“KAU carilah barang hantaran tu ikut suka hati kau. Aku busy ada banyak kerja. Duit aku dah transfer. Pandai-pandailah kau guna. Tapi jangan membazir beli benda tak patut, aku bukan guna pun.” ayat Shah pagi tadi masih terngiang-ngiang di cuping telinga Kamelia.
Untuk kesekian kalinya, Kamelia menghembus nafas hampa. Lagi dua minggu majlis pernikahan mereka nak berlangsung, namun Shah langsung tidak ambil kisah dengan urusan pernikahan mereka. Borang nikah pun dia seorang sahaja yang pergi hantar, Shah pula cuba untuk mencari jalan pintas untuk lari daripada semua tanggungjawabnya. Sampailah sekarang, barang hantaran pun Kamelia seorang yang perlu beli.
“Tak faham betullah, dah ajak orang kahwin tapi dia busy memanjang. Banyak sangat ke kerja dekat office tu?” bebel Kamelia sambil bersiap.
Untuk dua minggu yang akan datang, Kamelia dan keluarganya akan duduk bersama keluarga Shah buat sementara waktu. Itupun disuruh oleh Mak Tok. Kononnya untuk memudahkan urusan kahwin mereka yang akan tiba nanti.
“Kamelia oh Kamelia?” panggil emaknya.
“Ye mak, sekejap. Kamelia dah nak siap ni,” balasnya. Cepat-cepat Kamelia keluar dari biliknya dan mencari emaknya.
“Kamu nak keluar beli barang hantaran ke?” tanya Cik Som.
“Ha'a. Patutnya harini pergi beli,” balas Kamelia.
“Kamu pergi dengan siapa? Shah?” soal Mak Tok sambil memandang sekeliling.
Kamelia teragak-agak untuk menjawab.
“Shah sibuk dekat pejabat jadi dia suruh Kamelia pergi seorang diri.” balas Kamelia perlahan.
Mak Tok dan Puan Kalsom ternganga mendengar jawapan yang keluar dari mulut gadis itu.
“Sibuk? Lagi dua minggu majlis kamu berdua, takkan sampai ke harini masih busy? Isy budak bertuah ni!” bising Mak Tok.
Kamelia tersenyum hambar.
“Tak apalah Mak Tok. Kamelia faham aje kalau Shah busy. Mungkin dia nak selesaikan awal-awal semua kerja dia, nanti tak adalah kacau beberapa hari sebelum majlis,” balas Kamelia bersama hati yang tak tenang.
“Tapi Shah tak boleh buat kamu macamni, semua urusan kamu yang settlekan. Habistu dia buat apa? Goyang kaki aje?” tegur Mak Tok lagi.
“Sabarlah Mak Tok. Tak apa nanti saya yang cuba nasihatkan Shah, dia pun dah macam anak saya sendiri,” ujar Cik Som pula.
“Saya bukan apa Som. Saya malu dengan awak semua. Awak bertiga tetamu dalam rumah ni tapi Kamelia yang uruskan segala urusan. Perangai Shah tu cukup melampau. Saya tak sangka dia abaikan si Kamelia ni.” tegas Mak Tok lagi.
Shah asyik beri alasan yang sama, sibuk di tempat kerja. Yang dia tahu, Keluar pagi balik tengah malam, itupun selepas seluruh ahli keluarga di dalam rumah itu berlalu tidur. Kemudian, esok pagi dia terus lesap. Itulah rutinnya sejak kebelakangan ini.
“Tak apalah Mak Tok. Kamelia faham. Kamelia pun nak kena pergi dah, takut lambat pula nak survey barang.” ujar Kamelia lembut.
“Mel yakin taknak kami berdua temankan Mel?” tanya Mak Tok.
Kamelia menganggukkan kepalanya.
“Mel boleh pergi seorang. Mel pergi dulu, Assalamualaikum.” ujar Kamelia sambil menyalam kedua-dua tangan di hadapannya.
Dia terus bergegas keluar kerana pemandu peribadi rumah ini sudah menunggunya di luar.
Kamelia menyemak semula list barangan yang ingin dibelinya.
“Perfume dah beli, baju Kemeja pun dah, beg tangan dah, kasut pun dah, jam dengan tali pinggang pun dah, telekung, sejadah. Apa lagi yang tinggal?” ujar Kamelia sambil menyemak lagi sekali. Takut terlepas pandang.
Ketika dia sedang sibuk meneliti senarai barangan, dengan tidak sengaja seseorang terlanggar bahunya dan menyebabkan beg barangan ditangannya jatuh ke atas lantai.
“Allahu.” sebut Kamelia lalu terus mengutip beg kertas yang bertaburan di atas lantai.
Dia risau jika ada barang yang pecah. Sudahlah semua barang yang dibeli mahal dan berharga. Dia tidak mahu membazirkan duit belanja yang diberi oleh Shah. Risau juga jika lelaki itu bising nanti.
“Oh my gosh, I'm so sorry,” ujar wanita itu.
“No, it's okay. Saya yang kena minta maaf sebab saya tak pandang sekeliling.” Balas Kamelia tenang. Mungkin dia ada sedikit marah dan tidak salah sepenuhnya tapi dia malas mahu memanjangkan pergaduhan kerana dia pun tidak ada masa.
Wanita itu terus menolongnya mengangkat beg-beg kertas yang bertaburan di atas lantai.
Kamelia mengalihkan pandangannya ke arah wanita di hadapannya.
Wanita itu terdiam sejenak sebelum tersenyum semula.
“You nampak familiar lah?” tanya Wanita itu.
Kamelia tergelak kecil.
”Really?” tanya Kamelia semula.
Wanita itu hanya senyum nipis.
“Maybe.” Balasnya pendek sebelum beredar dari situ setelah selesai menolong Kamelia menyusun barang tadi.
Kamelia mengangkat keningnya. Dia melihat wanita itu sehingga matanya menangkap kelibat seseorang. Dan yang paling mengejutkan wanita itu mendekati lelaki itu dan terus memeluknya. Lelaki itu sempat menghadiahkan ciuman di bibir wanita itu.
“Astaghfirullahalazim!” ujar Kamelia sambil menekup mulutnya. Dia cuba menahan sakit di dada.
Dengan hati yang berat, dia terus beredar dari pusat beli belah itu.
MALAM itu, sewaktu seluruh ahli keluarga sedang menjamu makan malam, kedengaran bunyi enjin kereta Shah sedang memasuki perkarangan rumah. Kamelia pula hanya mendiamkan diri sejak pulang dari pusat beli belah tadi.
“Awal pula abang balik harini?” soal Ariana.
Semua senyap. Mereka meneruskan makan malam mereka tanpa ada bunyi.
“Assalamualaikum, I'm home.” Laungan Shah bergema satu rumah.
Kedengaran bunyi tapak kaki Shah sedang menuju ke arah dapur.
“Baru nak makan malam ke? Boleh Shah join sekali?” tanya Shah.
Semua di situ hanya mengangguk. Kamelia pula masih diam membisu.
Tiba-tiba Mak Tok bersuara. “Kamelia, tolong ambil pinggan dan cawan untuk Shah.”
Kamelia hanya angguk. Terus dia bangun dan mencapai pinggan dan cawan di atas rak dapur. Lalu, dia mencedokkan nasi ke dalam pinggan dan meletaknya di hadapan lelaki itu.
“Thanks,” ucap Shah.
Kamelia hanya angguk dan duduk di atas kerusinya semula.
Shah pelik apabila Kamelia tidak menegurnya seperti biasa.
Sewaktu semua orang di meja makan itu sedang menjamu selera, Mak Tok bersuara. "Shah dengan Mel lepasni jumpa Mak Tok sekejap dekat bilik bacaan.” pesan Mak Tok.
Masing-masing tidak berani untuk bersuara. Mereka berdua hanya mengangguk perlahan.
Shah memasuki bilik bacaan milik neneknya itu. Kelihatan Kamelia sudah berada di dalam bersama Mak Tok.
“Maaf Shah lambat sikit.” ujar Shah sebelum mengambil tempat duduk tidak jauh dari Kamelia.
Mak Tok menghela nafas panjang sebelum bersuara.
“Tujuan Mak Tok memanggil kamu berdua ke sini adalah untuk berbincang tentang masalah kamu berdua.” jelas Mak Tok sedikit tegas.
Kamelia memandang sepi ke arah Mak Tok sebelum mengalihkan pandangan ke arah Shah di sebelahnya. Dia mahu melihat reaksi lelaki itu. Kosong.
“Masalah? Masalah apa ni? Shah rasa kami berdua tak ada apa-apa masalah. Betulkan Kamelia?” balas Shah tenang.
Kamelia kekal senyap tanpa membalas apa-apa. Dia menunduk ke bawah memandang lantai.
“Kamelia macammana pula dengan kamu?” tanya Mak Tok.
Kamelia mengangkat wajahnya. Dia memandang wajah tua di hadapannya itu.
“Tak ada. Kami tak ada apa-apa masalah pun Mak Tok.” balas Kamelia perlahan.
Dia cuba untuk senyum walaupun perit baginya. Dia sedar dia hanya menumpang kasih di dalam rumah ini.
“Kalau macamtu, Mak Tok nak tahulah kenapa Shah busy sangat dekat pejabat? Kenapa kamu sanggup boleh biarkan Kamelia uruskan segala urusan perkahwinan kamu berdua seorang diri? Kamu tak kesian dekat dia ke?” tegas Mak Tok.
Kamelia hanya mampu mengeluh. Dia masih terbayang akan kejadian petang tadi. Kalau boleh dekat situ juga dia mahu Shah berterus-terang namun dia tidak mahu Mak Tok tahu akan perkara ini.
Shah pula masih diam sambil memerhati gerak geri Kamelia. Dia perasan yang gadis itu seperti menyembunyikan sesuatu daripadanya.
“Shah! Kamu dengar tak apa yang Mak Tok tanya ni?” tegas Mak Tok lagi.
Shah menekup wajahnya sebelum menyisir rambutnya ke belakang.
“Shah minta maaf sangat-sangat, Shah memang tak ada niat nak abaikan Kamelia atau sesiapa pun dalam rumah ni. Cuma Shah betul-betul busy sekarang ni dekat office, ada banyak projek dan tender baru masuk yang Shah kena handle before majlis kami nanti,” Balas Shah dengan sedikit tegas.
Kamelia tersenyum sinis. Jumpa perempuan lain boleh pula, fikirnya.
”Mak Tok, boleh tak Mel balik bilik? Mel rasa penat sangat lepas balik petang tadi.” tanya Kamelia.
Mak Tok hanya mengangguk.
“Mel masuk tidur dulu, good night.” ujar Kamelia lantas bangun dan bergerak keluar dari bilik itu.
“Mak Tok, nanti kita bincang lagi. Shah pun nak masuk tidur dah.” ujar Shah. Dia berkira-kira untuk menghalang Kamelia dari berlalu pergi.
“Kamelia.” panggil Shah.
Langkah Kamelia ternoktah. Dia memejamkan mata seketika sambil menghela nafas panjang. Lalu, dia berpusing ke arah Shah. Kamelia cuba untuk menguntum senyuman namun hatinya masih sakit bila teringat akan kejadian petang tadi.
“Yes? ada apa-apa yang saya boleh bantu?” tanya Kamelia.
Shah hanya diam membatu di tempatnya.
Kamelia turut senyap sambil memandang ke arah Shah. Dia menunggu soalan daripada lelaki itu.
“Kalau tak ada apa-apa, saya balik bilik dulu.” ujar Kamelia. Geram bila Shah membuang masanya.
“Aku minta maaf...” ujar Shah perlahan.
Kamelia hanya diam dan terus meninggalkan Shah bersendirian.
Sesudah sampai di biliknya, Kamelia terus melabuhkan punggungnya di atas katil. Tanpa sedar air matanya menitis setitis demi setitis. Dia tidak tahu sama ada permohonan maaf dari Shah itu ikhlas ataupun tidak.
“Kenapa awak mainkan perasaan saya Shah?” ujar Kamelia perlahan.
Pagi itu, seluruh ahli keluarga Shah dan Kamelia berkumpul di dapur untuk sarapan pagi.
“Wahh, sedapnya bau. Siapa yang masak ni?” Tanya Ariana seraya membuka tudung saji di atas meja makan itu.
“Alamak, gemuklah Yana macamni! nasi lemak, bihun goreng, kuih seri muka, karipap lagi. Siapa yang buat semua ni?” Tanya Ariana sambil mengambil pinggan yang berada di atas rak pinggan mangkuk lalu mengambil tempat di meja makan.
“Semua ni Kamelia yang masak. Beria dia minta dekat Mak Tok suruh biarkan semua pembantu rumah dalam ni cuti sebab dia nak masak katanya.” balas Mak Tok.
Dia baru sahaja selesai menikmati sarapan pagi yang dimasak oleh Kamelia tadi.
“Seriouslah Mak Tok? Beruntunglah abang dapat isteri yang pandai masak ni! Bolehlah Yana request nak makan apa tiap hari?” seloroh Ariana sambil ketawa kecil.
Kamelia tersenyum nipis. Abang awak ada orang lainlah. Dia tak cintakan akak pun, sindirnya dalam hati. Lalu dia menguntum senyuman paling lebar buat bakal adik iparnya itu. Cukup dia saja yang tahu akan rahsia ini.
“Insya-Allah, kalau tak keberatan, akak boleh aje masakkan untuk awak. Cakap aje apa yang awak nak makan, insya-Allah akak cuba masakkan.” balas Kamelia sopan.
Dia juga mengambil tempat duduk bersebelahan Ariana.
“Kalau macamtu, Yana nak akak buatkan kimchi jiggae untuk Yana. Boleh?” tanya Ariana sambil membuntangkan anak matanya untuk memujuk Kamelia.
Kamelia terpinga-pinga.
“Kim apa? Akak tak faham” tanya Kamelia semula.
Ariana memutar bola matanya ke atas.
“Alah kimchi jiggae tu makanan korea lah kak. Bentuk dia macam asam pedas aje tapi dia guna sayur yang sudah diperap. Lepastu boleh letak daging ke ayam ke ikan ke ikut suka hati kitalah,” terang Ariana panjang lebar.
“Guna sayur Kimchi ke?” soal Kamelia lagi.
Ariana tiba-tiba menepuk tangannya.
“Haa betullah tu. Sebabtu nama dia kimchi jiggae. Pandai akak,” balas Ariana seraya menyambung makan.
“Apa kamu ni Yana, pelik- pelik aje lah request kamu ni. Cubalah minta makanan Melayu ke apa ke? Ini nak juga makanan Korea kamu tu,” bebel Mak Tok.
“Biarlah Mak Tok. Baru boleh feeling dekat Korea gitu.” balas Ariana sambil menyebut nama artis korea kegemarannya.
Kamelia tertawa kecil.
“Tak apa, nanti akak cuba tengok resepi dia dekat YouTube, lepastu akak masakkan untuk Yana. Tapi tak adalah sesedap makanan Korea yang asli, akak cuba apa yang mampu aje.” balas Kamelia cuba menggembirakan hati Ariana.
“Terima kasih, apa-apa yang akak masak confirm sedap punya. Yana sayang akak,” ujar Ariana sambil memeluk bahu Kamelia sebelum menyambung makannya.
“Abang mana?” tanya Ariana.
“Tak bangun lagilah tu. Kalau hari sabtu ahad ni jangan haraplah dapat tengok muka dia awal pagi dekat dapur ni!” balas Mak Tok.
Kamelia baru perasan tentang ketiadaan Shah pagi itu. Setahunya sewaktu di kampung hari itu awal jugalah Shah bangun tiap hari. Adakah lelaki itu sengaja nak mengambil hati emaknya.
“Apalah abang ni! Dah nak kahwin pun masih buat perangai buruk dia. Cubalah berubah sikit, pagi-pagi tolong buat breakfast ke kemas rumah ke bersenam ke. Ini tak, weekend mesti membuta aje kerja dia. Teruk betullah, abang siapalah ni!” bebel Ariana tanpa menyedari akan kehadiran Shah dari arah belakangnya.
Kamelia dan Mak Tok hanya mendiamkan diri apabila Shah mendekatkan jari telunjuk ke bibir tanda diam.
“Tahu tak berdosa mengutuk abang sendiri. Boleh masuk neraka!” bisik Shah perlahan di telinga Ariana.
Terbaling sudu di tangan Ariana apabila Shah tiba-tiba berbisik di telinganya. Nasib baik tak terkena muka Mak Tok.
“ABANG APA NI! TAK ACILAH KACAU YANA MACAMTU!” Ariana menampar kuat bahu abangnya.
Berkerut dahi Shah menahan sakit namun dia tidak berhenti gelakkan wajahnya adiknya yang sudah merah padam itu.
“Good morning.” Shah sempat menegur Kamelia di sebelahnya.
Kamelia tidak memberi sebarang reaksi. Mukanya masam mencuka.
“Kamu bertiga berboraklah dulu. Mak Tok tak tahu topik kamu sembang ni. Mak Tok ke depan dulu.” balas Mak Tok malas mahu sertai mereka bertiga. Lebih baik dia pergi menonton televisyen di ruang tamu depan.
“Mak Tok dah habis makan? Biar Mel yang basuhkan. Letak aje dalam sinki,” ujar Kamelia sopan.
“Tak apa ke? Terima kasihlah Mel. Mak Tok ke depan dulu. Layanlah Shah tu makan dulu.” balas Mak Tok sambil memberi isyarat maka ke arah Shah yang masih tidak habis berperang mulut dengan adiknya.
Kamelia hanya mengangguk. Lantas mencuci pinggan dan cawan yang telah digunakan oleh Mak Tok tadi dan mengeringkannya di rak pinggan.
“Awak nak makan apa? Saya tolong letakkan?” tanya Kamelia sambil meletak pinggan dan cawan di atas meja untuk Shah.
“Anything.” balas Shah sambil menguntum senyuman paling manisnya untuk Kamelia.
Dia ni dah kenapa? Nak pujuk akulah tu? Malas nak layan, bebel Kamelia dalam hati.
Shah masih lagi dengan senyuman manisnya memandang wajah Kamelia.
“Jatuh cinta untuk kali ke berapa pula ni?” Ariana mengusik abangnya.
Terus Shah tersedar dari lamunannya.
“Jangan risau, nanti minggu depan halal dah.” sambung Ariana lagi sambil ketawa kecil.
Hampir tersedak air yang diminum Shah. Memang adiknya ini tidak makan saman.
Kamelia sudah tertunduk malu di hadapan mereka.
“Dari mana kau belajar ni?” tegur Shah sambil menayang muka serius.
“Dari drama dekat tv.” balas Ariana sambil menjelir lidah.
“Kau jangan nak belajar benda yang bukan-bukan ye. Aku hantar kau belajar sampai ke universiti untuk kau banggakan ibu, ayah, aku dengan Mak Tok bukan untuk benda yang bukan-bukan!” tegas Shah.
Terdiam Kamelia sebentar. Dia tidak sangka Shah sangat mengambil berat tentang adiknya. Mungkin disebabkan mereka hanya berdua, sama seperti dia dan Arif.
“Apa abang ni! Yana bergurau aje lah! Lagipun Yana dah besar, dah boleh bezakan mana yang baik mana yang buruk.” marah Ariana sambil merengus kasar.
Dia terus bangun dan membawa pinggan dan cawan kotornya ke sinki sebelum berlalu pergi dari dapur itu.
Shah mengeluh panjang. Adiknya itu sangat susah untuk ditegur, sama seperti dia sewaktu dia masih kecil dahulu. Mungkin sekarang juga dia masih keras kepala.
“Sorry sebab kau terpaksa dengar semua benda ni,” ujar Shah perlahan sambil menguis baki bihun goreng dalam pinggannya.
Kamelia tersenyum nipis sambil menggelengkan kepalanya.
“It's okay.” balas Kamelia.
“Makanlah lagi,” ujar Kamelia lagi.
Shah hanya mengangguk perlahan dan menikmati hidangan sarapan paginya.
LAGI seminggu majlis pernikahan mereka akan berlangsung, masing-masing sudah menyibukkan diri. Saudara mara belah pengantin lelaki sudah sibuk menolong apa yang patut. Manakala belah pengantin perempuan pula sudah ditempah homestay yang berdekatan dengan rumah keluarga pengantin lelaki.
Kelihatan sekumpulan anak-anak kecil sedang berlari di sekeliling rumah. Warga tua wanita pula sedang sibuk menyiapkan buah tangan untuk diberikan kepada tetamu yang akan hadir nanti.
Kamelia pula cuba untuk menolong apa yang patut. Dia tidak mahu dilabel sebagai bakal menantu pemalas walaupun dia disuruh awal-awal untuk berehat sahaja.
“Kamelia asal mana?” tanya Hani, sepupu Shah.
Mereka baru sahaja berkenalan namun sudah mulai rapat.
“Mel asal Kuantan,” balas Kamelia pendek.
Dia menolong Hani memasukkan gula-gula ke dalam beg kertas kecil yang sudah disediakan.
“Oh ye ke. Habistu macammana boleh kenal dengan abang Shah?” tanya Hani lagi.
Kamelia terdiam sebentar. Dia sudah mula memikirkan ayat untuk menjawab soalan Hani tadi. Takkanlah dia nak bagitahu yang Shah datang ke rumahnya dan memaksanya untuk berkahwin demi menunaikan hasrat ibunya.
“Hurm, family Mel dengan family Shah kenal satu sama lain. Start dari situ kami berkenalan,” bedal sajalah jawapan apa-apa. Janji kedengaran logik di telinga Hani.
Hani mengangguk. Mungkin termakan dengan penipuan Kamelia tadi.
Kamelia menghela nafas lega. Nasib baik tak kantoi.
“Kamelia sayang...” panggil Mak Tok.
Kamelia terus berpusing ke arah Mak Tok yang sedang berada di depan anak tangga.
“Ikut Mak Tok naik atas kejap.” balas Mak Tok.
Kamelia hanya mengangguk.
“Sekejap ye Hani, nanti Mel datang balik.” ujar Kamelia lalu membiarkan Hani menyambung kerjanya.
Dia terus mengekori Mak Tok ke atas.
“Duduk sebelah Mak Tok kejap.” panggil Mak Tok.
Kamelia melabuhkan punggungnya di atas katil bersebelahan dengan wanita separuh abad itu.
Mak Tok mengeluarkan sebuah kotak kecil dari dalam laci meja tidurnya.
“Mak Tok nak beri awak ini sebenarnya, bukalah.” ujar Mak Tok sambil menyuakan kotak tersebut ke arah Kamelia.
Kamelia menyambutnya. Dia membelek kotak kecil itu. Seperti bekas cincin lama.
“Apa ni Mak Tok?” tanya Kamelia seraya membuka kotak kayu itu.
Terdapat sebentuk cincin emas bertatahkan berlian di atasnya.
“Cantiknya, tapi ini untuk apa?” Tanya Kamelia sambil memandang ke arah cincin tersebut. Takut untuk menyentuhnya. Mesti sangat berharga bagi Mak Tok.
“Ini untuk kamu. Setiap kali salah satu ahli keluarga Mak Tok berkahwin, memang cincin ini akan diturunkan kepada menantu perempuan keluarga ini. Tanda penyambung warisan keluarga. Jadi memandangkan Kamelia bakal menjadi ahli keluarga baru dalam family ni, Mak Tok nak hadiahkan cincin ini kepada Kamelia. Mak Tok yakin kalau ibu Shah ada sekarang dengan kita, mesti dia gembira tengok Kamelia terima cincin yang sama dia pernah dia pakai dahulu,” jelas Mak Tok sebelum mengambil cincin tersebut untuk disarungkan ke jemari Kamelia.
Rasa bersalah tiba-tiba bersarang di lubuk sanubari Kamelia.
“Tapi Mel takut kalau Mel tak layak untuk pakai cincin ni,” Balas Kamelia sebelum mencabut semula cincin di jarinya itu.
“Kenapa pula tak layak? Kalau Shah pilih kamu maknanya namu kamu sudah tertulis di dalam luh mahfuz untuknya. Tak ada sesiapa mampu menghalang kamu berdua melainkan ajal dan maut,” balas Mak Tok tenang.
Dia bukan fikir tidak layak atau apa. Tapi dia memikirkan yang Shah sudahpun memiliki teman wanita yang lagi cantik daripadanya. Tak mungkin dia dapat mengalahkan wanita misteri itu.
Dia hanyalah pengganti sementara.
“Tapi Mak Tok...,”
“Mak Tok yakin Shah akan buka hatinya untuk kamu. Jangan risau,” pintas Mak Tok.
Kamelia terdiam, Mak Tok sepertinya memahami isi hatinya.
Kamelia menyarung semula cincin itu di jemarinya. Adakah aku layak untuk menagih cinta dari insan bernama Shah Iskandar?
Share this novel