Azwan serta isterinya telah bersiap untuk pulang ke rumah asal mereka. Walaupun jarak rumah keluarga mertua Azwan dengan rumahnya tidak jauh, namun mereka tetap ingin pulang petang ini juga memandangkan hari ini adalah hari Ahad. Bimbang jika berlaku kesesakan jalan raya nanti.
"Mak baik sahaja kan kalau Atin ambil kereta Atin semula,", soal Fatin kepada ibunya, Kalsom. Kalsom sekadar tersenyum sambil menganggukkan kepala.
"Mak baik sahaja, lagipun kau bukan suri rumah, kau bekerja. Jadi kau mesti nak kena guna kereta. Takkan kau nak harap Azwan sahaja", kata Kalsom kepada Fatin.
Fatin berdiam diri sahaja tanda mengiyakan apa yang dikatakan oleh ibunya. Jika ada kereta satu lagi, tidak sukar untuknya ke mana-mana. Tak perlu dia menunggu Azwan dalam tempoh yang lama.
"Tapi ingat Fatin. Kau itu dah bergelar isteri orang, kehidupan dah tak sama semasa kau bujang dahulu. Kalau nak keluar, kena minta izin suami dahulu. Izin suami itu penting juga tau", kata Kalsom menasihati anaknya lagi. Fatin tersenyum sahaja mendengar kata-kata ibunya yang acapkali diulang sejak dia berada di sini.
"Baik mak, In Sha Allah Atin tak akan lupa status Atin sekarang ini. Atin sentiasa pegang kata-kata mak", balas Fatin sambil tangannya memeluk lengan ibunya. Kepalanya juga dilentokkan di atas bahu wanita itu.
Kalsom tersenyum sambil memegang kepala Fatin. Dia akui, suasana dahulu ketika anak sulungnya masih bujang tidak sama seperti sekarang. Kadang kala perasaan rindu terhadap anaknya tetap ada jika fikirannya teringat memori lama.
"Sayang dah siap", soal Azwan yang datang ke dapur. Wajahnya tersenyum sahaja melihat reaksi dua beranak itu. Fatin mengangguk lalu bersalaman dengan Kalsom. Mereka berpelukan sambil melaga-laga pipi sesama mereka. Setelah itu, giliran Azwan pula bersalaman dengan ibu mertuanya.
"Kami pergi dulu ya, mak. In Sha Allah jika ada masa lain, kami akan datang lagi melawat mak", kata Azwan setelah mengucup tangan wanita itu. Kalsom tersenyum sambil memegang tangan menantunya.
"Baiklah Wan, nanti sampaikan salam mak kepada ibu bapa kamu ya Wan", kata Kalsom. Azwan tersenyum sambil mengangguk lalu mereka bertiga berjalan bersama ke ruang hadapan. Ghani, Zawana serta Zarul sudah menunggu mereka. Beg pakaian Azwan dan Fatin telah dimasukkan ke dalam bonet kereta masing-masing.
Fatin tersenyum memandang keretanya. Dia sempat masuk ke dalam lalu membuka laci pada dashboard kereta Myvi miliknya. Alatan seperti pendrive serta usb cable masih berada di dalam laci itu. Wanita itu keluar semula sambil untuk bersalaman dengan ibu dan bapanya.
"Hati-hati memandu itu, awak itu dah lama tak bawa kereta", kata Ghani sambil memegang kepala anak perempuan sulungnya. Fatin tersenyum sahaja sambil tangannya masih setia bersalaman dengan Kalsom serta adik beradiknya.
"Kau tak delete lagu aku lagi kan?", soal Fatin dalam nada berbisik kepada adik perempuannya, Zawana. Zawana hanya membuat wajah kelat sambil menggeleng. Fatin tersenyum senang. "Bagus. Okay, bang. Jom", kata Fatin setelah selesai bersalaman.
Azwan tersenyum mengangguk lalu mereka berdua masuk ke dalam kereta yang berbeza. Dua jenama tempatan yang sentiasa bersarung rapat dalam jualan menjadi pilihan mereka suami isteri. Setelah memanaskan enjin, Fatin mencucuk pendrive di radio elektronik keretanya. Wajahnya tersenyum sambil kepalanya tersengguk-sengguk mengikut irama muzik berkenaan.
"Itu dah kenapa? Tersengguk-sengguk macam orang gila", soal Kalsom sambil memandang tingkah laku anaknya di dalam kereta. Oleh sebab cermin kereta ini jenis biasa, maka orang di luar kereta akan nampak suasana di dalamnya.
"Apa lagi mak. Layan lagu indie dia lah itu. Sebab itu dia tanya Wana tadi lagu dia semua dah kena padam atau belum?", balas Zawana dengan wajah biasa. Kalsom hanya menggelengkan kepala sahaja sementara Ghani tersenyum mendengarnya. Zarul pula sekadar membisu tidak mahu mencampuri perbualan orang dewasa.
"Macam ayah kamu ini lah. Usia dah senja pun masih heboh lagi dengan kumpulan The Strokes dia itu", balas Kalsom. Seketika kemudian, Fatin melambaikan tangan tanda selamat tinggal kepada penghuni rumah ini diikuti dengan Azwan.
"Assalamualaikum semua, jaga diri ya", kata Azwan sambil mengangkat tangannya kepada keluarga mertuanya. Mereka tersenyum dan membalas lambaian berkenaan. Setelah semuanya beredar, mereka kembali masuk ke dalam rumah.
***
12.00am
Di kediaman rasmi pasangan itu, Azwan serta Fatin sudah lena tidur. Setelah selesai menyediakan kelengkapan untuk bekerja hari esok, mereka berdua terus masuk ke dalam bilik untuk tidur. Tidak ada adegan tambahan sebelum tidur seperti kebiasaan. Masing-masing tidur berpelukan antara satu sama lain.
Tiba-tiba, Fatin terjaga dengan sendirinya. Tangan Azwan yang melingkari tubuhnya dikalihkan ke tepi bagi memudahkan dirinya untuk bangun menuju ke tandas. Dia terasa ingin membuang air kecil namun dalam masa yang sama, perutnya berasa tidak selesa. Langkahnya diatur biasa.
Setelah selesai membuang air kecil di tandas itu, perut Fatin berasa semakin tidak selesa. Seperti ada sesuatu yang bergerak-gerak di dalam perutnya menyebabkan dirinya berasa agak mual. Tidak semena-mena, Fatin terus memuntahkan segala isi perut di atas sinki bilik air itu.
"Blueeek! Bluekk!", Fatin muntah di atas sinki itu sehingga tercungap-cungap nafasnya. Kemudian, kedengaran bunyi tapak kaki seseorang sedang berjalan laju ke arah bilik air itu. Azwan sudah sedar daripada lenanya. Raut wajahnya jelas cemas melihat keadaan isterinya.
"Sayang, kenapa ini? Muntah sampai begini", soal Azwan dengan nada cemas. Tangannya menepuk-nepuk bahagian belakang Fatin yang masih muntah itu. Setelah reda, Fatin mencari nafas seketika.
"Kita pergi klinik ya sayang. Jom siap", kata Azwan dengan nada lembut. Tangannya masih setia mengusap bahagian belakang isterinya sambil sesekali membelai kepala Fatin. Wanita itu sekadar menggeleng. "Tak apa, bang. Sakit perut sikit sahaja ini. Mungkin sebab makan banyak sangat kot. Kejap lagi elok lah ini", kata Fatin dengan nada suara lembut.
"Eh, mana boleh macam itu. Kita kena lah buat pemeriksaan, buatnya sayang sakit apa-apa ke kan susah. Nanti esok kalau jadi apa-apa di sekolah, macam mana. Abang tak kira. Sayang siap sekarang, kita pergi klinik Penawar di Ampangan itu", balas Azwan. Fatin hanya terdiam lalu akur dengan kehendak suaminya. Mereka berdua terus bersiap untuk keluar ke klinik.
"Naik kereta abang ya", kata Azwan sambil memegang tangan Fatin. Wanita itu akur lalu masuk ke dalam kereta sedang Azwan mengunci pintu rumahnya. Kereta berkenaan keluar daripada perkarangan rumah lalu bergerak menuju ke klinik berhampiran.
"Esok biar abang hantar sayang ya. Buatnya jadi apa-apa nanti", kata Azwan sambil mengelus tangan isterinya. Fatin hanya tersenyum sambil menggeleng. "Abang jangan risau, Atin tak apa-apa. Entah-entah...", Fatin tiba-tiba membisu sambil tersenyum. Muka Azwan berkerut seketika sambil sempat menjeling ke arah wanita itu.
"Entah-entah apa sayang? Tiba-tiba senyap pula", kata Azwan. Dia sendiri keliru dengan maksud isterinya itu.
"Tak ada apa bang. Kita tengok sahaja apa doktor kata", balas Fatin sambil tersenyum memandang cermin tingkap di sebelahnya.
***
Mereka berdua duduk memandang doktor lelaki yang bertugas malam ini. Tag nama Dr Fauzi tersemat kemas di bahagian dada sebelah kanan. Kelihatan raut wajah lelaki itu sedikit cemas semasa memeriksa kertas laporan kesihatan Fatin. Selepas itu, Dr Fauzi memandang ke arah Azwan.
"Encik Azwan, isteri encik jadi begini disebabkan tindakan encik sendiri. Cuba encik ingat balik, apa yang encik buat kepada puan?", soal Dr. Fauzi dengan raut wajah serius. Azwan terkedu memandang dua individu di sebelah dan hadapannya secara silih berganti.
"Apa maksud doktor? Saya tak faham. Cuba doktor beritahu sahaja apa yang berlaku", kata Azwan dengan dahinya berkerut. Fatin hanya tersenyum sahaja melihat reaksi suaminya manakala raut wajah Dr. Fauzi sudah berubah menjadi ceria. Tangan kanannya dihulurkan kepada Azwan.
Azwan yang masih tidak faham hanya menyambut sahaja huluran tangan itu. Dr. Fauzi kemudian tersenyum lalu berkata, "Tahniah encik, encik akan menjadi seorang ayah. Puan Fatin sah hamil tiga minggu", kata Dr. Fauzi menyebabkan Azwan tersenyum riang. Dia memandang ke arah Fatin lalu memeluk lengan isterinya.
"Wah, Alhamdulillah. Kita akan ada anak tak lama lagi", kata Azwan dengan nada ceria. Fatin memegang tangan lelaki itu sambil tersenyum. Sungguh, dia juga berasa bahagia mendengar perkhabaran ini.
Share this novel