macam awak janji dengan saya. Saya takut lama-lama nanti awak tak nampu nak tunaikan janji awak,” balas Kamelia perlahan.

     “Katakankah kalau saya tak dapat tunaikan janji awak or mungkir janji, apa yang akan awak buat?” soal Shah.

     “Saya mungkin tak akan dapat percayakan awak lagi dan saya akan anggap semua kata-kata awak sebelum ni adalah dusta. Janji itu mahal, Shah. Sekali awak mungkiri janji awak, beratus kali sakit yang awak terpaksa tanggung akibat kesilapan awak itu,” balas Kamelia dengan nada serius.

     Bibir Shah terkunci. Dia kalah dengan kata-kata Kamelia kali ini.

     Kamelia kembali senyum. “Awak dah siap makan?” soal Kamelia apabila melihat pinggan nasi Shah sudah licin bersih.

     Shah mengangguk perlahan.

     Kamelia membawa pinggan dan cawan mereka ke sinki. Sewaktu di sinki, dia menghela nafas panjang. Dia sedar Shah sedikit terasa dengan kata-katanya namun dia harus berterus-terang agar mereka berdua faham dengan situasi sekarang.

     “Nak saya tolong?” tanya Shah tiba-tiba.

     Kamelia tersedar dari lamunannya lalu meneruskan cuciannya.

     “Tak perlu, awak rehat aje lah dekat depan. Dah seharian awak mengemas rumah. Kesian awak penat,” balas Kamelia.

     Shah menuruti permintaan isterinya. Dia terus beredar ke ruang tamu. Mungkin Kamelia tidak mahu diganggu buat seketika.

     Selepas perbualan di meja makan tadi, Kamelia banyak mendiamkan diri dan fokus menonton drama di skrin televisyen di hadapannya tanpa menghiraukan Shah di sofa sebelah.

     Shah tidak tahu apa salahnya tapi dia harus melakukan sesuatu supaya situasi janggal ini berakhir.

     “Awak taknak tidur lagi ke?” tanya Shah.

     Kamelia menoleh ke arah Shah.

     “Sejak bila awak pandai ber-awak saya dengan saya?” soal Kamelia pula.

     Shah terdiam. Dia melarikan pandangan matanya dari Kamelia. “Saja. Nak tukar angin sikit” balasnya sambil matanya tertancap di skrin televisyen.

     Kamelia angguk faham. “Kalau awak dah ngantuk, pergilah tidur dulu. Saya nak habiskan drama ni kejap,” balasnya sebelum menoleh ke arah skrin televisyen semula.

     Shah bersandar semula sambil mengeluh. Dia tidak sedar bila masa dia terlelap, tahu-tahu sahaja Kamelia sedang mengejutnya.

     “Awak, pergilah sambung tidur dalam bilik.” ujar Kamelia dengan dahi berkerut.

     Shah menggosok matanya yang terasa pedih itu. Penat petang tadi masih terasa, itu yang menyebabkan dia tidur lena di atas sofa.

     “Awak, jomlah kita naik atas? Kesian saya tengok awak dari tadi tidur dekat sofa,” Kamelia mengajak Shah naik ke atas.

     Dalam keadaan separa sedar, Shah membiarkan dirinya dipimpin Kamelia naik ke atas.

     Jam di dinding menunjukkan angka 6.00 pagi, Kamelia terus mengejutkan suaminya yang masih sedang lena tidur.

     “Awak, bangun solat subuh.” selepas beberapa minit, baru Shah tersedar.

     “Pukul berapa dah ni?” tanya Shah. Dia melihat isterinya sudah siap bertelekung.

     “6.00 pagi. Saya nak solat subuh dulu,” balas Kamelia sambil membentang sejadah.

     “Tunggu kejap, saya nak ambil wudhuk, lepas itu kita solat berjemaah sekali,” ujar Shah lalu dia terus meluru ke dalam bilik air.

     Tersenyum Kamelia mendengarnya.

     Pagi ini merupakan subuh pertama mereka sebagai suami isteri setelah sebulan melayarkan bahtera perkahwinan. Kamelia gembira melihat perubahan dalam diri suaminya itu. Usai solat, Shah dahulu yang menghulur tangannya untuk bersalam.

     “Saya buatkan awak breakfast dulu, nanti jangan lupa turun bawah.” pesan Kamelia sambil melipat kain telekungnya.

     Sewaktu dia ingin bangun menyimpan kain telekungnya, Shah menarik lengannya sehingga menyebabkan dia jatuh terduduk di atas riba lelaki itu.

     Kamelia terkejut dengan tindakan lelaki itu. “Kenapa awak?” soal Kamelia.

     Shah memandang setiap inci raut wajah isterinya. Baru dia perasan mata isterinya berwarna perang, tak pelik jika mata isterinya itu kelihatan menawan sekali. Kulit gadis itu juga bersih tanpa sebarang cela, terdapat beberapa biji tahi lalat di pipi serta hidung isterinya lagi menambahkan seri wajah gadis berkulit cerah itu.

     “Awak nampak cantik sangat harini,” puji Shah sambil menyelak rambut Kamelia ke belakang.

     Kamelia tertawa kecil. Dia menolak tubuh Shah jauh darinya lalu bangun dari riba lelaki itu.

     “Mengada, jangan lupa turun breakfast,” ujar Kamelia. Dia tidak mahu lelaki itu merasai degupan jantungnya yang hampir terkeluar itu.

     Shah tersenyum lebar sambil menuju ke arah bilik air.

“Morning.” ucap Shah sambil mengambil tempat duduk di meja makan.

“Morning. This is for you,” Kamelia menghidangkan makanan sarapan pagi di atas meja.

“Wow, English breakfast. Bismillahirahmanirahim,” Shah memasukkan roti bakar bersama telur hancur ke dalam mulutnya.

“Sedap. 10/10,” Puji Shah sambil tersenyum lebar.

Kamelia turut tertawa sambil mengambil tempat duduk berhadapan suaminya.. Dia pun menikmati hidangan makan pagi bersama-sama dengan suaminya.

“Awak cuti ke harini?” tanya Kamelia.

Shah mengangguk. “Saya ambil cuti, penat semalam masih terasa so hari saya nak berehat dekat rumah.” ujar Shah sambil memicit bahunya.

Kamelia meletakkan sudunya semula di dalam bangun lantas bangun dari kerusinya dan berjalan ke arah suaminya.

“Biar saya tolong urut awak. Tanda terima kasih saya sebab awak dah urut kaki saya haritu?” ujar Kamelia sambil mengurut bahu suaminya.

“Thanks,” ucap Shah sambil menggenggam erat jemari isterinya.

“Welcome my dear,” balas Kamelia kembali mengurut bahu suaminya.

“Awak tak rasa nak bekerja ke?” soal Shah tiba-tiba.

Kamelia senyap seketika.

“Kalau awak benarkan saya bekerja, saya boleh cari kerja apa-apa saja. Tapi kalau awak tak bagi saya bekerja, saya boleh jadi suri rumah sepenuh masa. Sebab sekarang ni saya dah ada suami. Jadi saya kenalah dengar cakap suami saya, kan?” balas Kamelia dengan tenang.

Shah diam lalu mengiakan kata-kata isterinya.

“Shah, saya nak tanya awak sesuatu boleh?”

“Hurm,” Shah mengangguk kecil.

“Awak ada kenal dengan mana-mana perempuan lain selain saya? Maksud saya kawan perempuan ke?” soal Kamelia.

Shah tertunduk ke lantai sebelum bersuara. Dia cuba untuk berlagak tenang.

“Kenapa awak tanya soalan macamtu?” soal Shah semula.

Kamelia terus mengambil tempat duduk di sebelah suaminya. “Saya cuma nak tahu, saya kan isteri awak. Jadi saya berhak untuk tahu dengan siapa awak berkawan?” jelas Kamelia.

Shah menunduk ke lantai sambil menguis jari-jemarinya.

“Siapa yang kita terserempak dulu dekat hospital sewaktu kita melawat ibu awak?” tanya Kamelia selepas lama Shah mendiamkan diri.

Shah mendongak. Kamelia dipandang, “Hurm, maksud awak Maya ke?” soal Shah agak terkejut.

“Oh, nama dia Maya? Dia kawan awak?” soal Kamelia sambil jungkit kening.

Shah menoleh dan berdehem, “Saya rasa panaslah, dah berpeluh-peluh sangat ni. Saya naik atas mandi kejap,” balas Shah sambil tergesa-gesa bangun dari kerusinya.

Belum sempat Kamelia mahu bertanya lebih, Shah sudah hilang dari pandangannya.

Kamelia mengeluh. Nampak gayanya lelaki itu seperti mahu mengelak darinya.

Jam di dinding menunjukkan pukul 8.30 malam. Kamelia sibuk menyusun mangkuk berisi lauk di atas meja sebelum mengambil pinggan nasi di atas meja dapur.

Setelah sekian lama, Shah turun semula ke ruang tamu selepas seharian berkurung di dalam bilik. Tengahari tadi pun dia tidak turun ke bawah semula walaupun Kamelia mengajaknya makan.

“Awak, makan malam dah siap. Jom, kita makan dulu?” ajak Kamelia lembut.

“Tak apa, saya still kenyang. Saya nak keluar, ada meeting dengan client.” balas Shah datar.

“Meeting dengan client malam-malamni? Takkan dia tak boleh tunggu esok?” soal Kamelia pelik.

Tak mungkin ada klien yang sanggup berjumpa selepas waktu bekerja.

“Sepatutnya kami jumpa esok, tapi disebabkan esok client saya ada hal lain. Kami decide untuk jumpa malamni,” jelas Shah sambil menyarung kasutnya.

“Kalau macamtu, tak apalah. saya tunggu awak balik. Lepastu kita boleh dinner sama-sama. Awak jumpa client mesti tak lama kan?” tanya Kamelia sambil mendekati suaminya.

“Tak payah.” balas Shah dingin.

Langkah Kamelia terhenti. Dia terasa dengan layanan dingin lelaki itu.

“Saya pergi dulu. Jangan tunggu saya.” Sambung Shah sebelum bergegas keluar.

Kamelia terduduk semula di kerusinya. Keluhan berat dilepaskan.

Shah memasuki ruangan vvip kelab malam yang sering didatanginya. Kebetulan, selepas maghrib tadi, Maya menelefonnya dan mengajaknya keluar. Dia terus bersetuju tanpa memikirkan apa-apa.

Dia mendekati Maya yang sedang berborak dengan rakannya.

“Sorry I lambat.” ujar Shah datar.

Maya menarik muka masa, “Sayang, kenapa you lambat? Penat I tunggu you tau!” bebel Maya sambil menarik lengan Shah untuk duduk di sebelahnya.

“Traffic jam.” balas Shah dingin.

Maya tergelak sinis.

“You tak payah tipu I lah, mesti isteri you soal you macam-macam kan bila you bagitahu you nak keluar malamni?” perli Maya sinis sambil mencapai gelas air di dalam atas meja.

“Biarlah dia. I malas nak fikir apa-apa sekarang ni,” bidas Shah.

Maya mengangkat bahu tanda malas mahu bertanya lebih. Dia taknak mood lelaki itu hilang. Dia cuma mahu lelaki itu berseronok dengannya.

“Want some?” Maya menawarkan segelas air kepada Shah.

“No, just coke,” Shah menuang air bikarbonat tersebut ke dalam gelasnya sebelum meminumnya dengan rakus.

“Okay.” Maya meletakkan semula gelas tersebut di atas meja.

“Jom menari?” Ajak Shah tiba-tiba.

“What? I malaslah!” Maya menolak.

“Jomlah, I nak hilangkan stress.” Shah segera menarik lengan Maya untuk bangun. Mereka berdua terus menuju ke lantai dansa.

Muzik bingit terus memenuhi ruangan gelap itu. Shah menggoyangkan tubuhnya ke kanan dan kiri sambil memeluk erat tubuh Maya. Sesekali dia mengucup lembut leher kekasihnya itu.

Maya terasa geli apabila dicium begitu. Dia menolak tubuh Shah menjauhinya.

“Maya, you know that I love you so much right?” ujar Shah sedikit kuat menandingi bunyi kuat musik yang kedengaran.

“Yeah, I know.” balas Maya sambil merangkul kemas bahu kekasihnya itu.

“You tahukan I terpaksa berkahwin dengan Kamelia. I tak suka dia, I'm so sick of her!” balas Shah keras.

Tiba-tiba kepalanya terasa berpusing-pusing.

“Yeah, I tahu Shah.” balas Maya lembut.

Shah mendekatkan wajahnya ke Maya. Pipi gadis itu diusap perlahan. “Maya, I berjanji dengan you yang I akan ceraikan Kamelia sampai bila tiba waktunya dan I akan melamar you selepas itu. Please janji yang you akan kahwin dengan I nanti?” pujuk Shah sambil mengenggam erat jemari kekasihnya itu.

“Okay stop it. Kita datang sini senab nak have fun kan? Bukan nak melayan mood you tu,” balas Maya cuba untuk mengelak dari menjawab soalan lelaki itu.

“No, promise me first!” marah Shah.

Maya menarik nafas seketika. “Okay, I promise!” balas Maya malas. Dia menjeling kekasihnya sekilas.

Shah hanya pamer senyum. Jemari kekasihnya itu diraih dan dikucup lama.

Sudah kesekian kalinya Kamelia terlelap di kerusi sofa ruang tamu. Telefon bimbit dicapai dan nombor Shah didail lagi. Panggilan telefonnya tidak bersahut lagi. Keluhan dilepaskan lagi.

Sedang dia berusaha untuk menahan rasa ngantuknya, pintu rumah utama dikuak perlahan. Bingkas dia bangun dan segera ke pintu rumah.

“Awak pergi mana? Kenapa pukul 3 pagi baru nak balik? Awak tahu tak saya penat tunggu awak lama sangat,” soal Kamelia sambil mengerling jam di dinding dapur.

Dia terkejut melihat keadaan Shah yang tidak terurus itu.

“Saya pergi jumpa client lah. Yang sibuk sangat kenapa!” balas Shah sambil cuba mengimbangkan dirinya daripada terus terjatuh.

Kamelia menggelengkan kepalanya perlahan. Tiba-tiba Kamelia terbau sesuatu yang tidak menyenangkan dari arah suaminya.

“Bau apa ni? Awak minum arak ke Shah?” soal Kamelia sedikit berganjak ke belakang. Dia menekup hidungnya kerana tidak tahan dengan bau itu.

“Tolong jujur dengan saya, Shah. Awak pergi meeting dengan client ke awak pergi kelab malam sebenarnya?” soal Kamelia sudah tidak keruan.

Shah menjeling Kamelia tajam. “Tadi client tu ada offer saya air arak tapi saya tolak. Saya cuma temankan dia minum aje,” balasnya dengan mamai.

“Tapi kenapa bau benda tu kuat sangat dekat awak. And keadaan awak sekarang ni macam mabuk?” soal Kamelia dengan suara yang makin meninggi.

Tiba-tiba Shah mengamuk dan menumbuk dinding. Jatuh berderai bingkai gambar yang berada di dinding tersebut sehingga serpihan kaca tadi terkena kulit Shah. Darah menitik keluar dari celahan luka di jemari Shah.

“Ya Allah Shah tangan awak!” Kamelia menekup mulutnya. Dia cuba mendekati lelaki itu namun lelaki itu bertindak ganas dengan menolaknya sehingga jatuh terduduk. Tapak tangannya turut terkena serpihan kaca yang bertaburan di atas lantai ruang tamu itu. Dia mengerang kesakitan.

“Yang kau sibuk sangat pasal aku dah kenapa? Aku ni penat nak tidur bukan nak dengar bebelan kau pagi-pagi buta ni. Ketepilah!” tengking Shah terus lesap.

Kamelia terdiam. Perlahan-lahan air matanya jatuh menyembah bumi. Dia bangun dan mencapai penyapu di dapur lalu membersihkan serpihan kaca yang pecah tadi di atas lantai. Kesan darah tadi turut dicuci. Dia mengambil kotak first aid kita di dalam laci meja ruang tamu dan merawat kesan luka di tapak tangannya itu. Tercarik dengan kata-kata Shah tadi, Kamelia mengeluh perlahan.

Esok paginya, Shah sedar dari lenanya yang panjang. Tangannya meraba-raba sebelah kanan katil. Kosong, Kamelia tiada di sisinya. Perlahan-lahan dia bangun dari baringnya. Kepalanya sedikit berpusing, puas dia cuba mengingati semula apa yang telah terjadi. Kelmarin dia keluar bersama Maya, mereka berhibur di kelab malam. Dia minum segelas air yang dihidangkan di atas meja, selepas itu dia terus khayal dan tidak ingat peristiwa selepas itu. Dia yakin Maya sudah meletakkan sesuatu di dalam minumannya.

Dia melihat sekeliling bilik, tiada kelibat Kamelia di dalam bilik mahupun bilik air. Bingkas dia bangun dan membersihkan diri sebelum turun ke bawah.

“Sorry saya tak sedar dah pukul 7 pagi. Kenapa awak tak kejutkan saya?” tegur Shah dan terus berjalan merapati Kamelia yang sedang sibuk mencuci pinggan mangkuk ketika itu.

Keadaan sepi seketika. Kamelia mempercepatkan kerjanya. Tidak mahu menghadap wajah lelaki itu.

Shah mengeluh perlahan. Dia tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku. “Awak tidur mana semalam? Saya bangun-bangun tengok tepi saya kosong,” tanya Shah lagi.

Dia cuba mencapai lengan gadis namun cepat-cepat Kamelia mengalihkan tangannya. Tidak mahu Shah perasan akan luka di tapak tangannya.

“Sarapan saya dah siapkan, baju awak semalam pun saya dah basuhkan. Nanti sebelum awak gerak ke tempat kerja jangan lupa buang sampah. Saya nak naik atas mandi.” jelas Kamelia sebelum menaiki anak tangga ke tingkat atas.

Shah sedikit tersentak.

“Kenapa dengan dia ni? Tiba-tiba nak badmood. Aku ada buat salah ke?” soal Shah sebelum mengambil tempat duduk di meja makan.

Sewaktu Shah sedang bersiap-siap ingin ke tempat kerja, dia tidak perasan akan bayang-bayang isterinya langsung di ruang tamu. Mungkin isterinya masih bersiap-siap di atas. Jadi dia terus beredar tanpa menunggu isterinya.

Kamelia masih bersembunyi di dalam bilik. Dia tidak kuat untuk berhadapan dengan Shah ketika itu. Dia masih teringat akan kejadian semalam, hatinya hancur remuk.

SHAH memasuki bilik pejabatnya. Sia meletakkan beg bimbitnya di atas meja lalu menggantung kot hitamnya di penyangkut baju. Tiba-tiba dia mengaduh sakit. Terdapat beberapa kesan calar di tangan kirinya yang masih lagi merah dan bengkak.

“Bila masa pula tangan aku luka ni? Tadi tak ada rasa apa-apapun?” soalnya sendiri.

“Good morning sayang.” sapa Maya dari belakang.

Shah terus menyembunyikan tangannya yang luka itu. Dia menoleh ke arah Maya tanpa sebarang reaksi.

Perlahan-lahan Shah dihampiri lalu kekasihnya itu dipeluk kemas.

“Tolong jangan peluk I, kita dekat pejabat. Be professional!” tegas Shah lalu kembali ke meja pejabatnya.

Dia melabuhkan punggung di atas kerusi sambil membiarkan Maya yang masih terpinga-pinga itu.

“You ni kenapa! Tiba-tiba nak moody dengan I?” soal Maya lalu mencampak fail dokumen ke atas meja kopi.

Shah menghela nafas perlahan. Dia tak ada mood untuk melayan sesiapa pagi itu.

“Kalau tak ada apa-apa, you boleh keluar.” ujar Shah dingin. Dia fokus membaca dokumen di hadapannya.

Maya menjeling kekasihnya sekilas. Dia tidak berganjak selangkah pun. “So, how's yesterday? You dapat tidur nyenyak?” tanya Maya tiba-tiba.

Dia mengambil tempat duduk di hadapan Shah.

“What do you mean?” soal Shah sambil jungkit kening.

“What? You memang tak ingat ke dengan apa yang dah berlaku semalam? Sedihlah macamni,” Maya pura-pura merajuk.

Shah merengus kasar.

“No, I tak main-main sekarang ni. Apa yang dah berlaku semalam? Kenapa I tak ingat apa-apa langsung Maya?” soalnya memohon kepastian.

Maya diam sesaat dua.

“Hey, chill lah! Yang you gelabah sangat ni kenapa! Nothing's much happened. We just had some fun last night,” Maya tersenyum lebar mengingatkan apa yang telah terjadi semalam.

“And you kissed me too.” sambungnya.

“What! I cium you?” soal Shah tidak percaya.

Maya mengangguk kecil. “Macam tak biasa.” Maya mengangkat bahu.

“What else?” soal Shah lagi.

Maya menggelengkan kepala. Dia tidak mahu Shah ingat semula apa yang dia sudah janji semalam.

“Maya, don't you lie to me!” soal Shah sambil jari telunjuknya dihala ke arah Maya.

“No, nothing else happened! I promise,” balas Maya sambil menggeleng perlahan.

Shah meraup kasar rambutnya. Mesti dia mabuk teruk semalam sehingga dia tidak ingat apa-apa langsung.

“Leave me alone!” arah Shah.

Maya masih lagi setia berdiri di hadapannya.

“Maya, jangan sampai I ulang banyak kali!” nada suara Shah sudah naik satu oktaf.

Bergegas Maya keluar dari bilik pejabatnya.

“Patutlah dia tak tegur aku langsung pagi tadi!” ujar Shah perlahan sambil meraup wajahnya.

Kamelia memandang kosong ke luar balkoni. Air mata yang mula bergenang di tubir mata, dikesat dengan jarinya.

Ting!

Bunyi notifikasi baru masuk. Kamelia terus mencapai telefon bimbitnya di atas meja. Mesej terus dibuka.

From: Arif
Assalamualaikum, akak dengan abang Shah apa Khabar? Sihat ke dekat sana. Arif dengan mak rindu sangat dengan akak, dah lama akak tak balik sini. Abang Shah jaga akak dengan baik tak? Kalau ada apa-apa akak bagitahu aje Arif, akak jangan pendam seorang diri. Kita kan dah janji, susah senang sama-sama. Nanti kalau akak free, akak ajaklah abang Shah balik kampung. Kami dah lama tak jumpa akak dengan abang Shah.

Adiknya macam tahu-tahu saja yang dia kini sedang menghadapi masalah. Dia sedar selama dia berkahwin dengan Shah, mereka tidak sempat pulang ke kampung lagi. Ahli keluarganya juga jarang dia telefon. Rasa bersalah kian menjalar dihati. Adakah dia sudah memulaukan ahli keluarganya sendiri.

“Assalamualaikum, saya dah balik.” suara Shah kedengaran dari arah pintu rumah.

Mati terus lamunan Kamelia. Cepat-cepat Kamelia dia menyeka air mata dengan hujung lengan baju.

“Waalaikummusalam.” salam Shah dibalas perlahan. Kamelia terus bingkas bangun dan menuju ke arah Shah. Tanpa disuruh dia mencapai beg bimbit di tangan suaminya itu dan meletakkannya di atas meja. Lalu dia menghulurkan secawan kopi yang dibuatnya awal tadi kepada suaminya.

Jauh di sudut hatinya, dia masih terasa dengan sikap suaminya kelmarin namun tanggungjawabnya sebagai isteri tetap tidak dilupakan.

“Terima kasih,” Shah mencapai cawan kopi tersebut dari tangan isterinya.

Sewaktu dia ingin menghirup air kopi yang dibuat oleh isterinya itu. Dia ternampak balutan kain di tangan Kamelia. Terus dia mencapai tangan isterinya itu.

“Kenapa sampai berbalut ni? Apa yang dah jadi?” soal Shah kedengaran risau.

Kamelia diam seketika. Perlahan-lahan dia menarik tangannya semula lalu menyembunyikannya disebalik baju.

“Tak ada apa-apa. Awak mandilah dulu, saya siapkan makan malam.” balas Kamelia datar.

Tidak menunggu, Kamelia terus beredar dari situ.

Shah menghela nafas berat. Dia melihat luka di tangan kanannya yang sudah berbalut. Adakah luka ini ada kaitan dengan apa yang telah terjadi semalam? Adakah dia telah mencederakan isterinya sendiri? Shah meraup kasar rambutnya sambil sekali lagi menghela nafas berat.

Ada penambahbaikan cerita di setiap bab. Boleh baca dari bab 1 sehingga akhir. Terima kasih

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience