Kalis 4: Kawan Rapat

Drama Series 13911

Sudah hampir dua bulan perkenalannya dengan Erdem Mifzal. Lelaki itu akan ada di saat dia memerlukan. Tiba-tiba muncul begitu. Kalau dia makan seorang diri di kafe, tak lama lepas tu Erdem Mifzal muncul duduk di depannya dan selamba menjamah makanannya. Kalau dia sedang belajar di perpustakaan pun begitu. Macam bayang-bayang sahaja kewujudan Erdem Mifzal di sisinya. Namun, satu yang dia senang berkawan dengan lelaki itu, dia tidak akan diganggu apabila bersama kawan-kawan yang lain. Mendengar cerita teman sekumpulannya dalam tugasan kuliah, teman lelaki mereka selalu nak menempel bersama yang kadang-kadang membuatkan rakan-rakan lain tidak selesa. Masalahnya, Erdem Mifzal ni teman lelaki Malaika Adni ke?

"Kau dah kenapa tengok muka aku macam nak makan je?"

Tersedar ditegur Erdem Mifzal tiba-tiba, Malaika Adni menggeleng kepalanya mengusir lamunan yang menyinggah.

"Aduh!"

Tanpa amaran dahinya dijentik. Perit. Terus digosok dahinya dan muka cemberut ditayangkan.

"Sakitlah, Erdem. Kuku awak tu besi ke apa?"

"Tu lah padahnya orang kuat berangan. Kau ingat dunia ni semua fantasi ke apa? Aku ni kau anggap putera raja idaman ke?"

Selamba sahaja ayat lelaki itu tanpa memandangnya. Dahlah datang perpustakaan sibuk main telefon. Dalam sibuk main telefon sedar pula dia direnung.

"Taklah..mana ada berangan. Saya berfikir je."

Malaika Adni menutup bukunya. Merajuk. Jam di pergelangan tangan dijeling. Lagi 15 minit nak masuk kelas terakhir untuk hari ini, lepas tu dia dah boleh balik.

"Eh, kau nak pergi mana?"

Menyedari Malaika Adni sedang mengemas, terus sahaja Erdem Mifzal menegur.

"Nak pergi kelas lah, bukan macam awak melepak takde kerja. Awak cakap awak part-time je study sini, lepas tu kerja kan. Tapi macam tak ada kerja je? Ada je menempel kat mana-mana."

Macam dah membebel sahaja gaya Malaika Adni. Padahal dia marah senang-senang je Erdem Mifzal jentik dahinya. Konon tak salam perempuan bukan muhrim la apa la, tapi sekarang selamba sahaja jentik la, tarik lengan la, kongsi straw minum air la.

"Pftt...kau ni kan, tak baik buruk sangka. Aku ni kerja lah ni, kerja aku jaga kau."

Malaika Adni menjeling. Dia yang serius bertanya dijawab dengan loyar buruk lelaki itu pula.

"Dah lah, Erdem..malas saya nak layan awak. Awak tak perlu jaga saya, saya bukan budak kecil."

Langkah Malaika Adni dikejar Erdem Mifzal. Ada sahaja mata-mata yang memandang. Ramai pelajar perempuan yang mengimpikan menjadi sorang Malaika Adni. Dan tak kurang juga pelajar lelaki yang ingin mengambil tempat Erdem Mifzal.

"Habis yang dayang kau tiga orang tu, bukan jaga kau ke kat sini?"

Langkah Malaika Adni terhenti. Hatinya berdebar-debar. Terasa peluh membasahi belakang baju kemeja kain kapasnya walaupun suhu dalam perpustakaan ini sejuk. Dia tidak mahu identiti dia diketahui oleh orang lain. Dia hanya mahu hidup seperti gadis biasa.

Erdem Mifzal yang sudah ke hadapan beberapa langkah berpaling.

"Cepatlah, tuan puteri! Nanti lambat masuk kelas!"

Cepat-cepat Malaika Adni berlari anak. Erdem Mifzal ni perangai memang tak semenggah agaknya. Selamba sahaja dilaung gadis itu dalam suasana yang sunyi. Mujur saja sudah menghampiri pintu keluar.

Perjalanan menuju ke kelasnya ditemani Erdem Mifzal. Walaupun berjalan beriringan, tiada langsung bicara yang terbit daripada bibir kedua mereka. Masing-masing dengan hal sendiri. Ketika sampai di pintu dewan kuliahnya, Erdem Mizfal bersuara.

"Hari ini balik dengan aku. Cakap kat dayang-dayang kau tak perlu jemput."

Tanpa menunggu jawapan Malaika Adni dan tanpa pamitan, terus sahaja dia melangkah meninggalkan gadis itu termangu sendirian di muka pintu dewan itu yang menghantar kelibat Erdem Mifzal dengan tanda tanya. Apa sebenarnya status hubungan mereka pada Erdem Mifzal?

Setelah kelibat Erdem Mifzal hilang, dia segera mengambil tempat disebelah Marsya teman sekuliahnya yang berasal dari Melaka. Gadis cantik yang banyak celotehnya itu mula menegur Malaika Adni dahulu, yang sememangnya pendiam. Syukur sahaja ada juga yang mahu berteman dengannya.

"Adni, boyfriend awak tu polis eh?"

Soalan Marsya mengundang pandangan pelik Malaika Adni.

"Kenapa awak cakap macam tu?"

Marsya pula yang memandang pelik kepada gadis yang berkulit putih itu.

"Saya cakap boyfriend awak polis ke?"

Entah bila nak berkesudahan soalan berbalas soalan. Akhirnya Malaika Adni tepuk dahi. Auch! Masih terasa peritnya dek jentikan padu Erdem Mifzal tadi.

"Marsya, dia bukan boyfriend saya tau, dan saya pun tak tahu dia kerja apa. Yang saya tahu dia kata belajar sambil berkerja."

Malaika Adni tersenyum menerangkan hal duduk keadaan sebenar kepada Marsya.

"Tapi.."

Belum habis ayat balasan Marsya, pensyarah mereka sudah masuk ke dewan kuliah itu. Terus sahaja senyap suara-suara borak kosong pelajar-pelajar yang meriah tadi.

---

"Jom!"

Selamba Erdem Mifzal menghulurkan helmet kepada Malaika Adni yang dah merah mukanya menahan malu. Beberapa pasang mata yang lalu lalang di kawasan parking itu menoleh ke arah mereka. Makin berleluasalah gosip antara dia dan si jejaka hot idaman siswi ni.

"Saya nak balik dengan Zara."

Malaika Adni menolak. Biar betul nak naik motorsikal. Motorsikal berkuasa tinggi pula tu. Entah apa rupanya membonceng belakang Erdem Mifzal nanti. Tak mahu dia bayangkan.

"Laahhh, naik motor lah cepat sampai rumah. Sekejap lagi aku nak ajak kau jogging. Aku nampak kau dah gemuk sikit. Senang hati kan dapat keluar daripada sarang."

Kening yang lebat itu diangkat-angkat seolah mengejek. Tiba-tiba terasa darah menyerbu ke wajahnya. Sempat lagi lelaki tak ada perasaan ni skodeng anak dara orang siap boleh ukur gemuk ke kurus.

"Saya call Zara sekejap beritahu."

Akhirnya Malaika Adni mengalah. Dia juga pelik, kalau ikutkan dah sampai dah tiga orang penjaganya itu, namun hari ini dia pula yang menunggu.

Setelah panggilan disambungkan, suara Izara kedengaran cemas.

"Adni dah habis kelas ke? Sorry, Zara tengah tunggu grab car ni, kereta pancit. Maaf Adni, kami tak datang on-time."

Malaika Adni merasa kasihan dengan Izara yang seakan rasa bersalah dan terikat dengan tugas menghantar dan menjemputnya.

"Zara, takpe. Adni balik dengan Erdem. Dia nak ajak Adni jogging, kita jumpa kat rumah ya."

Terus sahaja talian dimatikan tanpa menunggu balasan daripada Izara yang pastinya bakal berlarutan nasihat kerisauannya. Bukan dia tak tahu Izara, Nabila dan Fatiya anti betul dengan Erdem Mifzal.

Tanpa berlengah lagi, terus sahaja helmet dicapai. Melihatkan Malaika Adni yang terkial-kial mahu memakai helmet dan kemudian memanjat motorsikalnya, Erdem Mifzal tersenyum senget.

"Kau ni memang betul-betul suci kan. Pegang kuat-kuat kang terbang tuan puteri ni jenuh dayang-dayang kau nak buat surat tunjuk sebab."

Malaika Adni yang tidak memahami kata-kata Erdem Mifzal itu terus sahaja memegang pinggang lelaki itu. Mujur sahaja tidak laju Erdem Mifzal menunggang kenderaan dua roda itu, kalau tak mahu betul-betul terbang dia. Pertama kali dan pengalaman baru yang menarik. Bebas macam burung terbang kena angin.

Sesampai sahaja di depan pagar rumah, tiga orang ahli rumahnya sudah menunggu..Masing-masing dengan gaya meminta penjelasan.

"Garangnya dayang-dayang kau. Tak apa aku ada, kau jangan takut. Lagipun aku bukan orang jahat. Kalau aku jahat aku dah culik kau tak hantar balik rumah."

---

Malam itu, tak berganjak pandangan mata tiga orang penjaganya di sini. Daripada dia balik berjogging tadi, sampailah dia dah siap mandi masih tekun mereka memandangnya. Tidak betah dipandang begitu, terus sahaja Malaika Adni bersuara.

"Ye lah, ye lah..korang nak tanya apa dekat Adni? Adni akan jawab semuanya."

Mengalah juga Malaika Adni yang akhirnya membuka kaunter pertanyaan khas buat dayang-dayangnya bak kata Erdem Mifzal.

"Adni serius dengan Erdem?"

Nah! Serentak terus tiga suara bergabung.

"Pftt.."

Malaika Adni tertawa. Tiga orang di depannya dipandang bersilih ganti. Mereka yang masih menanti jawapan dengan penuh sabar, menumpukan perhatian pada Malaika Adni.

"Adni suka dia, tapi rasanya pada dia Adni ni dengan dia kawan je kot. Korang pun tahu kan, Adni tak ramai kawan. Zara, Bell dengan Tiya kawan pertama yang Adni ada selain Ibu Yani, lepas tu Erdem kawan lelaki pertama Adni..kat kelas Marsya je dan kawan-kawan lain bila ada group assignment atau presentation. Tak sampai sepuluh orang pun. Sedih kan hidup Adni."

Wajah Malaika Adni muram selepas menerangkan duduk hal yang sebenarnya. Dan semestinya membuatkan mereka bertiga merasa bersalah.

"Adni, kitaorang bukannya nak halang Adni berkawan dengan Erdem tu, tapi kitaorang takut dia ambil kesempatan kat Adni je."

Fatiya yang duduk berhadapan Malaika Adni memujuk gadis yang sudah keruh air mukanya.

"Adni takmau sedih-sedih okay. Kalau Adni suka berkawan dengan Erdem, Zara janji tak halang cuma apa Adni buat kami nak tahu dan kalau boleh nak ikut sekali aktiviti luar kampus. Macam pergi jogging tadi."

Izara pula mula memujuk. Bukan mereka tak tahu realiti hidup seorang Malaika Adni. Nampak sempurna cukup semuanya tapi jiwanya kosong. Tiada kasih sayang keluarga sendiri.

"Bell pun sama!"

"Tiya juga!"

Nabila dan Fatiya juga nampaknya sudah mulai memberi 'restu' tentang hubungannya dengan Erdem Mifzal.

Bukan susah pun nak gembirakan hati Malaika Adni. Setelah tiga orang teman serumahnya tidak membantah hubungannya dengan Erdem Mifzal, dia pun tersenyum senang. Manis wajahnya bercahaya bak bulan purnama yang tadi keruh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience