Bab 12

Drama Series 12511

"What? Kau dah mengandung? Alhamdulillah weh, aku tumpang gembira. Eii, seronoknya".

Niza seronok bertepuk tangan sambil bersorak riang sehingga terpaksa ditenteramkan oleh Fatin. Bimbang jika ada orang lain yang mendengarnya terutama si mulut becok, Rosliza. Bukan dia tidak suka berkawan dengan wanita itu, cuma kadangkala rakan sejawatnya itu terlalu berlebihan dalam berbicara.

"Janganlah bising sangat Niza. Malu aku nanti kalau ada cikgu yang dengar", kata Fatin sambil memegang tangan rakannya agar lebih bertenang. Menyedari ketelanjurannya, Niza berhenti seketika sambil matanya memandang keadaan sekeliling di dalam bilik guru ini.

"Benda ini baru lagi, jadi aku nak rahsiakan dulu daripada semua. Aku cuma bagitahu kau sahaja di sekolah ini. Nanti dah 3 bulan ke atas, baru aku kongsikan berita gembira ini dengan cikgu yang lain", kata Fatin menerangkan niatnya kepada Niza. Wanita itu mengangguk sambil tersenyum ceria.

"Habis, reaksi Azwan macam mana bila dapat tahu berita ini?", soal Niza sekadar ingin tahu.

"Fuh, dia punya gembira itu sampaikan dia nak telefon mak aku malam tadi juga sebab nak beritahu pasal ini. Dalam kereta masa nak balik pun sama, siap menyanyi lagi lagu untuk kanak-kanak. Pak Atan ada kucing lah, apa lah", kata Fatin sambil tertawa kecil.

Niza juga tertawa mendengar cerita daripada rakannya. Dia sendiri sudah faham akan reaksi seorang suami apabila pasangannya disahkan hamil kerana suaminya juga memberikan reaksi gembira seperti Azwan. "Biasalah itu, orang lelaki ini nampak sahaja gagah. Tapi bila bab hamil ini, mereka mesti jadi kanak-kanak riang. Hilang segala macho semua".

Fatin tersenyum sahaja sambil mengenangkan detik indah malam tadi. Dia sendiri tidak menyangka akan menjadi seorang ibu tidak lama lagi. Niza masih setia duduk bersebelahan dengan Fatin memandangkan jadual mengajarnya akan berlangsung lagi lima belas minit.

"Cik abang aku dulu, aku pernah terjumpa buku kecil yang ada pelbagai jenis nama untuk anak aku masa aku hamil dulu. Bila aku terjumpa, tak nak mengaku pula. Dah lah nama penuh dengan nama pemain bola sepak. Itu yang dapat nama Amri Yahya itu", kata Niza menceritakan semula detik awal sebelum kelahiran anaknya, Amri.

"Biasanya, orang lelaki ini bila dapat tahu jantina anak kita nanti, kepala mereka laju sahaja fikir nama anak terutama kalau dia minat sesuatu perkara. Kalau dia minat cerita anime Jepun, haa dia letak nama watak itu. Tapi tak semua lah", kata Niza lagi. Fatin tersentak seketika ketika mendengar tentang anime Jepun. Dirinya teringat akan minat suaminya yang satu itu.

"Alamak, dia dah lah hantu One Piece. Tak pasal-pasal nama anak aku jadi nama Jepun pula. Wuu", kata Fatin sambil membuat riak wajah sedih secara suka-suka. Kemudian mereka berdua sekadar tertawa sahaja.

"Eh, aku ada kelas dengan budak 3 Mawar. Kelas dia dah lah jauh di hujung sana. Aku pergi dulu ya", ujar Niza meminta izin untuk beredar. Fatin tersenyum sambil mengangguk. Dia juga mengemas barangnya untuk memulakan sesi mengajar di sebuah kelas.

***

5.30pm

"Assalamualaikum".

Fatin yang sedang tekun menyediakan bahan untuk memasak sempat menjeling ke arah ruang hadapan sambil menjawab salam yang diberikan oleh suaminya. Kelihatan Azwan berlalu ke bilik terlebih dahulu bagi merehatkan tubuh dengan membuka pakaian pejabatnya.

Sepuluh minit kemudian, Azwan keluar daripada bilik dengan memakai tuala di bahagian pinggangnya lalu menuju ke bilik air bagi membersihkan diri. Fatin hanya membiarkan sahaja sambil tangannya lincah melakukan kerja dapur. Memang begitu reaksi Azwan sewaktu pulang daripada bekerja yang tidak akan berbual dengannya terlebih dulu.

Fatin terus rancak melakukan kerja di dapur ini. Menu masakan hari ini adalah gulai lemak ayam cili api serta sayur bayam. Beliau melakukan kerja itu secara seorang diri seperti kebiasaan kerana dia lebih selesa begini. Pernah suaminya relakan diri untuk membantu namun kerjanya menjadi lambat.

Sementara itu, Azwan yang sudah selesai membersihkan diri serta mengenakan pakaian lengkap melabuhkan punggungnya di atas katil. Bakul berisi pakaian kering yang belum berlipat itu diambil lalu diselerakkan di atas katil. Satu persatu kain baju miliknya serta pasangannya dilipat satu persatu.

Tiba-tiba, hidungnya dapat menangkap bau masakan yang harum di bahagian dapur. Azwan tersenyum kerana dia amat kenal dengan bau masakan ini. Lantas, dia bangun daripada katil meninggalkan kerjanya seketika lalu berjalan ke arah dapur.

"Wah, Atin masak gulai ayam ya? Sampai ke dalam bilik bau wangi itu", kata Azwan sambil memeluk bahagian pinggang wanita itu. Pipi kiri Fatin juga dikucup lembut. Fatin yang sedang mengacau kuah berkenaan hanya tersenyum sahaja.

"Ya bang. Abang suka kan lauk ini", kata Fatin sambil menoleh ke arah suaminya.

"Bukan lauk ini sahaja abang suka, orang yang buat lauk ini pun abang suka sangat. Eii", kata Azwan sambil tangannya sempat menarik pipi isterinya. Fatin menyeringai kesakitan sambil menampar lengan Azwan menyebabkan lelaki itu hanya ketawa sahaja sambil kakinya melangkah meninggalkan kawasan dapur ini.

"Haa, dah kacau orang lepas itu pergi macam itu sahaja. Huh", laung Fatin sambil mendengus kepada suaminya yang sudah beredar daripada dapur.

"Abang nak sambung kerja abang semula. Baju awak yang pelik-pelik ini abang biarkan sahaja dalam bakul ya. Nanti ada masa awak lipat", balas Azwan dengan suara yang agak kuat daripada dalam bilik tidurnya.

Dahi Fatin sedikit berkerut mendengar kata-kata Azwan. Baju pelik? Baju apa yang pelik? Dia kemudian melaungkan pula suaranya daripada dapur, "Apa baju Atin yang pelik sangat itu? Ke abang yang tak reti lipat".

"Baju apa lagi. Baju 'cermin mata' awaklah".

Wajah Fatin merona merah secara tiba-tiba mendengar laungan suaminya. Sesuka hati sahaja lelaki itu memanggil pakaian itu cermin mata. "Baju lain pun abang tinggalkan. Nanti tersalah lipat, awak juga yang bising baju berkedut lah, apa lah. Seluar tali kecil awak ini pun abang biarkan sahaja ya".

"Ish abang ini, tak perlu kot cakap kalau nampak. Biar sahaja di dalam bakul itu kalau tak tahu lipat", balas Fatin dengan laungan sambil wajahnya masih merona merah. Hatinya semakin panas setelah mendengar suara lelaki itu sedang mentertawakannya. Kemudian, mereka berdua tidak bersuara sebaliknya fokus dengan kerja masing-masing.

***

8.45pm

Azwan duduk di atas sofa sambil tangannya memegang telefon pintar. Wajahnya tersenyum ceria sahaja. Dia duduk di Fatin yang sedang menanda buku sekolah pelajarnya. Sesekali wanita itu mengeluh kerana letih selain merungut dengan kesalahan yang dilakukan oleh pelajarnya walaupun sudah diajar berkali-kali.

"Tak baik mengeluh macam ini. Biasalah budak-budak belajar, mesti ada buat kesalahan", kata Azwan sambil tangannya mengurut bahagian tengkuk isterinya. Fatin hanya memejamkan mata sahaja menikmati urutan jari lelaki itu. Kerjanya dihentikan seketika lalu kepalanya disandarkan di atas bahu Azwan.

"Oh ya, abang lupa. Tadi ibu kirim salam".

"Waalaikumsalam", balas Fatin. Tahulah dia sebentar tadi suaminya berbual dengan emaknya di talian berdasarkan suara orang sedang berbual di dalam bilik secara sayup-sayup.

"Minggu ini Atin ada apa-apa program tak? Kalau tak ada, kita balik kampung mak abang pula ya", kata Azwan kepada Fatin.

"Hmm, Atin ikut sahaja bang. Kami belum ada lagi program lain di sekolah ketika hari minggu. Jadi, boleh kita balik ke kampung abang pula. Dapat jumpa ibu dengan ayah", balas Fatin sambil tersenyum.

"Baik".

Mereka kemudian berdiam diri sambil melayan rancangan di kaca televisyen. Fatin kembali meneruskan kerja-kerja menanda buku sekolah yang masih lagi menimbun. Sementara itu, Azwan masih leka menonton televisyen di saluran TV2 ini. Filem klasik Anakku Sazali sedang ditayangkan ketika ini.

"Hmm, cerita ini lagi. Padahal aku rasa dah main bulan lepas. Main lagi cerita ini", Azwan merungut sendirian.

Akhirnya, Fatin berhenti seketika menanda buku pelajarnya. Saki baki kelas lain akan disambung pada hari esok. Kini, dia mahu berehat bersama suaminya sambil menonton filem klasik yang sangat memberikan pengajaran bermakna dalam kehidupan keluarga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience