TUK 6 ❤️

Romance Series 38946

KAMELIA bangun awal seperti biasa untuk membantu ibunya di dapur. Dia terkejut tatkala melihat kelibat Shah di dapur. Lelaki itu sedang menjamu selera tanpa menyedari kehadiran dia.

     “Awak buat apa dekat sini? Kenapa awak tak balik lagi?” tanya Kamelia tanpa berselindung.

     ”Mak yang suruh dia stay sehari dekat sini. Takkan kita nak biarkan dia balik lewat malam?” balas Cik Som.

     Kamelia menarik lengan baju emaknya lalu berbisik.

     “Yelah, tapi tak manislah kalau orang kampung nampak. Dia ni kan lelaki, bukan muhrim pula tu,” balas Kamelia sambil mencuri pandang ke arah Shah yang sedang enak menikmati nasi lemak yang dimasak oleh emaknya. Dia menjeling sekilas lelaki itu.

     ”Lah, lantak dia oranglah nak cakap apa sekalipun. Habistu adik kamu tu bukan lelaki ke?” soal Puan Kalsom kembali.

     Kamelia mencemik. Dia terus mengambil tempat duduk di hadapan lelaki itu.

     Shah tertawa kecil mendengar ayat Cik Som.

     “Mak ada buat nasi lemak ayam berempah, makanan kegemaran kamu,” ujar Cik Som.

     Kamelia tersenyum kecil. Tahu-tahu sahaja emaknya dengan makanan kegemarannya. Dia mencuri pandang ke arah Shah yang masih lagi menjamu selera dari tadi. Lapar sangat ke dia ni? Dia tak makan langsung ke semalam, soal Kamelia dalam hati.

     Berselera sungguh Shah makan. Mungkin sedap sangat kot masakan emaknya itu.

     Kamelia menyuap nasi ke dalam mulutnya lalu tersenyum. Rasanya masih sama seperti dulu. Air tangan ibu tak pernah kalah.

     “Arif mana mak? Mel tak nampak pun dia dari tadi,” tanya Kamelia sambil memandang sekeliling.

     “Pagi-pagi lagi adik bertuah kamu tu dah keluar, katanya abang Adam ajak dia ke bandar,” balas Cik Som.

     “Oh...” balas Kamelia pendek.

     Tiba-tiba dia teringatkan Adam. Adam masih tidak tahu lagi tentang khabar beritanya yang terbaru. Kamelia melihat cincin di jari manisnya kemudian dia mengalihkan pandangan ke arah Shah yang sedang sibuk membantu Puan Kalsom mencuci pinggan mangkuk kosong di dalam sinki itu. Macammana nak jelaskan dekat Adam yang Shah ajak aku kahwin? Mesti dia pelik kenapa aku boleh setuju nak kahwin dengan lelaki yang aku tak kenal? Tapi dia kisah ke kalau aku kahwin dengan orang lain sekalipun, desis Kamelia dalam hati.

     Tengahari itu, usai melipat baju di dalam biliknya dia melihat Shah sedang sedap berbaring di sofa kayu rumahnya.

     Dia terus mendekati Shah.

     ”Awak taknak balik ke?” soal Kamelia.

     Dia pelik melihat lelaki tu, takkan Shah tak ada kerja dekat KL sehingga senang-senang dia nak datang ke sini lepastu duduk lama-lama dekat rumah orang.

     “Saya cuti,” balas Shah pendek.

     Kamelia tidak mendengar dengan jelas butiran ayat Shah kerana lelaki itu sedikit jauh daripadanya.

     “Ha, apa dia? Saya tak dengar?” ujar Kamelia lagi.

     Shah menggeleng kepala, terus dia bangun dan berdiri menghadap Kamelia.

     “Saya kata saya ambil cuti sebab nak jumpa awak! Jelas?” balas Shah senada.

     “Jelas. Tapi janganlah duduk sini lama-lama, saya tak selesa...” bisik Kamelia perlahan.

     Walaupun perlahan tapi Shah dapat menangkap segala butir ayat yang keluar dari mulut gadis itu. Terus dia tersengih.

     “Kenapa pula? Kita kan bakal berkahwin. Takkan awak tak suka saya ada dekat sini? Waktu macamnilah bagus untuk awak mengenali bakal suami awak dengan lebih dekat, kan?” soal Shah perlahan-lahan bergerak ke arah Kamelia.

     Perlahan-lahan Kamelia berginjak ke belakang, jantungnya berdegup kencang. Sungguh dia benci perasaan begini.

     “Shah.... Awak nak buat apa ni?” tanya Kamelia apabila Shah mendekatkan wajahnya ke arahnya.

     Shah tersenyum sinis. Dia sengaja buat begitu, mahu menguji sekuat mana Kamelia boleh bertahan dengannya. Nampaknya gadis itu sudah mulai rasa tidak selesa dengannya. Kini dia tahu Kamelia sejenis yang pemalu Dan polos.

     “Assalamualaikum,” kedengaran suara seseorang memberi salam.

     Tanpa menunggu, Kamelia terus beredar dari situ. ”Waalaikummusalam,” balas Kamelia lalu terus lari ke arah pintu rumah.

     Shah mendengus kasar.

     ”Adam, awak buat apa dekat sini?” tanya Kamelia, terkejut.

     Shah terus berpusing melihat gerangan yang disebut oleh Kamelia itu.

     Adam tersenyum nipis.

     “Kenapa? Saya tak boleh datang ke sini ke?” soal Adam sambil tergelak kecil.

     Kamelia tersengih.

     “Bukan macamtu, tapi selalunya kalau awak nak datang awak akan beritahu saya atau Arif dulu. Tapi kalini awak muncul tiba-tiba,” jawab Kamelia.

     “Ohh, tak adalah. Saya datang sekejap saja ni. Saya ada bawa sikit hasil daripada kebun abah saya. Ambil lah, walaupun tak seberapa tapi saya rasa cukup untuk awak sekeluarga?” ujar Adam sambil menyerahkan beg plastik berisi buah-buahan dan sayur-sayuran kepada Kamelia.

     “Terima kasih, susah-susah aje awak datang ke sini semata-mata untuk semua ini. Padahal nanti boleh je Arif bawa balik guna motor,” balas Kamelia.

     Adam menggeleng.

     “Tak apa, lagipun memang saya sendiri yang nak datang ke sini. Alang-alang boleh jumpa tuan badannya sekali,” alas Adam sambil tersenyum malu.

     Kamelia tersipu malu sambil tertunduk ke bawah.

     Tiba-tiba mereka terdengar suara orang berdehem dari dalam rumah. Serentak itu, mereka berdua mengalihkan pandangan ke arah suara tadi.

     “Hai, tak sangka dapat jumpa kau lagi dekat sini,” ujar Shah sambil tersenyum kecil ke arah Adam yang sedang berada di luar rumah itu.

     Adam sedikit terkejut namun dia mengawal reaksi mukanya.

     Dia kenal dengan lelaki dihadapannya itu. “ Bila kau sampai?” tanya Adam sekadar berborak kosong.

     “Malam semalam.” balas Shah pendek.

     Kamelia hanya senyap di situ.

     Adam mengangguk perlahan. Malam semalam? kenapa dia beria-ria sangat nak jumpa Kamelia? apa motif dia ni sebenarnya, desis Adam dalam hati.

     “Hurm, Adam tak nak masuk dulu ke?” tanya Kamelia. Dia perasan dengan pandangan mata Adam terhadap Shah.

     Adam berfikir seketika. “Tak apalah. Saya kena gerak dulu, kesian Arif kena tingal sorang-sorang dekat kebun. Insya-Allah kalau ada masa, saya datang singgah rumah awak lagi.” balas Adam tenang.

     Dia ingin menanyakan sesuatu namun membatalkan niatnya. Entah kenapa hatinya tidak merasa tenang, namun tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

     Shah mengangguk kecil sebelum menghilangkan diri.

     “Tak apalah kalau macamtu, hati-hati drive. Pesan dekat Arif jangan balik lewat sangat hari ini,” pesan Kamelia.

     Adam hanya mengangguk sebelum beredar dari situ.

     Sementara itu Shah bersembunyi di sebalik dinding ruang tamu yang memisahkan antara ruang tamu dan juga pintu rumah. Dia mencuri dengan perbualan Kamelia dan Adam. Huh, hati-hati balik? Bukan jauh manapun kebun tu, bebel Shah dalam hati sebelum beredar ke bilik.

MALAM itu, selepas selesai makan malam, mereka terus menghilangkan diri ke dalam bilik tidur masing-masing. Kamelia sedang sibuk melipat baju sambil mendengar lagu. Tiba-tiba, matanya beralih ke arah cincin berlian yang terletak cantik di jari manisnya.

     “Betul ke keputusan yang aku buat ni? Aku tak kenal dia, boleh ke aku percayakan dia? Kalau aku tarik balik lamaran ni sempat tak?” Kamelia bercakap seorang diri.

     Kamelia menarik nafas panjang. Dia buntu. Saat melihat wajah Adam petang tadi, dia masih tidak dapat lupa dengan reaksi lelaki itu ketika terserempak dengan Shah di rumah.

     “Dia perasan ke cincin yang aku pakai ni? Tapi muka dia tadi macam tak ada reaksi pun?” soal Kamelia sambil berkerut dahi.

     Akhirnya Kamelia mengambil keputusan untuk menghirup udara segar di luar rumah. Ketika dia sedang berjalan ke arah anjung rumah, dia terserempak dengan seseorang yang dikenalinya.

     “Shah? Dia tak tidur lagi ke?” soal Kamelia perlahan.

     Dia terus mendekati lelaki itu. “Tak tidur lagi?” tegur Kamelia tiba-tiba.

     Shah terkejut selepas ditegur seseorang. Pantas dia berpusing ke belakang. Kelihatan Kamelia sedang tersengih ke arahnya.

     “Belum.” balas Shah pendek. Lalu dia bersandar di tiang kayu rumah tersebut.

     Kamelia mengambil tempat di sebelah Shah namun menjarakkan dirinya daripada lelaki itu sebagai langkah berjaga-jaga.

     “Kenapa tak tidur lagi?” tanya Kamelia sambil mencuri pandang ke arah Shah yang sedang fokus melihat sesuatu di skrin telefonnya.

     “Tak payah sibuklah,” perlahan Shah membalas namun terdengar jelas di telinga Kamelia.

     Dia ni kenapa? Siang tadi elok aje perangai. Bila malam terus berubah. Kena sampuk hantu ke apa, bebel Kamelia dalam hati.

     Dia tidak faham dengan tujuan Shah ke sini. Mula-mula, beria mengajak dia kahwin tapi sekarang layan pun endah tak endah.

     “Shah, apa sebenarnya niat awa?” soal Kamelia selepas beberapa minit mereka mendiamkan diri.

     Shah masih senyap.

     “Shah!”

     “Huh, apa dia?” balas Shah terpinga-pinga. Sumpah dia tidak perasan Kamelia ada memanggilnya.

     “Tak ada apa-apalah!” balas Kamelia sambil menjeling sekilas.

     Suasana kembali sunyi semula. Masing-masing melayan perasaan sendiri.

     “Aku sebenarnya tak tahu kenapa aku buat keputusan macamni,” Shah bersuara tiba-tiba.

     Kamelia terkesima. Aku? Dia bahasakan diri dia 'aku'? Dia berpura-pura baik ke depan aku ke sebelum ni, desis Kamelia sebelum mengalihkan pandangan ke arah Shah semula.

     “Apa maksud awak?” tanya Kamelia serius.

     Shah menundukkan wajahnya sambil mengeluh.

     “Aku sebenarnya...,” Shah tidak meneruskan percakapannya.

     Kamelia mengerutkan dahi “Awak nak cakap apa sebenarnya?” tanya Kamelia.

     Shah menoleh ke arah Kamelia. Dia tidak faham kenapa dia bersikap terburu-buru. Kalaulah Kamelia tahu sebenarnya Maya yang telah mencabarnya, pasti Kamelia tidak akan menerimanya. Dan sudah tentu ibunya akan kecewa dengannya.

     Aku tak boleh mengalah! Aku kena teruskan rancangan aku! Yes, aku akan berkahwin dengan dia lepastu aku akan ceraikan dia selepas Maya kembali kepada aku semula! ujar Shah dalam hati.

     “Shah? Kenapa diam? Jawablah soalan saya!”soal Kamelia tidak puas hati dengan jawapan Shah.

     “Tak ada apalah. Aku masuk tidur dulu.” balas Shah sebelum beredar dari situ.

     Kamelia mengeluh. Lalu dia pun beredar dari situ, tiba-tiba matanya terasa berat.

     “TENGAHARI ni kau ikut aku,” bisik Shah tiba-tiba ketika Kamelia baru sahaja keluar dari biliknya untuk sarapan pagi.

     Kamelia terpinga-pinga sebentar.

     “Kita nak pergi mana?” tanya Kamelia.

     Namun Shah tidak menghiraukannya dan berlalu pergi ke dapur. Kamelia menggeleng kepala sebelum bergerak ke dapur.

     “Haa Shah, Mel. Jemput duduk, mak baru aje siap masak ni,” ajak Cik Som.

     “Mak masak apa harini? Sedapnya bau,” ujar Kamelia sambil mengangkat tudung saji di atas meja.

     Terdapat roti jala dan juga kari ayam. Hidangan kegemarannya.

     “Mak ada buat roti jala dengan kari ayam. Shah, sebelum kamu berdua berkahwin, ni makcik nak kenalkan dekat kamu makanan-makanan kegemaran Kamelia ni,” seloroh Cik Som sambil tersenyum lebar.

     Shah hanya setia mendengar. Kamelia pula mencuri pandang ke arah Shah. Dia masih memikirkan tentang apa yang Shah cakap sebentar tadi.

     “Kalau Shah nak tahu, roti jala dengan kari ayam ni lah yang paling dia gemar sekali. Dia sanggup makan benda yang sama tiap hari. Tiap kali hari jadi dia, memang wajib makcik buat hidangan ni kalau tak dia boleh merajuk, seminggu taknak bercakap dengan makcik tau,” ujar Cik Som sempat memerli anaknya sendiri.

     Kamelia mencubit lembut lengan emaknya.

     “Mak, apa pula mengata anak sendiri. Mel depan mak tau sekarang ni!” ujar Kamelia lalu menjuihkan bibirnya seakan-akan sedang merajuk.

     Shah tergelak kecil melihat kerenah pasangan anak-beranak di hadapannya.

     “Shah nak rasa boleh?” tanya Shah lalu mengangkat sudu garfunya untuk mengambil roti jala yang berada di hadapannya itu.

     “Boleh, makanlah. Makcik memang masakkan untuk kamu,” balas Cik Som.

     Shah mengangguk. Dia mengambil beberapa keping roti jala lalu menuang sedikit kuah kari ayam di atas roti jalanya. Selepas selesai mengaminkan doa, Shah terus menyuap roti jala ke dalam mulutnya. Tertutup matanya menikmati hidangan roti jala yang di buat oleh Cik Som itu.

     “Patutlah Kamelia suka sangat dengan hidangan ni, sedap sangat!” puji Shah sambil mengangkat jari menunjukkan tanda bagus kepada Puan Kalsom.

     Puan Kalsom dan Kamelia tertawa kecil melihat reaksi Shah.

     “Sudah, kamu berdua makan dulu. Makcik nak ke depan dulu,” ujar Cik Som sebelum meninggalkan mereka berdua berdua.

     Masing-masing menikmati sarapan pagi tanpa sepatah suara.

     “Kita nak kemana?” Kamelia memberanikan diri bertanya soalan.

     Shah diam sebentar sebelum bersuara.

     “Ikut aje, tak payah banyak tanya,” balas Shah dingin.

     Terhenti sebentar Kamelia bila Shah berkata begitu. Namun, dia meneruskan makannya. Malas mahu bertanya banyak, takut nanti kuah kari mendarat di atas kepalanya nanti.

     Kamelia keluar dari biliknya selepas bersiap-siap. Lalu, dia terserempak dengan emaknya yang baru sahaja keluar dari biliknya.

     “Eh, kamu nak kemana cantik-cantik ni?” soal Cik Som pelik.

     Berkerut dahi Kamelia memikirkan jawapan. Shah tidak beritahu emaknya ke yang mereka berdua akan keluar sebentar lagi. Belum sempat Kamelia membalas, terus Shah memintasnya.

     “Makcik, izinkan saya bawa Kamelia ke KL sekejap. Saya nak bawa dia jumpa seseorang. Kalau makcik tak kisahlah?” tanya Shah dengan nada sopan.

     Dia yang ketika itu baru keluar dari bilik terus menuju ke arah Cik Som dan Kamelia.

     “KL? boleh. Tapi jangan balik lewat sangat. Ingat, kamu berdua tu masih tak ada ikatan yang sah lagi. Tak manis kalau orang kampung tengok kamu keluar berdua-duaan,” pesan Cik Som sebelum anak perempuannya keluar.

     “Terima kasih makcik. Saya janji saya akan hantar dia balik sebelum 10 malam,” balas Shah sebelum menyalam tangan Cik Som.

     Kamelia turut sama menyalam tangan emaknya.

     “Kami pergi dulu, assalamualaikum,” ujar Shah sebelum beredar ke keretanya di luar rumah.

     Kamelia mengekorinya dari belakang.

     “Waalaikummusalam,” balas Cik Som sambil mengikut mereka keluar.

     Dia melambaikan tangan ke arah anak perempuannya dan Shah.

     “Awak tak cakap pun yang kita nak ke KL?” tanya Kamelia tidak puas hati.

     “Aku dah cakapkan tadi!” jawab Shah dingin.

     “Awak nak bawa saya jumpa siapa?” Tanya Kamelia.

     “Manusia,”

     Kamelia mendengus.

     “Tahulah manusia, tapi manusia tu siapa? Saya kenal ke atau saya tak kenal?” tanya Kamelia lagi.

     “Yang kau banyak tanya ni kenapa?  Kalau dah sampai nanti aku bagitahulah,” suara Shah naik satu oktaf. Serabut dengan soalan perempuan itu.

     Akhirnya Kamelia terdiam. Tak lama selepas itu, dia terus terlelap.

     Entah bila dia tak pasti, Shah mengejutnya bangun kerana mereka sudah sampai ke destinasi.

     “Bangunlah, kita dah sampai,” panggil Shah sambil menolak bahu Kamelia menggunakan hujung cermin matanya.

     Kamelia memisat-misat matanya sebelum matanya terbuka luas. Dia melihat sekeliling, dia tidak tahu di mana dia sekarang. Tiba-tiba dia melihat papan tanda besar di sebelah kanannya.

     “Hospital?” tanyanya kepada Shah.

     “Jom, kita dah lambat ni. Nanti terlepas waktu melawat,” ajak Shah sambil meninggalkan Kamelia yang masih terpinga-pinga di dalam keretanya.

     “Sabarlah wak. Ish dia ni tak menyabar langsung!” bebel Kamelia. Terburu-buru dia keluar dari kereta dan cuba mengejar langkah Shah.

     “Kita nak melawat siapa ni?” tanya Kamelia lagi.

     Shah berhenti seketika sebelum memandang tajam ke arah Kamelia. Dia mendekatkan jari telunjuknya ke bibir tanda senyap.

     Kamelia hanya mengangguk faham.

     Dia mengikut sahaja Shah dari belakang. Mereka berhenti di hadapan sebuah bilik.

     Wad B-135.

     Shah menarik nafas panjang sebelum menghembusnya perlahan. Dia membuka pintu bilik wad di hadapannya itu.

     “Assalamualaikum ibu, Shah datang ni,” ujar Shah perlahan.

     Langkah Kamelia terhenti. Pandangannya jatuh ke arah sekujur tubuh terbaring tenat di atas katil di hadapannya.

     “Kenapa tak masuk?” tanya Shah pelik.

     Dia pelik melihat Kamelia masih lagi berdiri tercegat di hadapan pintu wad ibunya.

     Seperti tersedar dari mimpi, Kamelia hanya mengangguk. Dia melihat Shah seketika sebelum mendekati katil milik ibu lelaki itu.

     “Assalamualaikum auntie, saya Kamelia. Saya...,” Kamelia diam sebentar sebelum menyambung ayatnya. “kawan Shah...” sambung Kamelia. Dia hanya tersenyum hambar.

     Kamelia mengalihkan pandangan ke arah Shah.

     “Saya minta maaf sebab saya tak bawa apa-apa. Awak tak cakap pun yang kita nak melawat ibu awak dekat sini?” soal Kamelia.

     Mata Shah masih melekat kemas ke arah ibunya yang masih koma itu.

     “Tak apa. Aku pun tak tahu kenapa aku bawa kau datang sini. Mungkin sebab aku nak yakinkan kau kenapa aku betul-betul nak tunaikan hasrat ibu aku,” ujar Shah sebelum menggenggam erat jemari ibunya.

     Kedengaran Shah cuba menahan sebak. Dia tahu Shah cuba untuk tidak menangis di hadapannya.

     “Kalau macamtu, benarkan saya keluar sekejap?” pinta Kamelia perlahan.

     Shah mengerling ke arah Kamelia sebentar.

     “Kau nak pergi mana?” tanya Shah.

     Kamelia hanya tersenyum sebelum meninggalkan Shah bersama ibunya. Hanya ada satu tempat yang ingin dituju oleh Kamelia.

     SELEPAS 45 minit, Kamelia kembali bersama sejambak bunga di tangannya. Shah pelik melihat Kamelia kembali dengan banyak barang di tangannya.

     “Kau beli bunga? Dari mana kau dapat pasu kaca tu? Setahu aku dekat sini mana ada jual pasu?” soal Shah. Dia ingin membantu tetapi dia tidak tahu harus mula dari mana. Akhirnya dia membiarkan sahaja Kamelia membuatnya seorang diri.

     Kamelia tergelak kecil. Kedengaran merdu di telinga Shah.

     “Saya belikan bunga tulip. Bunga kegemaran saya. Saya belikan untuk ibu awak tanda perkenalan dengan harapan dia akan sedar tak lama lagi,” jelas Kamelia sambil menyusun bunga tulip yang di belinya tadi ke dalam pasu yang telah di isi air awal-awal tadi.

     ”Kenapa kena tulip bukan ros atau bunga lain?” soal Shah lagi.

     Kamelia berhenti seketika lalu tersenyum.

     “Bunga ni mengingatkan saya kepada arwah ayah saya. Dia selalu hadiahkan saya tulip setiap kali hari jadi saya. Sebab itu sampai sekarang saya masih sukakan bunga ini. Walaupun saya tahu orang yang saya rindukan selama ni tidak akan muncul kembali,” ujar Kamelia perlahan.

     Setitis air mata jatuh mengalir di pipi mulusnya. Cepat-cepat dia menyeka air matanya. Tidak mahu Shah nampak yang dia sedang menangis. Dia cuba senyum semula.

     “Sebab itu saya belikan bunga tulip untuk ibu awak. Saya harap awak tak kisah?” ujar Kamelia sebelum meletakkan pasu tersebut di atas meja bersebelahan dengan katil ibu Shah.

     Shah hanya menggeleng kepalanya tanda tidak kisah dengan pemberian ibunya.

     “Kau dah makan?” tanya Shah tiba-tiba.

     “Belum,”

     Shah bangun sejurus mendengar jawapan gadis itu. Lalu dia menuju ke pintu keluar.

     “Awak nak pergi mana tu?” tanya Kamelia.

     “Aku nak beli makanan kejap, kau tunggu sini,” balas Shah.

     “Kalau macamtu, kita pergi sama-samalah,” ujar Kamelia sambil mencapai beg tangannya yang berada di atas meja tadi.

     “Tak payah. Kau tunggu aje sini, tolong tengok-tengokkan ibu aku. Aku pergi sekejap je,” tegas Shah.

     “Okay,” balas Kamelia sebelum duduk semula.

     Dia hanya melihat Shah beredar keluar dari bilik wad.

     “Shah mesti sayangkan auntie sangat-sangat. Beruntung siapa yang dapat berkahwin dengan Shah nanti. Mesti Shah akan jaga isteri dia betul-betul macam dia jaga auntie sekarang,” veloteh Kamelia sambil mengurut pergelangan tangan Puan Siti.

     Kamelia tidak sedar yang Shah sedang memerhatinya dari luar bilik.

     Shah kembali menuju ke arah wad ibunya sebelum ditegur seseorang.

     “Shah Iskandar? What a pleasant surprise?” tegur seseorang.

     Shah kenal akan suara itu. Terus dia berpusing ke arah suara itu.

     Maya.

     “You buat apa dekat sini?” soal Shah. Dia kaget sebentar.

     Maya melihat bungkusan makanan di dalam genggaman lelaki itu. Dia yakin yang Shah tidak berseorangan.

     “Inikan hospital, I datang melawat kawan I. Dia accident semalam,” balas Maya tenang.

     Shah hanya mengangguk kecil.

     “You datang melawat your mom ke? Kalau macamtu bolehlah I drop by. I pun dah lama tak datang melawat ibu you kan?” balas Maya.

     Dia sudah teragak-agak untuk membuka pintu wad ibu Shah namun lelaki itu pantas menghalangnya.

     “Tak perlu kot. Sebab I taknak ramai sangat orang datang melawat my mom. Sebab dia pun masih lagi tak sedarkan diri. I think you should go,” jelas Shah cuba memikirkan alasan yang munasabah.

     Dia sebenarnya tidak mahu Maya berjumpa dengam Kamelia. Takut sesuatu berlaku walaupun dia tahu yang Kamelia tidak akan melakukan apa-apa terhadap Maya. Tapi dia kurang yakin dengan Maya.

     “Why you're so rude Shah? I thought after what happened, you akan okay dengan I. Tapi tak sangka you tak benarkan I melawat your mom too?” Maya sedikit terkilan dengan kelakuan Shah terhadapnya.

     Shah hanya mendiamkan diri.

     “No, what I mean is I taknak menyusahkan you. Itu sahaja.
,” balas Shah perlahan.

     Dia tidak tahu apa yang dia merapu sekarang ni. Menyusahkan apa.

     Maya tersenyum hambar.

     “You ni kenapa Shah? Macam ada something yang you sembunyikan daripada I?” tanya Maya.

     Dia cuba menolak tubuh sasa Shah ke tepi namun kudratnya tidak kuat.

     “Apa yang bising-bising dekat luar tu?” tanya Kamelia.

     Dia terdengar suara seperti orang bertengkar di hadapan bilik. Lantas dia bangun menuju ke pintu bilik.

     Dengan pantas dia membuka pintu bilik. “Apa yang kecoh sangat dekat luar ni?” tanya Kamelia tanpa memandang ke hadapan.

     Maya ternyata terkejut dengan apa yang dilihatnya. Di hadapannya itu terdapat seorang gadis bertudung yang tidak dikenalinya sebelum ini. Namun, dia yakin gadis itu pasti mengenali Shah.

     Shah meraup wajahnya. Kenapa dalam banyak-banyak tempat, dekat sini juga yang dia akan terserempak dengan Maya.

     “Wow, sejak bila you tukar selera ni Shah?” tanya Maya sinis.

     Soalan Maya dibiar tidak berjawab.

     Kamelia mengangkat keningnya. Tukar selera? Dia ingat aku makanan ke apa, omong Kamelia dalam hati.

     “By the way, I'm Maya. And you?” Tanya Maya sambil menghulur tangan untuk bersalam dengan gadis di hadapannya itu.

     “Kamelia Fahara,” balas Kamelia pendek sambil sambil membalas huluran tangan Maya. Cantik, tapi seksi sangat. Siapa dia ni? Shah kenal ke dengan perempuan tak cukup kain ni, desis Kamelia sambil merenung gadis itu atas bawah.

     Astaghfirullahalazim Mel, sempat kau mengutuk orang! Terus Kamelia mengalihkan pandangannya ke tempat lain.

     “I tak sangka Shah, orang macamni yang you akan pilih?” ujar Maya.

     Shah menjeling tajam.

     Kamelia masih tidak faham dengan situasi sekarang.

     “Whatever is it. I gotta go.”

     “See you soon... Maybe Miss Kamelia?” ujar Maya sebelum beredar dari situ.

     Shah menghembus nafas lega.

     “Nasib baik,” ujar Shah perlahan.

     “Siapa dia tu? Awak kenal ke?” soal Kamelia. Masih tidak mengalihkan pandangannya dari Maya yang sudah berlalu jauh itu.

     “Kenapa kau sibuk nak tahu? Lagi satu kan aku cakap tunggu dalam bilik tu! Kenapa kau sibuk sangat nak keluar!” bentak Shah.

     Terbuntang mata Kamelia melihat Shah memarahinya.

     “Yang awak marah saya tak tentu pasal ni kenapa? Dah saya dengar bunyi bising kat depan, of course lah saya nak tahu apa yang jadi! Kalau awak tak suka sangat saya dekat sini. At the first place, awak boleh je tak bawa saya jauh-jauh untuk ke sini!” bebel Kamelia sebelum masuk ke dalam semula meninggalkan Shah yang masih terpinga-pinga disitu.

     Shah tidak sangka Kamelia akan melawannya semula. Dia mendengus kasar sebelum masuk semula ke dalam bilik tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience