Bab 9

Drama Series 12511

Jumaat

9.00pm

"Assalamualaikum".

"Waalaikumsalam, haa Fatin dah sampai dah mak".

Kehadiran Fatin dan pasangan disambut dengan mesra oleh keluarganya. Zarul, adik lelaki kepada Fatin turun membantu mengangkat beg pakaian daripada dalam kereta. Azwan tersenyum lalu menghulurkan beg pakaian kepada adik iparnya. Satu lagi beg milik Fatin dibawa oleh Azwan disebabkan Fatin berlalu terus masuk ke dalam rumah.

"Mak, Atin rindu mak", kata Fatin dengan nada manja sambil memeluk ibunya, Kalsom. Kalsom juga menyambut kepulangan anak menantunya dengan perasaan gembira. Tubuh Fatin dibalas juga dengan pelukan.

Azwan tersenyum menyaksikan adegan itu. Dia juga bersalaman dengan bapa mertuanya, Ghani dan ibu mertuanya. Beg pakaian telah dibawa masuk ke dalam bilik oleh Zarul. Fatin kemudian bersalaman sambil berjenaka dengan seorang lagi adiknya iaitu Zawana.

"Dah ada belum?", kata Zawana dengan nada berbisik. Tangannya memegang perut Fatin sambil tertawa kecil. Hasil daripada soalan itu, satu cubitan kecil singgah di lengan gadis itu.

"Ish, belum lagilah", balas Fatin.

"Apa sahajalah dua beradik itu bisik-bisikkan itu", kata Ghani kepada Azwan. Azwan hanya tersenyum melihat karenah isteri dan adik iparnya.

"Rindu sangat agaknya itu", kata Azwan lagi.

-----------------------------------------------------------

Keesokkan harinya, mereka sekeluarga bersarapan pagi bersama-sama. Nasi lemak sambal sotong hasil daripada air tangan Kalsom jelas berjaya membuka selera semua yang ada disitu. Azwan antara yang berselera makan nasi lemak berkenaan. Sudah dua kali lelaki itu menambah nasi.

"Tambah lagi Wan, mak memang sengaja masak lebih", kata Kalsom tersenyum melihat menantu pertamanya begitu berselera sekali pagi ini. Azwan tersenyum sahaja mendengar kata-kata daripada mak mertuanya.

"Mak, boleh tak Atin nak ambil kereta Atin semula? Sebab susah nak balik daripada sekolah", kata Fatin sambil memandang tepat ke arah Kalsom. Kalsom yang sudah selesai makan, hanya duduk minum air teh panas. Ghani dan Zawana juga sudah selesai makan. Hanya Zarul dan Azwan sahaja yang masih belum selesai makan lagi.

"Tak ada masalah pun Fatin. Lagipun kereta itu dekat sini bukan ada orang pakai pun. Ayah kamu kalau nak pergi surau atau kedai pun hanya naik motorsikalnya sahaja. Kereta Kancil mak pun budak berdua ini guna", kata Kalsom.

"Kamu pergi sekolah macam mana?", soal Ghani pula. Soalan cepumas yang agak panas juga. Azwan tenang menikmati makanan itu hanya membiarkan Fatin sahaja yang menjawab.

"Selalu Azwan yang hantar Atin. Cuma masalahnya bila nak balik itu. Waktu sekolah tamat biasanya dalam pukul 4.30 petang sedangkan Azwan balik lagi satu jam. Itu belum lagi masa perjalanan nak ambil Atin lagi", kata Fatin tenang sahaja tentang apa yang dilalui mereka berdua.

"Oh ya ke? Boleh sahaja kalau kau nak ambil kereta itu", kata Ghani selepas mendengar penjelasan daripada anak perempuan sulungnya. Azwan sudah selesai makan. Air teh dihirupnya perlahan disebabkan ianya masih panas lagi.

"Wan mohon maaf ayah sebab selalu lambat ambil Fatin balik. Wan bukan sengaja", kata Azwan secara rendah hati memohon maaf kepada bapa mertuanya.

"Eh kenapa pula nak minta maaf? Tak apa. Ayah dengan mak baik sahaja. Kamu ini", kata Kalsom tertawa kecil sewaktu mendengar kata-kata Azwan. Baginya, soal itu adalah perkara kecil yang boleh diselesaikan.

"Maknanya kamu berdua balik sebab nak ambil kereta sahaja lah ya", kata Ghani sambil tersenyum untuk menyakat anak perempuannya. Fatin terkejut mendengar kata-kata ayahnya. Pantas dia menggelengkan kepala.

"Eh mana ada ayah. Memang kami balik nak jumpa mak dengan ayah. Minggu depan kalau ada masa kami balik kampung mak abah Azwan pula", kata Fatin dengan nada manja kepada ayahnya. Ghani tersenyum sahaja.

"Ya ayah tahu. Ayah gurau sahaja", kata Ghani sambil tertawa kecil.

-----------------------------------------------------------

Menjelang tengah hari, seluruh ahli keluarga mula berpecah kepada dua kawasan. Pihak lelaki berada di ruang tamu sedang menonton televisyen manakala pihak perempuan berada di dapur berkerjasama untuk menyediakan makanan.

"Macam mana Fatin sejak jadi isteri kamu? Banyak ragam tak dia?", soal Ghani secara tiba-tiba setelah lama mereka bertiga berdiam diri menonton filem The Prestige.

"Dia baik sahaja ayah", kata Azwan pendek sahaja. Dia sendiri tidak tahu mahu menerangkan bagaimana kerana Fatin sudah cukup sempurna di matanya.

"Dia pernah marah kamu tak? Bebel kamu ke?", soal Ghani lagi. Azwan tertawa kecil cuba mengawal perasaan gemuruh. Ayah mertuanya sedang menyoal siasat akan kehidupannya.

"Marah biasa itu adalah tapi kalau bab bebel itu belum lagi. Tak tahu lah kalau akan datang macam mana", kata Azwan pendek sahaja menyebabkan Ghani tertawa mendengar jawapan itu. Azwan juga turut ketawa sama.

"Perempuan ini memang sukar sikit nak faham mereka Wan. Mereka tak akan pernah dewasa. Tak payah tengok jauh-jauh, cukuplah mak kamu itu. Benda lepas-lepas dia boleh ingat tapi kalau tanya bab jalan nak ke rumah kamu entah dia ingat atau tidak", kata Ghani menyebabkan dua anak lelaki dan menantunya ketawa.

"Tapi satu sahaja pesanan ayah. Kita sebagai lelaki sesekali kena tolak ansur dengan pasangan kita. Tolong dia buat kerja rumah ke. Kalau dia nak apa-apa macam belikan barang emas ke apa, belikan sahaja. Kalau duit tak cukup, pujuk balik kata gaji nanti ke baru beli. Itu contoh".

"Kalau nak cerita pasal hubungan atas katil tak boleh sebab si Zarul ini belum kahwin", kata Ghani lagi. Azwan ketawa besar mendengar kata-kata ayah mertuanya. Zarul juga begitu.

"Alah cerita sahaja memandangkan kita semua lelaki disini. Arul pun dah besar lah ayah", kata Zarul yang baru berusia 18 tahun. Ghani mencebik sahaja mendengar kata-kata anak lelakinya.

"Besar apa baru 18 tahun. Baru setahun jagung. Belum kenal dunia lagi", kata Ghani. Mereka bertiga kemudian kembali menumpukan perhatian kepada rancangan di televisyen.

Sementara di dapur pula, golongan wanita rancak berbual sesama mereka. Pelbagai kisah yang menjadi topik perbualan antara mereka daripada kisah luar negara, artis mahupun isu semasa negara. Orang wanita jika dapat peluang untuk bercerita, mereka akan gunakan sebaiknya.

"Macam mana kehidupan baru kamu sejak dah jadi isteri orang ini?", kata Kalsom kepada Fatin sambil tangannya memotong sayur di papan pemotong. Zawana pula tekun mengacau kuah gulai lemak cili api di periuk.

"Kehidupan baik sahaja mak. Kalau dulu bangun awal pagi dah terus pergi sekolah. Sarapan di kantin sahaja tapi sejak dah kahwin, kena bangun lagi awal untuk masak sarapan pula", kata Fatin tersenyum.

"Jadi apa yang dia suka dan tak suka makan memang kamu dah tahu lah kan?", soal Kalsom. Fatin menganggukkan kepala sahaja.

"Baguslah kalau begitu. Orang lelaki nak jaga dia senang sahaja. Jaga perut dia gerenti dia bahagia takkan cari lain", kata Kalsom dengan yakin. Fatin tersenyum sahaja mendengar pesanan daripada ibunya.

Mereka kemudian kembali menyambung kerjanya. Waktu tengah hari semakin tiba. Makanan perlu segera siap sebelum Zohor.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience