Makcik Jamilah terbangun dari tidurnya. Kayla yang masih lagi lena di pangkuannya dilihat dengan keluhan resah. Sejak dari tadi, Kayla susah hendak tidur kerana terlalu risau akan Tan Sri Zaim.
Makcik Jamilah melihat ke arah jam di dinding rumah. Sudah pukul 10 malam. Keadaan rumah agam itu masih dalam keadaan senyap sunyi. Nampaknya, Tan Sri Zaim dan yang lain belum pulang lagi.
Ya Allah.. Mana semua ni? Macam mana keadaan diaorang sekarang? Selamatkah diaorang? Baik-baik sajakah diaorang?
Seketika Makcik Jamilah menyedari akan sesuatu.
Makcik Jamilah melihat selimut yang membaluti tubuh Kayla serta dia sendiri. Dahinya berkerut. Setahunya, dia dan Kayla tidur dalam keadaan yang tidak berselimut tadi. Dari mana pula datangnya selimut ni?
Tatkala mata Makcik Jamilah tertancap ke arah Elena yang sedang menyendiri di tangga luar rumah, segala persoalan yang bermain tentang dari mana datangnya selimut yang membaluti tubuhnya dan Kayla itu terus terlerai.
Makcik Jamilah mengukir senyum nipis. Kini dia tahu, Elenalah yang menyelimutkan mereka berdua sewaktu sedang tidur tadi.
Setelah mengatur posisi yang selesa untuk Kayla yang masih lagi tidur itu, Makcik Jamilah mengatur langkahnya ke arah Elena.
Selimut tebal yang dibaluti ke tubuhnya tadi dibawa lalu disarungkan pula untuk Elena dari belakang.
"Selimut ni, I ambil untuk Makcik Jamilah. Bukan untuk I" ujar Elena lalu selimut itu dibalutkan semula ke tubuh Makcik Jamilah.
"Semalaman Cik Elena kat sini. Tak sejuk ke? Nanti Cik Elena sakit" kata Makcik Jamilah. Rasa serba salah pula bila selimut itu Elena kembalikan semula kepadanya.
Elena hanya ketawa pendek saja mendengar kata-kata Makcik Jamilah itu.
Makcik Jamilah memandang Elena sejenak.
Sebenarnya, Elena ni seorang yang baik dan prihatin. Tapi, entah kenapa dia berubah dalam sekelip mata. Berubah terhadap Tan Sri Zaim dan juga Kayla. Apa agaknya yang dah jadi antara tiga beranak ini sehingga membuatkan Elena berubah seperti ini?
"Makcik Jamilah,.."
"Ya, Cik El?"
Elena diam seketika. Bibir digumam. Kemudian dia menghadap ke arah Makcik Jamilah.
Makcik Jamilah menyedari akan ada air jernih yang mula berkumpul di kelopak mata Elena.
"Cik El.. Kenapa ni?" melihat Elena mulai menitis air mata, Makcik Jamilah menjadi risau.
"Makcik Jamilah rasa.. I ni.. Anak yang jahat ke?"
Makcik Jamilah terkedu.
"Makcik Jamilah rasa.. I ni.. Anak yang derhaka ke?" soal Elena lagi. Kali ini suaranya kedengaran bergetar.
Makcik Jamilah masih lagi membisu. Perasaan sebak datang serta-merta.
"I tahu selama ni I tak pernah hormat Daddy. I tahu selama ni I tak pernah jadi anak yang baik untuk Daddy. Tapi.. Sebenarnya.. I sayangkan Daddy, Makcik.." tangisan Elena mulai pecah.
Makcik Jamilah juga turut mengalir air matanya melihat Elena sebegitu.
"I tak nak hilang Daddy.." Elena gagal menahan emosinya.
Makcik Jamilah tidak dapat berkata apa. Dia terus memeluk Elena.
"I dah hilang Mommy.. I tak nak hilang Daddy.." ronta Elena di dakapan Makcik Jamilah.
"Inshaallah.. Tuan akan selamat. Cik Elena jangan risau ya" pujuk Makcik Jamilah lembut seraya mengusap-usap belakang Elena.
Tanpa mereka sedar, rupa-rupanya, Kayla telah memerhatikan mereka sejak dari tadi dari dalam rumah. Dia juga turut menangis.
Selimut yang membaluti tubuh, Kayla genggam erat. Kemudian dibawa hingga menutup kepalanya.
"Daddy,.." Kayla merintih perlahan dari dalam selimut.
________________________
Roy memerhatikan Raid yang sedang membaluti tangannya sambil mengelamun.
Namun, sepertinya dia tahu apa yang sedang bermain di fikiran Raid ketika ini.
Roy meletakkan pistol di atas meja. Kerusi plastik ditarik dari bawah meja lalu dia bawa ke hadapan Raid.
Saat Roy berada di depannya, barulah lamunan Raid tersentak. Balutan kain steril di tangan kanannya dia potong dengan gunting.
"Aku nampak muka kau ni macam risau je. Kau risau pasal adik kau kena teruk sebab dah selamatkan kau kat jeti tadi atau kau risau pasal adik kau tu dah tahu yang kau masih hidup?" tanya Roy sambil dia memeluk tubuh memandang Raid.
Raid hanya merengus perlahan. Tidak dijawabnya pertanyaan Roy itu.
Roy tergelak sinis melihat Raid.
"Kau kata kau nak kenakan adik kau. Adik kau dah kena dah tadi. Happylah sikit" kata Roy.
Raid memandang Roy dengan pandangan tajam.
"Masalahnya, dia kena bukan di tangan aku. Dia kena sebab dia selamatkan aku dari kawan dia yang bodoh tu!" jawab Raid dengan nada tidak puas hati.
"Nampak sangat dia masih sayangkan abang dia sorang ni" kata Roy lagi dengan senyuman mengejek.
Darah Raid mula menggelegak. Dengan rasa yang marah, dia terus mencengkam kolar baju Roy dan dibawanya lelaki itu ke permukaan dinding.
"Sakitlah Raid, woi! Lepaslah!" Roy mencuba untuk melepaskan dirinya dari cengkaman Raid.
"Kalau kau nak rasa lebih sakit dari ini, kau cubalah lagi naikkan darah aku. Kau jangan main gila dengan aku, Roy" Raid memberi amaran.
"Ok! Ok! Aku minta maaf! Lepaslah! Sakitlah, bodoh!" rayu Roy. Dia tidak lagi dapat menahan kesakitan daripada terus 'dikunci' oleh Raid di dinding seperti itu.
Setelah itu, Raid pun terus melepaskan Roy.
Roy memegang lehernya sambil terbatuk-batuk setelah dilepaskan oleh Raid.
Raid memberi Roy jelingan maut sebelum beredar dari situ.
"Lepas ni apa plan kau?" soal Roy dari arah belakang.
"Cuti" jawab Raid ringkas.
"Cuti?! Eh, kau gila ke apa?! Sekarang ni lah masanya kau nak hapuskan si Black tu. Keadaan dia sekarang ni adalah peluang keemasan untuk kau tamatkan riwayat dia!"
Raid merengus. Bingit telinganya mendengar Roy yang terus membebel itu.
Tidak lama kemudian, Roy muncul di hadapan Raid.
"Raid. Adik kau tu bukan macam bodyguard yang lain, kau tahu tak? Adik kau tu, 10 orang konco aku pun dia boleh sapu macam tu je. Sekarang ni, si Black tu dah tumbang. Inilah masa kita untuk habiskan dia!"
"Kita?"
Roy terdiam seketika. Dipandangnya Raid dengan dahi berkerut.
"Ha'ah. Kita. Habis tu?" Roy sepertinya tidak mengerti akan maksud Raid.
"Tak, Roy. Bukan kita. Tapi aku" ujar Raid.
"Kau?" Roy kebingungan.
"Black aku yang punya. Kau punya, Tan Sri Zaim Mustafa" jelas Raid.
"Tapi Raid.."
"Dah. Kita dah buat kacau-bilau hari ni. Kita biarkan dulu si Black tu rehat. Bagi dia betul-betul sembuh. Aku tak nak hapuskan dia dalam keadaan dia lemah macam tu" kata Raid lagi. Dia menepuk sekali bahu Roy yang terkial-kial itu lalu beredar pergi.
______________________
Makcik Jamilah menghidangkan secawan teh untuk Tan Sri Zaim.
"Lega hati saya Tan Sri dah selamat" ujar Makcik Jamilah.
Tan Sri Zaim tergelak sekilas. Dahi Kayla yang tidur di pangkuannya itu dia kucup perlahan. Tangannya pun digenggam erat oleh Kayla.
"Alhamdulillah, Makcik Jamilah. Allah masih memberi saya kesempatan lagi untuk berjumpa dengan anak-anak saya" kata Tan Sri Zaim.
"Alhamdulillah. Budak-budak ni risau sangat pasal Tan Sri. Sampai susah diaorang nak tidur tadi" beritahu Makcik Jamilah.
Tan Sri Zaim hanya tersenyum nipis.
Kemudiannya, Tan Sri Zaim memanjangkan lehernya melihat ke arah bilik Elena yang berada di tingkat atas.
Sejak dia sampai tadi, hanya Kayla saja yang menyambut kepulangannya. Manakala Elena hanya memerhati dari tingkat atas.
Entahlah sama ada anaknya yang sulung itu berasa risau terhadapnya setelah apa yang terjadi seharian ini.
"Tan Sri nak saya panggilkan Cik Elena ke?" tanya Makcik Jamilah apabila dia menyedari Tan Sri Zaim sejak dari tadi melihat bilik Elena.
"Tak apalah, Makcik Jamilah. Mungkin, Elena dah tidur kot" agak Tan Sri Zaim.
Wajah Tan Sri Zaim kelihatan hampa. Makcik Jamilah menyedari akan hal itu. Mungkin, majikannya itu menyangka Elena tidak peduli akan dirinya.
Makcik Jamilah teringat pula tentang kejadian tadi. Di mana Elena menangis tersedu-sedu kerana begitu takut sekiranya dia tidak akan berjumpa lagi dengan ayahnya itu.
Patutkah aku bagitahu Tan Sri pasal hal itu ya? Manalah tahu, dengan tu, hati Tan Sri akan terpujuk. Tak adalah dia sangka Elena tu tidak mempeduli akan dirinya.
"Er.. Tan Sri.."
"Ya, Makcik Jamilah?"
"Tadi.."
"Makcik Jamilah" tiba-tiba suara Elena menerpa.
Makcik Jamilah lantas mengunci mulut.
"I haus. Buatkan I air" pinta Elena yang meneruskan saja langkahnya ke dapur. Dia langsung tidak menoleh ke arah Tan Sri Zaim yang berada di ruang tamu itu.
"Baik, Cik Elena. Tan Sri, saya minta diri dulu" Makcik Jamilah meminta diri dari situ.
Tan Sri Zaim hanya mengangguk sekali. Dia mengeluh perlahan. Nampaknya, Elena betul-betul tidak mahu menjenguknya. Apatahlagi hendak bertanya tentang keadaan dirinya.
________________________
"Cik Elena?"
Terkejut Elena apabila tiba-tiba Aisar muncul dari belakang.
"Aisar,.."
"Cik Elena buat apa kat sini?" tanya Aisar. Pelik dia melihat Elena yang berada di luar rumah pada jam 3 pagi begini.
Elena diam seketika. Dia melihat ke arah perkarangan rumah. Tiada tanda-tanda orang yang ditunggunya akan muncul.
Eddie.. Where are you? Kenapa tak balik lagi? Bisik Elena dalam hati.
Elena kemudian berpaling semula ke arah Aisar.
"Tak ada. I cuma nak ambil angin" bohong Elena.
"Oh,. Okey.. Erm. Saya rasa baik Cik Elena masuk bilik, tidur. Lagipun, Tuan kan dah selamat pulang. Tak ada apa lagi yang perlu Cik Elena risaukan" kata Aisar seraya mengukir senyuman halus.
Elena hanya membisu. Dia pun mengatur langkah dari situ.
Di tingkat atas, Elena memerhatikan Aisar yang sudah pun menutup pintu utama lalu Aisar menguncinya.
Elena semakin tertanya-tanya.
Daddy dah ada. Aisar pun ada. Yang lain pun dah ada. Semuanya selamat. Tapi, mana Eddie? Black juga. Cuma mereka berdua saja yang belum pulang. Ke mana agaknya mereka?
Elena membuat keputusan agar menunggu saja hari esok. Mana tahu, esok mereka dah ada.
Sewaktu Elena hendak masuk ke bilik, kelihatan pintu bilik Tan Sri Zaim terbuka sedikit. Langkahnya terhenti seketika.
Seperti ada sesuatu yang menolaknya untuk menapak ke bilik Tan Sri Zaim itu.
Elena tiba di hadapan pintu bilik. Pintu bilik itu dia buka lalu dia mengintip keadaan Tan Sri Zaim secara senyap.
Kelihatan Tan Sri Zaim tidak berseorangan di atas tilam. Kayla juga turut ada di situ sedang tidur di sebelahnya.
Elena mula sebak. Betapa dia pun ingin tidur bersama Tan Sri Zaim. Sungguh dia rindu mahu tidur di sisi ayahnya itu seperti zaman kecilnya satu ketika dahulu.
"Elena,.."
Elena tergamam tatkala tiba-tiba Tan Sri Zaim memanggil namanya.
Elena cepat-cepat mengesat air matanya yang mengalir.
"Elena.. Mari sini. Tidur dengan Daddy" ajak Tan Sri Zaim lembut.
Elena memandang ruang yang kosong di sebelah lagi sisi Tan Sri Zaim. Namun, melihat ada Kayla sekali di situ, keegoan wanita itu kembali menguasai dirinya.
Selama ni pun, aku tak pernah makan semeja dengan perempuan pembawa malang tu. Mana mungkin aku akan tidur sekatil pula dengan dia!
"It's okay. I tidur bilik I" usai itu, Elena terus pergi dari situ.
Tan Sri Zaim hanya mampu mengeluh halus. Dia sangat berharap agar malam itu, kedua-dua anaknya ada di sisi untuk menemaninya memandangkan hari itu adalah hari paling teruk yang pernah terjadi ke atas dirinya seumur hidup ini.
_______________________
-Secret Treatment Center-
Eddie hanya mampu melihat Black yang sedang dirawat dari luar pintu. Dia melihat Black dengan perasaan gelisah. Sesekali terdengar juga dia menghela nafas berat.
Apabila telefon bimbitnya berdering, Eddie menapak beberapa jarak dari situ. Jeneral Steeve di talian.
"Sir,.."
"How was he?"
"Sir.. He is being treated. I don't know the situation yet" sempat Eddie mengerling sekilas ke dalam bilik rawatan itu apabila Jeneral Steeve bertanyakan tentang situasi semasa Black.
"Has he seen Raid?"
"He saw him and... He protects him" kata Eddie seraya dia tertunduk lemah. Saat ini, dia mula ditampar perasaan bersalah.
"I've informed this to the superiors. Report to me about Agent Black's condition as soon as possible"
"Alright, Sir. I will report to you the current situation about Agent Black as soon I get the result"
Setelah itu, Jeneral Steeve pun memutuskan talian. Eddie kembali menapak semula ke bilik rawatan. Black sepertinya sudah selesai dirawat namun dia masih belum menyedarkan diri.
"Ejen Eddie?" tiba-tiba suara seorang lelaki menerpa dari belakang.
Eddie bersalaman dengan lelaki yang berbadan sasa itu sambil dia diiringi dua orang lelaki berpakaian serba hitam di sisinya.
"Saya Jeneral Gadaffi. Ketua Bahagian Staf Perisikan kat sini" lelaki itu memperkenalkan dirinya.
"Ejen Eddie dari Defense Intelligence Agency, DIA" Eddie pun memperkenalkan dirinya.
Jeneral Gadaffi kemudiannya menjengah keadaan Black yang berada di bilik rawatan.
"Awak dah bagitahu Ejen Black tentang false death statement Ejen Raid?" soal Jeneral Gadaffi.
Eddie mengeluh perlahan sebelum menjawab pertanyaan Jeneral Gadaffi itu.
"Belum, Tuan" jawabnya dengan nada merudum.
Jeneral Gadaffi turut mengeluh sama. Dia menepuk-nepuk bahu Eddie yang kelihatan tidak bermaya itu.
"Saya tahu awak tersepit, Ejen Eddie. Tapi, pihak kita tidak akan berkompromi dengan musuh. Saya yakin, Ejen Black tahu pasal itu" ujar Jeneral Gadaffi.
Eddie yang berdiri dalam keadaan bersiap sedia di hadapan Jeneral Gadaffi itu hanya membisu.
"Tindakan Ejen Black untuk melindungi Ejen Raid dari serangan awak tidak akan menjejaskan kredibiliti awak sebagai seorang ejen perisik. Awak cuma menjalankan tugas awak dan Ejen Black telah bertindak di luar kawalan" kata Jeneral Gadaffi lagi.
"Saya faham, Tuan. Apa-apapun, saya tidak salahkan Ejen Black. Saya akan menganggap, apa yang telah menimpa ke atasnya adalah kecuaian dari diri saya" jawab Eddie.
Jeneral Gadaffi enggan lagi berkata apa apabila Eddie sendiri berkata demikian. Dia hanya menganggukkan kepalanya.
"Baiklah, Ejen Eddie. You should rest. Orang-orang saya akan jaga Ejen Black" kata Jeneral Gadaffi lagi.
"Baik, Tuan. Terima kasih"
"Sama-sama. Selamat malam, Ejen Eddie"
"Selamat malam, Tuan"
Setelah itu, Jeneral Gadaffi bersama dua orang pengawalnya pun beredar dari situ meninggalkan Eddie.
_______________________
Kayla tersenyum kecil melihat Tan Sri Zaim yang masih nyenyak tidur itu.
Haihh.. Daddy.. Daddy.. Dah kena macam ni, baru tahu nak duduk rumah dan beristirehat. Kalau tak, waktu waktu macam ni, dah bergegas pergi office.
Kayla menutup semula pintu bilik Tan Sri Zaim.
Ok. Sekarang dah pukul 9 pagi. Daddy dah ok. Now, giliran untuk Black pula aku jenguk. Semalam, Abang Aisar bagitahu aku, Black dengan Eddie pergi balai polis untuk buat report. Sebab tu diaorang tak ikut balik sekali.
Di halaman rumah, bebola mata Kayla liar melihat sekeliling untuk mencari Black. Namun Black tiada di situ.
Ha! Kat laman belakang kot.
Kayla pun segera ke laman belakang rumah. Akan tetapi, cuma ada Naim dan juga Johan.
Kayla berdecit. Mana pula perginya Black ni? Takkan tak balik lagi kot dari balai polis?
Hm, jangan-jangan dia masih kat bilik kot. Yelah, dia kan dah 'berjuang' selamatkan Daddy semalam, mesti dia penat. Tapi, dia selalu bangun awal juga.
Ah! Malaslah nak berteka-teki ni. Baik aku pergi bilik dia terus.
Tanpa membuang masa, Kayla pun terus meluru ke sebuah bangunan yang khas untuk para bodyguard Tan Sri Zaim. Dia masuk dari bahagian pintu belakang. Kalau ikut pintu depan, dah sah sah kantoi.
Setibanya dia di kawasan tempat tinggal bodyguard peribadi keluarganya itu, Kayla segera mencari bilik Black yang juga turut dikongsi dengan Eddie.
Kayla tiba di sebuah pintu.
Ok.. Breath in.. Breath out.. Breath in.. Breath out..
*tok! *tok! *tok!
"Good morning, Black" ucap Kayla sambil dia mengetuk pintu bilik Black.
Namun tiada respon.
Kayla berdecit. Takkan tidur lagi kot?
*tok! *tok! *tok!
Kayla mengetuk lagi. Masih juga tiada respon. Dia mendekatkan cuping telinganya ke muka pintu.
Hmm.. Macam tak ada orang je.
Kayla melihat ke kiri dan kanan. Line clear ni. Ahhh! Masuk je lah!
Kayla pun tanpa segan silu terus meluru masuk ke dalam bilik Black.
Pergh! Sungguh biadap kau ya, Kayla Nasuha. Pagi pagi lagi kau dah ceroboh bilik orang. Bilik lelaki pula tu!
"Black?" Kayla memanggil-manggil nama Black sambil dia melihat sekeliling bilik itu.
"Black? Awak ada kat dalam ke?" Kayla bersuara lagi.
Ishh! Dia tak adalah! Mana pula perginya dia ni?
Kayla merengus geram. Dia duduk menghempas di atas katil sambil memeluk tubuh.
Seketika, dia ternampak akan seutas jam tangan di atas dressing table. Sekali lagi, tanpa segan silu, dia pun mencapai jam tangan tersebut.
Uuu! Bersinarlah jam ni! Cantiknya. Eh jap. Jam tangan ni warna hitam. Huh! Aku yakin! Ni mesti jam tangan Black.
Buat kali ketiga, tanpa segan silunya lagi, Kayla memakai pula jam tangan milik Black itu.
Kayla menilik tangannya. Wah! Elok je jam ni kat tangan aku.
"Okey. Noted. Thank you for that"
Menggelabah satu badan Kayla tatkala terdengar suara itu.
Ya Allah! Itu suara Eddie! Masak aku! Apa aku nak buat ni?
"Okey. I understand. Thank you"
Wehhh! Masak aku! Masak aku!
Kayla semakin kecut apabila suara Eddie semakin dekat kedengaran.
Sepantas kilat, Kayla terus bersembunyi di bawah katil. Itu je lah yang sempat dia fikirkan tempat untuk menyelamatkan diri.
Sepasang kaki kelihatan dari bawah katil.
Uwaarghhhh! Itu kaki Eddie! Ya Allah! Selamatkanlah aku! Kalau aku kantoi ni,.. 70 keturunan aku malu!
Kayla menekup mulut dan hidungnya agar tidak mengeluarkan sebarang bunyi.
Biarlah aku mati tak bernafas kat bawah katil ni. Yang penting, aku tak kantoi!!
Nasib menyebelahi Kayla apabila Eddie bergerak ke kamar mandi.
Apabila terdengar bunyi pancutan air dari dalam bilik mandi, Kayla pun terus berlari keluar dari tempat persembunyiannya itu seperti orang yang dikejar hantu.
"Arrghhhhh! Bodohhhlahhhh!"
Langkah Kayla terhenti seketika apabila terdengar suara Eddie berteriak dari dalam.
Kayla menjadi penasaran. Melalui jeritan itu, sepertinya Eddie tengah marah. Tapi kenapa?
Persoalan itu terpaksa diabaikan oleh Kayla. Sekarang bukan masa yang sesuai. Apa-apapun, aku kena pergi dulu dari sini.
_____________________
Kayla termenung seketika di kerusi balkoni biliknya.
Masih terngiang akan jeritan kemarahan Eddie yang dia terdengar tadi.
Kenapa agaknya Eddie marah sampai macam tu sekali? Dan.. Yang paling penting, kenapa dia balik sendiri? Black mana?
Kayla kemudiannya melihat jam tangan milik Black yang masih dia pakai di pergelangan tangan kanannya.
Black.. Mana awak?
Kayla mengeluh panjang. Tertanya-tanya dia keberadaan Black saat ini.
Telefon miliknya yang berada di sisi Kayla kerling sekilas. Skrin telefonnya itu hanya gelap. Sejak dari semalam dia menanti panggilan atau sekurang-kurangnya pesanan dari Black.
Mana awak ni, Black? Awak okey ke? Awak selamat ke? Kenapa tak call saya? Kenapa tak mesej saya? Awak tahu tak yang saya risaukan awak?
Sedang dia melayan perasaan kerisauannya pasal Black, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering.
Black!
Namun Kayla sedikit hampa apabila melihat nama si pemanggil. Dia merengus geram. Time time lahh dia nak call aku.
Geram geram pun, Kayla tetap juga menjawab panggilan dari Wafa itu.
"Ha. Nak apa?"
"Amboi makcik ni, awal pagi lagi dah badmood. Eh, tak elok tau cakap kasar kasar kat mama to be ni. Berdosa" omel Wafa.
Tawa Kayla tercetus. "Pandai je kau. Hadis mana kau pakai ni?"
Wafa turut tergelak.
"Ada apa call aku pagi pagi ni?" tanya Kayla. Kali ini dia tanya secara sopan.
"Babe, esok malam aku ada buat makan-makan sikit tau. Tiba-tiba pula aku rasa nak makan ramai-ramai. Yelah, aku ni family pun jauh kat KL sana tu. Minggu depan diaorang datang. Tapi, aku rasa lama sangatlah minggu depan tu. So, aku nak ajak kau sekali makan dengan aku. Aku ada gak jemput jiran aku kat sini sorang dua. Kau datang eh" ajak Wafa bersungguh-sungguh.
"Ni kau mengidam ke atau kau buat perangai?"
"ISHHH! KAYLAAAAA!"
"Hahahahahaha! Yelah! Pelik pula permintaan kau ni. Tiba-tiba je nak makan ramai-ramai" kata Kayla pelik sambil ketawa.
"Tu lahhh.. Alaa.. Kau faham-faham je lah ibu mengandung ni" balas Wafa di talian.
"Hnmm.. Okeylahh okeylah. Esok malam aku datang, ok mama?"
"Yeayyy! Okey! Eh Kay.."
"Ha? Apa lagi?" haihh mama to be ni. Banyak pula ragam dia ni.
"Kau tak baik tau tipu aku"
"Ha? Aku tipu apa?" Kayla menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Pulak dah. Apa benda yang aku tipu dia ni?
"Ammar dah cerita semua kat aku pasal Abu. Nama dia bukan Abu kan? Nama dia Black"
Tatkala Wafa membuka topik pasal Black, Kayla terus terdiam.
"Kau ajaklah dia datang sekali esok malam" suruh Wafa.
"Eh, tak apalah. Aku datang dengan.."
"Alah kau ni! Malu-malu pulak! Dah, dah, dah. Aku tak kira. Aku nak kau datang juga dengan Black. Kalau tidak, kau jangan masuk rumah aku" Wafa memberi amaran.
"Wafa, aku.."
"Jumpa esok, babe! Bye!" Wafa memutuskan talian tanpa sempat Kayla berkata apa.
Kayla menepuk dahinya lalu tersandar di kerusi.
Habis. Aduhailah perempuan mengandung ni! Macam-macam pula permintaan dia.
Macam mana aku nak datang dengan Black kalau aku sendiri pun tak tahu mamat tu ada kat mana sekarang? Haishhh!
___________________________
Apabila terdengar suara ekzos kereta, Kayla segera mencampakkan novel yang dibacanya di sisi katil. Dia berlari anak ke balkoni bilik.
Kelihatan Tan Sri Zaim hendak keluar.
"Daddy!" Kayla memanggil.
Tan Sri Zaim yang baru saja hendak masuk ke kereta itu mendongak melihat ke arah balkoni bilik Kayla.
"Daddy nak pergi mana tu?" tanya Kayla.
"Daddy nak keluar kejap dengan Kak Elena" jawab Tan Sri Zaim.
"Ha? Nak keluar dengan Kak El sekali?" Kayla mengukir senyuman lebar.
Wah! Jarang-jarang Kak Elena nak keluar dengan Daddy. Aku kena ikut ni! Barulah lengkap!
"Daddy! Kejap! Kay nak ikut!"
Sepantas kilat, Kayla terus ke dressing tablenya. Tak payah touch up sangatlah. Just pakai lip balm. Tempek bedak sikit. Ok siap!
Sling beg dan telefonnya Kayla capai dengan segera lalu keluar dari biliknya dengan keadaan tergesa-gesa.
Eeee bestnya! Keluar satu family! Lama dah aku tunggu saat ni!
Setibanya di perkarangan rumah, kelihatan Elena sudah pun berada di situ bersama-sama dengan Tan Sri Zaim.
"Ok, I'm ready to go. Jom!" ajak Kayla dengan teruja sekali.
Elena merengus seraya memutarkan bebola matanya. "Menyemak je" gumamnya dengan rasa menyampah.
Kayla tersentak seketika. Tapi, tak apalah. Yang penting, dapat keluar bertiga sekali.
"Kay.. Kay duduk rumah ya" Tan Sri Zaim bersuara.
Kayla sekali lagi tersentak. Dipandangnya wajah Tan Sri Zaim dengan muka kebingungan.
"Maksud Daddy?" Kayla menyoal.
"Kay, Daddy.."
"Kau tak faham lagi ke? Daddy nak keluar berdua dengan aku" celah Elena. Ditekan perkataan 'berdua' itu.
Kayla melihat ke arah Tan Sri Zaim. Dia menginginkan jawapan yang sebetulnya dari Tan Sri Zaim sendiri.
Tan Sri Zaim memandang Kayla dengan pandangan redup.
"Esok Daddy keluar dengan Kay pula, ok? Hari ni Daddy nak keluar dengan kakak" kata Tan Sri Zaim dengan lembut sekali.
Tipulah kalau Kayla tidak berasa hampa ketika ini. Namun, dia tidak mahu membuatkan Tan Sri Zaim dihempap perasaan bersalah. Kayla hanya mengukir senyuman tawar.
"Okey, Daddy. Daddy dengan Kak El hati-hati, okey?" Kayla terpaksa akur.
"Okey. Nanti.."
"Daddy, dahlah. Kita dah lambat ni. Jom" Elena terus membawa Tan Sri Zaim masuk ke dalam kereta.
Dengan perasaan kecewa, Kayla mengundur setapak apabila kereta BMW M5 yang dinaiki Tan Sri Zaim dan Elena mula meninggalkan perkarangan rumah.
_____________________
Seorang wanita lengkap memakai pant suit menapak ke arah sebuah bilik yang lurus di hadapan.
Apabila dia tiba di muka pintu, dua orang pengawal yang menjaga bilik itu menunduk kepala sedikit tanda hormat terhadapnya.
"Ejen Black masih ada kat dalam?" tanya wanita yang berambut panjang paras bahu itu.
"Masih, Doktor" jawab salah seorang pengawal itu.
Wanita itu mengukir senyuman kecil. Setelah itu, dia pun melangkah masuk ke dalam bilik rawatan Black.
Tatkala dia masuk ke dalam bilik rawatan, kelihatan katil yang berada di situ sudah dikemas rapi.
"Ejen Black?" wanita itu mencari Black. Sepatutnya, Black masih lagi terbaring di situ dan beristirahat.
"Aku tak perlukan perkhidmatan kau. Aku kena pergi" tiba-tiba suara Black kedengaran di sebalik almari.
Wanita itu melihat Black dari atas hingga bawah. Sepertinya Black hendak keluar.
"Tak semua orang yang menerima rawatan psikologi itu ada masalah mental" ujar wanita itu sambil memeluk tubuh.
Black hanya membungkam. Pintu almari ditutup. Zip jaketnya diluncurkan hingga ke atas.
Black segera melangkah ke arah pintu untuk keluar dari situ namun dia ditahan.
Wanita tadi mengambil posisi di hadapan Black.
"Saya Doktor Rania. Pegawai Psikologi Bahagian Perisikan. Saya ditugaskan oleh Jeneral Gadaffi untuk merawat awak, Ejen Black" jelas Doktor Rania.
"As I said, aku tak perlukan perkhimatan kau. Aku tak gilalah" jawab Black.
"As I said too, tak semua orang yang menerima rawatan psikologi itu ada masalah mental. Saya dah baca laporan awak dan saya dah tahu apa yang telah terjadi ke atas awak" kata Doktor Rania pula.
"Pihak DIA sudah tahu keadaan aku dan mental, emosi dan fizikal aku stabil. Aku tak perlukan sebarang rawatan psikologi" Black masih melawan.
"Ejen Black, saya tak rasa awak dapat terima hakikat yang abang awak masih hidup. Lagi lagi, apabila sekarang, abang awak sendiri yang menjadi dalang di sebalik misi awak di Terengganu ni" Doktor Rania juga enggan mengalah.
Apabila Doktor Rania mula membuka topik pasal Raid, Black terdiam seketika.
"Seorang ejen yang bagus tidak akan berkompromi dengan pihak musuh. Tapi semalam, tindakan awak menyelamatkan Raid iaitu musuh awak untuk misi kali ini, menunjukkan awak gagal mengawal emosi awak semasa menjalankan misi dan saya adalah orang yang bertanggungjawab ke atas hal itu" sambung Doktor Rania lagi. Kali ini nada suaranya kedengaran tegas.
Black masih lagi membisu di posisi.
"Pihak DIA sudah memberikan data awak kepada saya. Saya tahu awak siapa. Saya kenal awak siapa. Awak ejen terbaik DIA. Awak tak pernah buat silap jauh sekali gagal dalam semua misi rahsia awak selama ni. Semalam adalah kegagalan pertama awak sebagai ejen. Ejen Black, Raid, dia kini adalah musuh awak. Bukan abang awak atau rakan sekerja awak. Untuk menerima hakikat tu, awak perlukan perkhidmatan saya" tambah Doktor Rania untuk menyedarkan Black.
Terdengar keluhan halus keluar dari mulut Black. Dia sepertinya tewas dengan kata-kata Doktor Rania itu.
______________________
"Eddie?"
Eddie menghentikan langkahnya apabila dipanggil oleh Aisar.
"Ada apa, Aisar?" tanya Eddie apabila Aisar tiba di dekatnya.
"Aku nak ucapkan terima kasih" tutur Aisar.
Eddie tertawa pelik. Dipandangnya Aisar dengan dahi berkerut.
"Terima kasih? Sebab?" Eddie meminta kepastian.
"Terima kasih sebab kau dan Black dah bagi kerjasama yang padu untuk tolong aku menyelamatkan Tuan dari Roy" jelas Aisar.
"Pasal tu kau nak ucap terima kasih?" Eddie bagaikan tidak percaya. Ingatkan apalah tadi.
"Dan.. Aku juga nak minta maaf"
"Pulak dah. Tadi terima kasih. Sekarang minta maaf pula"
"Aku minta maaf sebab selama ni aku tak hormat kau dengan Black. Especially Black" kata Aisar lagi. Dia begitu segan hendak memandang Eddie.
Eddie hanya ketawa pendek. Dia menepuk-nepuk bahu Aisar.
"Dahlah. Aku ok je. Tapi, yang pasal hal kau dengan Black tu, kau cakap sendirilah dengan dia" ujar Eddie.
Aisar hanya mengangguk perlahan. Dia tahu, itulah sepatutnya yang dia lakukan. Dia perlu meminta maaf kepada Black secara bersemuka. Apatah lagi, semasa di jeti semalam, Black telah menyelamatkannya dari dilanggar bot.
"Aku dah berhutang nyawa dengan Black. Aku harap, aku dapat jumpa dia tak lama lagi" kata Aisar yang kini menyangkakan Black sedang dirawat di hospital.
Eddie menghela nafas berat seraya mengangguk lesu. Dia pun berharap perkara yang sama.
"Eddie, aku nak tanya kau something, boleh?" Aisar kembali bersuara.
"Tanyalah"
"Lelaki yang pakai kemeja merah tu, siapa eh? Asal Black sanggup selamatkan dia dari serangan kau masa kat bot semalam?"
Lidah Eddie lantas menjadi kelu apabila Aisar bertanyakan pasal Raid.
Melihat Eddie membungkam sebegitu, Aisar berfikiran bahawa Eddie tidak ada jawapan untuk soalannya itu.
"Eh by the way. Macam mana keadaan Black sekarang? Dia dah ok? Dia dah sedar?" tanya Aisar lagi.
"Kenapa dengan Black?" tiba-tiba Kayla muncul di situ.
Aisar dan Eddie masing-masing membatu.
Kayla mula berasa tidak sedap hati. Mula-mula, hari ini dia tidak nampak kelibat Black langsung. Lepas tu, Eddie pun balik seorang. Dan sekarang, dia terdengar pula Aisar bertanyakan tentang keadaan Black.
"Eddie, Abang Aisar. Jawablah. Black kenapa?" Kayla melihat Aisar dan Eddie silih berganti.
Melihat reaksi Aisar dan Eddie yang cuak semacam itu, seluruh tubuh Kayla terasa lemah. Dia bagaikan hendak menangis sedangkan dia belum tahu lagi tentang keadaan sebenar Black.
Sslamat membaca, guys! Maaf diatas kelewatan :(
Share this novel