Kalis 8: Pulang

Drama Series 14011

"Mmmmm..wanginya, nek. Nenek masak apa ni?"

Pagi ini ketika turun ke dapur, Malaika Adni terhidu bau masakan yang sungguh sedap, yang semestinya sudah membuatkan perutnya berkeroncong.

Nenek yang sedang mencedok gulai dari dalam periuk ke mangkuk tersenyum melihat keletah Malaika Adni yang seakan cepat 'move on' dengan kenyataan semalam.

"Nenek masak nasi dagang, ni pun makanan kegemaran Ijal. Adni kenalah belajar. Nanti nenek ajarkan."

"Itulah suruh bangun awal taknak, kan dah melepas belajar ilmu mahal."

Suara yang dia kenali kedengaran mesra menegur di hadapan nenek sepertinya hubungan mereka sangat baik. Padahal tinggal sebilik pun macam orang asing sahaja. Tiada langsung komunikasi yang berlaku. Malaika Adni masih belum berani untuk mendekati Erdem Mifzal yang asyik bermuka ketat apabila mereka bersendirian.

Malaika Adni hanya tersenyum membalas 'teguran' suaminya. Dia sendiri tidak tahu reaksi apa yang perlu ditunjukkan. Dia sendiri tidak mahu nenek susah hati. Sekarang dia dah terlibat dalam hubungan yang dirancang Erdem Mifzal sejak awal, yang dia pasti tujuannya untuk membalas dendam terhadap papanya dan yang akan menjadi mangsanya adalah dia sendiri.

"Adni tolong buatkan air nescafe, boleh?"

Malaika Adni tersentak apabila permintaan lembut daripada Erdem Mifzal menyapa telinganya bersama dengan senyuman manis dan kenyitan mata yang nakal.

Dia hanya mengangguk lalu bangun menuju ke kabinet untuk menyediakan minuman nescafe permintaan suaminya.

"Ijal ni, kan nenek dah buat teh. Adni baru nak makan tu."

Tegur nenek bersama jelingan kepada cucu kesayangannya.

"Ala nek, Ijal nak bagi pahala free kat isteri Ijal la."

Malaika Adni yang mendengar hanya membatukan diri. Pandai rupanya Erdem Mifzal berlakon depan nenek. Sejujurnya dia masih takut untuk rapat dengan Erdem Mifzal setelah mendengar cerita nenek.

Setelah air nescafe siap dibancuh, Malaika Adni meletakkan di hadapan Erdem Mifzal. Bau aroma dengan minuman yang masih berasap itu menyebabkan Erdem Mifzal berhenti menyuap nasi dagang ke mulutnya. Menggoda betul minuman yang baru disediakan isterinya. Lagipun, nasi dagang dan nescafe yang masih berasap, perfect combination untuk sarapan paginya.

Mug berisi nescafe diangkat lalu disisip, terpejam mata Erdem Mifzal menikmati. Malaika Adni yang pelik dengan kelakuan Erdem Mifzal mengerutkan keningnya. Aneh-aneh sahaja kelakuan Erdem Mifzal pagi ini.

"Mmmmm...hebatlah Adni! Dah boleh challenge nenek la.."

Seloroh Erdem Mifzal teruja.

"Alhamdulillah, jumpa dah pengganti nenek yang boleh teman Ijal sepanjang masa."

Malaika Adni yang asyik menikmati nasi dagang nenek yang paling sedap, mengangkat muka.

Nenek dan Erdem Mifzal dipandang bersilih ganti. Suasana tiba-tiba menjadi kekok dan sayu. Berubah wajah Erdem Mifzal.

"Apa cakap macam tu, nek? Nenek takde yang boleh ganti."

Erdem Mifzal meneruskan suapannya, tidak mahu melayan perasaan sayu yang bertandang..Nenek ada memberi harapan supaya dia lupakan niat asal dia menikahi Malaika Adni dan terus sayangkan isterinya, namun hatinya yang berparut tak semudah itu melupakan kelukaan semalam.

---

Dalam perjalanan pulang, Malaika Adni hanya diam tanpa bicara. Erdem Mifzal pula menyanyi tanpa henti mengikut suara penyanyi di corong radio. Dah macam buat konsert unplugged. Tak henti bernyanyi seperti tiada masalah yang berlaku. Menyedari isterinya seakan tidak terganggu dengan kelakuannya, Erdem Mifzal akhirnya menghentikan nyanyiannya lalu radio dimatikan. Dia berdehem mahu menarik perhatian Malaika Adni yang termenung menikmati pemandangan luar tingkap.

"Adni.."

Nama isterinya diseru setelah dehemannya tidak mengalihkan perhatian seorang Malaika Adni.

Melihat Malaika Adni masih membatu, dia memberi isyarat berhenti ke tepi lalu masuk ke satu jalan menuju pantai. Setelah kereta berhenti, Malaika Adni masih diam membatu. Tiada tanda-tanda untuk berpaling.

Erdem Mifzal mematikan enjin kereta lalu keluar menuju ke pintu penumpang dan terus dibuka daripada luar. 'Lahhh, patutlah diam, tidur rupanya.' Erdem Mifzal tersenyum kecil melihat wajah Malaika Adni yang tidur senyap seperti bayi.

"Hey, Adni.."

Tubuh Malaika Adni disentuh lembut dan ketika itu barulah Malaika Adni tersedar lalu terpisat-pisat membuka matanya.

"Kita dah sampai?"

Suara serak baru bangun tidur Malaika Adni menyapa seakan halwa telinga pada Erdem Mifzal. Sedap didengari. Dengan muka comel blur buat Erdem Mifzal senyum sendiri. Malaika Adni yang menyedari soalannya tiada jawapan, memandang sekeliling kemudian terus kembali memandang Erdem Mifzal yang tersengih. Berkerut keningnya.

"Kita kat mana? Awak menakutkan."

Malaika Adni bersuara perlahan. Entah di pantai mana keberadaan mereka sekarang.

"Aku tak pernah makan orang lagi. Buat apa kau nak takut? Ke kau nak aku makan kau?"

Bertambah berkerut kening Malaika Adni. Memang menakutkan. Sejak dia tahu kisah silam yang melibatkan dua buah keluarga, dia belum ada kekuatan untuk berlagak biasa dengan suaminya. Kata nenek, Erdem Mifzal tak akan melepasi garisan namun dia masih perlu berjaga-jaga. Dahlah tiba-tiba ajak balik, kata seminggu tapi baru hari ketiga dah diajak pulang ke rumah papa.

'Ya Allah Ya Tuhanku, Kau lindungilah aku daripada sebarang niat jahat manusia.'

Malaika Adni yang membontoti langkah Erdem Mifzal hanya mampu berdoa dalam hati. Nak lari tak tahu ke mana arah harus dituju. Ikut sahaja, semoga tiada tragedi yang bakal berlaku.

Beberapa minit berjalan menyusuri pantai, akhirnya mereka sampai di depan bilik seakan chalet. Pintu dibuka lalu Erdem Mifzal melangkah masuk.

"Adni, masuklah."

Malaika Adni masih tercegat di hadapan pintu bilik penginapan.

Setelah melangkah masuk, dia dapat lihat hanya ada sebuah katil kelamin. Malaika Adni menelan liur kesat.

"Kita bermalam di sini ke?"

Hampir tidak kedengaran suara Malaika Adni bertanya Erdem Mifzal.

"Yes, honeymoon suite kita. Sweet tak aku?"

Malaika Adni berkerut kening melihat muka seakan berbangga Erdem Mifzal. Dengan kening yang diangkat-angkat dengan bibirnya yang tersenyum seakan bahagia miliknya seorang. Aneh-aneh sahaja suaminya. Menakutkan pun ya. Kalau di rumah nenek taklah dia rasa takut sebab nenek ada.

Kepala digeleng mengusir rasa yang tak enak.

"Jap! Selamat ke kita tidur sini, Erdem?"

Malaika Adni mengangkat sebelah tangannya gaya 'talk to my hand.'

"Kau akan selamat dengan aku, sayang."

'Sayang? Oh my god! Apa kena dengan mamat ni?'

Malaika Adni hanya mampu bermonolog sendiri.

Melihatkan Malaika Adni seakan gelisah, cepat sahaja Erdem Mifzal mengalihkan perhatian isterinya.

"Cepat ambik barang kau. Kita pergi mandi. Toilet kat luar. Aku teman kau."

"Hah? Mandi?"

Malaika Adni yang masih terkejut seakan bertambah terkejut. Seram betul dirasakan hari ini. Sudahlah dibawanya bermalam dalam bilik kecil begini, lepas tu ajak mandi pula.

"Ye lah, mandi. Kat luar sana, public toilet."

Bersahaja Erdem Mifzal menerangkan seraya mengeluarkan kelengkapan mandi mereka berdua.

'Oh my god! Mandi kat public toilet? Biar betul Erdem ni, tak ada tempat lagi elok ke apa dia nak bawa aku?'

Suara hati Malaika Adni hanya menjerit sendiri. Tahulah nak balas dendam, tapi kenapa terlalu awal. Pula tu, di kawasan entah mana-mana, dia sendiri pun tak tahu. Negeri mana dia berada sekarang. Kalaulah ada Izara, Nabila dan Fatiya, pasti dia tak rasa takut sebegini.

"Erdem, tak ada tempat lain ke kita boleh tidur? Atau.. kita balik KL terus je?"

Malaika Adni memberanikan dirinya memberi cadangan, wajahnya penuh pengharapan..Namun, melihat gelengan Erdem Mifzal, dia kembali hampa. Bahunya jatuh.

Akhirnya dia akur, semoga baik-baik sahaja hari-hari yang bakal berlalu dalam hidupnya bersama Erdem Mifzal, yang dia tahu semestinya mempunyai misi untuk menjatuhkan papanya sendiri. Walaupun suaminya kelihatan semakin berlembut dalam melayaninya, dia tidak mahu terus terbuai kerana dia takut luka yang akan ditinggalkan lebih parah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience