"Hassan, mahukah kau berjanji satu perkara denganku?".
" Apa dia Ani, katakan".
"Kau bukan tak tahu, kadangkala seorang ibu itu akan mati ketika melahirkan anaknya".
"Ani!".
Azwan dan Fatin masih tekun menyaksikan adegan menarik daripada filem Anakku Sazali, arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Walaupun filem berkenaan sudah berulang kali ditayangkan di kaca televisyen, namun perasaan jemu itu langsung tidak ada buat penonton daripada pelbagai generasi. Salah satu kekuatan utama dalam semua filem arahan senyuman agung itu.
"Sekiranya aku mati, kau tidak akan membawa orang lain untuk berada di antara kau dan anak kita".
"Aku berjanji Ani. Ani, mengapa kau mengatakan begitu dalam keadaan kita sedang bergembira begini".
Dalam masa yang sama, Fatin memegang perutnya. Walaupun kandungannya masih awal, namun apa yang dikatakan oleh Mahani dalam filem ini adalah benar. Seorang ibu akan bertarung nyawa dalam melahirkan seseorang insan yang dikandungnya selama sembilan bulan.
Azwan hanya berdiam diri menyaksikan filem ini. Entah kenapa, hatinya menjadi sayu serta sedih. Tidak dapat dibayangkan jika nasib Sazali itu menimpa terhadap mereka sekeluarga. Tiba-tiba, Azwan bangun daripada tempat duduknya lalu beredar daripada kawasan itu.
Selepas selesai babak Mahani yang pengsan secara mengejut, laluan iklan diberikan oleh RTM. Fatin yang sudah selesai menanda buku sekolah pelajarnya bangun daripada kerusi berkenaan sambil tangannya membawa buku-buku itu ke meja yang lain. Kepalanya sekilas menoleh ke arah Azwan yang duduk termenung di kerusi makan di bahagian dapur.
"Aik bang, jauh duduk termenung", kata Fatin sambil dirinya melangkah menuju ke arah suaminya. Azwan hanya diam seribu bahasa tanpa menoleh ke arah wanita itu. Fatin sekadar membiarkan sahaja lelaki itu di meja makan kerana dia sendiri ada urusan yang perlu diselesaikan di tandas.
Tidak lama kemudian, Fatin keluar daripada tandas sambil tangannya dicuci di sinki dapur rumahnya. Kelibat Azwan tidak ada lagi di dapur. Fatin sempat membetulkan ikatan rambutnya sebelum melangkah ke ruang tamu.
"Eh, abang tukar siaran ke?", soal Fatin selepas melihat siaran televisyen kini beralih ke saluran Astro Ria. Azwan hanya berdiam diri sahaja. Fatin mengambil alat kawalan jauh televisyen itu untuk menukar siaran asal namun dihalang oleh Azwan.
"Kenapa bang, Atin nak tengok cerita itu", ujar Fatin. Pelik dengan reaksi lelaki itu sedangkan sebentar tadi dia yang mahu menonton cerita itu. Azwan hanya membisu sahaja.
"Abang tak suka cerita itu. Entahlah, abang...", Azwan akhirnya bersuara. Perasaan Fatin menjadi semakin ganjil dengan perubahan sikap suaminya itu.
"Abang takut, nasib Sazali itu jadi pada kita".
Fatin terpana mendengarnya. Wanita itu beristighfar seketika mendengar apa yang dikatakan oleh Azwan. Dia segera duduk bersebelahan suaminya sambil memegang tangan lelaki itu.
"Abang, itu hanya cerita sahaja. Kita ambil sahaja pengajaran daripada cerita itu. In Sha Allah, kita sentiasa bersama-sama menjaga anak kita sehingga kita tua nanti. Abang jangan fikir yang bukan-bukan", Fatin memujuk lembut suaminya sambil mengelus tangan lelaki itu.
Azwan masih berdiam diri. Kepalanya dipaling ke arah lain. Fatin memegang kepala lelaki itu lalu dipusingkan ke arahnya. Wanita itu terkejut kerana pandangan lelaki itu sedikit berkaca dengan air mata.
"Eh abang, kenapa emosi macam ini?", soal Fatin dengan nada risau. Air mata yang bergenang di tubir mata lelaki itu diseka sedikit. Azwan hanya tunduk malu. Jatuh kejantanannya menangis di hadapan orang.
"Abang tak nak merasa kehilangan lagi. Cukuplah sekali sahaja dulu. Abang tak nak hilang sayang. Sumpah, abang tak boleh bayangkan apa jadi dengan diri abang kalau sayang...", Azwan terdiam. Mulutnya tidak mampu meneruskan kata-kata lagi.
Fatin mengusap belakang rambut suaminya itu. Dia sendiri tahu akan hakikat itu kerana kematian tidak mengenal usia, masa dan waktu. Rambut Azwan diusap lembut sebelum kepalanya disandarkan di atas bahu suaminya. Tangannya memegang kemas tapak tangan lelaki yang bertakhta di hatinya kini.
"In Sha Allah, kita doa yang baik-baik untuk keluarga yang baru nak bina ini. Semoga kita berdua dipanjangkan umur untuk sama-sama menjaga antara satu sama lain. Atin janji, Atin takkan tinggalkan abang selagi hayat dikandung badan", kata Fatin dengan nada sayu.
"Kita akan sama-sama menjaga anak kita ini, tengok macam mana proses membesarnya. Kita akan hantar dia ke sekolah tadika, ajar dia mengaji dan pelbagai lagi. Kita akan buat perkara itu bersama-sama", ujar Fatin sambil menatap mata suaminya dengan pandangan kasih.
Azwan tersenyum mendengar kata-kata daripada isterinya. Dahi wanita itu dikucup lembut sebelum memeluk bahu Fatin. Fatin memejamkan mata sambil kepalanya diletakkan semula ke atas bahu suaminya. Dalam hati masing-masing sempat menitipkan doa yang baik-baik untuk diri masing-masing.
***
Sabtu
Khairul Azwan serta pasangan kini berada di kampung halamannya. Fatin bersetuju untuk pulang ke kampung suaminya pula di Melaka. Kepulangan mereka berdua disambut mesra oleh kedua ibu bapa mertuanya serta adik beradik iparnya.
Nasuha serta Nizam antara yang gembira mendengar perkhabaran baik daripada Azwan tentang kehamilan Fatin. Berkali-kali juga pipi cerah wanita itu dikucup serta dicubit oleh Nasuha, ibu mertuanya. Selain itu, abang-abang serta kakak iparnya turut berada gembira.
Ketika ini, Fatin berada di dapur bersama Nasuha, Izyan iaitu kakak iparnya serta Hazirah, birasnya. Mereka berempat bertungkus lumus menyediakan bahan-bahan untuk memasak lauk tengah hari sementara kaum lelaki berada di ruang tamu melayan karenah kanak-kanak.
"Tengoklah Wan itu, bukan main lagi dukung si Luffy", kata Izyan yang tersenyum menyaksikan adik lelakinya itu mendukung anak saudaranya.
"Biarlah dia kak. Bagi belajar sikit dukung budak. Nanti bayi dah lahir, tak rasa kekok sangat kan Fatin", balas Hazirah sambil tersenyum ke arah Fatin. Luffy adalah anaknya hasil daripada perkahwinannya dengan Anuar, abang kepada Azwan.
"Nanti kau jangan terkejut pula dik kalau dia nak namakan anak dia Nami lah, Nico Robin lah, Naruto lah. Kau jangan pelik. Dia dengan si Nuar itu sama sahaja. Geng otaku", ujar Izyan sambil sempat dia menoleh ke arah dua adik lelakinya. Kepalanya sempat digeleng kerana memikirkan karenah dua saudara kandungnya.
"Kalau kau nak tahu, masa mula-mula Luffy itu lahir, berlumba-lumba masing-masing cari nama hero kartun Jepun itu. Itu yang keluar nama Muhd Daniel Luffy. Kalau tidak, nak diletaknya nama Monkey D Luffy. Apa kejadahnya ada perkataan monyet pula dekat nama budak. Tak pasal-pasal nanti dia kena ejek di sekolah nanti", ujar Hazirah panjang lebar.
Fatin ketawa sahaja mendengar cerita berkenaan manakala Izyan hanya tersenyum sahaja sambil sempat menoleh ke arah Nasuha yang turut ketawa kecil. "Mak pun tak faham budak berdua itu. Dah jadi bapa orang dah, layan lagi cerita kartun macam itu", kata Nasuha setelah lama berdiam diri.
"Dulu pun pernah dia nak buat kad kahwin letak gambar cerita One Piece itu. Tapi", belum sempat Izyan menghabiskan ayat, Nasuha menjeling ke arah wanita itu.
"Yan. Benda dah lepas, tak perlu sebut lagi".
Izyan terdiam mendengar kata-kata itu. Dirinya kesal kerana tersasul perkara silam adiknya yang tidak diketahui oleh Fatin. Namun begitu, Fatin hanya tersenyum sahaja memandang keluar mertuanya.
"Tak apa mak, Atin dah tahu. Dulu Azwan pernah ada tunang dengan Lisa kan?", soal Fatin. Tiga wanita itu terkejut mendengarnya. Mereka bertiga segera berpaling ke arah Fatin.
"Macam mana kau tahu tentang arwah Lisa? Wan cerita pada kau ke?", soal Izyan dengan pandangan terkejut. Hazirah hanya melihat sahaja wajah birasnya. Walaupun dia tahu tentang kisah itu, namun dirinya memilih untuk berdiam diri sahaja.
Fatin mengangguk lalu menceritakan pertemuan semula antara suaminya dengan lelaki bernama Fattah di gelanggang futsal minggu lalu. Terkejut besar tiga wanita itu mendengar nama lelaki yang paling dibenci oleh Azwan.
Nasuha hanya mengeluh sahaja mendengar kisah yang diceritakan oleh Fatin. Anaknya masih lagi menyimpan dendam dengan Fattah walaupun peristiwa itu sudah berlalu dua tahun yang lalu. Izyan juga melakukan reaksi yang sama.
"Kalau mak dengan akak tak kisah, Atin sudi untuk dengar macam mana penerimaan Azwan waktu itu. Sebab sebelum ini, dia ada juga cakap yang dia tak sanggup untuk merasa kehilangan lagi", ujar Fatin dengan nada lembut. Dia perlu tahu kisah silam suaminya walaupun perkara itu sudah berlalu.
"Mak harap, apa yang cerita ini habis di dapur ini sahaja ya. Mak tak nak kamu cakap lagi tentang perkara ini", ujar Nasuha dengan nada lembut. Fatin mengangguk setuju.
Share this novel