TUK 12 ❤️

Romance Series 38946

“TANGAN kau tu dah kenapa? Siap berbalut bagai. Kau pukul siapa pula kalini? Bini engkau?” tegur Idham berbaur sindiran.

     Shah mendongak dan menggeleng. Dia mengajak kawannya itu keluar untuk berkongsi masalah yang dihadapinya tapi lain pula jadi.

     “Mulut kau tu jangan celupar sangat. Takut nanti muka kau tu yang melekat dekat dinding kafe ni!” balas Shah sinis.

     Dia menyedut air di dalam gelasnya dengan menggunakan straw. Sambil itu tangannya sibuk menekan permukaan skrin telefon bimbitnya.

     Idham tergelak sinis.

     “Kau berani ke nak tumbuk muka aku ni? Silap haribulan ayah kau datang office kau sebab anak lelaki dia buat hal lagi,” sindir Idham keras.

     Shah menjeling Idham sekilas. Dia malas mahu melayan perangai kawan lelakinya itu.

     “Shah, aku nak tanya kau sikit. Apa cerita kau dengan Maya? Dah lama tak tengok kau keluar berdua dengan dia. Gaduh ke?” soal Idham.

     “Yang kau suka tanya aku soalan bodoh-bodoh ni kenapa? Ada masalah ke kalau aku keluar dengan Maya ataupun tak. Aku tahulah kau ada hati dekat dia sejak pertama kali dia kerja dekat company kita tu, kan?” soal Shah sinis.

     Dia masih teringat lagi, kali pertama Maya menjejakkan kaki di syarikatnya, Idham adalah orang pertama yang menegurnya. Lelaki itu terus jatuh cinta dengan rupa paras Maya dan tambahan dengan lenggok tubuh gadis itu membuatkan perasaannya berbuak-buak untuk memiliki gadis itu. Tapi sayang, Maya sudah memiliki teman lelaki ketika itu. Dan tidak disangka-sangka orang itu ialah Shah Iskandar. Sejak itu, sikap cemburu Idham terhadap Shah semakin menjadi-jadi. Bukannya dia tidak tahu, Idham menjadi mata-mata ayahnya di pejabat itu untuk mengawasi tingkah lakunya. Tapi dia tidak kisah, asalkan lelaki itu tidak mendatangkan masalah besar terhadapnya.

     “Kau cakap elok-elok sikit. Aku ni kawan kau tahu tak Shah. Kau ada apa-apa masalah mesti kau cari aku punya. Sekarang ni, kau cerita apa masalah kau dekat aku? Mana tahu aku boleh bantu kau,” balas Idham tenang.

     Shah menggelengkan kepalanya.

     “Malas! Disebabkan mulut kau tak ada insurans, aku malas nak share masalah aku. Takut nanti, engkau laporkan dekat ayah aku lagi.” balas Shah selamba.

     Idham terdiam. Shah dijeling tajam.

     “Tak baik tuduh kawan kau sendiri. Habistu, buat apa kau ajak aku keluar? Kalau kau belanja aku makan tak apalah juga. Aku dah lapar ni,” balas Idham sambil menggosok perutnya yang sedikit buncit itu.

    
     Shah menggelengkan kepala sekali lagi. “Kau makanlah seorang diri. Aku nak balik rumah, bini aku mesti dah masakkan untuk aku,” ujar Shah sambil mengeluarkan not 20 ringgit dan meletakkannya di atas meja makan.

     Idham tertawa kecil. Bingkas dia bangun. “Kalau macamtu, aku ikut kau baliklah. Kita makan dekat rumah kau, dapatlah aku kenal-kenal dengan bini engkau juga. Dahlah sampai sekarang, aku tak dapat tengok rupa bini kau macammana. Manalah tahu lagi cantik dari Maya ke?” balas Idham dengan tawanya yang masih berbaki.

     “Sebelum aku tumbuk muka kau baik kau diam! Tak ada maknanya kau boleh ikut aku balik. Lambat lagi aku nak kenalkan bini aku dengan kau! Dengan Maya bolehlah kau bergurau macamni, dengan bini aku memang taklah aku benarkan. Dahlah, aku blah dulu. Minum aku belanja,” balas Shah agak keras dan terus beredar dari situ.

KAMELIA menjemur baju di beranda rumahnya. Sambil itu dia menjeling ke luar melalui tingkap ruang beranda rumahnya, risau jika Shah tiba-tiba pulang. Pagi tadi suaminya itu meminta izin untuk keluar sebentar. Namun, sehingga kini, batang hidung suaminya tidak muncul tiba. Tak mungkin Shah berani menipunya lagi.

     Tiba-tiba, kedengaran bunyi pintu rumah dibuka. Gayanya Shah sudah pulang. Dia terus mempercepatkan kerjanya dan pergi ke depan semula.

     “Bau macam sup ayamlah,” ujar Shah teruja. Dia terus ke dapur dengan segera.

     Dari luar rumah lagi dia sudah terbau haruman rempah ratus sup ayam. Terus cepat-cepat dia buka pintu rumah. Tidak sabar untuk merasa air tangan isterinya.

     Kamelia meletak bakul baju di tepi sofa dan terus menuju ke dapur. Dia memanaskan seketika sup ayam di dalam periuk itu.

     “Saya sengaja masakkan sup ayam ini untuk awak. Sebab saya tahu awak suka sup ayam kan?” tanya Kamelia sambil menuang sup ayam ke dalam mangkuk.

     Di atas meja sudah tersedia lauk lain. Selepas dia menyediakan pinggan dan nasi, mereka berdua mula makan tengahari bersama-sama.

     Dia melihat Shah makan dengan penuh seleranya.

     “Kalau awak nak tahu, sup ayam paling sedap sekali yang saya pernah makan adalah time ibu masakkan untuk saya waktu saya sakit dulu,” balas Shah dengan teruja.

     Sebenarnya dia sangat-sangat merindui air tangan ibunya. Dia tidak tahu bila ibunya akan sembuh seperti sedia kala.

     “Syukur alhamdulillah kalau awak suka. Terubatlah sikit rindu awak dekat ibu, kan? Kalau awak nak lagi, ada banyak dalam periuk tu.” ujar Kamelia senang hati melihat suaminya itu makan dengan penuh selera, tidaklah hatinya runsing memikirkan apa yang suaminya suka dan tidak suka.

     “Awak tak makan sekali ke?” soal Shah menyedarkan Kamelia dari lamunan.

     “Saya nak makanlah ni,” ujar Kamelia sambil menyuap nasi ke dalam mulutnya.

     Sedap. Tak sangka dia boleh masak lauk sesedap ini. Patutlah Shah berselera sahaja makan.

     “Hujung minggu ni awak nak kemana-mana?” tanya Shah.

     Kamelia berfikir seketika.

     “Kita balik kampung nak? Saya dah lama tak jumpa mak dengan Arif,” ajak Kamelia sambil tersenyum kecil.

     Dia berharap sangat Shah membenarkan dia balik ke kampung kerana dia sangat merindui emak dan adiknya di kampung.

     “Okay, boleh.” balas Shah bersahaja.

     Kamelia tersenyum lebar. Dia menggenggam erat jemari suaminya.

     “Betul ni?” soal Kamelia untuk kepastian.

     Shah mengangguk kecil.

     “Okay, sekarang juga saya pergi kemas baju.” ujar Kamelia teruja. Dia bingkas bangun dan ingin beredar dari situ.

     Tapi pantas Shah menarik lengannya.

     “Eh kejap, kalau ye pun makanlah dulu. Kesian nasi tu tak disentuh langsung.” tegur Shah.

     Kamelia tersengih sebelum mengambil tempat duduknya semula.

     “Teruja nak balik kampung.” balasnya perlahan.

     Dia terus menghabiskan nasinya sebelum bergegas ke bilik tidur untuk mengemas baju. Mak, adik tunggu Mel balik kampung, ujarnya dalam hati.

     Shah mendekati Kamelia yang sedang sibuk menyusun baju di dalam beg bagasi.

     “Banyaknya baju awak bawa?” soal Shah melihat Kamelia yang sedang sibuk melipat baju sebelum memasukkannya ke dalam beg bagasi.

     “Banyak sangat ke? Saya tak tahu nak bawa baju untuk berapa hari?” balas Kamelia sambil menggaru keningnya.

     Shah tergelak kecil.

     “Lah, kita nak balik empat hari aje kan. Yang awak bawa baju macam nak balik sebulan kenapa?” balas Shah sambil tergelak melihat wajah Kamelia yang makin berkerut-kerut itu.

     “Oh ye ke, saya ingat dapat balik lama?” balas Kamelia kecewa.

     “Saya kan kerja sayang... Nanti tunggu saya ambil cuti lama sikit baru kita balik kampung awak lama sikit.” balas dengan Shah tenang.

     Shah sahaja yang tenang, tapi jantung Kamelia seperti mahu melompat keluar apabila lelaki itu memanggilnga sayang.

     “Kenapa pipi blushing tu? Suka ye saya panggil awak sayang?” usik Shah makin galak menyakatnya.

     Semakin merah pipi Kamelia, makin ligat dia mengusik isterinya itu.

     “Cukuplah awak! Tak baik usik orang tau!” marah Kamelia lalu mencampak sebiji bantal ke arah Shah namun dengan pantas Shah menepisnya. Lalu, bantal itu dipeluknya erat.

     “Awak tolong kemaskan beg saya sekali boleh? Saya tak laratlah,” suruh Shah lembut.

     Kamelia menoleh ke arah suaminya lalu mengangguk. Dia tidak kisah jika lelaki itu menyuruhnya kemaskan baju sekali, itu sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai isteri.

     “Awak, pukul berapa kita nak gerak ni?” tanya Kamelia sambil melipat baju.

     Namun tiada jawapan dari Shah.

     Dia berpusing ke belakang dan melihat Shah sudah lena dibuai mimpi. Kamelia menggelengkan kepalanya. Dia membiarkan suaminya tidur sementara dia menyiapkan kerjanya.

“AWAK dah ready?” tanya Shah sebelum memulakan perjalanan.

     Kamelia mengangguk kecil sambil menggenggam erat tali keledarnya. Dia tidak sabar ingin pulang ke kampung

     “Let's go. Bismillahirahmanirahim,” Shah membaca doa perjalanan sebelum memulakan perjalanan jauh mereka.

     Sepanjang perjalanan mereka ke kampung agak terkawal walaupun terdapat sedikit kesesakan lalu lintas ekoran hari hujung minggu. Ramai yang turut mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung serta melakukan aktiviti lain.

     “Kalau awak ngantuk tidurlah dulu.” ujar Shah sambil melihat isterinya yang sudah beberapa kali terlena.

     Kamelia menggelengkan kepala.

     “It's okay. Saya nak temankan awak. Saya taknak awak bosan drive seorang diri?” balas Kamelia sambil menggosok matanya yang sedikit mengantuk itu.

     Sebab itu dia tak suka berjalan jauh dengan menaiki kereta kerana dia pasti akan terlelap di sepanjang perjalanan.

     “Awak lapar? Kalau awak lapar saya nak ambik sandwich dekat seat belakang?” tanya Kamelia sambil mencapai bekal sandwich yang disediakannya pagi tadi sebelum bergerak jauh.

     “Boleh juga, sambil layan jem ni lapar juga perut ni. Lama lagi kita nak sampai dekat RnR,” balas Shah sambil tersenyum kecil.

     “Nah.” Kamelia memberi sekeping roti sandwich kepada suaminya.

     “Thank you my wife,” balas Shah sambil mencuit manja hidung isterinya.

     Kamelia tersipu malu.

     “Makanlah banyak-banyak tau, penat saya bangun pagi buat sandwich sardin ni,” ujar Kamelia cuba untuk menyembunyi malunya.

     “Sedap, pandai awak masak. Kalau hari-hari awak masak sedap macamni, gemuklah saya lepasni?” usik Shah sambil tergelak kecil.

     “Saya tak adalah sekejam itu sampai nak bagi awak gemuk. Tapi orang cakap nak tahu air tangan isteri tu sedap ke tak tengok perut suami dia,” ujar Kamelia sambil jari telunjuknya dituju ke arah perut Shah yang kempis itu.

     Shah tergelak besar. Sedaya upaya dia menekup mulutnya untuk berhenti gelak.

     ”Pandai awak mengusik saya, kan? Hilanglah macho saya lepasni!”

     Kamelia tergelak kecil.

     “Saya tahulah awak handsome, semua orang terpaku bila tengok awak. Saya rasa kalau lepasni ada perempuan yang nak cuba mengorat awak, dia orang kena challenge memasak dengan saya dulu. Baru saya benarkan awak kahwin lain.” balas Kamelia dengan nada bergurau.

     Tiba-tiba Shah tersedak roti sandwichnya sendiri.

     “Eh, awak okay ke tak ni? Kejap saya ambilkan air.” Kamelia mencapai bekas air di bawah kerusinya lalu disuakan ke arah Shah.

     Shah minum dengan perlahan sebelum menyerahkannya semula kepada isterinya.

     “Macammana boleh tersedak ni. Itulah tak baca doa makan dulu,” sindir Kamelia.

     “Saya tergigit cili, pedas.” balas Shah perlahan.

     Shah menyapu kesan serdak roti di bajunya dengan jari.

     “Kenapa awak cakap macamtu?” soal Shah setelah 10 minit perbualan mereka terhenti.

     “Cakap apa?” soal Kamelia semula.

     “Awak cakap awak benarkan saya kahwin lain?”

     Kamelia tersenyum sinis sebelum menunduk ke bawah.

     “Kenapa? Tak betul ke apa yang saya cakap?” balas Kamelia sambil memandang tepat ke arah Shah.

     Shah ketika itu hampir hilang tumpuan terhadap pemanduannya. Jantungnya berdegup laju apabila melihat pandangan tajam gadis itu. Seperti sesuatu dari anak matanya yang ingin menyatakan sesuatu.

     Tiba-tiba Kamelia tergelak besar sambil menampar bahu Shah.

     “Kenapa awak gelak?” soal Shah.

     “Saya bergurau aje lah. Takkan saya nak benarkan suami saya kahwin lain. Awak dah janjikan dengan ibu awak waktu awak buat keputusan nak berkahwin dengan saya. Saya pasti awak tak akan mungkir janji, kan?” ingat Kamelia sambil tersenyum kecil.

     Shah merasa serba salah namun dia mengiakan juga kata-kata isterinya.

     Setelah 30 minit berakhirnya perbualan mereka, dia meneruskan pemanduan namun jiwanya masih diawang-awangan. Kamelia disisinya sudah dibuai mimpi.

     Shah mengeluh pendek.

     BADAN Kamelia digoncang perlahan sehingga membuatkan tidurnya terganggu.

     “Mel, kita dah sampai dekat rumah mak awak,” ujar Shah sambil memegang dua beg roda di tangannya.

     Kamelia mengangguk perlahan. “Bila kita sampai?”

     “Baru aje tadi. Cepatlah keluar, dah nak maghrib ni,” ajak Shah sambil menarik beg roda mereka.

     Kamelia mengangguk sebelum keluar dari kereta. Dia melihat sekeliling, tiada yang berubah sepanjang ketiadaannya. Semuanya masih sama ditempat asalnya. Dia merindui suasana kampung seperti ini, jiwanya tenang. Hilang sebentar kegusaran di jiwanya.

     “Kamelia, awak okay tak?” soal Shah apabila melihat isterinya masih tercegat di tempat yang sama.

     “Saya ok, still mamai sikit.” balas Kamelia perlahan.

     Mereka berdua menuju ke arah pintu rumah sebelum Kamelia memberi salam.

     “Assalamualaikum, mak.” ujar Kamelia sambil mengetuk pintu rumahnya.

     Selang beberapa saat, pintu rumah dibuka dan salam dibalas.

     “Waalaikummusalam, Ya Allah anak mak dah balik,” balas Cik Som sambil memeluk erat tubuh anaknya.

     “Betul ke Kamelia dah balik?” ujar Cik Som sambil menyentuh lembut pipi anaknya.

     “Betul.” balas Kamelia sambil menyeka air mata dipipi maknya.

     “Terima kasih Shah sebab sudi bawa anak mak balik ke kampung. Mak rindu kamu berdua.”

     Shah hanya senyum dan mengangguk faham.

     “Jom kita masuk, dah nak maghrib ni. Tak baik duduk dekat luar lama-lama.” Cik Som mengajak anak dan menantunya masuk.

     “Arif, keluar nak. Kakak kamu dah balik ni,” panggil Puan Kalsom.

     Arif terus keluar dari biliknya dan menuju ke arah abang iparnya.

     “Akak, abang. Bila sampai?” soal Arif lalu menyalam tangan kakak dan abang iparnya.

     “Baru aje sampai tadi. Kami tak singgah kemana-mana, terus straight ke rumah mak,” balas Shah.

     “Kenapa balik tak bagitahu dulu, kalau tak bolehlah mak masakkan apa-apa?” Tegur Cik Som.

     Kamelia tersenyum nipis.

     “Kita orang sengaja nak surprise kan mak. Lagipun mak tahukan Mel rindu mak sangat-sangat. Itu yang tak sempat nak call ke apa,” balas Kamelia pula.

     “Hurm yelah. Kamu berdua ni suka sangat surprise kan mak. Takpelah kamu berdua berehat dulu dalam bilik tu, nanti waktu makan malam mak panggil.” suruh Puan Kalsom.

     Shah dan Kamelia mengangguk kecil. Kamelia mengiringi Shah ke bilik tidurnya yang kini bakal menjadi bilik tidur mereka berdua.

     “Jemputlah masuk, inilah bilik tidur saya. Maaflah tak semewah bilik tidur rumah awak dekat KL. Katil pun pakai katil kayu lama ni aje. Aircond langsung tak ada, mampu guna kipas stand ni aje lah” ujar Kamelia merendah diri.

     “Tak apa, saya tak kisah pun. Janji selesa nak tidur. Bukannya awak suruh saya tidur dekat reban ayam pun kan?” balas Shah sambil tertawa kecil.

     Kamelia mengangguk kecil.

     “Awak nak mandi dulu ke? Tuala mandi saya ada letak dekat bahagian atas sekali dalam beg awak sekali dengan barang mandian,” jelas Kamelia sambil menunjuk ke arah beg roda mereka berdua.

     “Bolehlah, saya pun dah rasa melekit satu badan ni. Saya mandi dululah.” balas Shah sebelum membuka beg rodanya dan mengambil tuala mandi dan barangan mandiannya lalu beredar ke bilik air.

     Kamelia pula mula mengemas apa yang patut di dalam bilik tidurnya. Sewaktu dia sedang mengemas, notifikasi telefon Shah berbunyi seperti ada mesej baru masuk. Pada mulanya Kamelia tidak mengambil tahu tapi berderet pula notifikasi baru masuk.

     “Isy, malam-malam pun still mak kacau ke?” eia mencapai telefon bimbit Shah yang berada di atas meja solek.

     Dia melihat notifikasi mesej yang muncul di skrin telefon itu. Tergamam dia seketika melihat isi mesej tersebut.

15 missed called from Maya, 20 new messages from Maya.

Sayang you pergi mana? I mesej and call you tak dapat?
»Maya

Sayang, lama ke you balik kampung perempuan tu?
»Maya

I miss you so much! I tak puas jumpa you dua hari lepas. I wanna meet you again.
»Maya

I minta maaf kalau I berkasar dengan you haritu. I love you. Don't forget to call me back. I miss you.
»Maya

     Kamelia hanya mampu membaca sebahagian dari mesej itu. Dia tidak mampu meneruskannya. Hatinya tercarik. Cepat-cepat dia meletakkan semula telefon bimbit lelaki itu di atas meja.

     Mengurai air matanya namun cepat dia menyekanya. Tidak sangka hari pertama mereka berada di kampung, wanita itu sudah mulai mengganggu suaminya. Namun lagi sakit hatinya apabila Shah sendiri tidak jujur terhadapnya.

     Sewaktu Kamelia sedang menenangkan hatinya, Shah kembali dari bilik air.

     “Mel, kenapa tercegat dekat situ?” soal Shah sambil mengeringkan rambutnya yang basah dengan kain tualanya.

     Kamelia terus mengelak dan cepat-cepat mengambil kain tualanya dan terus menuju ke bilik air.

     Shah terpinga-pinga melihat isterinya yang tiba-tiba berubah perangai itu.

     Usai solat dan sebagainya, Kamelia kalut mengikat rambutnya sebelum cuba untuk keluar dari bilik kerana dia ingin mengelakkan diri daripada berdua-duaan dengan Shah. Hatinya masih tidak tenang mengigati kandungat ayat dalam mesej yang dibacanya petang tadi.

     “Mel, awak nak kemana?” soal Shah.

     Kamelia berhenti di hadapan pintu tanpa berpusing ke arah lelaki itu.

     Belum sempat Shah ingin memanggil isterinya, Kamelia bersuara terlebuh dahulu.

     “Saya nak ke dapur dulu, tolong mak masak.” balas Kamelia perlahan sebelum meloloskan diri.

     Sha menghela nafas perlahan.

     Kamelia memerhati emaknya yang sedang sibuk memasak di dapur.

     “Mak tengah masak apa tu?” tanya Kamelia dari belakang.

     “Kamu buat apa dekat sini? Kan mak suruh berehat aje dulu dekat bilik, nanti waktu makan mak panggil lah,” tegur Cik Som.

     Kamelia menggeleng perlahan sambil mencapai pinggan mangkuk di dalam almari sebelum membawanya ke sinki untuk dicuci.

     “Mel saja nak tolong mak. Mel kan dah lama tak balik kampung, tak eloklah kalau Mel rehat aje dalam bilik tu tak buat apa. Lagipun Mel boleh luangkan masa dengan mak sebab Mel rindu sangat-sangat  dekat mak!” balas Kamelia sambil cuba memeluk emaknya dengan tangan yang bersabun.

     “Isy Mel, mak tengah masak ni! Kang habis terpercik minyak ayam goreng ni!” marah Cik Som sambil menepis tangan anak perempuannya itu.

     Kamelia menjuihkan bibir sebelum sambung mencuci pinggan.

     “Mel dengan Shah macammana? Baik?” soal Cik Som tiba-tiba.

     Aktiviti mencuci pinggan Kamelia terhenti tiba-tiba. Dia mengalihkan wajahnya ke arah bertentangan lalu menghelakan nafas perlahan supaya emaknya tidak perasan akan riak wajahnya yang berubah mendung itu.

     “Alhamdulillah, kami okay aje,” balas Kamelia perlahan lalu menguntum senyum nipis. Dia meneruskan cuciannya yang tergendala akibat soalan spontan emaknya itu.

     “Takkan okay aje?” soal Cik Som pelik.

     Kamelia menundukkan wajahnya seketika, mata dipejamkan seketika. Kalau boleh berterus-terang, sudah lama dia buat namun memikirkan hubungannya dengan Shah masih lagi baru, dia membiarkan ia aja.

     Nasib sahaja dia sudah selesai mencuci pinggan, jadi dia boleh beredar ke tempat lain tanpa emaknya mengesyak perubahan di wajahnya. Kamelia sangat bijak menyembunyikan perasaanya. Pinggan yang selesai dicuci dibawa ke meja untuk dilap.

     Kamelia menarik nafas panjang sebelum membalas pertanyaan emaknya itu. “Shah layan Mel dengan baik sangat. Dia hormat Mel sebagai isteri dan Mel pun hormat dia sebagai suami. Kami masih lagi belajar untuk memahami perasaan satu sama lain,” balas Kamelia bersama dengan seulas senyuman di wajahnya.

     Cik Sok mengangguk kecil.

     “Makan minum kamu berdua macammana? Kamu masakkan untuk dia tak? Dan tempat tinggal kamu berdua selesa ke tidak?” soal Cik Som bertubi-tubi.

“Mestilah Mel masakkan untuk suami Mel sebab itukan tanggungjawab Mel sebagai seorang isteri. Alhamdulillah, sebelum kami pindah masuk lagi Shah dah uruskan semuanya, rumah yang kami duduk sekarang dah cukup lengkap. Apa yang Mel mintak setakat ni pun Shah mampu tunaikan,” balas Kamelia sambil menguntum senyum nipis.

Cik Som mengangguk faham.

“Macammana pula hubungan diantara kamu dengan Shah? Ada apa-apa perkembangan?”

“Maksud mak? Mel tak faham?” soal Kamelia sambil berkerut dahi.

Cik Som menghela nafas perlahan.

“Mak teringin juga nak timang cucu. Sunyi rasa rumah ni tak ada suara budak-budak,” balas Cik Som perlahan.

Kamelia menunduk ke bawah. Takkanlah dia nak beritahu emaknya yang Shah masih lagi tidak menyentuhnya walaupun sudah sebulan mereka mendirikan rumah tangga.

“Macamtulah mak, nak macammana lagikan? Lagipun kami berdua masih baru lagi. Bagilah peluang untuk kami berdua kenal hati budi masing-masing sebelum menuju ke fasa seterusnya,” balas Kamelia jujur.

Penting untuk emaknya faham yang mereka berkahwin bukan atas dasar cinta. Mana mungkin Shah dapat menerimanya sedangkan dia tahu lelaki itu mempunyai teman wanita lain.

“Tak apalah, yang itu mak taknak sentuh. Yang pasti mak nak tahu Shah jaga kamu dengan baik, itupun dah cukup untuk buat mak gembira.”

Kamelia mengiakan kata-kata emaknya.

“Lauk dah siap, pergi panggil suami kamu dengan Arif turun makan.” ujar Cik Som menyuruh anaknya.

Kamelia hanya mengangguk sebelum beredar ke ruang tamu. Sewaktu dia ingin mengetuk pintu bilik tidurnya, dia terdengar suara seseakan berbisik.

“I tak lama dekat sini, you janganlah kacau I setiap masa. Respect sikit masa I Maya!” suara Shah sayup kedengaran.

Dia bercakap dengan Maya ke? Perempuan ni kenapa sampai dekat sini pun dia nak kacau suami aku, omel Kamelia dalam hati.

“Kak? Buat apa tercegat depan pintu tu? Cepatlah panggil abang Shah makan sama-sama,” panggil Arif yang datang dari dalam bilik.

“Hurm, akak nak panggil lah ni. Arif pergi dulu, akak nak panggil abang Shah kejap.” balas Kamelia perlahan.

Arif mengangguk perlahan dan terus menuju ke dapur.

Perlahan-lahan Kamelia memulas tombol pintu. Dia tidak mahu mengejutkan lelaki itu.

“Nanti I call you balik, bye.” kelam-kabut Shah menamatkan panggilannya dan terus menoleh ke arah Kamelia yang baru sahaja masuk ke dalam bilik.

“Mak dah siap masak, dia panggil kita turun makan,” ujar Kamelia senada sebelum berlalu pergi.

“Okay, sekejap.” balas Shah sebelum menyembunyikan telefonnya di bawah bantal. Terus dia bangun dan bergegas ke dapur kerana Kamelia sudah berlalu terlebih dahulu.

Kamelia turun seorang diri.

“Mana Shah?” tanya Cik Som.

“Kejap lagi dia datang.” balas Kamelia sambil mencedok nasi ke dalam pinggan nasi.

Setelah Shah sampai, dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi bersebelahan dengan isterinya.

Kamelia menyerahkan pinggan nasi ke arah suaminya.

Shah mencapai pinggan nasinya sambil melihat pelbagai jenis aneka lauk di atas meja.

Selesai membaca doa, masing-masing mula menjamu selera.

“Wah, mak ke yang masak semua ni?” tanya Shah sambil mencedok kuah ayam masak kicap ke dalam pinggan nasi-nya.

“Yelah mak yang masak. Semua ni untuk kamu berdua, mak tahu Kamelia dah lama tak makan masakan mak,” balas Cik Som.

Kamelia tersenyum sambil mengiakan kata-kata emaknya.

“etul, Mel rindu sangat air tangan mak. Sebabtulah Mel tak sabar nak balik kampung, nak jumpa mak nak jumpa Arif,” balas Kamelia pula.

“Maaflah Shah, ini aje yang mak mampu sediakan. Biasalah masakan kampung, biasa-biasa aje,” jelas Cik Som.

Shah menggelengkan kepala.

“Ini dah lebih dari cukup, mak. Lagipun dulu ibu suka pun suka masak masakan kampung dekat rumah, kami satu family suka sangat dengan masakan ibu. Tapi, sejak ibu sakit ibu dah jarang masak untuk kami semua. At least terubatlah sikit rindu Shah bila makan masakan mak ni, sedap.” balas Shah sebelum menyuap nasi ke dalam mulut.

Kamelia hanya diam.

“Kerja Shah macammana?” tanya Cik Som tiba-tiba.

“Alhamdulillah kerja Shah okay. Walaupun busy sikit tapi Shah cuba ambil masa untuk Kamelia. Sebab itulah Shah ambil cuti and ajak Kamelia balik kampung. Dia mesti rindu nak jumpa family dia, kan?” balas Shah tenang. Dia menggenggam jemari isterinya.

Kamelia hanya senyum nipis.

“Lama ke abang cuti?” soal Arif yang sejak tadi diam.

“Abang ambil cuti empat hari. Tak boleh lama sangat, takut kerja kat office tak jalan,” balas Shah.

“Tak apa, kamu balik ni pun mak dengan Arif dah bersyukur sangat-sangat. Nanti esok ajaklah Mel pusing-pusing satu kampung, kamu mesti tak sempat nak pusing satu kampung sebelum ni kan. Waktu cuti ni lah yang patut kamu ambil peluang untuk luangkan masa bersama-sama” cadang Cik Som.

Shah mengangguk faham. Manakala Kamelia hanya senyap.

Kemudian mereka menyambung makan malam mereka bersama-sama.

Usai makan malam, Kamelia terus meminta diri untuk menikmati angin malam di luar rumah.

Dia membuang pandangan ke arah pantai di hadapannya. Rumahnya yang terletak berhadapan dengan pantai itu terlihat sangat indah sekali pada waktu malam. Namun tidak seindah hati Kamelia, dia teringat akan perbualan Shah bersama wanita misteri yang bernama Maya itu.

Ikutkan hati, dia ingin terus bertanya kepada Shah. Namun, dia takut jika soalan dia akan menambah luka di dalam hatinya. Dia takut akan kebenaran.

“Seorang aje ke, nak saya teman?” bisik seseorang di telinganya.

Mahu gugur jantung Kamelia ketika itu. Terus dia menampar kuat bahu suaminya.

Shah tergelak kecil lalu melabuhkan punggung di sebelah isterinya. Dia menggosok perlahan bahu yang ditampar oleh isterinya tadi. Agak kuat sehingga menyebabkan bahunya terasa berdenyut.

“Terkejutlah saya! Kalau saya kena heart attack tadi awak nak tanggung ke?” bebel Kamelia sambil mengurut dadanya yang masih berombak itu.

“Marah betul! Saya bergurau ajelah,” jeling Shah.

“Bergurau awak cakap? Kawasan kampung ni dahlah sunyi. Kalau bukan saya yang awak tegur tadi macammana? Takut awak yang lari tak cukup tanah nanti!” balas Kamelia semula sambil menjeling sekilas ke arah Shah.

“Kalau hantu tu cantik macam awak, saya peluk teruslah. Bukan senang orang nak dapat pelukan dari lelaki kacak macam saya tau,” usik Shah lagi.

Shah tergelak kuat. Suka betul dia melihat wajah masam mencuka isterinya itu.

“Awak memang suka buat lawak bodoh, kan? Nanti betul-betul hantu tu datang saya suruh dia cekik awak biar padan muka!” balas Kamelia dingin. Dia mengalihkan pandangannya ke hadapan semula. Malas mahu melayan loyar buruk suaminya itu.

“Saya berguraulah. Kenapa awak marah sangat ni? Pregnant ke?“ soal Shah sambil menggeleng kepala.

Kamelia tersentak. Dia menoleh ke arah Shah semula. Dia memandang tajam ke dalam anak mata lelaki itu. Engkau sentuh aku pun tidak, soal Kamelia dalam hati.

“Saya malas nak layan awak.” balas Kamelia. Dia menoleh ke hadapan semula.

Shah diam. Dia sedar yang dia sudah terlepas cakap. Akhirnya dia turut menikmati suasana sepi malam itu bersama isterinya.

“Tenang? Ini ke yang awak rasa sepanjang awak duduk dekat kampung ni?” soal Shah.

Kamelia mengangguk.

“Hurm, saya suka dengan suasana macamni. Tenang tak macam dekat bandar tu, pagi petang siang malam sibuk memanjang. Tapi kalau dekat kampung ni, tak kisahlah waktu bila-bila pun rasa tenang tu sentiasa wujud dalam hati. Sebabtulah saya lagi suka duduk dekat kampung, saya tak suka dengan kesibukan bandar. Kadang-kadang apa yang ada dekat bandar tu membuatkan saya rasa tak tenang dan kadang-kadang pedih.” balas Kamelia sebelum mengalihkan pandangan ke arah Shah.

“Saya masih tak faham. Tapi saya cuba untuk memahami isi hati awak,” balas Shah.

Kamelia tersenyum sinis.

“Awak tak perlu faham isi hati saya.” balas Kamelia bertukar pandangan ke hadapan semula.

“Kamelia, saya nak tanya sikit?” panggil Shah.

“Hurm?”

“Awak bahagia kahwin dengan saya?” soal Shah setia memandang wajah isterinya dari tepi.

Kamelia menoleh ke arah Shah semula. Dia menghela nafas panjang lalu tunduk ke bawah.

“Saya cuba mencari makna bahagia selepas berkahwin dengan awak. Saya cuba untuk menerima perkahwinan ini, saya cuba untuk menerima awak dalam hidup saya, Shah. Tapi...” kata-kata Kamelia terhenti.

Dia mendongak lalu memandang wajah suaminya. Matanya jatuh ke arah jemari runcing lelaki itu, dia ingin sekali menyentuh jemari lelaki itu namun dia tidak berani.

“Tapi saya yang saya tak boleh jadi seperti dia, walaupun saya tahu di hujung kisah ini saya yang akan terluka berbanding awak, walaupun saya tahu yang saya yang harus pergi, saya cuba untuk bahagia walaupun saya tak pasti adakah awak betul-betul untuk saya.” luah Kamelia bersama isi hatinya yang terpendam.

Shah terdiam.

“Kamelia, saya...,”

“Saya dah mengantuk, saya masuk tidur dulu,” ujar Kamelia sebelum berlalu pergi.

Kamelia cuba menahan diri daripada menitiska air mata. Dia tidak tahu mengapa dia terlebih emosi malam itu.

Shah memasuki bilik tidur mereka setelah dua jam dia berada di luar rumah. Kamelia yang sedang tidur menghadap dinding itu diperhatikannya lama. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk tidur di atas lantai kerana tidak mahu mengganggu tidur gadis itu.

Kamelia yang sedang berpura-pura tidur itu menghela nafas perlahan. Firasat dia mengatakan Shah masih tidak dapat menerimanya.

KAMELIA menarik keluar basikal dari bawah kawasan rumah kayunya lalu meletakkannya di hadapan Shah. Lelaki itu terpinga-pinga melihat basikal di hadapannya.

“Untuk apa ni?” soal Shah.

Selepas daripada kejadian malam tadi mereka cuba untuk berlagak seperti biasa untuk mengelak rasa kekok.

“Untuk awaklah. Kita naik basikal pusing satu kampung baru best,” balas Kamelia sambil tersenyum lebar. Cuaca tengahari itu agak terik tapi dia tidak kisah. Asalkan dia dapat pusing-pusing satu kampung bersama suaminya.

“awak nak suruh saya naik basikal time cuaca panas terik macamni? Kenapa tak naik kereta saya aje, kan ada aircond?” soal Shah semula.

Berkerut dahinya menahan panas.

Sebentar tadi Kamelia mengajaknya keluar melawat kawasan kampung, jadi dia terus bersetuju. Tapi bila dia mengajak gadis itu menaiki keretanya terus Kamelia menolak. Lalu gadis itu berlari menuju ke kawasan bawah rumah dan kembali bersama dua buah basikal lama.

“Manjalah awak ni. Waktu macamnilah kita nak hirup udara. Naik kereta tak bestlah, tak boleh tengok pemandangan sekitar,” balas Kamelia bersahaja.

“Tapi panaslah sekarang ni! Dahlah awak ajak time lepas makan tengahari, makanan pun tak sempat nak digest dalam perut ni!” balas Shah pula.

“Awak tak boleh malas sangat. Saya dulu tiap hari tau naik basikal tua ni pergi kemana-mana, tak kecoh pun macam awak,” serang Kamelia tiba-tiba.

“Itu awak bukan saya!” tegas Shah.

“Eh eh apa yang kecoh sangat kamu berdua ni? Sampai ke dapur boleh dengar tau!” bising Cik Som yang datang bersama batang penyapu di tangannya.

“Shah ni mak! Dia mengada-ngada sangat. Orang ajak pusing satu kampung naik basikal tapi dia sibuk nak naik kereta besar dia tu!” bebel Kamelia sambil menuding jari ke arah kereta Shah.

“Lah, apa masalahnya? Naik aje lah kereta suami kamu. Ada bumbung, ada aircond. Kenapa nak kena naik basikal buruk kamu ni? Kan panas cuaca sekarang?” ujar Puan Kalsom.

“Betul tu mak, Shah ajak Mel naik kereta sebab taknak bagi panas tapi dia sibuk nak naik basikal dia. Lagipun naik kereta laju sikit and tak penat dari kena kayuh basikal ni? Entah-entah tengah kayuh tayar pancit ke roda terkeluar ke? Kita mana tahu?” balas Shah bersetuju dengan cadangan emak mentuanya.

Kamelia menjeling tajam ke arah Shah. Dia tidak faham kenapa emaknya itu asyik nak menangkan menantu dia sahaja.

“Lantak awaklah! Kalau awak taknak ikut saya pun takpelah, saya boleh naik basikal sendiri. Awak ni memang cerewet betul! Saya tak tahu kenapa saya setuju nak kahwin dengan awak dulu!” marah Kamelia lalu merajuk.

Dia terus mengayuh basikalnya dan menuju ke jalan besar.

Cik Som menggelengkan kepala.

“Perangai budak-budak dia tu tak pernah berubah dari dulu sampai sekarang. Maafkan Kamelia ye Shah, dia tu memang macamtu sejak kecil. Degil! Tak habis-habis nak suruh orang dengar cakap dia. Mak harap awak bolehlah bertahan dengan perangai dia,” jelas Cik Som.

“Tak apalah mak, Shah faham aje. Shah pergi kejar dia dululah, takut jauh sangat dia menghilang. Shah tak arif dengan jalan kampung ni,” pinta Shah sebelum menarik basikal di hadapannya itu.

“Hurm, hati-hati bawak basikal tu. Mak yakin Mel tak pergi jauh pun. Alih-alih nanti dia berhenti tepi pantai. Kamu pergi cari dia dekat sana,” pesan Cik Som.

“Baik mak, saya pergi dulu.” ujar Shah sebelum berlalu pergi.

Dia melalui kawasan yang dilalui Kamelia tadi.

Shah memerhati sekeliling sambil mencari kelibat isterinya. Setelah sepuluh minit berpusing di tempat yang sama, dia akhirnya menjumpai basikal yang dinaiki isterinya.

Setelah Shah memarkir basikal di sebelah isterinya. Dia terus berjalan menuju ke arah pantai untuk mencari isterinya.

KAMELIA sedang enak menikmati angin pantai bersama air cendolnya, tiba-tiba muncul seseorang menyentuh bahunya dari belakang. Pada mulanya, dia ingat yang menyentuhnya adalah Shah. Baru sahaja dia ingin menoleh ke belakang, orang tersebut sudah muncul di hadapannya.

“Roslan? Kau buat apa dekat sini!” cawan plastik di tangannya terlepas. Bergegas Kamelia bangun dan menjauhkan dirinya dari lelaki itu.

Roslan nengusap tapak tangannya sambil mendekati sang gadis yang diingininya itu. “Tak sangka aku dapat jumpa kau dekat sini Kamelia. Kau tak rindu aku ke?” soal Roslan dengan nada meleret.

Dia cuba menyentuh bahu Kamelia.

“Apa ni sentuh-sentuh!” Kamelia menepis tangan lelaki itu.

“Ala, kau kan dah lama tak balik kampung ni. Aku rindu nak sentuh kau,” ujar Roslan sambil tersenyum lebar.

“Kau gila ke Roslan!” tengking Kamelia.

Roslan merengus kasar. ”Kau ingat aku tak tahu yang kau kahwin dengan anak orang kaya dekat KL? Berlagak ye kau sekarang dengan aku? Mentang-mentang taraf kau dah lebih dari aku sekarang, terus kau tak nak layan aku? Eh, kau dah lupa ke kenangan manis kita berdua dulu sayang?” duga Roslan lagi sambil cuba memeluk Kamelia namun dengan pantas Kamelia menolaknya semula.

“Kau jangan macam-macam dengan akulah Roslan! Kau tak serik ke lepas apa yang kau dah buat dekat aku dulu? Aku tak pernah sukakan kau lah! Dahlah penyangak, ambil dadah pulak tu. Aku tak tahulah perempuan manalah yang malang sangat dapat kau nanti!” tengking Kamelia sekuat hati

Roslan ketawa sekuat hati.

“Hoi perempuan! kau jangan nak kurang ajar dengan aku! Kau ingat aku bodoh, tak tahu yang kau sebenarnya dah jual badan dekat KL tu lepastu bila dah terlanjur dengan mana-mana jantan kau terus umpan jantan kaya untuk kahwin dengan kau sebab nak tutup aib engkau? Kalau aku tak bocorkan rahsia kita berdua ni, tak ada siapalah nak dekat kau selain aku!” jawab Roslan dengan yakin usai tawanya mereda.

Kamelia sedikit tersentak.

“Rahsia apa? Apa lagi yang kau nak tipu sekarang ni Roslan!” soal Kamelia semula.

“Rahsia yang kau sebenarnya dah terlanjur dengan aku!” balas Roslan sambil tertawa kuat.

Dia cuba untuk mendekati Kamelia sambil mendepakan tangannya.

Kali ini Kamelia memberanikan diri dengan maju ke hadapan. Belum sempat dia ingin menumbuk pipi Roslan, seseorang lelaki terlebih dahulu muncul di hadapannya dan menendang perut Roslan sehinggakan lelaki itu jatuh berguling-guling di atas pasir pantai.

“Sial betul! Kau siapa nak kacau urusan aku dengan perempuan tu!” maki Roslan cuba bangun namun perutnya terasa senak.

Lelaki itu berpusing ke arah Kamelia. Kamelia tergamam.

“Adam?” sebut Kamelia tidak percaya.

“Awak tunggu sini, jangan pergi kemana-mana. Biar saya uruskan Roslan tu, dia dah melampau!” pesan Adam tegas.

Kamelia terkaku.

“Kamelia!”

Tiba-tiba seseorang merentap lengannya dari belakang sehingga membuatkan Kamelia tersentak lalu berpusing menghadap gerangan tersebut. Wajah mereka bertemu dengan jarak sejengkal cuma. Nyaris Kamelia ingin menampar pipi lelaki tersebut namun selepas melihat wajah itu, niatnya terhenti. Akhirnya dia mendakap erat gerangan tersebut.

“Awak tak apa-apa? Ada tercedera dekat mana-mana ke?” soal Shah sambil memusing-musingkan tubuh badan Kamelia.

Kamelia menampar kuat dada Shah sehingga membuatkan Shah tersedak. “Awak pergi mana? Saya takut bila jantan tak guna tu kacau saya lagi!” teresak-esak Kamelia bersuara.

“Kamelia,” bisiknya perlahan. Pipi Kamelia diusap lembut.

“Saya takut Shah! Saya takut dia apa-apakan saya!” rintihnya lagi bersama air mata yang laju membasahi pipi.

“Saya tahu. Saya minta maaf sebab saya sampai lambat. Jangan risau dah, saya ada dekat sini dengan awak,” bisik Shah cuba memujuk isterinya.

Dia mendakap erat tubuh isterinya, cuba untuk menenangkan isterinya yang ketakutan itu.

Adam merentap kolar baju Roslan sebelum menumbuknya berkali-kali.

“Aku dah cakap banyak kali jangan kacau Kamelia! Apa yang kau tak faham bahasa sangat? Ke kau nak aku humban kau ke dalam penjara? Aku dah tak kisah kalau bapak kau datang sekali lagi merayu-rayu dekat aku suruh lepaskan kau! Sebab kau memang anak tak guna! Dari dulu suka mendatangkan masalah dalam kampung ni!” tengking Adam di hadapan wajah Roslan.

Roslan diam sejenak. Dia menelan air liur yang terasa perit itu.

“Aku takkan putus asa selagi aku tak dapat Kamelia! Dia milik aku. Aku dah tidur dengan dia dulu, kau tahu apa? Dia tu dah tak suci! Dia perempuan sial jadi sesuailah dengan aku!” jawab Roslan sambil gelak sini.

Mukanya yang dipenuhi dengan luka dan bengkak itu tidak dihiraukannya.

“Kau ni memang setan Roslan!”

Belum sempat Adam ingin menumbuk Roslan muncul Shah dari belakang terlebih dahulu menendang wajah Roslan dari tepi.

“Kau tak ada hak nak tuduh bini aku macam-macam! Kau tak ada hak nak sentuh bini aku! Mati kau aku kerjakan kau harini!” dendam Shah membuak-buak.

Akhirnya dia tahu lelaki itu yang hampir merosakkan Kamelia sewaktu dahulu. Kini, dia harus memberi pengajaran kepada lelaki itu supaya jangan berani untuk menyentuh hak milik dia.

Terus dia menumbuk perut Roslan berkali-kali sehingga lelaki itu tidak sedarkan diri.

Kamelia yang melihat keadaan itu bergegas menuju ke arah Shah untuk mengelakkan lelaki itu daripada terus menerus memukul Roslan.

“Cukup Shah, sudah! Saya taknak awak pukul dia lagi! Mati dia nanti!” tegah Kamelia lalu menarik jauh suaminya dari Roslan.

“Sekali lagi kau sentuh bini aku, mati kau aku kerjakan!” bentak Shah sebelum meludah ke arah Roslan yang sudah pengsan itu.

“Cukup Shah! Saya tak nak awak mengamuk macamni lagi!” terus Kamelia mendakap erat tubuh suaminya itu.

Shah tenang setelah beberapa minit di dalam dakapan isterinya. Lengannya melingkari tubuh kecil itu. Dia memejamkan matanya buat seketika.

Adam menunduk ke bawah. Dia menghela nafas panjang. Dia yang muncul dahulu namun lelaki itu yang dipandang oleh Kamelia.

“Saya tahu niat awak baik sebab lindungi saya tapi saya taknak awak masuk penjara kalau apa-apa jadi dekat Roslan nanti?” bisik Kamelia perlahan.

Shah sedar akan perbuatannya, dia terus meraup wajahnya yang dibasahi peluh itu sebelum mendakap erat kembali tubuh isterinya.

“Saya minta maaf Kamelia, saya cuma risaukan keselamatan awak,“ ujar Shah sambil mengecup lembut dahi isterinya.

“Tak apa, cukup awak ada depan mata saya sekarang ni, saya dah rasa selamat.” balas Kamelia sambil tersenyum nipis. Dia membenamkan wajahnya di dada bidang lelaki itu.

Adam menghela nafas panjang sebelum beredar dari situ. Dia tidak sanggup lagi untuk melihat adegan di depan matanya itu.

Kamelia dan Shah masih lagi seperti tadi. Mereka tidak menghiraukan keadaan sekeliling dan pandangan orang sekeliling terhadap mereka. Mereka cuba untuk kekal berada di dalam momen indah itu walaupun hanya sementara.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience