Kalis 18: Dugaan Orang Ketiga

Drama Series 13904

Sudah lebih dua bulan sejak bulan madu mereka, dan sudah lebih dua minggu Erdem Mifzal sering pulang lewat ke rumah.

Malaika Adni tidak tahu jam menunjukkan pukul berapa ketika dia tersedar suaminya memanjat katil. Dia yang pening sebab tiba-tiba terjaga di tengah malam itu rasa tidak larat untuk bersoal jawab dan yang pasti, masanya juga tidak sesuai.

Ketika menyedari sepasang tangan kekar memeluk tubuhnya, dia terus tersentak. Bagaikan terkena renjatan elektrik di tubuhnya, semuanya terasa panas. Dia rindu..bau lelaki ini yang membuatkan dia lebih terbuai dek lena yang panjang. Namun, hatinya masih sedih membayangkan diabaikan. Mereka hanya bertemu di katil sewaktu tidur sahaja. Sudah dua minggu mereka begitu kerana Erdem Mifzal tiba-tiba berubah. Bila dia bangun tidur, lelaki itu dah hilang ke pejabat. Di pejabat langsung tidak bertegur sapa. Bila dia balik, sampai dah tidur, lelaki itu belum pulang. Dia sunyi..kalau mereka tinggal bersama papa dan mamanya, pasti dia tidak akan sesunyi ini.

"Maafkan saya, sayang.."

Rambutnya terasa dikucup. Matanya panas. Sebaris ayat sahaja buat dia tewas semudah itu.

"Maafkan saya sebab abaikan awak."

Terhinjut-hinjut bahunya menahan sebak di dada. Lama mereka begitu. Tiada sebaris kata yang mampu dia tuturkan menjawab permohonan maaf Erdem Mifzal dan akhirnya dia sendiri terlelap. Tidurnya lena. Mendamaikan. Dia tersedar apabila azan subuh daripada aplikasi di telefonnya kedengaran. Dan pagi ini dia kecewa lagi. Tempat di sebelahnya kembali kosong. Dia pasti, semalam bukanlah mimpi. Bau Erdem Mifzal masih melekat padanya.

"Awak tinggalkan saya lagi.."

Dia bercakap sendiri. Jatuh bahunya. Namun, dia harus bersemangat. Kepala digeleng mengusir jauh perasaan negetif yang bertandang. Dia tidak mahu terbuai oleh perasaan. Mungkin perubahan hormon yang berlaku padanya membuatkan dia lebih sensitif. Ada satu nyawa yang sedang hidup dalam rahimnya yang dia sendiri tak sempat mahu berkongsi berita gembira ini dengan suaminya yang terlalu sibuk. Tanpa berlengah lagi, terus sahaja dia menuju ke bilik air, membersihkan diri untuk menghadap Sang Pencipta dan kemudian memulakan rutin hariannya.

---

"Morning, papa!"

Malaika Adni ceria menegur Tuan Muhsin ketika mereka serentak sampai di lif untuk naik ke atas bangunan.

"Morning, Adni. Ceria hari ni? Any good news?"

Tuan Muhsin seperti biasa akan memeluk anaknya di mana sahaja mereka bertemu sejak dia sudah tiada rahsia lagi. Sifat kebapaannya sangat ketara, selari dengan wajahnya.

"Kenalah ceria, papa. Semangat pagi kan. How's mama?"

Malaika Adni yang anggun bersut putih itu melingkarkan tangannya kepada lengan bapanya ketika memasuki lif untuk ke pejabat mereka. Tuan Muhsin hanya tertawa bersahaja. Sudah biasa dengan sifat manja anaknya yang 'disimpan' sebelum ini.

"Kalau rindu baliklah. Jauh sangat ke rumah Adni ke rumah papa?"

Malaika Adni tayang sengihan lebar yang menampakkan barisan gigi putihnya yang cantik tersusun. Kalau dengan Tuan Muhsin memang terus sahaja dia kena 'tembak.' Tepat pula tu.

"Ye la pa..Adni singgah balik nanti."

Ketika mereka sampai di tingkat 13 di mana terletaknya pejabat CEO, Malaika Adni terus sahaja meminta diri untuk ke bilik pejabatnya. Tuan Muhsin mengangguk menghantar tubuh anaknya sehingga hilang daripada pandangan matanya..Dia tahu mata Malaika Adni menyimpan rasa yang tuan badan sendiri tidak mahu kongsikan. Dia juga perasan anak dan menantunya tidak datang dan pulang bersama sejak akhir-akhir ini, namun dia tidak mahu masuk campur selagi tiada pihak yang memohon nasihatnya.

"Morning, papa."

Lamunannya terhenti apabila ditegur menantunya, Erdem Mifzal. Di sebelahnya pula sepupu Erdem Mifzal, Aliya yang baru sahaja diterima berkerja di sini.

"Morning, Ijal. Daripada mana ni?"

Tuan Muhsin bertanya seraya memandang Erdem Mifzal dan Aliya yang kelihatan segan besilih ganti.

"Ambil Aliya tadi lepas tu terus breakfast."

Tuan Muhsin mengangguk. Lalu terus sahaja masuk ke pejabatnya. Wajahnya tiada segaris senyuman.

Erdem Mifzal masih tercegat ditinggalkan tanpa pamitan oleh bapa mertuanya. Dia tersedar apabila Aliya memeluk lengannya. Dengan bersahaja.

"Liya! Office ni kan.."

Suaranya keras namun perlahan yang membuatkan Aliya terus sahaja melepaskan pegangan tangannya.

"Kalau luar office okay kan, Abang?"

Dia terkejut dengan tingkah Aliya yang semakin berani melampaui batasan. Kalau ikutkan, dia malas mahu bawa Aliya berkerja di sini, namun harapan daripada pak su dan mak su yang banyak berjasa kepadanya, buat dia rasa perlu membalas budi. Melihat senyuman Aliya yang sengaja dimaniskan, buat dia menggeleng pantas. 'Adni!' Satu nama yang terlintas di minda serta merta menjentik rasa gusar dalam hatinya.

Telefon pintarnya dikeluarkan, satu pesanan mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada isterinya dihantar.

"Sayang, kita lunch sama hari ini ya."

Malaika Adni yang sedang menikmati nasi lemak yang dibungkus tukang cuci pejabatnya melihat pesanan mesej yang masuk. Wajahnya cerah.

"What a good start today.."

Dia tersenyum seraya mengomel sendiri.

"Puan nak apa-apa ke? Kak Jun boleh siapkan."

Junaidah, tukang cuci pejabatnya yang sedang sibuk mengelap kabinet di pantri pejabat bertanya setelah mendengar Malaika Adni bercakap. Dah menjadi kebiasaan Malaika Adni untuk sarapan di pantri sejak dia berpindah daripada rumah keluarganya. Erdem Mifzal pula jarang sarapan bersamanya kerana mempunyai jadual yang berbeza, biasanya akan keluar berjumpa klien selepas menghantar dia ke pejabat. Tapi sejak akhir-akhir ini, dia banyak pergi dan balik dengan tiga orang pembantunya.

"Eh, tak Kak Jun. Dah cukup ni. Terima kasih bagi Adni makan nasi lemak sedap ni. Dan air milo suam yang sedap ni juga. Kak Jun memang terbaik!"

Malaika Adni tersenyum lebar sambil nenayangkan tanda 'good' kepada tukang cuci pejabatnya. Kemudian, dia menyumpah diri sendiri..akibat teruja, boleh pula dia bercakap sendirian. Mujur sahaja Junaidah tak dengar.

---

"Kok! Kok! Kok!"

Pintu bilik Erdem Mifzal diketuk. Dia melirik ke arah jam tangannya yang menunjukkan pukul 12.45 petang lalu tersenyum.

"Coming.."

Kedengaran pintu yang dikuak, dia masih lagi memeriksa fail-fail tentang projek terbaru syarikat mereka.

"We still have time before lunch, sayang. Hold on."

Derapan tumit kasut menghampirinya. Dia tertawa halus, dah namanya Malaika Adni, memang degil. Lehernya terasa dipeluk daripada belakang. Namun, bau ini bukanlah bau Malaika Adni. Otaknya ligat memproses.

"Abang sayang Liya?"

Ah! Sudah..Erdem Mifzal hampir melompat kerana terkejut bukan kepalang. Yang disangkakan isterinya rupanya sepupu sendiri. Dan dalam masa yang sama, ketukan pintunya kedengaran serentak dikuak daripada luar. Hilang darah di wajah Erdem Mifzal melihat senyuman manis isterinya mati serta merta.

"B.."

Mata Malaika Adni terus sahaja berkaca lalu dia terus berpaling..'Dugaan apakah yang Kau berikan kali ini, Ya Allah!' Detik hatinya. Air mata laju sahaja merembes keluar membasahi wajahnya. Langkah kakinya semakin laju, langsung dia tidak endahkan laungan Erdem Mifzal yang mengejarnya. Untung sahaja lif menyebelahi dirinya. Dia sempat meloloskan diri ke dalam perut lif dan menutup pintu lif sebelum Erdem Mifzal tiba.

Aliya yang mengejar pasangan itu tersenyum senget apabila melihat wajah kusut Erdem Mifzal yang meraup kesal rambutnya berkali-kali.

Share this novel

xandra
2021-01-15 19:59:14 

Kesian adni


NovelPlus Premium

The best ads free experience