Bab 8

Drama Series 12511

Dua hari kemudian

Kehidupan mereka berdua sebagai suami isteri tetap diteruskan. Kenangan lama yang sudah berlalu dibiarkan berlalu. Masa hadapan yang tidak diketahui sama ada baik atau buruk, perlu dilalui bersama. Rutin mereka masih sama. Azwan akan menghantar Fatin ke sekolah dahulu sebelum bergerak ke pejabatnya. Begitu juga jika pulang, Azwan akan menjemputnya di sekolah.

Walaubagaimanapun, Fatin mula berasa tidak selesa kerana jadual kerja mereka yang tidak sama menyebabkan dia perlu menunggu suaminya datang. Adakalanya lelaki itu datang lambat sekitar jam 6 petang sedangkan sesi persekolahan termasuk Kelas Agama Petang selesai jam 4.30 petang. Ada juga diajukan permintaan kepada suaminya untuk mengambil kereta di kampung namun jawapan yang diterima agak hampa.

'Abang tak pernah rasa susah pun jemput ayang. Ini kan tanggungjawab abang'. Itulah antara kata-kata Azwan yang sering diterimanya. Fatin termenung di kantin sekolah itu memandangkan suasana sudah agak sepi. Kantin sekolah juga sudah tutup. Jarum pendek pada jam di dinding sudah menunjukkan hampir pukul 6 petang. Dia mengeluh lagi.

"Aishh, lambat lagi aku balik. Kalau Myvi aku ada sekarang, aku dah ada di rumah dah. Boleh masak, lepak tengok televisyen. Hmmm".

Tidak lama selepas itu, kereta Proton Saga milik suaminya muncul di hadapan kantin sekolah. Fatin mula menyedari kemunculan kereta berkenaan selepas hon dibunyikan. Dia melatah kecil kerana hon itu agak kuat. Fatin bangun daripada kerusi menuju ke arah kereta berkenaan.

"Sorry sayang, jalan sesak tadi. Lama ke ayang tunggu?", soal Azwan dengan nada serba salah. Fatin hanya masuk ke dalam kereta tanpa sepatah kata. Bukan niatnya untuk tidak menjawab soalan suaminya, cuma dia perlukan masa untuk dirinya seketika.

"Sorry bang tak berapa dengar tadi. Abang tanya apa?", soal Fatin semula.

"Lama ke ayang tunggu tadi?", kata Azwan pendek sambil tangan dan kakinya mula menggerakkan kereta.

"Macam biasa sahaja bang. Bukan Atin tak pernah tunggu lama pun kan", kata Fatin lembut namun terasa tajam ayatnya di telinga Azwan. Azwan tenang memandu walaupun terkejut dengan kata-kata daripada isterinya.

"Maaflah, jalan sesak tadi. Bukan abang sengaja lambat. Jom pergi drive thru nak? Abang belanja", kata Azwan kepada Fatin dengan nada ceria. Dia mula menyedari wajah isterinya agak sugul. Tentu banyak masalah yang difikirkan di sekolah jadi tidak salah untuk dia menghiburkan hati isterinya.

"Alaa tak payahlah singgah mana-mana. Atin penat sangat hari ini. Baik kita balik rumah sahaja makan di rumah. Tapi kalau abang nak, abang beli untuk abang sahaja", kata Fatin sedikit merungut. Matanya dipejamkan seketika menikmati kedinginan penghawa dingin kereta ini yang sejuk.

Azwan berdiam diri. Niatnya untuk membelanja isterinya terpaksa dibatalkan memandangkan wanita itu jelas kelihatan tertekan dan penat. Lokasi asal mula berubah ke rumah mereka. Tidak lama kemudian, Fatin terlena seketika disebabkan nikmat penghawa dingin yang menyejukkan.

-----------------------------------------------------------

8.00pm

Azwan mengangkat bakul baju yang telah dilipat bersama isterinya ke dalam bilik sementara Fatin pula mengambil buku sekolah yang telah diterima daripada pelajarnya. Kerja sekolah yang diberikan tempoh hari akan ditanda sebentar lagi.

"Huh, kelas ada 39 orang pelajar tapi yang hantar cuma 35 sahaja. Aishh, ini mesti kerja tak siap. Patut tiba-tiba cakap dengan aku nak pergi tandas rupanya nak lari".

Fatin mengomel sendirian sambil membuka helaian buku daripada pelajarnya. Setiap satu buku ditanda dengan teliti. Jika ada sebarang kesalahan, Fatin membulatkan kesalahan itu. Mulutnya tidak lekang daripada terus mengomel.

"Amboi-amboi, neraka kirim salam ya. Haa meh jumpa neraka esok", kata Fatin sendirian. Pen merahnya terus menulis Jumpa Saya Esok.

Azwan yang berada di dapur membancuh dua gelas besar air panas iaitu Milo. Satu untuk dirinya dan satu lagi untuk isterinya. Bibirnya tidak lekang daripada senyuman ketika mendengar bebelan Fatin seorang diri sewaktu menanda buku sekolah. Dia melangkah membawa dulang ke ruang tamu. Tidak salah jika dia meringankan tulang membuat air untuk isteri.

"Stress nampak. Meh minum air ini dulu", kata Azwan sambil menghulurkan cawan mug bendera Croatia sementara dirinya pula bendera Perancis. Ada simbol World Cup 2018 pada corak cawan berkenaan.

"Terima kasih bang", kata Fatin tersenyum sambil mengambil cawan lalu diletakkan di tepi bawah meja. Risau jika ianya tumpah mengenai buku pelajarnya. Dah jadi satu hal pula untuk terangkan kepada mereka esok.

"Mana tak stressnya bang, apa yang Atin ajar buat, lain yang mereka buat. Tengok ini, Atin bagi kertas untuk tampal dekat buku. Dia pergi lukis pula disini", kata Fatin mengadu kepada suaminya. Buku berkenaan ditunjukkan kepada Azwan. Gambar dilukis mengikut kertas yang diberikan oleh Fatin menyebabkan lelaki itu tertawa.

"Agaknya kertas dia hilang kot. Takut awak marah, itu yang pergi lukisnya. Hahaha", kata Azwan sambil ketawa lagi.

"Masalahnya dia tak cakap. Cuba cakap. Ini senyap sahaja masa hantar tadi. Cuba abang tengok yang ini pula", Fatin menunjukkan kepada suaminya buku satu lagi. Azwan membaca jawapan yang diberikan menyebabkan lelaki itu sekali lagi ketawa cuma kali ini lebih besar. Fatin turut tertawa kecil kerana ketawa Azwan yang menghiburkan.

"Mungkin ini cara dia tegur orang agaknya tapi lebih kasar sikit. Betul apa jawapan itu. Orang kita kena bagi teguran kasar sikit baru mereka boleh terima", kata Azwan yang masih memegang buku berkenaan. Fatin yang tidak berpuas hati terus merampas buku itu lalu menanda kembali buku lain. Azwan tertawa lagi melihat reaksi isterinya.

Mereka berdua kini berada di ruang tamu menonton Buletin Utama di kaca televisyen. Sesekali Azwan tertawa lagi mendengar bebelan Fatin sewaktu menanda buku. Air panas yang dihirup tadi sudah habis.

Setelah hampir 45 minit, Fatin selesai menanda buku pelajarnya. Tangannya ditongkatkan di atas meja memegang kepalanya. Kelihatan seperti banyak masalah yang difikirkan oleh wanita itu. Azwan memegang bahu Fatin mengarahkan dirinya supaya rapat kepadanya.

"Meh abang picit kepala awak"

Azwan mula memicit bahagian kepala Fatin di bahagian tepi dahi. Sesekali dia mengurut juga bahu wanita itu. Fatin tersenyum sambil memejamkan mata menikmati urutan suaminya. Dia memegang bahagian tangan Azwan seolah-olah suka dengan urutan itu.

Azwan tersenyum. Memorinya teringat akan pesanan daripada seorang Ustaz sewaktu menghadiri kursus kahwin dahulu sebelum dia bergelar seorang suami. Antara pesanan yang sentiasa dipegang oleh dirinya sehingga kini.

"Kalau isteri kita marah ke, nampak stress ke. Kita jangan tambah lagi serabut dia sebaliknya kita bantu dia. Buatkan air ke, urut bahu dia ke. Gerenti nanti mesti dapat. Lepas itu dia takkan marah lagi".

"Arrhhh".

Azwan terkejut mendengar suara Fatin. Lain macam bunyinya menyebabkan kain pelikat yang dipakai sedikit terbonjol. Fatin tertawa kecil sambil menutup mulut.

"Lain macam saja bunyi. Nak ke? Lepas Isyak nanti ya", kata Azwan sambil tertawa kecil. Hasilnya cubitan ketam daripada isterinya singgah ke tangan lelaki itu.

"Bang, apa kata minggu ini kita balik rumah mak?", soal Fatin kepada Azwan secara tiba-tiba. Azwan masih setia memicit bahu isterinya itu terkejut mendengar saranan secara mengejut itu.

"Rumah mak ayang ke? Boleh sahaja", kata Azwan pendek.

"Boleh bang ya. Lagipun Atin nak ambil kereta Atin dekat sana. Tak perlu tunggu abang lagi dekat sekolah sebab waktu balik kita kan tak sama. Berlecak tau ketiak Atin tunggu abang tadi", kata Fatin kepada Azwan menyebabkan lelaki itu tertawa kecil lagi.

Azwan terdiam mendengar kata-kata isterinya. Perasaan kasihan timbul memandangkan waktu persekolahan tamat sekitar 4 atau 4.30 petang sedangkan dia keluar pejabat satu jam selepas itu. Belum tambah lagi waktu perjalanan ke sekolah. Azwan tersenyum sambil menganggukkan kepala.

"Kalau itu kemahuan ayang, abang izinkan ambil kereta. Tapi ingat ya, kalau nak pergi mana-mana macam Giant ke apa ke, tunggu abang dulu", kata Azwan memberikan arahan. Fatin yang gembira terus mencium tangan suaminya yang masih setia mengurut bahunya.

"Terima kasih bang".

"Sama-sama".

Tidak lama kemudian, azan Isyak berkumandang menandakan sudah masuk waktu. Mereka berdua berdiam diri sambil menjawab lafaz seruan azan satu persatu. Sebaik sahaja selesai, mereka membaca doa selepas azan. Fatin kemudian bingkas bangun daripada tempat duduk.

"Dah Isyak dah bang", kata Fatin sambil mengenyitkan sebelah matanya sebelum berlalu ke bilik air untuk berwuduk. Azwan tersenyum manis melihat telatah isterinya.

-----------------------------------------------------------

11.00pm

Azwan masih lagi terbaring sambil matanya terkebil-kebil. Kain selimut yang menutupi sedikit bahagian tubuh mereka berdua yang tanpa pakaian itu diangkat lagi. Lingkaran tangan Fatin memeluk dadanya dibiarkan sahaja tanpa ada niat untuk mengalihkan daripada tempat itu. Azwan mencapai telefon pintar di sebelahnya.

Bibirnya tersenyum sewaktu melihat telefon pintar berkenaan. Telefon itu dipusingkan secara melintang. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi muzik daripada aplikasi popular masa kini, PUBG.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience