Denyutan kepalanya membuatkan Kayla terjaga dari tidur. Sebaik saja dia membuka mata, kelihatan di sekeliling gelap gelita.
Dengan keadaan yang masih mamai, Kayla mencapai telefonnya untuk melihat jam.
Terbuntang mata Kayla apabila sekarang sudah pukul 10 pagi.
Kalau sekarang jam 10 pagi, kenapa bilik aku gelap je ni? Kayla tertanya-tanya sendiri.
Ya Allah,..! Kayla menepuk dahinya.
Memanglah gelap. Dari kemarin kot aku berkurung dalam bilik ni.
Saat dia hendak duduk, kepalanya terasa begitu berat sekali. Seperti dicengkam oleh sesuatu. Tangan dan kakinya terasa sejuk. Kayla kemudian menaruh belakang tapak tangan ke dahi.
Keluhan halus keluar dari mulut Kayla.
Masa ni pulaklah nak demam bagai. Aku dahlah malas nak keluar.
Kayla menggeliat malas. Kedua-dua belah tangan terangkat ke udara. Lemasnyaaa! Aku tak suka betullah kalau sakit ni.
________________________
Sambil Makcik Jamilah menghidang sarapan, dia banyak kali mengeluh. Matanya asyik-asyik memandang ke arah bilik Kayla.
Elena yang berada di situ menjulingkan matanya ke atas.
"Dahlah tu, Makcik Jamilah. Dia yang tak nak keluar dari bilik. Dia yang degil tak nak keluar makan. Lantaklah dia" Elena bersuara sambil menjamu selera.
"Makcik risaulah, Cik Elena. Entah ok ke tidak dia Cik Kayla tu kat bilik" kata Makcik Jamilah.
"Makcik, kalau dia mati sekali pun dalam bilik tu, itu tak ada kena mengena dengan Makcik" balas Elena. Meluat pula rasanya apabila melihat Makcik Jamilah begitu merisaukan Kayla.
"Kau cakap apa ni, Elena? Mulut kau ni tak boleh ke cakap benda yang elok-elok?" tiba-tiba Eddie pula mencelah.
Elena merengus. Entah datang dari mana, tahu menyampuk je mamat ni.
"Makcik Jamilah, Kayla dah keluar dari bilik?"
Terhenti kunyahan nasi goreng Elena apabila Eddie pula bertanyakan pasal Kayla.
"Tu lah, Eddie. Cik Kayla masih belum keluar lagi. Makcik risaulah"
"Hmmm.. Tak apalah. Makcik Jamilah cuba dulu pujuk dia. Saya dengan Black nak keluar kejap, ada hal. Makcik tolong tengok-tengokkan Kayla ya. Kalau ada apa-apa, telefon kami cepat-cepat" pesan Eddie.
"Okey, Eddie"
Sudu yang di tangan Elena genggam dengan penuh rasa marah.
Dipandang Eddie yang berada beberapa jarak di sebelahnya itu dengan pandangan tajam sekali.
"Lagi satu, kalau Kayla.."
Sreettttt!
Terputus ayat Eddie apabila kerusi diduduki Elena terseret kuat. Napkin dan sudu dihumban ke atas meja dengan muka bengisnya.
"Cik Elena dah habis makan ke?" soal Makcik Jamilah hairan kerana Elena baru saja makan beberapa suap. Nasi goreng di piringnya juga tidak luak.
Namun Elena tidak mengendahkan Makcik Jamilah. Dia terus meluru masuk ke dalam biliknya.
Pintu bilik dihempas kuat.
Nafas Elena tercungap-cungap menahan kemarahan.
Bodohlah! Asal semua orang dalam rumah ni sibuk sangat nak risaukan perempuan pembawa malang tu?!
"Kenapa lagi Elena tu? Tak sah kalau tak badmood sehari" Eddie menggeleng kepala.
"Alaahh, Eddie. Faham-fahamlah.."
"Faham-faham? Maksud Makcik?"
Makcik Jamilah tergelak kecil. Eddie dengan Black ni dua kali lima je. Kalau bab berlawan, tangkas. Tapi kalau bab macam ni, slow pula.
"Eddie, kalau setakat Makcik Jamilah je yang risau pasal Cik Kayla, rasanya Cik Elena boleh terima lagi kot. Tapi, kalau dah kamu yang risau pasal Cik Kayla, cemburulah dia jadinya" jelas Makcik Jamilah.
Eddie hanya ketawa kekok. Boleh pula Makcik Jamilah terfikir sampai ke situ sekali. Terus segan dia dibuatnya.
______________________
Apabila ternampak akan Wafa yang sedang mengangkat sebuah kotak buku yang baru sampai, laju saja Ikaa memecut ke arahnya.
"Wafaaa! Ya Allah, awak buat apa ni??" Ikaa cemas semacam. Cepat-cepat dia mengambil kotak buku itu dari tangan Wafa.
Wafa terkebil-kebil melihat Ikaa. "Lahhh.. Saya tengah buat kerjalah. Apa lagi?"
"Ishhh! Jangan, Wafa! Kotak ni berat. Awak tu mengandung. Kang jadi apa-apa, susah" ujar Ikaa.
Wafa tergelak pendek. Dia mengusap perutnya yang sudah kelihatan baby bump itu.
"Sorry sayang.. Mama minta maaf" tutur Wafa kepada perutnya.
Ikaa menggeleng perlahan. "Awak ni, Wafa. Ingat sikit, awak tu pregnant. Buat je kerja yang ringan ringan" pesan Ikaa sambil mereka masuk bersama ke dalam kedai buku.
"Okey bos" Wafa hanya akur.
Wafa dan Ikaa menapak ke arah rak buku novel. Mereka menyusun novel yang baru sampai itu bersama-sama.
Sedang dia menyusun novel, Wafa teringat pula akan Kayla. Dia kemudiannya mencapai telefon bimbit yang terselit di poket seluar.
Wafa mengeluh halus.
Kenapa Kayla tak call aku balik? Chat aku pun semua dia tak reply.
"Asal tu?" tanya Ikaa apabila melihat Wafa monyok semacam.
"Kayla" nama Kayla terpacul dari mulut Wafa.
"Kayla? Kenapa dengan Kayla?"
"Tak adalah. Saya risaulah. Sejak kemarin saya call dia tapi dia tak angkat. Chat saya pun dia tak reply langsung"
"Kayla busy kot"
"Busy apanya? Dia bukannya kerja. Bukan apa, kemarin, dia hampir kena langgar tau"
"Kayla hampir kena langgar?!" bagai hendak terkeluar biji mata Ikaa. Terkejut betul dia mendengar berita itu.
Ikaa terus mendekati Wafa.
"Habis tu? Kayla ok tak?" tanya Ikaa yang mula cemas itu.
"Alhamdulillah, okey. Nasib baik Ammar sempat selamatkan dia" jawab Wafa.
"Oh yeke,.. Nasib baik. Hmmm.. Alahh Wafa. Awak janganlah risau. Mungkin Kayla masih dalam keadaan terkejut kot sekarang ni. Biarlah dia rehat dulu. Nanti kalau dia dah okey, mesti dia call awak balik" kata Ikaa seraya menepuk perlahan lengan Wafa.
Mendengar Ikaa berkata demikian, hati Wafa menjadi sedikit terpujuk. Dia hanya mengangguk sambil mengukir senyuman tawar.
_______________________
*tok! *tok! *tok!
"Kayla? Aku ni, Eddie. Bukalah pintu"
Elena yang mengintip di sebalik pintu biliknya mengetap bibir. Sakit hatinya apabila melihat Eddie siap membawakan makanan untuk Kayla.
Eyy perempuan tak guna! Tak cukup Black dia goda, Eddie pun dia nak jugak!
"Kayla? Aku tahu kau ada kat dalam. Bukalah pintu ni. Makanlah sikit"
Elena merengus geram. Hatinya makin lama makin terasa panas.
Eddie mencuba untuk membuka pintu bilik Kayla itu namun ianya sudah dikunci dari dalam oleh Kayla.
"Kayla, keluarlah,.. Makanlah sikit. Dari semalam kau tak makan apa-apa. Nanti kau sakit" Eddie terus berusaha untuk memujuk Kayla keluar.
Dan, selagi Eddie terus memujuk, selagi itulah hati Elena semakin sakit. Menyampah. Meluat. Makin benci. Semualah!
"Kay,.. Kau gaduh dengan Black eh? Sebab tu kau mogok macam ni? Cuba bagitahu aku apa Black dah buat kat kau. Biar aku ajar dia cukup-cukup"
Elena memutarkan bebola matanya. Dia berdecit. Now what? Nak jadi hero pula.
"Kayla?"
Eddie mengeluh hampa apabila tiada respon dari Kayla. Nampaknya, Kayla tetap berkeras tidak mahu keluar dari bilik.
"Okey fine. Aku takkan paksa kau kalau kau tak nak keluar. Tapi, kau kena makan. Aku letak makanan ni kat luar sini tau. Aku dengan Black nak keluar kejap. Kau makan, ya" ujar Eddie.
Setelah itu, Eddie pun duduk melutut lalu meletakkan dulang yang dia pegang sejak tadi di atas lantai.
Eddie mendekatkan cuping telinganya di muka pintu namun keadaan senyap sunyi.
"Kay? Aku tak tahu apa dah jadi antara kau dengan Black tapi aku nak bagitahu kau yang Black risau sangat pasal kau" kata Eddie lagi lalu dia mula melangkah pergi dari situ.
Dulang di atas lantai itu direnung begitu tajam oleh Elena.
_________________________
Sambil memandu, Eddie sesekali melihat ke arah Black yang sejak dari tadi termenung itu. Malahan sebenarnya, sejak dari semalam lagi Black seperti itu. Atau lebih tepat, Black seperti itu selepas dia bertengkar dengan Elena.
"Kau jangan risaulah, Black. Aku dah letak makanan kat depan bilik Kayla tadi. Nanti dia makanlah tu" kata Eddie memecah kesunyian.
Black mengeluh panjang seraya meraup wajahnya perlahan.
"Semalam Elena ada bagitahu aku sesuatu pasal Kayla" Black bersuara.
"Jadi maknanya, kau jadi macam ni sebab dah kena hasut oleh Elena?"
"Eddie, apa yang Elena bagitahu aku semalam, semuanya.."
"Kau ada tanya Kayla tak pasal apa yang Elena bagitahu kau pasal dia?" Eddie mencelah.
Black lantas terdiam. Sejujurnya, dia langsung tidak menghubungi Kayla sejak dari Kayla meluahkan perasaan kemarin.
Eddie ketawa pendek. Dia menggeleng perlahan. Entah sejak bila pula Black ni mudah diperdaya.
"Black, kau pun tahu kan Elena tu macam mana?"
Black masih lagi berdiam diri. Namun, segala apa yang Elena ceritakan semalam kepadanya masih berbekas di ingatan dan sememangnya menyentak hati.
"You tahu tak kenapa Mikael buat keputusan untuk study kat London sedangkan dia dapat tawaran untuk sambung study di universiti yang sama dengan Kayla?"
"Black, untuk pengetahuan you. Kayla yang paksa Mikael untuk belajar kat London. So let's make it short. Kesimpulannya, Kayla punca sebenar Mikael meninggal"
"You tak nak tahu ke kenapa Kayla sanggup juga nak bertunang dengan Mikael padahal dia cintakan Kashaf?"
"Sebab itu syarat yang dia buat dengan Mikael. Kayla bersetuju untuk bertunang dengan Mikael asalkan Mikael sanggup berjauhan dengannya. Kayla buat semua ni sebab dia marahkan Mikael. Kayla beranggapan Mikaellah punca Kashaf pergi. Sedar tak sedar, Kayla bukan saja membuatkan Mikael berjauhan dengannya tapi Kayla juga telah menyebabkan Mikael berjauhan dengan ahli keluarganya, Aunty Suhada dan Uncle Noor!"
Black semakin buntuh.
Apa yang Elena cakapkan semalam, semuanya masuk akal dan hampir mendapat kepercayaannya.
"Black, kau masih fikirkan pasal hal tu ke?" Eddie kembali bertanya apabila melihat raut wajah Black yang masih gelisah itu.
"Kau tak tahu apa yang Elena cerita kat aku semalam. Kau tahu tak? Apa yang dia cerita kat aku pasal Kayla,.."
"Jadi kau percayakan Elena?" Eddie memutuskan ayat Black.
"Aku tak tahu cuma.."
"Black, kau pun tahu yang Elena tu bencikan Kayla. Selama ni pun, dia tak pernah anggap Kayla tu macam adik dia. Jadi, kita tak boleh percaya bulat-bulat apa yang Elena cakap pasal Kayla. Mungkin, dia cuma nak buruk-burukkan Kayla?"
"Tapi, macam mana kalau apa yang Elena cakap tu semuanya betul?"
Kali ini, giliran Eddie pula yang terdiam seribu.
Dan akhirnya, mereka berdua pun masing-masing membungkam sepanjang perjalanan.
_______________________
Segala makanan dibuangnya ke dalam tong sampah. Minuman pula dituang ke sinki.
Huh! Puas hati aku!
"Cik Elena?"
"Oh My God! Makcik Jamilah! Terkejut I tau!" roh Elena berkeliaran sekejap. Sungguh dia terkejut apabila Makcik Jamilah tiba-tiba muncul di dapur itu.
"Cik Elena buat apa kat dapur ni?" tanya Makcik Jamilah.
Elena mula cuak namun dia handal mengawal reaksi mukanya. Kakinya menyorong tong sampah ke dalam bawah sinki.
"Tak ada apa. I haus. I nak minum"
"Nak minum? Habis tu, kenapa Cik Elena ada kat sinki pula?" Makcik Jamilah bertanya lagi.
"Ish, Makcik Jamilah ni! Banyak tanyalah!" Elena mula berang dek kerana sudah menggelabah.
"Ok, ok. Maaf, Cik El. Err.. Cik El nak air apa? Makcik Jamilah buatkan"
"Tak payah! I dah tak haus dah!"
Elena mendengus kasar. Setelah itu, dia pun beredar dari situ meninggalkan Makcik Jamilah.
Baru saja dia hendak membuka sliding door dapur untuk keluar, kebetulan Makcik Jemaimah pula hendak masuk.
Apabila ternampak Elena betul-betul berada di hadapannya, Makcik Jemaimah terus kaku seperti patung. Matanya membulat melihat Elena.
Elena mengerutkan dahinya.
"Makcik Jemaimah ni dah kenapa? Nampak I macam nampak hantu je" pelik pula Elena dibuatnya.
"Err.. Tak.. Tak ada apa-apa, Cik Elena" jawab Makcik Jemaimah terketar-ketar.
"Hish! Macam-macamlah orang gaji kat rumah ni" omel Elena sebelum dia beredar dari situ.
Bila Elena sudah beredar, Makcik Jemaimah cepat-cepat menutup sliding door dapur itu dan terus menuju ke arah Makcik Jamilah yang sedang mencuci pinggan di sinki.
"Kak Jamilah!"
"Jemaimah,. Kamu ni kenapa? Buat terkejut je"
Makcik Jemaimah melihat pinggan dan gelas yang telah dicuci oleh Makcik Jamilah itu. Kemudian dia mencari pula tong sampah.
"Kenapa dengan kamu ni, Jemaimah? Kamu tengok apa kat tong sampah tu? Kotorlah!" tanya Makcik Jamilah apabila melihat Makcik Jemaimah yang menyelongkar tong sampah itu.
Makcik Jemaimah mengucap panjang sambil dia menggeleng kepala.
"Sampai hati dia buat adik sendiri macam ni" kata Makcik Jemaimah dengan nada kecewa.
Makcik Jamilah mula menjadi penasaran.
Setelah itu, Makcik Jemaimah pun menceritakan hal yang sebenar kepada Makcik Jamilah.
________________________
Tiba di Pusat Kawalan Operasi, tiba-tiba mata Black tertancap ke arah seorang wanita yang bersendirian di kaferia.
Walaupun wanita yang memakai blouse formal berwarna putih itu duduk membelakanginya namun Black seakan mengenalinya.
Black menyuruh Eddie terlebih dahulu masuk ke pejabat sementara dia mahu berjumpa dengan wanita tersebut.
"Doktor Rania?" Black menyapa.
Doktor Rania tersenyum kecil menyambut kedatangan Black itu.
"Ejen Black. How are you?"
"I'm good"
"Eh, janganlah berdiri je. Have a seat" Doktor Rania menjemput Black untuk duduk.
Black pun melabuh punggung berhadapan dengan Doktor Rania.
"So, awak datang ke sini untuk briefing pasal Raid?" tanya Doktor Rania.
Black hanya menganggukkan kepalanya.
Doktor Rania tergelak pelik. Selalunya, Black ni jenis yang ada je jawapan keluar dari mulut.
"Are you okey, Ejen Black?" tanya Doktor Rania lagi. Dia sepertinya dapat merasakan ada sesuatu yang menganggu ejen elit DIA itu.
Black menjawab pertanyaan Doktor Rania itu dengan keluhan panjang.
Doktor Rania tersenyum nipis. Dia sudah mengagak.
"Okey. I'm listening" Doktor Rania yang tadinya menyandar itu kini memperbetulkan posisi kedudukannya menghadap Black.
"Doktor, client untuk misi aku kali ni bukan saja menghadapi konflik dengan orang luar tapi diaorang juga menghadapi konflik dalaman" Black mula membuka bicara.
"Maksud awak? Family conflict?"
"Lebih kurang macam tu"
"Okey, I see. Konflik keluarga ni benda yang tak boleh dibawa main. Boleh awak ceritakan dengan lebih terperinci?"
"Konflik ni sebenarnya lebih kepada anak-anak perempuan client aku. Yang kakak bencikan adik dia. Aku tak tahu kenapa"
"Okey.. I see..."
Doktor Rania diam seketika. Mungkin ketika ini dia sedang berfikir sesuatu.
"Semalam, yang kakak ni, dia ceritakan sesuatu pasal adik dia pada aku. Dan.. Itu mengganggu aku" kata Black.
Sekarang, barulah Doktor Rania lebih mengerti.
"Look, Ejen Black. Seperti yang awak cakapkan tadi. Yang kakak ni bencikan adik dia. Ejen Black, awak kena tahu sesuatu pasal perasaan benci ni. Sebenarnya, perasaan benci ini beragam bentuk. Perasaan benci boleh hadir dalam 3 aspek iaitu hanya pada melalui pemikiran seseorang itu, melalui lisan dan juga melalui tindakannya" Doktor Rania mula mencari solusi untuk masalah yang dihadapi oleh Black itu.
"Apabila seseorang itu membenci, dia akan muda berprasangka buruk terhadap orang lain lagi lagi kepada orang yang dia benci. Tak kisahlah apa pun yang dilakukan oleh orang yang dibenci ini, semuanya salah di mata orang yang membenci" Doktor Rania meneruskan ayatnya.
Jika di waktu pertama kali mereka bersua, Black seakan-akan kurang memberi tumpuan namun kali ini Black begitu teliti dalam mendengar segala apa yang dikatakan oleh Doktor Rania.
"Apa yang pasti, membenci itu satu sifat yang tidak menyihatkan bagi otak seseorang manusia. Kebencian itu menimbulkan kelelahan terhadap hati dan pemikiran. Disebabkan benci, seseorang itu akan lebih muda berfikir negatif terhadap orang lain. Bermula dari rasa benci, seseorang itu akan lebih kerap berprasangka buruk" tambah Doktor Rania lagi.
Semakin lama, Black teringat akan kata-kata Eddie pula. Apa yang dikatakan oleh Doktor Rania dan Eddie ini saling berkait.
Mungkinkah betul Elena cuma hendak memburuk-burukkan Kayla saja? Tapi, takkanlah sampai macam tu dia nak reka cerita?
"Doktor, apakah, orang yang mempunyai rasa benci ni, kita tak boleh percaya apa yang dia cakapkan?" tanya Black.
"Ejen Black, pembenci itu adalah seorang manusia jugak. Kita tak boleh hendak menilai dia hanya kerana dia seorang pembenci. Tapi, macam yang saya cakapkan tadi. Sekiranya seorang itu ada perasaan benci, dia akan muda berprasangka buruk terhadap orang lain lagi lagi kepada orang yang dia benci" jawab Doktor Rania lembut.
"Tapi.. Macam mana kalau apa yang dia cakapkan tu semuanya betul? Macam mana kalau si pembenci ini sebenarnya membenci kerana orang yang dia benci tu pernah buat kesalahan yang besar satu ketika dulu?"
"Itulah yang kita panggil sebagai masa silam, Ejen Black"
Black menghela nafas berat lalu menyandar lemah di kerusi.
"Jadi.. Mungkinkah yang membenci ini bercakap benar?" soal Black lagi. Kali ini dia kelihatan mula kecewa.
Doktor Rania hanya membungkam. Dipandangnya lelaki yang memakai kemeja berwarna dark grey itu dengan senyuman halus.
_______________________
"Jadi, kereta yang cuba melanggar anak client VIP kami semalam adalah kereta klon, Tuan?" tanya Eddie.
"Ya, Ejen Eddie. Pasukan Penyiasat kami mendapati kereta merah tersebut dibawa masuk secara haram dari Singapura dan telah melanggar syarat Permit Pengedaran Antarabangsa" jelas Jeneral Gadaffi.
Eddie mengangguk faham.
Seketika, Eddie melihat ke arah Black. Eddie pelik apabila sejak dari tadi Black hanya membisu. Semalam bukan main risau lagi dia pasal Kayla. Tapi sekarang, dia nampak macam tak berminat langsung nak ambil tahu pasal hal Kayla ni.
Namun, melihat Jeneral Gadaffi yang sepertinya tidak perasan akan fikiran Black yang kini bukan di sini, Eddie membiarkan saja Black begitu.
"Dah dapat cam ke muka suspek? Dah buat face recognition system?" Eddie bertanya lagi.
"Ya, kami dah jalankan FRS dan ini adalah keputusannya" Jeneral Gadaffi memberikan sehelai kertas yang terpapar bentuk wajah seseorang kepada Eddie dan juga Black.
Eddie menyambutnya dengan pantas namun Black hanya melihat kertas itu dengan pandangan kosong. Agak lambat dia bertindak.
"Ejen Black?" Jeneral Gadaffi cuba menyedarkan Black apabila kertas yang dia hulur itu tidak disambut oleh Black.
"Maaf, Tuan" Black terpinga seketika. Setelah itu, barulah dia mengambil kertas tersebut dari tangan Jeneral Gadaffi.
"Sistem algoritma telah menganalisis kedudukan saiz mata, hidung, tulang pipi dan juga rahang. Kami telah menjalankan algoritma secara geometrik dan juga fotometrik bagi mendapatkan keputusan yang khusus" beritahu Jeneral Gadaffi.
"Ini Raid ke?" tanya Eddie setelah dia meneliti keputusan pengecaman wajah itu.
"Bukan tapi itu ialah Roy"
"Roy?! Black, Roy.."
Belum sempat Eddie meneruskan ayatnya, Black meletakkan semula kertas tadi di atas meja Jeneral Gadaffi.
Bukan hanya Eddie. Malahan, Jeneral Gadaffi sendiri hairan melihat tindakan Black itu.
Black meletakkan bahan bukti di atas meja sebelum perbincangan mereka tamat, itu sama dengan Black mengundur diri dari perbincangan ini.
"Tuan, saya rasa, baik kita tutup je kes ni" ujar Black.
Eddie tersentak dengan apa yang baru saja didengarnya itu.
"Tutup kes? Maksud awak, Ejen Black?" tanya Jeneral Gadaffi ingin tahu. Dia mula melihat Ejen Black dengan pandangan yang sesuatu.
"Tuan, kita sudah tahu suspek untuk kes ni ialah Roy dan Roy bukan objektif utama misi kami di Malaysia" ujar Black.
"Ya, saya tahu. Tapi, Roy bekerjasama dengan Raid. Jadi, secara tidak langsung, Roy terlibat dalam misi awak dan juga Ejen Eddie" balas Jeneral Gadaffi.
Eddie memegang bahu Black. Dia tahu, bukan sebab itu Black hendak menutup kes ini begitu saja. Ini mesti ada kaitan dengan Elena.
"Black, kita kena teruskan menyiasat. Segala apa yang berkaitan dengan Roy pasti ada kaitan dengan Raid juga. Roy hampir melanggar Kayla. Kalau,.."
"Kayla selamat kan? Kenapa nak teruskan lagi kes ni?" Black mencelah ayat Eddie.
Tangan Eddie meluncur lemah dari bahu Black. Dia tidak sangka Black akan berkata demikian.
Jeneral Gadaffi melihat Black dan Eddie silih berganti. Nampaknya, ada sesuatu yang dia tidak tahu sedang berlaku di sini.
______________________
Semasa menuju ke kereta, Eddie masih tidak berpuas hati dengan keputusan Black tadi walaupun Jeneral Gadaffi tetap meneruskan kes ini.
"Aku nak tahu apa Elena dah cakap kat kau pasal Kayla" Eddie bersuara sebelum mereka masuk ke dalam kereta.
Black yang berada di pintu penumpang itu hanya menayang muka malasnya.
"Tak ada apalah. Jomlah, balik" nampaknya Black tidak mahu membuka mulut.
"Black, kau kenapa ni? Kenapa tiba-tiba je kau percayakan Elena?"
"Ni bukan pasal percaya atau tak. Eh Eddie. Seburuk-buruk Elena tu pun, aku tak rasa dia sanggup tabur fitnah pasal adik dia sendiri. Lagi lagi pasal Mikael" ujar Black.
"Mikael?"
Black mengeluh kecil.
"Ya, Mikael. Semalam, Elena cerita kat aku pasal Mikael. Kau tahu tak kenapa selama ni Elena selalu cakap yang Kayla punca Mikael meninggal?"
Dahi Eddie mula berkerut seribu.
"Bukan ke Mikael meninggal sebab accident masa study kat London dulu?" soal Eddie.
Black menunduk seketika di bumbung kereta lalu menghela nafas berat kemudian kembali melihat ke arah Eddie yang berada di pintu pemandu itu.
"Eddie, untuk pengetahuan kau. Kayla yang suruh Mikael sambung belajar kat sana"
"What? Kenapa pula?"
"Sebab dia nak balas dendam. Kayla marahkan Mikael sebab dia beranggapan, Mikael punca Kashaf pergi. Kayla sanggup bertunang juga dengan Mikael asalkan Mikael pergi jauh dari sini"
Eddie terkedu sejenak apabila mendengar cerita Black itu.
"Dan yang paling teruk lagi, Kayla sanggup pisahkan Mikael dengan keluarga dia sendiri, Datuk Noor dan Datin Suhana" sambung Black lagi.
Eddie masih lagi terdiam.
"Sekarang, baru aku tahu kenapa Elena selalu cakap yang Kayla tu punca Mikael meninggal. Kalau bukan sebab Kayla paksa Mikael untuk belajar ke luar negara, mungkin, Mikael masih hidup sampai sekarang. Kalau betul Kayla nak balas dendam sekalipun pada Mikael, dia tak perlu buat Mikael sampai macam ni sekali. Kalau dia tak fikir pasal perasaan Mikael, sekurang-kurangnya dia tak fikir ke pasal perasaan orang tua Mikael?" kata Black lagi. Dia kelihatan sungguh kecewa.
"Black,.. Apa pun yang jadi, kau tak patut dengar dari sebelah pihak je. Kau kena tanya Kayla juga" ujar Eddie. Walaupun dia agak terkejut dengan kebenaran itu namun dia tetap mahu Black bersikap rasional.
Black hanya diam. Kepala diangguk perlahan. Ada betulnya juga apa Eddie cakap tu.
"Dahlah, jom kita balik"
Eddie dan Black pun masuk ke dalam kereta.
Baru saja Eddie hendak menghidupkan enjin kereta, tiba-tiba telefon miliknya berdering.
"Siapa?" tanya Black. Dia menjadi penasaran apabila air muka Eddie berubah sedikit tatkala melihat nama si pemanggil
"Makcik Jamilah. Kenapa agaknya ya?" Eddie yang turut penasaran itu juga terus mengangkat panggilan dari Makcik Jamilah.
"Hello, Makcik Jamilah.."
"......"
"Kenapa dengan Kayla?!"
Black terus merampas telefon Eddie itu.
"Makcik Jamilah, ada apa? Kenapa dengan Kayla?!" Black cemas serta-merta.
"......."
"Baik. Kami datang sekarang"
"Kenapa, Black? Apa dah jadi?"
"Eddie, cepat, kita balik sekarang" Black merasa tiada masa untuk memberitahu Eddie sekarang. Sebaliknya, dia menyuruh Eddie agar segera memandu pulang.
Enggan membuang masa lagi, ditambah pula melihat raut wajah Black yang mula pucat itu, Eddie terus memecut dari situ.
_______________________
Serentak dengan kereta mereka masuk ke perkarangan rumah, sebuah kereta Lexus RZ juga turut tiba dalam masa yang sama.
Sebaik keluar dari kereta, Eddie terus meluru masuk ke dalam rumah. Manakala Black terhenti sejenak apabila melihat Ammar yang juga baru keluar dari kereta itu.
"Black, aku dapat call dari Wafa pasal Kayla. Kayla ok tak?" tanya Ammar dengan nafasnya sedikit tercungap. Mungkin kerana tergesa-gesa ke sini.
"Aku.. Aku tak tahu. Aku pun baru sampai" jawab Black.
"Kalau macam tu, marilah kita masuk" Ammar pun membuka langkahnya masuk ke dalam rumah.
Namun Ammar tersedar apabila sepertinya hanya dia saja yang bergegas masuk ke dalam rumah.
Ammar menoleh semula ke belakang.
"Black?" Ammar pelik apabila Black sudah tiada di situ.
Ai? Ke mana pula perginya dia ni? Lesap macam tu je?
"Ammar! Cepat! Kaylaaa!" Wafa memanggil Ammar dari tingkat atas.
Ammar lantas membiarkan saja Black yang hilang entah ke mana itu. Dia terus berlari ke tingkat atas.
"Apa dah jadi ni?" tanya Ammar sebaik saja dia tiba di depan bilik Kayla bersama-sama dengan Eddie, Wafa dan juga Makcik Jamilah.
"Tadi.. Saya call Kayla. Kayla angkat kejap. Saya dengar suara dia lain. Dia mengigil. Lepas tu, tiba-tiba suara Kayla hilang. Dan.. Saya ada dengar macam bunyi something yang jatuh.. Ammar.. Saya rasa, Kayla pengsan kat dalam tu" dengan keadaannya yang gelisah, Wafa cuba menjelaskan apa yang terjadi.
"Makcik Jamilah, tadi sebelum saya keluar. Saya ada tinggalkan makanan kat sini. Kayla makan tak makanan tu?" tanya Eddie kepada Makcik Jamilah pula.
Makcik Jamilah hanya menundukkan wajahnya. Ekor matanya sempat melirik ke arah bilik Elena.
"Makcik Jamilah,.. Kenapa diam je ni? Saya tanya. Kayla ada makan tak makanan yang saya tinggalkan kat depan bilik dia ni tadi?" suara Eddie semakin keras.
Makcik Jamilah mengenggam kedua-dua belah tangannya dengan erat.
"Makcik Jamilah, jawablah. Kayla ada makan tak?" Wafa pula ganti bertanya.
Makcik Jamilah menggumam bibirnya. Kelihatan dia mula berpeluh-peluh. Seperti ada sesuatu yang dia sembunyikan daripada mereka.
Eddie merengus geram apabila tiba-tiba pula Makcik Jamilah berkelakuan begitu di waktu yang genting macam ni.
Eddie kembali menghadap pintu bilik Kayla. Sudah banyak kali mereka terpekik di luar itu memanggil Kayla namun tiada sahutan dari dalam.
"Macam mana ni?" Wafa bertambah resah.
"Jangan-jangan, Kayla memang pengsan kat dalam" Ammar membuat sangkaan.
"Aku pun fikir macam tu. Sejak semalam dia tak keluar bilik. Black, aku rasa.." ayat Eddie tergantung apabila dia mendapati Black tiada di situ bersama mereka. Rupa-rupanya, Ammar datang seorang tadi.
"Black mana?" tanya Eddie kepada Ammar.
"Aku tak tahu. Dia dah pergi,.."
"Pergi? Eh dia tu dah gila ke?! Dia nak pergi mana dengan keadaan Kayla yang macam ni?!" Eddie naik berang.
Ammar, Wafa dan Makcik Jamilah hanya membungkam.
"Makcik Jamilah, ada tak kunci spare untuk bilik Kayla ni?" Eddie bertanya.
"Takda, Eddie"
Eddie berpaling ke arah Makcik Jamilah. Dia hairan apabila kali ini Makcik Jamilah menjawab pula soalannya sedangkan tadi Makcik Jamilah mengunci mulut. Namun, dia tidak mahu memikirkan hal itu sekarang.
Eddie mencekak pinggang melihat ke arah pintu bilik Kayla itu.
"Kita tak ada pilihan lain" Eddie menggulung lengan baju kemejanya hingga ke paras siku.
"Kita kena pecahkan pintu ni" ujar Eddie.
Mendengar kata Eddie itu, Ammar membawa Wafa dan juga Makcik Jamilah agar menjauhkan sedikit jarak dari situ.
Eddie sudah dalam keadaan siap sedia. Bahu dan pergelangan lengan sudah dikuatkan untuk memecah masuk bilik Kayla.
Akan tetapi.. Baru saja Eddie hendak melakukan sedemikian, tiba-tiba kedengaran kunci pintu dibuka dari dalam.
Akhirnya, Kayla memunculkan diri.
Ketika pintu terbuka, ke semua mereka terkejut melihat keadaan Kayla yang sangat pucat dan tidak bermaya itu.
Penglihatan Kayla kabur.
Dalam beberapa saat, Kayla rebah tidak sedarkan diri. Eddie lantas menyambutnya.
"Kayla!"
"Cik Kayla!"
"Kayla!"
Ammar, Wafa dah Makcik Jamilah segera mendekati Kayla.
"Ya Allah.. Panasnya badan dia!" ujar Wafa setelah dia meletakkan belakang tapak tangannya di dahi Kayla.
"Kita kena bawa dia ke hospital sekarang" kata Eddie.
"Ok. Aku siapkan kereta. Kita naik kereta aku" jawab Ammar.
Setelah itu, Ammar dan Wafa pun bergegas turun untuk menyiapkan kereta. Manakala Eddie pula mengangkat Kayla yang tidak sedarkan diri itu.
Tiba di kereta, Eddie memasukkan Kayla ke kerusi belakang bersama-sama dengan Wafa.
"Ya Allah.. Kay.. Apa dah jadi dengan kau ni?" Wafa mengusap-usap wajah Kayla yang baring di pahanya itu.
"Black,..!" sebelum masuk ke kereta, Ammar ternampak akan Black yang tidak jauh dari situ sedang memerhatikan mereka.
Eddie melihat sama ke arah Black. Eddie yang dari tadi menahan rasa marah terhadap Black meluru ke arahnya dengan segumpal penumbuk namun ditahan segera oleh Ammar.
"Tak payah. Biarkan dia. Kita dah tak ada masa. Kita kena bawa Kayla ke hospital sekarang" beritahu Ammar.
Mendengar kata Ammar itu, Eddie pun membatalkan niatnya untuk pergi kepada Black.
"Ammar! Cepatlah! Korang tunggu apa lagi? Badan Kayla panas sangat dah ni!" jerit Wafa dari dalam kereta.
Sejurus itu, Ammar dan Eddie pun terus masuk ke dalam kereta dan kereta Lexus RZ memecut laju keluar dari perkarangan rumah.
Share this novel