Kalis 6: Balik Kampung

Drama Series 13904

Majlis pernikahan antara Erdem Mifzal dan Malaika Adni berlangsung dalam sebuah majlis tertutup di pejabat agama sahaja. Tuan Muhsin memilih untuk mengahwinkan anak tunggalnya dengan cara sebegitu kerana dia tidak mahu perkara sebegini diwar-warkan. Erdem Mifzal juga bersetuju kerana dia sendiri tidak mahu ketuanya tahu dia mengambil keputusan sebegini demi memastikan misi mereka tercapai.

Flashback

"Aku tak perlu tahu dari mana asal kau atau siapa sebenarnya kau, cuma aku nak tahu sebab apa kau nak kahwin dengan anak aku."

Erdem Mifzal tidak terkejut dengan perubahan sikap Tuan Muhsin berbanding ketika awal pertemuan mereka tadi. Dia sudah menjangkakan ini kerana Tuan Muhsin yang dihormati dan dikagumi dengan kejayaan demi kejayaan yang dicapainya dalam dunia korporat itu hanyalah sekadar mengaburi mata-mata umum yang hanya menilai daripada dasar. Dia..lebih tahu siapa sebenarnya Tuan Muhsin.

"Saya nak 'jaga' dia."

Dengan penuh yakin jawapannya diberikan kepada Tuan Muhsin, sama seperti apa yang dijawab kepada Malaika Adni..Dia sudah membulatkan tekadnya, Malaika Adni harus dimiliki untuk dia selesaikan segala masalahnya.

Tuan Muhsin sekadar mengangguk dan kemudian tertawa.

"Aku izinkan kerana aku juga sudah tidak perlu untuk risau lagi. Aku tak perlukan anak perempuan yang boleh dijadikan target untuk orang yang selalu mengambil kesempatan. Kau boleh uruskan majlis tertutup sahaja kerana aku tidak mahu hal ini menjadi besar."

End Flashback

"Adni, lepas ni kau ikut aku balik kampung seminggu lepas tu baru kita balik rumah papa. Tapi sebelum tu kita singgah kedai gambar sekejap. Ibu Haryani minta kita buat photoshoot gambar kahwin."

Erdem Mifzal yang memakai kemeja putih berseluar hitam itu bersuara. Malaika Adni pula hanya mengenakan sepasang dress labuh berwarna putih. Ini bukanlah perkahwinan yang diimpikannya namun, dia gembira akhirnya dapat keluar daripada sangkar Tuan Muhsin. Namun, dia juga seakan memperjudikan masa depannya dengan menerima lamaran Erdem Mifzal yang dah jadi suami pun masih ber'aku-kau' seolah tiada yang berubah.

"Kau ni berangan lagi ke apa?"

Sekali lagi dahinya dijentik Erdam Mifzal yang daripada tadi bercakap, cuma dibalas renungan Malaika Adni sahaja.

"Auch! Sakitlah, Erdem!"

Malaika Adni merengus geram sambil menggosok dahinya. Memang tak berubah pun Erdem Mifzal ni.

"Aku tahulah aku ni handsome."

Erdem Mifzal kenyit mata. Ah kenapakah dia terlibat dengan lelaki yang menjengkelkan seperti ini. Namun, dia juga tidak boleh lari sebab hatinya sudah melekat dengan lelaki ini sejak pertemuan pertama mereka.

---

Perjalanan menuju ke kampung Erdem Mifzal sungguh indah. Melalui jalan tepi pantai adalah pengalaman baru yang tak pernah Malaika Adni rasakan. Perjalanan yang mengambil masa hampir 8 jam itu tidak langsung meletihkan gadis itu. Matanya ralit memandang pemandangan sepanjang perjalanan menikmati keindahan alam ciptaan Allah seperti kali pertama dia ke Johor dahulu.

Erdem Mifzal yang memerhatikan daripada tadi sedikit terhibur. Hilang juga rasa mengantuknya. Dia yang sudah biasa ke mana-mana menunggang motorsikal, tiba-tiba hari ini dia memandu kereta pula..Dahlah kereta milik Tuan Muhsin. Kalau ikutkan mahu sahaja dia bawa isterinya menunggang motorsikal, namun permintaan Ibu Haryani insan yang bertanggungjawab membesarkan isterinya, tidak mampu dia tolak.

"Kau memang tak pernah tengok pantai ke apa? Melopong meleleh air liur."

Mendengarkan teguran Erdem Mifzal, cepat-cepat Malaika Adni mengesat bibir dengan belakang tangannya dan serentak itu Erdem Mifzal ketawa lepas..Comel betul seorang Malaika Adni yang polos ini. Menyedari dirinya dipermainkan, Malaika Adni menjeling tajam.

"Malaslah layan awak ni. Sehari tak kenakan saya, memang bukan nama Erdem la kan!"

Tangan disilangkan di dada tanda merajuk..Dia malas mahu tahan lagi perasaannya. Biarlah Erdem Mifzal nak kata dia mengada ke apa, dia dah tak peduli.

"Malas ke rajin ke, kau kena juga layan suami kau ni..Jadi isteri tak boleh derhaka tau, nenek aku tak suka. Kau tunggulah sekejap lagi dia bagi taklimat kat kau."

Potong stim je lah Erdem Mifzal ni, nak merajuk pun dia tak layan..Lagi dia sekolahkan adalah. Malaika Adni hanya diam, tiada mood lagi nak melayan perasaan..Yang tinggal kini hanya rasa berdebar nak jumpa nenek yang dikhabarkan sangat garang itu.

---

"Dah sampai cucu-cucu nenek. Masuk Ijal, bawa isteri tu."

Sesampainya mereka di perkarangan sebuah rumah kampung di negeri Terengganu ini, seorang wanita tua terus sahaja meluru dan memeluk Malaika Adni setelah salam Erdem Mifzal dijawab.

Malaika Adni agak kaget dan orang yang kurang terdedah sepertinya kelihatan kekok..Erdem Mifzal hanya senyum senget seraya memindahkan barang-barang mereka daripada bonet kereta ke dalam rumah.

"Ijal bawa Adni ke bilik dulu, nenek ada masakkan lauk kegemaran Ijal, nenek panaskan..sekejap lagi boleh makanlah ni."

Nenek sangat peramah, tak henti berceloteh dengan senyuman manisnya. Malaika Adni mula terasa senang dengan nenek..Tak seperti yang dimomokkan Erdem Mifzal, nenek garang katanya. Tapi tak tahulah juga, sebabnya baru sangat sampaikan. Namun, dia boleh rasa aura penyayang nenek itu saat dipeluk erat nenek tadi.

Bilik Erdem Mifzal tidaklah sebesar mana, ada satu katil size queen, ada satu almari pakaian dan satu meja solek.

Setelah memindahkan barang-barang daripada bagasi, Malaika Adni segera mengambil tuala dan baju ganti kerana dia mahu membersihkan dan menyegarkan diri.

"Pandai juga kau mengemaskan, aku ingat anak orang kaya macam kau apa pun tak reti buat."

Erdem Mifzal bersuara setelah melihat Malaika Adni mula mengatur langkah ke pintu bilik. Bukan dia tak perasan lelaki itu atau lebih tepat suaminya asyik merenungnya sahaja sambil berbaring di katil ketika dia mengemas tadi.

"Saya dah belajar buat sendiri sejak saya tinggal di rumah sewa."

Monoton sahaja nadanya. Dia tahu, Erdem Mifzal sedang mencari fasal dengannya.

Dia mahu meneruskan langkah ketika melihat Erdem Mifzal mengangguk-angguk namun ketika kakinya melangkah, dia terdengar Erdem Mifzal berkata.

"Kau mandi kat perigi luar, rumah nenek ni takde bekalan air paip."

Dia masih menghadam kata-kata suaminya namun tetap juga dia mengatur langkah menuju ke luar rumah dan ketika melalui dapur, dia bertanyakan nenek tentang perigi.

"Nek, kat mana perigi?"

Nenek yang tengah memanaskan lauk berkerut pelik. Dia yang dah lama membesarkan Erdem Mifzal dapat mengagak apa yang sedang berlaku. Kasihan cucu menantunya seorang ni. Hari pertama sampai kampung dah dibuli.

"Kamu nak ke perigi buat apa?"

Dia sengaja mahu menguji walhal dia sudah tau duduk hal sebenar.

"Adni nak mandi, nak segarkan badan, nek."

Nenek hanya menggeleng.

"Buat apa nak mandi kat perigi? Ni ha bilik air."

Ujar nenek sambil menunjukkan bilik air yang berada bersebelahan dapur dengan gaya menjuihkan bibirnya kerana tangannya sedang lincah membuat kerja.

"Terima kasih, nek."

Malaika Adni mengawal riak wajahnya yang mendongkol geram. 'Jagalah awak Erdem, nak kenakan saya ya.' Malaika Adni menanggalkan pakaiannya sambil bermonolog sendirian. Ingatkan dah kahwin berubahlah jadi sweet ke romantis ke, tapi tak juga..Mungkin Erdem Mifzal hanya sekadar mahu menjaga dia. Itu hala tuju perkahwinan mereka sebenar..Bukanlah berasaskan cinta. Apalah yang dia harapkan? Air yang menjirus tubuhnya sama lebatnya dengan air mata yang turun di pipinya. Tiba-tiba dia merasa ragu tentang keputusannya yang setuju untuk menjadi seorang isteri pada usia yang masih muda.

---

Usai makan malam, Erdem Mifzal mengemas dapur. Dia yang tak tahu harus berbuat apa hanya memandang..Cekap buat kerja rupanya suaminya ini.

"Kau jangan tenung aku sangat, kang tembus muka aku yang handsome ni."

Perasan! Malas nak melayan terus kaki dibawa melangkah keluar daripada dapur. Dia mahu masuk dan berehat di dalam bilik. Erdem Mifzal sejak menjadi suaminya semakin menjengkelkan. Tapi, bukankah sejak daripada awal lagi memang lelaki itu menjengkelkan? Cuma sekarang dia yang lebih sensitif. Entah mengapa, baru hari pertama dia dah merasa menyesal.

Tok! Tok! Tok!

"Adni, ni ha ada mak su dengan pak su datang nak jumpa."

Terdengar suara nenek memanggil. Mak su? Pak su? Oh! Dia akhirnya sedar, yang tak kenal keluarga sendiri itu, dia..

"Adni? Kamu dah tidur ke?"

Cepat-cepat dia bangun apabila maklumat yang baru diproses itu telah dihadam..Keluarga..lalu dia tersenyum.

"Ye, nek.."

Malaika Adni menguak pintu bilik lalu keluar dan membontoti nenek ke ruang tamu. Ada empat orang lain, seorang lelaki mungkin paksu, seorang wanita mungkin maksu, Erdem Mifzal, suaminya dan seorang gadis yang berkepit di sebelah suaminya.

Kehadirannya di ruang tamu itu disambut baik pak su dan maksu namun Erdem Mifzal dan gadis di sebelahnya seakan tidak menyedari kelibatnya.

Sedang asyik mak su, pak su dan nenek berborak dan dia hanya diam mendengar..Sesekali terdengar gurauan dan gelak ketawa Erdem Mifzal dan gadis menempel yang dikenali sebagai sepupunya, Aliya. Kalau dengan Malaika Adni, nak senyum ikhlas pun payah, habis sangat tayang senyum senget, dengan Aliya boleh pula ketawa bahagia sangat. Cemburu? Mungkin juga.

"Ijal, kamu tiba-tiba je bawa balik isteri. Tak ada pula nak minta nenek pinangkan. Apa yang kamu nak cepat-cepat sangat ni?"

Mak su yang bersuara mengundang suasana yang tiba-tiba jadi kekok. Aliya di sebelah Erdem Mifzal memandangnya dengan pandangan benci. Dia sudah kenal pandangan sebegitu sejak mula hidup dengan dunia luar.

"Ijal takut ada orang sambar, mak su. Ramai je tunggu green light Tuan Muhsin tayang anak dara dia, mesti beratur panjang. Tapi, dah Adni ni jodoh Ijal sejak di Luh Mahfuz, meloponglah orang lain. Termasuk Aliya."

Selamba sahaja Erdem Mifzal berseloroh sambil mengenyitkan matanya kepada Malaika Adni. Aliya di sebelah sudah menampar kuat Erdem Mifzal. Mungkin tidak menyangka Erdem Mifzal akan membabitkan namanya juga. Malaika Adni hanya menayangkan wajah tanpa riak.

"Tuan Muhsin CEO Perkasa Holdings?"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience