Bab 4

Drama Series 12511

Sudah hampir 2 minggu lebih mereka hidup sebagai pasangan suami isteri. Kehidupan mereka berdua boleh dikatakan agak bahagia juga. Rutin hidup sebagai rakyat Malaysia yang keluar bekerja pada setiap hari Isnin hingga Jumaat. Bagi golongan yang berkerja di sektor kerajaan, hari Sabtu dan Ahad adalah cuti mingguan.

Azwan duduk di rumah sambil menonton televisyen. Filem IronMan 2 yang dimainkan di Fox Action ini ditonton dengan tanpa rasa. Hari ini entah kenapa dia berasa agak bosan berada di rumah. Duduk berteleku bersama isterinya menjadikan dirinya agak bosan.

Sementara itu, Fatin di dapur sedang duduk bermain telefon. Dirinya juga berasa agak bosan. Fikirannya juga buntu ingin memasak lauk apa untuk suaminya. Jika diturutkan hati, dia mahu sahaja mengajak Azwan keluar bersama namun dia sendiri tidak tahu mahu ke mana.

"Aduhai, bosannya. Wayang tak ada cerita yang seronok. Tengok tajuk pun macam bosan sahaja. Kalau ajak Azwan tengok Fantastic Beast, dia cakap tak best pula. Entahlah".

"Haa, borak sorang dah kenapa itu", tiba-tiba Azwan muncul di dapur menegur isterinya. Fatin tersentak namun dia sempat menghadiahkan jelingan kepada suaminya. Azwan tertawa sahaja melihat reaksi isterinya yang terkejut dengan kehadirannya.

"Tak baik tau jeling suami", kata Azwan lalu melabuhkan punggungnya di sebelah isterinya. Fatin hanya berdiam diri sahaja. Azwan mengelus tangan wanita itu tanda memujuk namun Fatin bukan merajuk sebaliknya berfikir sesuatu.

"Abang tak nak pergi mana-mana ke? Atin macam bosanlah dekat rumah. Otak pun buntu tak tahu nak masak apa", kata Fatin kepada suaminya.

"Aik, macam tak suka sahaja abang ada di rumah", kata Azwan pula sekadar ingin mengusik isterinya.

"Bukanlah. Maksud Atin, abang tak ada rancangan ke hari ini? Pergi mana-mana ke", ujar Fatin lagi sambil memandang suaminya.

Azwan mengerti maksud isterinya itu. Namun begitu, dia sendiri tidak tahu nak kemana pada waktu begini. Dia mengeluarkan telefon pintarnya lalu membuat carian di internet. Tidak sampai seminit, dia terjumpa satu tempat menarik.

"Apa kata kita pergi Saloma Bridge. Tapi kita kena pergi waktu malam. Pergi waktu sekarang tak seronok", kata Azwan lagi. Fatin kelihatan sedikit teruja mendengar nama tempat itu.

"Haa okay juga itu bang. Boleh buat ambil gambar ke apa kan. Tapi sekarang nak buat apa?", soal Fatin pula. Rancangan untuk keluar malam sudah ada namun waktu sekarang masih tiada pelan lagi.

"Sekarang abang ada 2 pelan. Pelan pertama, abang tolong ayang masak dekat dapur ini. Kedua pula....", Azwan tersenyum sinis dengan matanya sengaja merenung tajam isterinya. Fatin mengangkat keningnya tidak mengerti maksud suaminya.

"Yang kedua apa? Dah kenapa tengok Atin macam nak telan sahaja", soal Fatin sedikit pelik dengan tingkah laku suaminya.

"Kedua, kita lepak dalam bilik. Kita buat anak. Amacam?", soal Azwan dengan nada berbisik. Tangannya sempat memegang paha isterinya itu. Fatin kelihatan terkejut dengan wajahnya merona kemerahan.

"Amboi bang. Siang-siang pun miang ya. Kalau macam itu baik abang tolong Atin masak sahaja senang. Nanti buat anak nanti, penat. Lepas itu perut pun kosong tak makan sebab tak ada makanan", kata Fatin lalu bingkas bangun daripada kerusi. Azwan turut bangun mengikuti isterinya. Sengaja dia berbuat demikian untuk menyakat pasangannya.

"Alah, makanan boleh pesan di luar kalau tak larat nak masak", kata Azwan selamba sahaja. Fatin mengangkat keningnya sambil menoleh ke arah Azwan.

"Amboi, senangnya. Kita kena berjimat cermat bang. Benda boleh masak tak perlu pesan di luar dan sebagainya kan", kata Fatin lembut dalam menasihati suaminya. Bukan dia ingin menolak ajakan suaminya namun dia berasa waktu sekarang tidak sesuai.

Azwan tertawa kecil. Dia terus membuka peti ais lalu mengeluarkan beberapa bahan untuk memasak. Dia memang berniat ingin membantu isterinya di dapur. Dia ingin menjadi suami yang baik dan ringan tulang menolong isterinya.

"Okay sekarang Atin nak abang buat apa", soal Azwan dengan dirinya berdiri tegak umpama seorang tentera. Fatin tertawa melihat karenah suaminya.

"Abang pergi kedai depan itu, beli ikan tenggiri setengah kilo. Cili kisar satu paket, asam jawa satu pek. Ingat tak?", soal Fatin. Azwan mengulangi kembali pesanan isterinya dengan mengajuk suara wanita itu. Tindakannya menyebabkan satu cubitan kecil singgah di perutnya. Apa lagi, menyeringai lelaki itu.

"Jangan salah beli pula. Lelaki kalau suruh beli barang dapur memanjang salah sahaja", sempat Fatin membebel kecil.

"Abang tahulah sayang. Ingat abang tak ada kaki ke?", kata Azwan dengan mendabik dadanya. Fatin sekadar membuat mimik muka menyampah. Azwan kemudian beredar daripada rumah menuju ke kedai berkenaan.

-----------------------------------------------------------

4.00pm

Azwan terjaga daripada lenanya. Dia sempat menoleh melihat Fatin juga turut terlena di sebelahnya. Dia hanya tersenyum sahaja melihat wajah wanita itu yang tetap jelita walaupun sedang tidur. Selepas makan tengah hari, mereka berbaring di ruang tamu itu sebelum masing-masing tertidur akibat kekenyangan.

"Sayang, bangun. Kejap lagi dah nak Asar. Lepas itu siap kita nak jalan jauh ini", kata Azwan sambil tangannya menepuk kaki wanita itu. Fatin mula memberikan gerak balas. Matanya yang terpejam dibuka lalu dia bangun daripada pembaringan.

"Kita nak gerak pukul berapa?", soal Fatin sambil tangannya mengikat rambutnya yang sudah terburai. Mulutnya menguap namun dibiarkan sahaja.

"Ish, tutup mulut bila menguap. Lepas solat Asar sahaja kita bergerak. Sekarang mandi, siap semua", kata Azwan. Dia kemudian bangun bergerak ke dapur. Fatin juga melakukan perkara yang sama.

Dalam masa 30 minit, mereka berdua selesai mandi bersama. Semuanya atas permintaan Fatin yang ingin mandi bersama suaminya. Namun begitu, mereka hanya mandi sahaja. Tiada aksi berat yang lain berlaku di dalam bilik air yang kecil itu. Selepas itu, azan Asar berkumandang menandakan waktu Asar sudah masuk. Hamparan sejadah dibentangkan dengan Azwan bertindak selaku imam.

Solat 4 rakaat itu dibuat dengan penuh khusyuk dan tawadduk. Kewajipan sebagai seorang Muslim perlu dijalankan.

-----------------------------------------------------------

6.40pm

Perjalanan selama 1 jam lebih itu akhirnya selamat tiba ke lokasi. Oleh sebab mereka berdua bukan warga Kuala Lumpur, maka acapkali juga kereta yang dipandu Azwan tersilap selokoh dan jalan. Walaupun mereka sudah merujuk di aplikasi Waze, sebuah aplikasi perjalanan yang boleh dirujuk jika ingin ke sesuatu tempat, tetapi tetap juga sesat.

"Alhamdulillah, sampai juga kita ya", kata Azwan sambil tertawa kecil mengingati kembali detik sesat tadi. Fatin di sebelah hanya menguntumkan senyuman. Dia juga turut tertawa.

"Kita lepak dulu ya dalam ini. Sebab lampu belum buka lagi itu. Mungkin dalam pukul 7 baru buka. Bagi abang bernafas kejap", kata Azwan lalu mengeluarkan telefon pintarnya.

Mereka berdua kemudian membuka aplikasi permainan mudah alih terkenal masa kini iaitu PUBG. Siapa sangka, seorang guru wanita juga turut bermain permainan itu.

Setelah tamat permainan yang berlangsung hampir 30 minit itu, mereka berdua terus keluar daripada kereta lalu berpegangan tangan bersama. Kereta Proton Saga milik Azwan telah siap dikunci. Mereka terus menuju ke arah Saloma Bridge yang sudah mula bersinar dengan kilauan lampu yang cantik.

Beberapa orang hadirin yang lain turut memenuhi ruang jambatan ini. Ada yang datang dengan sekumpulan rakan-rakan sejenis, ada juga yang datang dengan pasangan sama ada tua mahupun di kalangan remaja yang baru berjinak-jinak dengan percintaan.

Fatin dan Azwan juga turut tidak melepaskan peluang untuk mengisi memori di sini. Jambatan yang baru sahaja siap dalam bulan Februari ini menjadi penarik baru untuk Kuala Lumpur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience