Kalis 5: Cuti Semester

Drama Series 13904

Setelah empat bulan berhempas pulas dan peperiksaan akhir juga sudah selesai, hari ini sepatutnya Malaika Adni akan pulang bercuti dan semestinya kembali ke rumah agam Tuan Muhsin.

"Apa plan kau cuti dua bulan ni?"

Seperti biasa ada sahaja si Erdem Mifzal ni menempel. Dah jadi rutin pula Malaika Adni menumpang dia ke kampus, pergi dan balik. Dan yang paling tak disangka, rumah mereka dalam satu taman perumahan. Cuma Erdem tinggal menyewa berdua dengan temannya Farid di rumah teres kos sederhana yang rumahnya tidaklah sebesar rumah yang disewa Malaika Adni. Kata Erdem Mifzal, jodoh mereka kuat sebab tu selalu sahaja terserempak.

"Macam biasalah, saya balik rumah papa saya."

Wajah keruh Malaika Adni menandakan jiwanya bakal terkurung lagi.

"Dayang-dayang kau?"

Tak habis-habis dia panggil dayang. Sebut pasal dayang, sedih juga sebab mereka bertiga akan bercuti ke kampung masing-masing. Itu janji papanya kerana tiga orang pembantunya menjaga dia dengan baik. Dan dia..sudah pasti akan kembali ke dalam sangkar ciptaan Tuan Muhsin ditemani Ibu Haryani. Mati kebosananlah dia nanti, dah biasa bebas ni, tahu sahajalah perasaan terkurung tu macam mana.

"Diaorang akan balik kampung masing-masinglah."

Malaika Adni hanya menjawab dengan nada monoton. Dia pasrah.

"Oh mengaku dah dayang kau kan."

Erdem Mifzal mengangguk.

"Eh, awak ni..kan saya cakap diaorang kerja dengan papa saya dan ditugaskan jaga saya."

Malaika Adni menjawab sebal. Sudahlah dia tiada mood mahu 'bergaduh' dengan Erdem Mifzal, namun lelaki itu selamba sahaja menyimbah minyak dalam api. Sepanjang masa ada sahaja cari fasal dengannya. Kerjanya tak lain tak bukan membahan Malaika Adni.

"Marahnya kau. Marah pun cantik. Jomlah ikut aku balik kampung nak? Kau mesti takde kampung kan?"

Erdem Mifzal seperti biasa. Tiada reaksi yang ditunjukkan. Ajak betul-betul ke ajak-ajak ayam pun tak tahulah.

"Papa saya mesti tak bagi. Terima kasih sebab ajak."

Malaika Adni menunduk. Hampir sahaja empangan matanya pecah membayangkan tempoh berkurung yang akan berkuat kuasa esok hari.

"Aku ikut kau balik, lepas tu aku minta kebenaran papa kau."

Monoton sahaja nadanya sambil menikmati yong tau fu yang dibeli di gerai tepi jalan sebelum dia jemput Malaika Adni tadi. Dahlah makan seorang langsung tak dipelawa gadis yang tengah bersedih itu.

"Tak boleh, awak tak kenal papa saya."

Lambat-lambat Malaika Adni menjawab sambil mengawal reaksi terkejutnya.

"Siapa tak kenal Tuan Muhsin? CEO Perkasa Holdings, ahli perniagaan yang berjaya dan berpengaruh di ibu kota."

Malaika Adni hanya diam. Fakta yang tak boleh disangkal. Tak sangka Erdem Mifzal yang nampak seperti tidak ambil hal orang lain juga kenal bapanya. Betullah kata Izara, mungkin ada yang berniat mengambil kesempatan jika statusnya terdedah.

"Dah kau kenapa diam?"

Malaika Adni hanya mengangkat wajahnya memandang Erdem Mifzal yang merenungnya. Teringatkan bapanya sahaja dah buat dia sebu perut. Entahlah. Dia cuma mahu hidup seperti biasa, tapi dia dikawal ketat sampai keluarga sendiri pun dia tak kenal.

"Saya nak balik, Erdem..Esok pagi dah nak gerak."

Tanpa menjawab soalan Erdem Mifzal, terus sahaja dia capai helmet dan menyarungkan di kepalanya lalu tanpa berlengah, terus sahaja dipanjat motorsikal Erdem Mifzal. Melihatkan mereka begini, siapa sahaja yang tidak mengesyaki ada hubungan istimewa antara mereka berdua. Namun hakikatnya hanya mereka berdua sahaja yang tahu. Dia sendiri tidak bertanya dan tidak pula meluahkan perasaannya kerana dia risau Erdem Mifzal akan jauhkan diri daripada dia. Dia tidak mahu kehilangan teman tapi mesranya bak kata dayang-dayangnya itu kerana dia selesa berkawan dengan Erdem Mifzal.

---

"Esok aku nak ikut Adni. Aku rasa dah lama sangat aku 'kawan' dengan dia, tapi dia macam tak tahu apa-apa fasal bapa dia. Mungkin aku kena guna speed turbo la."

Erdem Mifzal menyampaikan hasratnya kepada Farid ketika mereka bersantai sambil menonton televisyen pada malam itu.

"Apa rancangan kau?"

Farid yang asyik mengunyah keropok ikan menyoal tanpa mengalihkan pandangannya daripada skrin televisyen.

"Kalau sampai aku perlu kahwin dengan dia pun aku sanggup, asalkan misi kita selesai."

Hampir terlepas balang keropok ikan daripada pegangan Farid yang sudah terbatuk-batuk tersedak dek terlalu terkejut dengan rancangan gila Erdem Mifzal.

"Kau jangan buat gila la Erdem. Sampai nak kahwin bagai. Dah lepas misi kita selesai, kau nak buat apa? Nak ceraikan dia? Kalau kau ada anak dengan dia macam mana pula? Kahwin bukan benda boleh buat main tau. Kau jangan sampai nak rosakkan masa depan budak tak bersalah tu disebabkan apa yang bapa dia buat."

Farid bersuara setelah nafasnya yang laju akibat tersedak tadi kembali teratur. Walaupun perit tekak dan dadanya, dia mahu juga menyampaikan mesejnya kepada temannya Erdem Mifzal yang seakan sudah mahu melepasi garisan perancangan awal mereka.

"Rilekslah, bro. Pandai-pandailah aku nak uruskan..Kau jangan fikir jauh sangat."

Ujar Erdem Mifzal tertawa seraya bangun dan menepuk sekali bahu Farid sebelum beredar ke biliknya. Farid hanya mampu menggelengkan kepala sambil menghantar susuk Erdem Mifzal yang sudah hilang di balik dinding yang memisahkan ruang tamu dan laluan ke bilik di rumah mereka itu. Nampaknya Erdem Mifzal betul-betul nekad tidak akan melepaskan Tuan Muhsin kali ini.

---

"Kalau Tuan izinkan, saya nak nikah dengan Adni."

Menikus sahaja Malaika Adni ketika itu. Sudahlah kedatangan Erdem Mifzal tidak diundang. Terus sahaja meminta izin seperti mahu memetik bunga di laman sahaja. Namun, tidakkah dia sedar, yang mahu dipetik ini adalah bunga larangan, anak burung dalam sangkar emas ciptaan Tuan Muhsin.

Riak Tuan Muhsin yang bersahaja tidak dapat dibaca Malaika Adni. Ibunya juga begitu, hanya diam dengan wajah yang tanpa sebarang riak. Cuma Ibu Haryani agak terkejut. Malaika Adni pula sudah semestinya mahu menjadi halimunan sahaja andai dia punyai kuasa magis. Entah datang daripada manalah anak orang yang datang merisik seorang diri ni. Berani mati betul!

Jeda.. Erdem Mifzal masih kelihatan tenang. Bersebar menunggu jawapan Tuan Muhsin.

Seketika kemudian, suara garau Tuan Muhsin kedengaran.

"Adni setuju?"

Begitu mudah soalan Tuan Muhsin. Tidakkah perlu ditanya apakah hubungan sebenar antara dia dan Erdem Mifzal? Dia juga mahu tahu apa rasa hati lelaki itu.

"Adni.."

Belum habis ayatnya memberikan jawapan, Tuan Muhsin terus memintas.

"Papa izinkan kalau Adni dah setuju."

Tuan Muhsin tersenyum padanya..Pertama kali. Ya, dia yang dibesarkan oleh tangan pembantu di rumah agam ini, jarang sekali dapat duduk bersemuka dengan ibu dan bapanya sendiri. Sungguh dia terkejut dengan apa yang sedang berlaku di depan matanya kini. Apakah keputusan yang bakal diambil ini akan merubah hidupnya seratus peratus? Namun, yang lebih penting sekarang adakah Erdem Mifzal ikhlas dengannya?

"Bagi Adni masa..Adni perlu bincang dengan Erdem."

Malaika Adni menunduk setelah selesai memohon kebenaran bapanya. Takut? Ya. Namun dia harus hadapi apa yang sedang berlaku dalam hidupnya.

Tuan Muhsin mengangguk.

"Ten minutes. Lepas tu mintak Encik Sulaiman hantar Erdem ke bilik bacaan papa."

Tanpa menunggu jawapan, Tuan Muhsin bangun dan beredar daripada ruang tamu rumah agam itu, diikuti dengan Intan Safira dan Ibu Haryani.

Kini hanya tinggal Malaika Adni dan Erdem Mifzal sahaja berdua.

Lima minit berlalu mereka hanya diam, lidah Malaika Adni seakan kelu untuk berkata-kata.

"Lima minit lagi, Adni. Aku jumpa papa kejap lagi aku bagitahu cakap kau setuju sebab kalau diam tu tandanya malu tapi mahu."

Selamba sahaja Erdem Mifzal dengan muka tak bersalahnya buat keputusan bagi pihak Malaika Adni.

"Jap!"

Tangan Malaika Adni naik separas wajah Erdem Mifzal gaya 'talk to my hand' gitu.

"Oh, ada suara lagi. Aku ingatkan bisu terus bila ajak kahwin."

Erdem Mifzal mengenyitkan mata nakal kepada Malaika Adni dengan senyuman sengetnya.

"Ish! Kenapa awak nak kahwin dengan saya? Awak tak pernah cakap apa-apa lepas tu datang sini tiba-tiba terus mintak kebenaran papa saya nak nikah bagai apa ni, Erdem?"

Bagai peluru berpandu, soalan diutarakan Malaika Adni. Suaranya ditahan daripada menjerit dek terlalu geram. Namun, hanya mengundang tawa bersahaja Erdem Mifzal..Entahlah, dia rasa comel pula anak dara Tuan Muhsin ni menahan geram dengan muka merah begitu.

"Sebab aku nak 'jaga' kau. Okay, times-up, Miss Malaika Adni soon to be Mrs Erdem Mifzal."

Tanpa menunggu kata balas Malaika Adni, terus sahaja Erdem Mifzal bergerak ke arah Encik Sulaiman yang sudah menunggu tidak jauh daripada mereka seraya melambaikan tangannya dan tersenyum.

Malaika Adni sedikit terbuai dengan seyuman Erdem Mifzal sebegitu yang jarang sekali ditonjolkan. Dan seketika kemudian dia tersedar. Erdem Mifzal cakap mahu menjaganya. Apakah dia salah dengar? Dia menggelengkan kepalanya beberapa kali, hampir sahaja pening sebelum ditegur Ibu Haryani yang tiba-tiba muncul.

Ibu tak pernah tahu Adni ada teman lelaki pun. Pandai ya sorok."

Nada suara Ibu Haryani seakan merajuk. Sebenarnya, dia juga sedikit lega apabila melihat Erdem Mifzal, kerana dia tahu Malaika Adni adalah anak yang tak dianggap. Dia masih di sini hanya kerana namanya berbintikan Tuan Muhsin. Dia yang menjaga Malaika Adni sedari gadis itu masih bayi yang merah lagi, sedar bahawa Tuan Muhsin perlukan waris lelaki, namun kehadiran Malaika Adni sememangnya tidak pernah dirai.

"Ibu..dia cuma kawan Adni. Adni keliru..dia kata nak jaga Adni tapi.."

Malaika Adni yang terkejut masih keliru kerana dia sendiri tidak menjangkakan perihal perkahwinannya akan dibincangkan seawal dia berusia 20 tahun. Patutkah dia setuju sahaja dan hidup bebas di luar atau tolak lalu kekal tinggal di sini sehingga sampai masanya dia 'dibebaskan' oleh Tuan Muhsin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience