Bab 5

Drama Series 12511

Azwan tersenyum melihat beberapa gambar di telefon pintar miliknya. Gambar kenangan antara dirinya dan Fatin dibelek satu persatu. Kemesraan jelas terpancar dalam setiap gambar tersebut yang diambil di Saloma Bridge 2 hari yang lalu.

"Haa, senyum sorang-sorang pula kawan kita ini", Rifqi menyergah sambil menepuk bahu rakannya itu. Azwan terkejut. Mujur telefon pintar berkenaan tidak tercampak ke bawah.

"Kau ini, orang tengah seronok layan perasaan tengok gambar. Nasib baik tak terpelanting telefon ini", kata Azwan yang sudah menyimpan telefon pintar berkenaan di dalam poketnya.

"Hahaha, jangan marah kawan. Eh malam ini kau ada masa?", soal Rifqi yang sudah melabuhkan dirinya ke atas kerusi miliknya di pejabat berkenaan. Beberapa kertas kerja dibelek satu persatu sebelum menyambung kembali perbualannya dengan rakan meja sebelah.

"Masa sentiasa ada weh. Kenapa? Nak lepak ke?", soal Azwan kepada Rifqi. Dia juga sudah kembali menyambung tugasannya yang tertangguh tadi.

"Aku ingat nak ajak kau main futsal malam ini. Tempat biasa di Taman Permai", kata Rifqi.

Azwan termenung seketika memikirkan pelawaan daripada Rifqi. Futsal antara aktiviti wajib mereka dahulu sebelum masing-masing mendirikan rumah tangga. Namun disebabkan kini status tidak sama seperti dahulu, aktiviti sebegitu jarang diadakan.

"Pukul berapa nak main malam ini?", soal Azwan setelah lama berfikir.

"Macam biasa lah weh, pukul 9 malam. Kita lawan team Fattah. Tempoh hari dia ada ajak aku lawan dengan budak-budak dia", kata Rifqi. Raut wajah Azwan tampak berubah saat mendengar nama berkenaan. Rifqi menyedari perkara itu namun didiamkan sahaja.

"Bila dia ajak kau? Kau ada jumpa dia ke?", soal Azwan dengan nada suara agak tegang sedikit. Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena antara mereka berdua.

"Hari Khamis rasanya. Aku jumpa dia di Senawang. Sembang punya sembang, dia cakap nak ajak friendly futsal. Aku pun set hari ini. Jomlah weh. Aku tahu kau mesti nak punya", kata Rifqi lagi. Dia yakin bahawa lelaki itu akan mengerti pasukannya.

"Siapa lagi yang main?", soal Azwan.

"Azman, Daus, Mukmin, aku, kau, Farhan, dengan adik aku", kata Rifqi menyebut seorang demi seorang nama yang akan sertai pasukan mereka malam ini.

Azwan terdiam lagi. Hati kecilnya memang teringin untuk beraksi di gelanggang futsal. Ini adalah peluang baik buat dirinya. Lebih-lebih lagi akan menentang pasukan yang diketuai oleh seseorang yang dibencinya.

"Okay, aku on!", kata Azwan.

"Cantik".

-----------------------------------------------------------

Jam sudah menunjukkan pukul 8 malam. Fatin yang sedang leka menonton televisyen saluran Buletin Utama sempat melihat gelagat suaminya yang bersiap siaga untuk keluar. Tidak pula ditanya hendak ke mana kerana dia tahu Azwan akan memberitahunya sebentar lagi.

"Eh, lupa pula abang akan ayang. Ayang pergi siap ya, ikut abang. Ke ayang ada kerja nak buat?", soal Azwan kepada isterinya. Dia sempat menepuk dahi kerana terlupa akan isterinya. Entah apa yang difikirkan sampai terlupa dia sudah beristeri.

"Hmmm, ingatkan tak nak tanya tadi. Abang nak pergi mana?", soal Fatin sambil melihat suaminya sudah lengkap berseluar pendek dan memakai jersi Manchester City.

"Abang nak pergi main futsal dengan Rifqi semua. Dah lama abang tak main. Jomlah ayang ikut. Ada ayang abang semangat sikit nak buat skil semua", kata Azwan memujuk isterinya. Lebih baik dia bawa Fatin ikut sama daripada dibiarkan seorang diri di rumah.

Fatin masih berfikir anak matanya memandang ke skrin televisyen. Pelawaan suaminya agak menarik memandangkan segala kerjanya sudah selesai. "Okay lah bang. Bagi ayang 15 minit", kata Fatin lalu bangun menuju ke bilik tidur untuk menukar baju.

"Terbaik. Hehehe. Jangan lama sangat siap itu. Teman abang main futsal sahaja bukan kita pergi mall ke apa", kata Azwan yang sudah duduk di atas sofa menonton Buletin Utama.

Tidak lama selepas itu, Fatin keluar daripada bilik dengan mengenakan pakaian yang biasa sahaja. T-shirt hitam lengan panjang serta seluar track biru hitam.

"Okay jom, pergi Taman Permai".

-----------------------------------------------------------

Taman Permai

Perkarangan gelanggang futsal di taman perumahan ini sudah mula dibanjiri dengan orang ramai daripada berbagai jenis bangsa. Kawasan ini menjadi pilihan utama golongan 'kaki futsal' disebabkan harganya yang jauh lebih murah berbanding di tempat lain.

Golongan kanak-kanak, remaja bahkan orang dewasa yang berusia lewat 30an selalu membanjiri kawasan ini. Walaubagaimanapun, gelanggangnya hanya ada 2 sahaja. Oleh sebab itu, pengunjung perlu membuat tempahan dahulu melalui telefon. Selesai main, baru bayar.

Kereta Proton Saga milik Azwan akhirnya memasuki kawasan tempat letak kereta yang telah disediakan. Mereka berdua kemudian berjalan beriringan tanpa berpimpinan tangan.

"Assalamualaikum geng", ucapan salam diberikan oleh Azwan kepada Rifqi dan yang lain. Masing-masing berjabat tangan antara satu sama lain. Hanya Fatin sahaja yang memberikan senyuman dan anggukan kepala.

"Waalaikumsalam", ucapan salam dijawab bersama.

"Semua dah ada ke?", soal Azwan kepada Daus atau nama sebenarnya Firdaus.

"Tinggal Rifqi dengan adik dia. Budak-budak Fattah pun dalam perjalanan ke sini katanya", kata Azman pula yang sedang bersiap memakai kasut. Di sebelahnya ada seorang wanita iaitu isteri kepada Azman. Azwan tersenyum lalu mengarahkan Fatin supaya bersalaman dengan isteri rakannya itu.

"Kau pun bawa wife ya", kata Azman kepada Azwan.

"Ya. Mana boleh tinggal weh", kata Azwan sambil tersengih. Fatin berbual dengan isteri Azman yang bernama Dahlia.

Tidak lama kemudian, Rifqi tiba bersama seorang lelaki muda di sebelahnya yang juga adik kepada lelaki itu. Mereka berdua juga bersalaman dan berjabat tangan bersama yang lain.

"Fattah dah sampai ke?", soal Rifqi kepada Daus.

"Belum. Dia kata dalam perjalanan dengan budak-budak dia", balas Daus yang sudah sedia dengan kasut Adidasnya. Sementara itu, Mukmin pula sedang memanaskan badan sambil bermain hantaran pendek bersama Azman.

"Aku risau dia tak datang sahaja macam dulu. Nak main apa weh 6 orang sahaja", kata Azwan kepada 2 rakannya.

"Itulah pasal. Deal beria nak friendly lah apa lah. Kalau tak datang lagi, memang aku tak ajak dia dah lepas ini", kata Rifqi yang mengeluarkan telefon pintarnya. Nombor telefon Fattah dicari lalu dia membuat panggilan.

"Hello Fattah, dekat mana?", soal Rifqi.

".....".

"Okay. Ingat tak datang tadi macam dulu".

".....".

Tut! Panggilan tamat.

"Dia cakap apa", soal Mukmin.

"Dah sampai traffic light depan sana", kata Rifqi.

"Syukur. Kalau tak datang habis kita weh", kata Mukmin lagi.

10 minit kemudian, beberapa buah motosikal milik Fattah dan rakan-rakannya tiba di hadapan kompleks futsal itu. Ada 5 buah motosikal kesemuanya.

"Haa itu mereka dah sampai", kata Daus dengan tangannya menunjukkan ke arah kumpulan motorsikal itu.

Fattah dan beberapa rakan pasukannya berjabat salam dengan yang lain. Sewaktu Fattah bersalaman dengan Azwan, kedua-duanya saling berlawan menggenggam tangan siapa paling kuat.

"Ingatkan goyang tadi tak nak datang. Telur dah ada balik ke?", bisik Azwan kepada Fattah.

"Alamak bro, benda lepas tak payah sebut bro. Aku dah sampai malam ini kan. Apa yang penting game malam ini. Siapa kalah, dia bayar. Amacam?", soal Fattah kepada Azwan.

Mereka yang lain agak terkejut mendengar perkara itu. Rifqi bingkas bangun lalu menghampiri dua lelaki itu.

"Apa hal nak main kalah bayar pula? Tempoh hari kau tak cakap pun pasal ini", kata Rifqi sedikit berang dengan kata-kata Fattah.

"Kenapa? Takut ke? Dulu aku tak datang bawa budak-budak aku korang kata aku pengecutlah apa lah, sekarang aku dah sampai. Takut kalah ke apa?", soal Fattah dengan senyuman sinis.

Azwan kekal tenang. Dia tidak boleh menunjukkan emosi di hadapan isterinya. Perlawanan genggaman tangan masih lagi berlaku.

"Kau okay ke Qi? Dah alang-alang sampai ini. Barulah thrill sikit", kata Azwan. Rifqi berfikir sejenak lalu bersetuju. Fattah tersenyum sinis.

"Okay, jom".

Fattah mengarahkan salah seorang rakannya supaya pergi ke kaunter untuk memaklumkan perkara ini. Sudah agak sinonim pertaruhan begini dalam kalangan pemain futsal.

Sementara itu, dalam pasukan Rifqi, Azman dan Mukmin antara yang paling teruja sewaktu memaklumkan perkara itu. Sudah lama mereka tidak bermain pertaruhan sebegini.

Azwan pula sudah lengkap memakai kasut dan sarung tangan. Posisi penjaga gol adalah posisi asal beliau sejak remaja lagi. Perasaan teruja juga bersarang di dalam hatinya. Sudah tentu dia ingin beraksi dengan lebih baik memandangkan Fatin berada disini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience