SHAH berjalan masuk ke dalam pejabat sambil tersenyum riang. Dia memandang bekal di tangannya lalu dicium bekal itu berulang-kali.
“Selamat pagi tuan,” ucap salah seorang pekerjanya.
“Selamat pagi,” Shah membalas dengan penuh gembira.
Masing-masing memandang satu sama lain sambil berbisik. Mereka hairan melihat perangai bos besar yang terlebih gembira hari itu.
Tiba-tiba Shah dapat merasakan suasana yang aneh lalu dia terus menoleh ke arah pekerja-pekerjanya semula sambil memandang tajam setiap satu wajah di situ.
“Hari ini jangan ada sesiapa yang berani ganggu saya sehingga waktu makan tengahari, faham?” pesan Shah berbaur amaran.
Masing-masing mengangguk laju seperti burung belatuk. ”Baik tuan,” jawab mereka.
“Bagus.” balas Shah dengan senyuman nipis. “Sambung kerja awak semula,” ujarnya sejurus masuk ke dalam bilik pejabatnya sambil bernyanyi kecil.
Semua pekerja menggelengkan kepala melihat perangai pelik bos mereka itu sebelum masing-masing duduk di meja sendiri dan meneruskan kerja mereka.
“KAK MEL—” Kamelia mendengar namanya disebut semasa dia dalam perjalanan ke bilik pensyarah.
Kamelia terus menoleh ke belakang. Kelihatan Ariana sedang berlari anak ke arahnya.
“Yana dah habis kelas ke?” soal Kamelia sambil memegang bahu adik iparnya itu.
“Baru aje habis kelas tadi. Nampak pula akak lalu depan kelas tadi. So ingat nak ajak lunch,” tanya Ariana sambil tersenyum mesra.
“Alamak, akak kena jumpa lecturer sekejap. Nak hantar assignment ni,” dia menujukkan kertas kerjanya ke Ariana.
“Yana lunch dengan siapa? Dekat mana?” tanya Kamelia lagi.
“Dekat kafeteria sebab malas nak keluar. Yana makan seorang diri aje, sebab tu Yana nak ajak akak sekali.” balas Ariana.
Kamelia berfikir seketika. Dia pun mula lapar memandangkan waktu dah melonjak ke tengahari jadi dia ada masa untuk makan sementara menunggu kelas yang seterusnya.
“Yana tunggu akak dekat kafeteria dululah, akak pergi sekejap aje. Nanti akak datang semula dekat Yana,” rancang Kamelia.
Ariana mengangguk laju, “Boleh, tapi jangan lama sangat sebab Yana lapar,” balas Ariana dengan nada manja.
Kamelia melepas tawa melihat kecomelan adik iparnya itu. Saling tidak tumpah dengan perangai abangnya.
“Akak pergi dulu.” ujar Kamelia bergegas ke bilik pensyarah.
Masing-masing berjalan ke arah yang berbeza.
Seusai Kamelia menuju ke kafeteria setelah menghantar kertas kerjanya, dia ditegur seseorang.
“Kamelia?” Kamelia seakan mengenali suara itu, dia menoleh ke belah kanan. Kelihatan seorang lelaki sedang berjalan ke arahnya.
“Adam, awak buat apa dekat sini?” soal Kamelia terkejut.
Setelah sekian lama, dia berjumpa semula dengan Adam. Namun kali ini pertemuan mereka bermula di kampus. Seperti kali pertama berjumpa, Kamelia malu untuk menatap terus wajah sang jejaka itu kerana Adam sering menghadiahkan senyuman manisnya kepada Kamelia.
“Tak sangka saya dapat jumpa awak dekat sini? Awak apa khabar?” soal Adam berbalas soalan.
“Khabar baik. Awak masih tak jawab soalan saya. Awak buat apa dekat sini?” balas Kamelia.
“Saya tengah sambung master. Ini tahun akhir saya dekat sini.” balas Adam masih lagi tersenyum.
Sejujurnya, dia sangat gembira dapat bertemu semula dengan Kamelia. Selama ini orang yang dia sangkakan pelanduk dua serupa rupa-rupanya orang yang dia kenali. Tak sangka mereka belajar di tempat yang sama. Betapa kecilnya dunia ini.
“Really? Tahniah Adam. Tak sangka awak dah nak habis belajar. Seronoknya,” ujar Kamelia teruja.
Shah tertawa kecil. “Terima kasih tapi awal sangat nak ucap tahniah sebab saya masih ada dekat sini sampai hujung tahun ni,” balas Adam bersahaja.
Kamelia tersengih bagai kerang busuk, “Biarlah, saya nak jadi orang pertama dan yang terakhir ucapkannya dekat awak,” ujar Kamelia lagi sambil tertawa kecil.
“Terima kasih lagi sekali,” balas Adam.
“Awak nak pergi mana ni?” tanya Kamelia setelah sekian lama mereka berborak.
“Saya nak ke pejabat dekan, ada hal sedikit. Awak pula nak kemana?” balas Adam.
Kamelia mengangguk.
“Saya nak ke kafeteria. Kalau macamtu kita jumpa lain kalilah? Saya taknak ganggu awak dengan urusan awak,” ujar Kamelia kerana dia tidak mahu buat adik iparnya tertunggu-tunggu.
“Insya-Allah.” balas Adam pendek.
Kamelia berlalu pergi sambil diperhatikan oleh Adam. Secebis rasa rindu hadir di dasar hatinya. Lelaki itu yang pertama dikenalinya dan lelaki itu juga yang terakhir dikenalinya. Adam merupakan teman yang baik. Sentiasa melindunginya dahulu. Dia bersyukur dapat mengenali insan seperti lelaki itu.
Kamelia menghela nafas lega kerana dapat berjumpa dengan seseorang yang dikenalinya di universiti itu selain adik iparnya.
“Akak bersembang dengan siapa tadi?” tanya Ariana sambil mengacau teh o ais limau di dalam cawannya.
“Kawan akak masa dekat kampung dulu.” balas Kamelia pendek.
“Handsome tapi abang Shah handsome lagi, kan?” usik Ariana.
Kamelia tertawa kecil. Dia tidak memberi sebarang jawapan. Biarlah dia saja yang tahu jawapannya.
SHAH mengeluarkan bekal makanan dari dalam beg kecil itu. Terdapat sepucuk surat di atas bekal tersebut. Dia terus membaca isi kandungan surat itu.
“Kepada suami yang tercinta, maaf sebab saya tak dapat nak sediakan macam-macam untuk awak. Saya janji hujung minggu ni saya akan spend time lebih dengan awak.”
Isterimu yang tercinta, Kamelia.
Shah tersenyum membaca isi kandungan surat tersebut. Dilipatnya kemas-kemas lalu dimasukkan ke dalam beg dompetnya. Dia membuka penutup bekal yang disediakan oleh isterinya. Nasi goreng cili padi bersama ayam goreng kunyit. Benar-benar menambah seleranya. Dia kecur melihat isi ayam yang kuning-kekuningan itu bersama nasi goreng yang dipenuhi dengan cili padi potong. Kamelia tahu saja akan makanan kegemarannya. Tanpa berlengah lagi dia membaca bismillah sebelum memulakan makannya.
Sedang enak menikmati makanan tengahari, tiba-tiba pintu dikuak perlahan. Kelihatan Maya memasuki bilik pejabatnya.
Mati seleranya.
“You nak apa masuk bilik I? Tak nampak ke I tengah makan?” soal Shah dengan nada serius.
Maya berpeluk tubuh.
“I nak ajak you keluar makan, jom?” ajak Maya sambil mendekati lelaki itu.
“Tak apa, I ada bawa bekal dari rumah,” balas Shah dingin.
Maya melihat isi bekal lelaki itu. Euw, nasi goreng dengan ayam kunyit? Not my taste. Kampung betul, omel Maya dalam hati.
“Apa kata kita makan dekat luar? Kita makan dekat restoran yang lagi sedap daripada makanan you ni,” ujar Maya sambil menyandarkan tubuhnya ke bahu Shah.
Shah menolak tubuh Maya jauh darinya.
“Tak nak, I nak makan bekal yang isteri I sediakan. You pergi makan dengan orang lainlah.” Shah menghalau Maya.
“You ni kenapa? Dah makan nasi kangkang perempuan tu ke? Asyik ikut aje apa yang dia suruh!” tuduh Maya melulu. Dia menjelingkan sekilas.
“Mulut tu jaga sikit Maya! Dia ikhlas nak masakkan untuk I, you siapa nak judge?” bentak Shah seraya bangun dari duduknya.
Dia paling pantang orang mengganggunya waktu sedang makan. Jari telunjuknya dituding ke arah Maya. Gadis itu sedikit gerun namun cepat-cepat menarik tangan Shah ke pegangannya.
“Bukan apa, sejak you baik dengan perempuan kampung tu I dah susah nak jumpa you. I takutlah kalau perempuan tu dah guna-gunakan you ke? You tak rasa pelik ke tiba-tiba you boleh baik sangat dengan perempuan tu?” soal Maya takut-takut.
“I busy! Ada banyak kerja. Tak ada masa nak layan perempuan macam you.” balas Shah lalu melabuhkan punggungnya ke atas kerusi.
Maya mencebik.
“You ni kenapa? I nampak you dah lain sangat. Dulu, you tak layan I macamni. Sekarang, you layan I macam orang asing! Apa lagi yang tak cukup dekat I sampai you sanggup buat I macamni? You dah lupa janji kita?” rintih Maya.
Shah mendengus kasar.
“Sebab you membebankan I! You push I macam-macam sampai I tak dapat nak buat keputusan sendiri! You tarik I sana sini macam patung yang tak bernyawa. You langsung tak ikut kehendak I. Apa yang you tahu adalah I kena ikut telunjuk you sepanjang masa!” bentak Shah sambil memandang tepat ke anak mata Maya.
Maya tergamam.
“You anggap I beban dalam hidup you?” soal Maya perlahan.
Shah meraup wajahnya.
“I tak tahu nak cakap apa.” balas Shah sambil tertunduk.
Maya terdiam. Air matanya laju membasahi pipi.
“Beban ni lah yang ada dengan you selama ni. Beban ni juga yang temankan you waktu you keseorangan. Beban ni yang pujuk you waktu you ada masalah. Sampai hati you cakap I beban?” ungkit Maya sayu.
Shah mendongak memandang wajah sayu Maya. Wajah itu yang pernah didambanya suatu ketika dahulu. Wajah itu pernah menjadi penyeri hidupnya. Wajah itu juga yang dilihatnya setiap hari tanpa jemu. Dan kini, dia menganggap wajah itu sebagai satu beban terhadapnya.
“Maya, I minta maaf. I tak maksudkan apa yang I cakap tadi,” ujar Shah.
Dia mendapatkan tubuh Maya lalu tubuh itu dipeluk erat.
Maya menangis teresak-esak.
“I minta maaf, I buntu. I tak sepatutnya layan you macam ini. I'm sorry,” pujuk Shah lagi.
“Kalau dulu I terima lamaran you, mesti kita dah bahagiakan sekarang?” ujar Maya dalam pelukannya.
Shah senyap seketika. Dia meleraikan pelukan.
“Apa maksud you?” soal Shah dengan dahi berkerut.
Maya tunduk sambil menggenggam erat jemari Shah.
“I minta maaf sebab tolak lamaran you dulu. Waktu itu I tak bersedia lagi nak jadi wife you. I ego, I terlalu ikutkan perasaan. Tapi lepas I tengok kemesraan you dengan perempuan tu, I jadi marah dan cemburu. Sepatutnya I yang berada dekat tempat itu bukannya dia. I tekad nak dapatkan cinta you kembali. Sebab I rasa you makin jauh dari I, Shah. You tak rasa ke semua itu?” jelas Maya dengan wajah sayunya.
Shah terdiam. Kenapa baru sekarang Maya menyatakan isi hatinya, kenapa bukan waktu sebelum dia beradu asmara dengan isterinya yang sekarang.
“I... dah tidur dengan dia,” jujur Shah.
Maya membulatkan bola matanya.
“What! You dah janji tak akan sentuh dia langsung! Tapi sekarang, you dah bersetubug dengan perempuan itu?” soal Maya dengan nada yang semakin meninggi.
Shah mengangguk perlahan.
Maya melepas tawa sinis.
“Ridiculous. You dah janji nak sehidup semati dengan I! Kenapa you ingkar dengan janji you?” keluh Maya lagi.
Dia mengurut dahinya yang rasa berpusing itu.
“Perempuan tu dah pregnant?” soal Maya.
Shah menggelengkan kepala.
Maya sedikit lega. Nampaknya dia masih ada harapan. Tapi belum boleh menghilangkan kegusaran di hatinya.
“Tapi kalau dia pregnant in the future, macammana?” tanya Maya lagi.
“I tak tahu.” balas Shah perlahan.
“I peninglah kalau macamni perangai you!” tempelak Maya.
Shah memandang wajah bengis di hadapannya itu. “Sejujurnya, I dah jatuh cinta dengan dia. I tak boleh tipu perasaan I. I duduk serumah dengan dia, I tatap wajah dia setiap hari. Perasaan sayang tu muncul secara tiba-tiba. Makin lama, I makin sayangkan dia. I cintakan dia dengan sepenuh hati I,” jelas Shah.
Dia melihat Maya mundar-mandir di hadapannya.
“No, you can't! You tak boleh jatuh cinta dengan dia. Cinta you hanya untuk I, bukan untuk perempuan lain!” tengking Maya.
Shah menggelengkan kepalanya.
“You tak boleh deny apa yang I rasa, Maya. I yang tinggal dengan dia setiap hari, I yang rasa perasaan itu tiap hari! Mana boleh I tolak kemungkinan untuk tidak jatuh cinta terhadap dia?” ujar Shah dengan nada serius.
Maya menggelengkan kepala.
“I need to do something! I tak boleh biarkan ia berlaku. Semakin lama you dalam genggaman dia, semakin dalam you jatuh dalam perangkap dia.”
Maya memberi amaran kepada Shah.
“Maya, you nak buat apa ni? Cukuplah!” Shah menarik tangan gadis itu.
Maya menepis lalu beredar keluar dari bilik tersebut. Shah terduduk semula di atas sofa. Dia memandang sepi makanan yang dibekalkan untuknya itu. Dia rasa bersalah terhadap Kamelia dan juga terhadap Maya.
Share this novel