Bab 8

Horror & Thriller Series 17793

BAB 8

Sampai di depan flat tempat keluarga tinggal tidak lama kemudian, aku mengetap bibir kemas. Berfikir sebentar sambil menenangkan diri. Aku masih tak boleh terima dia dalam hidup aku walaupun boleh kata dia selalu sangat teman aku sekarang ni pergi mana-mana pun. Sebelum turun dari kereta, aku berlakon lagi dengan membuat aksi menyelongkar beg pulak sambil membebel-bebel seorang diri, kononnya nak bagi masa untuk dia turun dari kereta dulu. Huhu kalau la aku tersepak dia, tunggu aje la dia bagi penyepak perdana yang teristimewa pulak untuk aku nanti! Cukupla dulu dengan apa yang aku dah dapat semalam dan senja tadi.

Aku pun turun dari kereta dan berlagak selamba. Buat-buat macam kawan aku ikut aku balik jumpa mak dan bapak. Ehem! Aku membimbit beg Mickey Mouse dan menuju ke arah pintu lif di bahagian lobi flat. Aku tekan punat lif dan menunggu lif sampai. Sambil menunggu, aku merenung kiri kanan dan atas bawah. Kenapa malam ni sunyi sangat, takde langsung manusia yang kelihatan? Yang ada cuma kereta-kereta dan lampu-lampu di dalam rumah deret yang terpasang. Seingat aku, tak pernah flat rumah aku jadi macam ni. Ke aku yang nyanyuk, tu tak tau la nak komen. Tak lama kemudian, pintu lif pun terbuka. Bau bunga cempaka bunga tradisi orang Melayu secara tiba-tiba kuat menusuk ke dalam hidung tak mancungku. Uhh, tak pernah-pernah aku bau bunga ni kat bandar ni haa! Dekat kampung dulu-dulu ada la! Liur aku telan terasa pahitnya seolah menelan air daun hempedu bumi kala ini.

A’uzubillahi minasy syaithonir rajim. Bismillahir rahmaanir rahim! Ambik kau panjang! Langkah kanan aku masuk ke dalam perut lif itu. Tawakkal aje la ni. Nak naik tangga sampai tingkat 16, tak sempat sampai aku rasa dah bermacam fesyen muka dan rambut dah dia tayang kat aku nanti!

Aku cuba berlagak steady, padahal dalam hati dah nak pecah dada dah berdebarnya! Aku telan air liur lagi mendengarkan peti lif yang aku naik itu seperti diketuk-ketuk kuat. Dari atas, bawah, kiri dan kanan! Berderau hebat darah aku! Seketika kemudian, terdengar pula bunyi seperti gergaji memotong besi, bunyi tiang diketuk-ketuk berselang seli dengan kaca terhempas. Lampunya mula terkelip-kelip, sekejap terpadam, sekejap menyala. Lif pula bergegar-gegar semacam ada buldozer melanggar dari kiri dan kanan lif. Mak ai! Meriahnya serupa dekat disko! Apa dah jadi ni?? Ini pengurusan punya kerja la buat lif tak reti nak elok! Bebelku. Tapi, janganlah nak putus pulak tali lif ni! Mahu innalillah aku nanti!

Seorang diri di dalam lif, aku duduk bercangkung. Telinga dan mataku ku tutup serapat yang mungkin. Aku cuba bertenang dan menarik nafas dalam-dalam, cuba menghilangkan debaran di dada. Ayat Kursi mula kubaca sekuat hati, menyerahkan semuanya pada Allah samada ini kerja management yang tak betul atau pun gangguan makhluk ghaib, semuanya di bawah kuasa Tuhan juga. Aku yakin dengan pertolongan Allah!

Akhirnya keadaan huru-hara tadinya pun kembali tenang. Pintu lif terbuka dengan sendiri kemudiannya. Aku buka mata kananku sedikit-sedikit, kemudian mata kiri, bangun perlahan-lahan dan mendongak. Tingkat 16 seperti yang tertera pada mesin di pintu lif tersebut aku baca. Alhamdulillah! Aku rasa aku tersenyum. Aku pun keluar dengan semangatnya tanpa ragu-ragu sambil menjinjit begku. Tapi kenapa aku rasa macam pelik aje? Bukan macam dekat rumah aku pun?? Ya Allah!

Aku hanya mampu terpaku di depan lif tadi. Pintu lif itu sudah pun tertutup dengan bunyi besi berkarat. Ngilu! Aku pandang ke hadapan. Ke kiri, ke kanan. Gelap. Sunyi. Sepi. Yang ada cuma bunyi deru angin yang kadang kala bertiup ke muka. Darahku tersirap laju naik ke wajah bila fikiran aku tersasar jauh lagi. Ini bukan flat rumah aku macam dalam fikiran aku! Bukan! Aku tarik nafas panjang. Bibir ku ketap. Baru aje lepas satu rintangan, datang pulak rintangan lain! Ya Allah! Aku terdiam dan hanya mampu berdiri kaku. Kelihatan seorang wanita berpakaian baju putih labuh hingga ke lutut dan berambut panjang mengurai dan bersinar umpama bintang tidak jauh dariku. Aish!! Tapi, mata aku seolah dipukau untuk terus memandang ke arahnya. Allah, ampunkan aku!

Dalam hati, aku mengagak dan membuat kesimpulan dia lah yang selalu mengganggu aku selama ini. Aku kembali mengumpul kekuatan dari dalam. Setelah cukup tinggi level motivasiku, perlahan-lahan aku berjalan menghampirinya. Aku dah agak penat berfikir apakah salah dan sebabnya aku diganggu sedemikian rupa.

‘Apa salahku, kau buat ku begini?’ Lirik lagu Dilema secara tiba-tiba menjengah otak. Ish, mengganggu konsentrasi betul! Orang tengah serius ni!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience