Kalis 7: Cerita Nenek

Drama Series 13904

Setelah mengucapkan selamat jalan kepada keluarga mak su, Malaika Adni membontoti nenek masuk ke dalam rumah sementara Erdem Mifzal mengunci semua pintu dan tingkap. Hari juga sudah larut malam dan badan Malaika Adni juga sudah keletihan.

"Adni masuklah tidur dulu, dah lewat ni. Esok pagi bangun nenek ajar Adni masak makanan kegemaran Ijal."

Ujar nenek tersenyum sambil menepuk perlahan bahunya ketika mereka sampai di hadapan pintu bilik Erdem Mifzal. Kemudian nenek meneruskan perjalanan lalu hilang di sebalik pintu bilik nenek yang hanya bersebelahan sahaja.

"Tunggu apa lagi terjegat kat sini? Kau nak tidur kat luar ke?"

Ada sahaja kata-kata yang keluar daripada mulut berbisa Erdem Mifzal seakan sengaja mahu mencabar kesabarannya. Malaika Adni hanya berdiam tidak menjawab, terus sahaja langkah dibawa masuk ke dalam bilik. Dia berbaring di katil lalu membelakangi Erdem Mifzal.

"Pinggan tak retak, nasi tak dingin, kau tak nak, aku lagi tak hingin!"

'Dah tiba-tiba berpantun tengah malam ni apahal?' Mahu sahaja dihamburkan kata-kata itu di hadapan muka Erdem Mifzal yang tanpa henti menjadi punca kesabarannya semakin menipis..Namun kata-kata itu hanya sekadar dikulum sendiri. Dia mahu kekal diam tidak berkutik, esok dia mahu siasat kenapakah Erdem Mifzal seakan membencinya sejak mereka berkahwin..setiap kata-katanya menyakitkan hati, tidak seperti ketika mereka di Johor, walaupun menjengkelkan, masih ada sedikit 'sense of humor.'

Dia terasa katil dipanjat dan tubuh Erdem Mifzal dihempas kuat lalu suaminya juga membelakanginya.

Matanya berkedip-kedip tidak mampu berfikir. Mengapakah begitu sukar untuk dia mendapat kasih sayang daripada keluarga sendiri? Persoalan yang semakin ligat bermain di fikirannya. Keluarganya yang dia kenal hanya mama dan papanya, itu pun dah macam orang asing sahaja walaupun tinggal serumah. Mujur saja ada Ibu Haryani dan tiga orang pembantunya. Teringatkan Izara, Nabila dan Fatiya, hatinya dirundung pilu..Tanpa sedar air matanya mengalir. Kalaulah dia dengar cakap tiga orang pembantunya dahulu, pasti dia takkan terjebak dengan Erdem Mifzal hingga sejauh ini. Menyedari ini adalah takdir yang tercipta untuknya, dia cepat-cepat geleng kepala.

"Kau dah kenapa menggeleng-geleng tengah malam macam ni?"

Pertanyaan Erdem Mifzal dibiarkan sepi. Dia terus memejamkan matanya, kerana dia mahu anggap ini hanyalah sebuah mimpi..Esok bangun, semua ni dah tak ada.

Apabila kedengaran dengkuran halus, Erdem Mifzal bergerak berhati-hati menuruni katil. Kemudian dia bergerak menuju ke sisi katil tempat Malaika Adni beradu, lalu dia duduk di lantai untuk menatap wajah isterinya. Dia jatuh kasihan pada gadis ini..ada kesan air mata yang sudah hampir kering..Serta merta dia dihimpit rasa bersalah..Dia sendiri tidak tahu kenapa mulutnya terus-terusan menyakitkan hati Malaika Adni, gadis yang tidak berdosa ini.

Flashback

Pak su yang mengajaknya merokok di luar rumah nenek kelihatan tenang sahaja.

"Ijal nikah dengan Adni sebab arwah ibu dengan baba ke?"

Soalan pak su sedikit menyentakkan dia, namun segera dia mengawal riak wajahnya.

"Selama ini, Ijal hidup untuk membela nasib arwah ibu dan baba je pak su. Tak ada sebab lain yang buat Ijal bertahan."

Suaranya bergetar menahan sebak mengingatkan tentang kedua orang tuanya yang telah kembali ke rahmatullah.

"Dah lama, Ijal. Ibu dan baba pasti taknak Ijal buat macam sekarang ni."

Pak su masih mencuba menasihati Erdem Mifzal. Sudah dua puluh tahun berlalu, namun Erdem Mifzal seakan tak pernah lupa langsung apa yang dah berlaku.

"Ijal tahu apa yang Ijal buat pak su."

Erdem Mifzal tersenyum kelat. Pak su hanya mampu menggelengkan kepala..Sungguh bukan mudah untuk budak yang berusia 6 tahun kehilangan kasih sayang kedua ibu bapanya serentak dan dalam keadaan mengejut. Namun, bagi pak su keluarga mereka sudah redha kerana itu takdir jalan hidup mereka..Dia hanya mampu berdoa di dalam hati supaya Erdem Mifzal tidak akan melepasi garisan sehingga melukakan orang yang tidak berdosa.

End Flashback

Erdem Mifzal menyeka air matanya yang mengalir di pipi.

'Maafkan aku, Adni. Hanya dengan cara ni aku dapat dekat dengan papa kau, orang yang bertanggungjawab jadikan aku yatim piatu seusia 6 tahun. Aku mahu papa kau sedar tentang segala dosa silamnya. Andai kau terluka dalam perjalanan misi aku, aku mohon kau jangan mengalah. Kekal dengan aku, supaya aku dapat jaga kau seperti mana janji aku.'

Melihatkan Malaika Adni bergerak mengubah kedudukannya, terus sahaja Erdem Mifzal bangun. Risau ditangkap dalam keadaan yang sangat lemah begini.

---

Pagi itu Malaika Adni membantu nenek menyediakan sarapan pagi. Hari ini nenek buat kuih buah melaka. Nampak mudah sahaja. Ini adalah pertama kali Malaika Adni merasa kuih yang sangat sedap itu.

"Nek, sedapnya kuih ni. Adni tak pernah makan."

Malaika Adni bersuara dengan mulutnya yang penuh dengan kuih. Kembung pipinya.

"Tak senonohlah kau ni, kang tercekik aku juga yang susah."

Bisikan keras Erdem Mifzal membuatkan Malaika Adni merasa sebal. Pagi-pagi begini dah cari fasal.

Selesai sahaja berkata begitu, Malaika Adni terbatuk-batuk. Terus sahaja Erdem Mifzal bangun lalu menepuk-nepuk belakang isterinya.

Nenek yang memandang hanya menggelengkan kepala. Berair mata Malaika Adni menahan perit di tekak dan dadanya.

"Perlahan-lahan makan tu, Adni. Nenek buat banyak memang untuk kamu."

Malaika Adni hanya mampu mengangguk seraya meneguk air kosong yang Erdem Mifzal hulurkan.

"Dah?"

Soal Erdem Mifzal apabila melihat Malaika Adni sudah kembali tenang. Dia juga panik, maunya tercekik hilang nafas jenuh pula masalah lain datang. Malaika Adni sekadar mengangguk dan tersenyum kepada suaminya. Dia nampak riak risau Erdem Mifzal tadi, lalu membuatkan dia terharu seketika.

Erdem Mifzal kembali mengambil tempat untuk menyambung makan..Nafas lega dihela perlahan. Dia yang perasan Malaika Adni merenungnya hanya beriak biasa menikmati kuih buah melaka kegemarannya.

---

"Nek, boleh Adni tanya nenek tentang Ijal?"

Petang itu, nenek yang sedang menyiram pokok bunga di laman ditegur Malaika Adni. Erdem Mifzal entah ke mana hilangnya tak nampak batang hidung sejak selepas asar tadi.

"Kamu nak tanya apa?"

Nenek berpaling lalu tersenyum kepada dia. Malaika Adni menggigit bibir. Dia pun tak tahu kenapa terlalu cepat dia terima Erdem Mifzal, sekarang baru nak selidik latar belakang. Fuh!

"Ijal memang tak ada mak ayah ke? Adni sebenarnya tak pernah tanya, Adni kahwin dengan dia pun tiba-tiba."

Malaika Adni takut-takut. Dia menunduk menguis-nguis daun kering yang luruh dengan hujung selipar yang dipakainya.

Pandangan nenek membuatkan dia tersedar lantas dia kembali bersuara mahu membetulkan pemahaman nenek.

"Adni dan Ijal, takde buat benda tak elok, nek. Kami kenal sebab selalu terserempak dan dia banyak tolong Adni lepas tu dia datang minta kebenaran papa..dan.."

Melihatkan anggukan nenek, Malaika Adni tidak jadi meneruskan ayatnya.

"Nenek tahu, cucu nenek takkan melepasi garisan..dah memang jodoh kamu dan Ijal tu memang dah lama cari kamu. Kamu sahaja yang tak kenal dia."

Malaika Adni sedikit terpana..Maksud nenek, adakah semua ini rancangan Erdem Mifzal? Sejak mula mereka kenal hingga sekarang..Kalau betul Erdem Mifzal mencarinya..daripada awal, kenapa harus dirahsiakan?

Melihatkan wajah Malaika Adni yang keliru, nenek segera menghampiri setelah menutup paip air. Lengan Malaika Adni diraih lalu ditarik duduk di pangkin bawah pokok mempelam yang rimbun.

"Ijal tu yatim piatu sejak umur 6 tahun. Baba dia dulu kawan baik papa kamu. Nenek memang kenal papa kamu. Kenapa Ijal cari kamu, bukan nenek orang yang patut beritahu sebabnya pada kamu. Yang nenek boleh jamin, dia takde niat tak baik kat kamu, Adni. Nenek tahu apa yang dia buat, sejak hari pertama dia jumpa kamu pun dia dah beritahu nenek."

Malaika Adni hanya diam. Hilang terus kata-katanya. Tidak tahu apa yang dia perlu rasa.. nampaknya, memang semua ini plan Erdem Mifzal daripada awal. Dan papa..dia memang langsung tak pernah rapat dengan papanya, Tuan Muhsin. Seingatnya, hanya beberapa kali sahaja sebulan dia bersua muka dengan Tuan Muhsin. Walaupun keperluannya memang tak pernah kurang, namun dia tidak pernah bebas, sehingga dia sendiri merayu untuk keluar hidup dengan dunia luar dan dengan syarat sentiasa diawasi oleh tiga orang pembantu yang dipercayai Tuan Muhsin. Hari ini, dia terasa ingin tahu kenapa papanya mengawalnya. Begitu juga mama, yang itu lagilah dia tidak faham sampaikan sewaktu kecil, Ibu Haryani itulah yang dianggap ibu kandungnya.

Melihatkan Malaika Adni yang mengelamun, nenek menyentuh lembut tangannya lalu bersuara.

"Adni akan faham suatu hari nanti."

Tidak memberi respons kepada pujukan nenek, dia terus bertanya lagi. Ingin merungkaikan rahsia apa yang Tuan Muhsin lindungi.

"Nenek kenal keluarga Adni? Sebelah papa dan sebelah mama?"

Nenek mengangguk. Malaika Adni menumpukan perhatian kepada nenek. Mata nenek direnung memohon nenek bercerita lanjut tentang salasilah keluarganya yang dia hanya kenal nama sahaja.

"Papa kamu memang berasal daripada keluarga yang berpengaruh. Mama kamu anak yatim piatu membesar di rumah anak yatim bersama baba Ijal. Semasa mereka belajar di universiti, mereka berkawan rapat termasuk dengan ibu Ijal, anak nenek. Ketika papa kamu berkahwin dengan mama kamu, kenduri pihak perempuan di rumah nenek ni, sebab ibu Ijal dah anggap mama kamu adiknya. Mama kamu sakit sebab selepas lahirkan kamu, dalam keadaan dia berpantang, dia terima berita baba dan ibu Ijal terkorban dalam kemalangan tu. Dan sebab itu yang menjaga kamu adalah Ibu Haryani. Sejak daripada itu, papa kamu memang putuskan hubungan dengan keluarga nenek dan dia sorok kamu dan mama kamu. Nenek sendiri tak tahu kenapa. Pak su dan mak su ada beberapa kali bawa Ijal ke sana kerana rindukan papa dan mama kamu yang dia dah anggap sebagai pengganti ibu dan baba dia tapi papa kamu memang menghalang."

Nenek menyeka air matanya yang tumpah..Dia memamg sedih mengenangkan perubahan mendadak Tuan Muhsin. Tuan Muhsin yang dia kenal yang baik budi pekertinya tiba-tiba mahu mengawal isterinya lalu akhirnya mengurung mereka dalam mahligai indah yang dibina. Malaika Adni ialah anak yang dia tidak mahukan, kerana kelahiran anak itu, isterinya sakit. Namun, tak mungkin nenek akan mendedahkan perkara sebegitu kepada Malaika Adni yang tidak berdosa.

"Nek, Adni minta maaf kalau Adni ada menyinggung perasaan nenek..Adni takde niat buat nenek sedih."

Malaika Adni merebahkan kepalanya di sisi bahu nenek dan memeluk erat lengan nenek. Dia mahu membetulkan semuanya. Dia mahu semua orang bahagia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience