Bab 16

Horror & Thriller Series 17793

BAB 16

”Hani! Aku masuk bilik dulu la, malas aku nak tunggu kau, kau tu kalau mandi kalah pengantin perempuan!” jerit Jaja selepas hani masuk ke dalam bilik mandi dengan tuala berbunga warna-warninya itu untuk mandi tengah malam. Panasnya lain macam pula malam tu, menyebabkan dia tidak tahan dan memutuskan untuk mandi sahaja bagi menghilangkan peluh-peluh dan rasa gatal pada badan.

” Ha, ye la. Suka hati kau, aku tak kisah pun!” jeritnya lantang dari dalam bilik mandi itu. Bunyi pancuran air kedengaran dibuka. Dia mula membasahkan badannya selepas derap kaki Jeffry hilang dari deria pendengarannya. ” Uhh, selesa gila!” bisiknya seorang diri sambil merata-ratakan air ke seluruh tubuhnya.

Tidak lama kemudian, kedengaran pula derap kaki masuk ke dalam bilik mandi di sebelahnya dan pintu ditutup perlahan seakan langsung tidak dapat didengarinya. Bunyi paip air pancur dipulas menghiasi telinganya seiring dengan bunyi air pancur seperti hujan. Dia abaikan sahaja, malahan bergembira pula ada yang menemaninya mandi kala itu. Tangannya yang sedang menyabun tubuhnya yang tinggi bergerak laju sambil mulutnya menyanyi-nyanyi riang dan sumbang lagu Ziana Zain yang sangat popular pada zaman 90-an dahulunya, ,

Seakan suara wanita yang garau menghiasi tandas yang sunyi tanpa sebarang bunyi itu kecuali bunyi pancuran air yang dibuka. Hani yang mendengar jelas suara nyanyian bersama melodi dan pitchingnya yang agak lari itu segera kecut perut. Air liurnya ditelan. Dia memandang ke sebelah atas kanannya, ke arah dinding yang menjadi benteng penghadang dengan bilik air di sebelah sehingga lah dia akhirnya keluar dari bilik mandi tersebut dengan kain basahnya, berlari laju sambil menjerit, ” Tolong! Hantu! Penanggal!” betul kah penanggal namanya tu?? Bantai aje la! Sebabnya aku sendiri tak kenal hantu tu apa namanya! Bisik HAni sendiri. Sabun yang sedang dipegang dibaling ke belakang sambil berlari menuju ke biliknya. Dilihat Jaja berada di luar bilik mereka.

Riuh tingkat bawah kolej itu dengan bunyi suara orang yang keluar dari bilik selepas terdengar jeritan Rijal itu. Masing-masing bertanya sesama sendiri apa yang terjadi namun mereka tidak keluar dari bilik mereka, sekadar berada di depan pintu bilik sahaja, langkah keselamatan supaya mudah untuk mereka cepat-cepat lari masuk ke bilik jika apa-apa benda menerpa. Senior yang ada di situ pula hanya mengetap bibir memandang ke arah Rijal yang sedang gelabah.

” Hani.. K.. ka.. kau.. dari.. mana?” soal Jaja dengan suara bergetaran yang nyata.

” Aku dari tandas la! Gila la wei, aku jum.. aku jumpa penanggal! Aku jumpa.. wei.. aku jumpa!” Hani menjerit dengan suara antara dengar dan tidak. Tersekat-sekat seolah tidak cukup nafas.

” Mana? Mana??” Jaja bertanya dalam riak ketakutan. Mukanya juga kelihatan pucat tiada darah.

” Tadi,dalam tandas. Wei, aku nak masuk bilik, kenapa kau tak masuk?? Benda tu kejar aku tadi! Kau jangan, wei.. seram aku! Uhh!” jerit Hani kuat sambil menolak Jaja yang sedang kebengongan di depan pintu bilik.

” Jangan masuk, wei! Jangan! Ada.. dalam tu..” Jaja bercakap perlahan menahan Hani dari masuk ke dalam bilik mereka, namun, Hani pula mengalami kejutan untuk kali keduanya malam itu.

” Mari, masuk. He he he,” bunyi suara garau bersama ketawa mengerikan kedengaran nyata di telinga. Bilik mereka dipenuhi tompokan darah di merata tempat dan baunya sangat meloyakan tekak. Seorang wanita yang mana sedang berusaha keluar dari skrin komputer di bilik mereka sedang tersenyum memandang ke arah Hani. Rambutnya yang panjang mengingatkan Hani tentang kisah seram yang pernah ditontonnya dahulu. Matanya pula tiada mata hitam, bersama dengan bibir biru dan muka pucat tiada darah. Rijal terpana lagi.

Kepala hantu wanita tadi menyenget ke sebelah kiri, terkehel seperti leher yang patah manakala mulutnya pula menitikkan darah dan dengan tidak semena-menanya menghamburkan tompokan darah merah sehingga terpercik sedikit mengenai muka Hani yang sedang berdiri tercegat tidak bergerak dari situ. Terkejut yang amat sehingga terkaku. Wanita itu sudah hampir separuh badannya keluar dengan tangan pucat berurat selirat sana sini, sedang gigih menapak menggunakan tapak tangannya bersama bunyi menderam yang mengerikan. Darah melurut turun dari celah rambutnya ke atas kerusi yang kini menjadi tempat tapak tangannya mendarat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience