Kalis 16: Aku Manusia Biasa

Drama Series 14009

Ketika matanya dibuka, dia berada di biliknya. Bajunya sudah ditukar. Jam di dinding dikerling sekali. Sudah 11 malam. Lebih 6 jam dia tidak sedarkan diri, kali terakhir dia bersama Erdem Mifzal, jadi siapa yang membawa dia pulang ke rumah? Saat dia mahu memaksa dirinya bangun, kepalanya terasa berdenyut.

Pintu bilik mandi yang terkuak sedikit mengejutkannya. Ada orang lain dalam biliknya sekarang..Siapakah gerangannya?

"Dah bangun, sayang? Terkejut sangat tengok saya?"

Figura Erdem Mifzal yang hanya bertuala separas pinggang membuatkan kepalanya bertambah berdenyut. Teguran Erdem Mifzal padanya memang macam tak ada apa-apa yang berlaku selama dua tahun ini. Malaika Adni hanya membatukan diri.

"I was really afraid tadi."

Erdem Mifzal duduk di birai katil mahu membantu Malaika Adni bangun bersandar di kepala katil.

"Saya pening."

Malaika Adni menolak lembut. Dia tidak larat mahu bergaduh dan dia juga tidak mahu ibu bapanya risau akan keadaannya. Dia penat sekarang.

"Sayang tak makan lagi, tadi Doktor Dianne dah check, low blood pressure dan tak perlu risau cuma perlu jaga makan dan rehat yang cukup. Saya ambilkan makanan ya."

Erdem Mifzal menawarkan bantuan dan Malaika Adni hanya mengangguk. Dia sebenarnya lebih kepada tidak mahu mengeruhkan keadaan kerana dia juga risaukan kesihatan emosi ibunya yang baru sahaja beransur sembuh.

Lelaki dihadapannya ini tersenyum, kemudian bergerak ke bahagian wardrobe mengambil pakaian. Dah siap pindah ke apa ni siap ada pakaiannya kat wardrobe bagai. Ssmakin berdenyut pula kepala Malaika Adni.

"Awak tunggu sekejap, saya ambilkan makanan."

Erdem Mifzal yang mahu berlalu mematikan langkahnya apabila terdengar suara perlahan Malaika Adni.

"Tunggu.."

Setelah berpaling dapat dilihat wajah Malaika Adni yang mulai basah dengan air mata. Kelam kabut Erdem Mifzal menghampiri isterinya lalu dirangkul kemas tubuh itu. Malaika Adni melepaskan tangisannya untuk kali kedua. Dirasakan bagaikan mimpi, rupanya ini realiti. Bau badan suaminya yang menenangkan benar-benar menerbangkan segala gundah di hatinya selama ini. Dia hanya manusia biasa, dia tidak mampu menafikan perasaan rindu dan ingin memiliki yang bertandang.

"Awak balik terus ke?"

Setelah tangisannya hampir reda, dia bertanya dengah payah. Dia takut kepulangan suaminya hanya sementara. Erdem Mifzal yang dihimpit rasa bersalah mengangguk meyakinkan..Dia tidak mahu Malaika Adni berfikir lebih lagi lalu memudaratkan kesihatannya.

"Saya akan tinggal dengan awak, jika diizinkan Allah hingga hujung nyawa saya."

Tubuh isteri kesayangannya diusap-usap. Sungguh dia rasa bersalah meninggalkan Malaika Adni tanpa bicara mujur sahaja Tuan Muhsin masih menerimanya walaupun tahu khilaf yang dilakukan.

"Jangan tinggal saya lagi.."

Permintaan Malaika Adni benar-benar meruntun hatinya. Dia benar-benar berdosa. Syukur sekarang Malaika Adni juga sudah menerima permohonan maafnya. Sungguh sucinya hati seorang isteri yang menerimanya kembali dengan mudah tanpa memohon penjelasan yang dia sendiri merasa sukar untuk berterus-terang. Ternyata Malaika Adni isteri yang sangat memahaminya.

---

Suasana di meja makan keluarga waktu sarapan pagi itu ceria dengan keluarga besar Tuan Muhsin. Lebih meriah apabila tiga orang dayang Malaika Adni dan juga Farid turut serta.

"Hari ini, Adni rehat je kat rumah. Izara, Nabila dan Fatiya juga tinggal di rumah. Aku amanahkan kau orang bertiga jaga dua orang ratu kat rumah ni."

Tergelak Intan Safira mendengar arahan Tuan Muhsin. Sudah jadi ratu pula dia dan anaknya.

Yang lain sudah tersenyum-senyum. Nak gelak sekali dengan Intan Safira memanglah tak berani. Mereka sangat menghormati Tuan Muhsin.

Tuan Muhsin pulak beriak selamba sama seperti Erdem Mifzal. Ketika semua orang sedang menikmati makanan, Erdem Mifzal menundukkan wajahnya dekat dengan Malaika Adni lalu berbisik.

"Rindulah saya kat awak nanti."

Malaika Adni yang sedang menikmati makanannya segera berpaling memandang muka kasihan suaminya. Dia menahan tawa. Sabar je lah, tinggalkan kita dua tahun boleh, satu hari je papa bagi cuti dah muka serupa ayam berak kapur. Kelat.

Malaika Adni kemudiannya sambung menikmati makanannya tanpa menghiraukan Erdem Mifzal yang kemudiannya terasa diabaikan justeru terus sahaja dia menguis kaki Malaika Adni. Geram dengan kelakuan keanak-anakkan Erdem Mifzal, terus sahaja perut suaminya dicubit.

Mengeliat Erdem Mifzal menahan perit lalu membalas dengan cuitan manja di pinggang isterinya. Malaika Adni yang kegelian terus sahaja menepis.

"Ehem! Makan Adni, Ijal."

Semua mata tertumpu ke arah Malaika Adni dan Erdem Mifzal yang jelas terkejut.

"Waktu makan kena makan, bukan main-main."

Serentak dengan itu, terhambur ketawa semua orang yang daripada tadi memerhati gelagat dua orang itu. Tuan Muhsin juga turut ketawa.

"Ijal pun papa bagi cuti. Cutilah seminggu dua, settlekan apa yang patut. Come back fresh."

Erdem Mifzal yang tidak dapat menyembunyikan keterujaannya terus sahaja beriaksi 'yes' tanda kemenangan lagaknya. Malaika Adni menepuk dahi. Tak ada langsung rasa nak kontrol ke apa. Namun, dia lega. Allah dengar doanya supaya suaminya pulang kepangkuannya dan dikurniakan nikmat keluarga yang bahagia.

---

"Adni, Ijal..mama ada hadiah untuk Adni dan Ijal."

Ketika minum petang di taman mini yang dijaga Ibu Haryani, Intan Safira bersuara seraya menyerahkan satu sampul yang berisi pakej percutian untuk Erdem Mifzal dan Malaika Adni.

Erdem Mifzal yang menyambut memandang isterinya.

"Hadiah daripada mama. Ijal dengan Adni patut spend time together."

Senyuman manis tidak lekang daripada bibir Intan Safira. Nampaknya mama mereka sudah sembuh sepenuhnya. Ibu Haryani juga sudah menyuarakan hasratnya untuk bersara kerana mahu menghabiskan sisa hidup di kampung halamannya. Walaupun Intan Safira dan Malaika Adni sedikit sedih, namun mereka harus akur. Insan itu sudah mengabdikan dirinya lebih 20 tahun dengan keluarga Tuan Muhsin. Kini niatnya sudah tercapai apabila isteri majikannya sudah kembali pulih dan Malaika Adni juga sudah mempunyai kehidupan sendiri.

"Seriuslah mama bagi pengantin lama honeymoon package?"

Erdem Mifzal tergelak. Malaika Adni pula dah merah mukanya. Memang jenis tak ada perasaan agaknya suaminya ini. Main lepas laku sahaja di hadapan mama.

"Mama tak rasa pengantin lama sebab after balik daripada honeymoon papa pula bagi hadiah majlis resepsi Ijal dan Adni yang papa tangguhkan sejak dua tahun lepas."

Melopong mulut Malaika Adni. Matanya berkaca. Dia terharu. Selama ini dia merasakan Tuan Muhsin tidak menyayanginya, ternyata semua anggapannya salah. Tuan Muhsinlah orang terlalu banyak berkorban untuknya.

"Mama.."

Serak suaranya menahan sebak di dada. Dipeluk erat ibunya terharu. Erdem Mifzal disebelahnya menggosok bahu isterinya memujuk. Manjanya memang tak berubah Malaika Adni ni. Dan itulah yang paling dia syukuri. Masih manja. Masih polos. Masih diterima. Seperti dua tahun itu tidak pernah berlalu bagi seorang pemaaf seperti Malaika Adni.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience