Bab 11

Drama Series 12511

"Pak Atan ada kucing, nama dia Bongok. B.O.N.G.O".

Azwan menyanyi riang sambil tangannya masih setia memegang stereng keretanya. Sejak keluar daripada klinik itu, hatinya terlalu gembira mendengar berita daripada doktor yang bertugas sebentar tadi. Pelbagai lagu kanak-kanak dinyanyikan sepanjang memandu kereta.

Fatin hanya tertawa kecil sambil menggelengkan kepala. Sudah pelbagai jenis lagu dinyanyikan oleh Azwan bermula dengan lagu tiga kupang, Pak Mat jual topi, lagu datuk harimau. Kini, lagu Pak Atan pula yang sudah tersalah lirik!

"Apa abang ini, bukan Bongok lah. Bingo. Nama dia Bingo, B.I.N.G.O, B.I.N.G.O", balas Fatin sambil dia menyanyikan semula mengikut lirik dan sebutan yang betul. Wanita itu kemudian tertawa semula sambil menutup mulutnya dengan tangan kanan.

Azwan terdiam sambil berpaling ke arah isterinya. Raut wajahnya sedikit terkejut. "Lah, salah ke lirik tadi? Bukan Bongok ke nama kucing itu?", soal Azwan dengan riak wajahnya yang bingung memikirkan tentang kesalahan nyanyiannya.

Mendengarkan kata-kata daripada suaminya, Fatin terus ketawa besar. Mujur hanya mereka berdua sahaja di dalam kereta ketika ini. Azwan hanya tertawa kecil kerana terhibur dengan gelagat isterinya biarpun ketika ini dirinya ditertawakan oleh bakal ibu kepada anaknya.

"Abang ini, janganlah buat lawak malam-malam macam ini. Nama kucing itu Bingo. Bongok itu siapa? Bongok itu kita berdua ini hah. Hahaha", kata Fatin sambil tertawa lagi. Tangannya sempat menepuk lembut bahu suaminya kerana terlalu terhibur.

"Maklumlah, abang mana pernah layan lagu macam itu. Kalau Too Phat ke, K-Clique ke abang layan lah",

Azwan hanya mampu tertawa sahaja selepas selesai berkata begitu kepada isterinya. Biarpun mereka berdua bergelak ketawa, namun fokus pemanduannya tetap terjaga. Setelah 10 minit memandu, akhirnya mereka berdua selamat tiba di rumah. Azwan turun daripada kereta lalu membuka pintu page rumahnya supaya keretanya boleh diletakkan di kawasan halaman rumah.

Setelah selesai kesemuanya, mereka berdua masuk ke dalam rumah selepas membuka kunci. Ucapan basmalah serta lafaz salam diberikan disebabkan kini sudah hampir tengah malam. Bimbang jika ada yang mengikut mereka pulang pula terutama dengan keadaan Fatin yang kini berbadan dua.

Azwan segera mengunci pintu sambil dirinya berjalan di sekeliling ruang tamu rumah untuk memeriksa keadaan sekeliling. Selepas itu, dia melangkah masuk ke dalam kamar tidurnya. Kelihatan Fatin berbaring di atas katil sambil tersenyum. Azwan segera naik ke atas katil itu sambil membelai rambut hitam isterinya.

Fatin tersenyum sambil memegang tapak tangan lelaki itu. Jelas di pandangan matanya, Azwan sedang menatap wajahnya dengan perasaan kasih. Kasih seorang suami kepada isterinya. Tangan Azwan kemudian memegang perut wanita itu sambil mengusap lembut. Ada nyawa lain hasil hubungannya yang menantikan detik kelahiran di masa akan datang.

"Tak sangka kan sayang, tak lama lagi kita akan jadi ibu bapa. Abang akan jadi ayah".

Tangan Azwan masih setia memegang perut isterinya sambil mengusap lembut kepala Fatin di atas bantal itu. Fatin juga memberikan reaksi sama dengan memegang erat tangan lelaki itu yang setia mengusap perutnya.

"Inilah rezeki daripada Allah s.w.t. Ini juga adalah amanah daripada Dia untuk kita. Kita kena jaga dia, berikan didikan yang betul supaya dia menjadi insan berguna untuk agama, bangsa dan negara", balas Fatin lembut sambil tersenyum. Dia hanya membuatkan sahaja Azwan membelai kepala dan perutnya. Siapa yang tak seronok dibelai begitu terutama oleh insan tercinta.

Azwan juga tersenyum penuh makna. Fikirannya kini menerawang membayangkan bagaimana rupa bakal cahaya matanya nanti. Adakah mengikut rupanya, atau ibunya, dia sendiri tidak tahu.

"Haa, apa yang abang menungkan itu", soal Fatin sambil menatap wajah ceria suaminya.

"Tak ada apa. Abang tengah bayangkan rupa anak kita nanti macam mana. Kalau lelaki nak letak nama apa, kalau perempuan pula nama apa", kata Azwan jujur. Ya, itu yang bermain di fikirannya tika ini.

Fatin tersenyum lagi. "Jauh lagi bang masa. Benda itu kita fikirkan nanti ya", pujuk Fatin lembut. Hatinya faham bahawa lelaki tercintanya itu terlalu gembira sehingga mula memikirkan nama dan jantina bakal anaknya nanti.

"Abang tahu, tapi entah. Barangkali sebab abang rasa seronok sangat kot sampai abang rasa macam nak call mak sahaja sekarang", balas Azwan menyebabkan Fatin mengerutkan dahinya. Terkejut mendengar kata-kata suaminya.

"Eh, tak payah bang. Esok boleh bagitahu. Lusa ke. Kalau bagitahu malam ini, mahu tak terkejut beruk mereka berdua itu", balas Fatin sambil tertawa. Dirinya faham benar tentang sikap emaknya itu apabila terlalu gembira. Lebih dahsyat berbanding suaminya.

Fatin memegang tangan Azwan sambil dikucup lembut tangan itu. "Sekarang, kita tidur ya. Esok bukan hari Ahad tau, Isnin. Sekolah buka, pejabat abang pun buka. Nanti tak pasal-pasal kita lambat pergi kerja nanti", kata Fatin memujuk suaminya supaya tidur.

Azwan tersenyum sambil mengangguk. Dahi wanita itu dikucup sebelum dirinya bangun menutup lampu bilik tidur itu. Tidak lama kemudian, suasana mula menjadi sepi dengan lenanya pasangan suami isteri itu

***

Di kedai makan berdekatan dengan pejabat itu, beberapa pekerja sedang enak bersarapan pagi di sini. Ada yang sekadar bersantai menantikan waktu masuk kerja. Oleh sebab berkerja di sektor kerajaan, tidak ada masalah jika masuk lewat kerana mereka sudah punch card kehadiran sebelum ke kedai ini.

Azwan berjalan menuju ke arah dua orang rakannya iaitu Rifqi dan Daus. Bahu dua lelaki itu ditepuk perlahan tanda memanggil mereka berdua menyebabkan mereka berpaling ke arah Azwan. Selepas itu, mereka kembali mengambil makanan yang sudah tersedia.

"Korang berdua tak payah bayar tau. Aku belanja korang", kata Azwan kepada dua rakannya. Rifqi serta Daus terkejut lalu memandang sesama sendiri sebelum menoleh ke arah Azwan.

"Aik, betul ke ini Wan? Tiba-tiba sahaja", kata Daus yang terkejut mendengar kata-kata Azwan. Azwan tersenyum sambil menganggukkan kepala.

"Aku belanja korang berdua sahaja. Nanti kalau ada rezeki lebih, aku belanja satu pejabat sekali", kata Azwan. Sekali lagi dua rakan baiknya itu terkejut bukan kepalang. Tak ada angin mahupun ribut, nak belanja makan pula.

Rifqi dan Daus hanya tersenyum lalu mengambil makanan yang dimahukan namun jumlahnya tidak melampau. Mereka masih menghormati orang yang sudi belanja sarapan paginya. Mereka berdua terus menuju ke meja makan yang kosong sambil menanti kehadiran Azwan.

Sebaik sahaja selesai membuat pembayaran, Azwan berjalan sambil membawa makanan di tangannya lalu duduk menyertai dua rakannya. Daus serta Rifqi hanya memandang raut wajah sahabatnya yang tampak ceria lain daripada kebiasaan. Mereka saling berpandangan sesama sendiri sebelum kembali menatap wajah Azwan.

"Lain macam kau hari ini. Muka ceria sahaja. Semalam dapat ke?", kata Rifqi dengan nada berbisik sambil tertawa. Azwan tersedak mendengar gurauan lucah rakannya itu. Namun raut wajahnya masih tersenyum sahaja.

"Tak mungkinlah. Mesti ada benda lain ini. Kalau tak, kau mana belanja kami hari ini. Kau antara yang susah kot kalau nak belanja orang", balas Daus menidakkan kata-kata Rifqi.

"Haa, yang susah belanja itu betul", sokong Rifqi pula.

Azwan tertawa sambil memandang dua rakannya itu. "Okay, kalau macam itu aku tak jadi belanja lah. Bak sini seorang RM 5", kata Azwan sambil tertawa kecil. Tangannya sengaja membuat isyarat agar rakannya menyerahkan duit berwarna hijau muda itu kepadanya. Dua rakannya hanya tertawa sahaja.

"Okay baik, sebenarnya aku ada perkara nak kongsikan dengan korang berdua. Tak lama lagi, aku akan jadi ayah", kata Azwan dengan nada teruja namun nada suaranya masih terkawal. Bimbang didengari oleh orang lain.

Kedua-dua lelaki di hadapannya terkejut lalu tersenyum. Ucapan syukur kepada Ilahi diucapkan serentak sambil tangan mereka menepuk-nepuk bahu Azwan berkali-kali.

"Tahniah bro. Tak sangka kau akan jadi ayah".

Ucapan tahniah diucap berkali-kali oleh Rifqi dan Daus. Azwan tersenyum sambil mengucapkan terima kasih. Kini, dua sahabat baiknya sudah tahu akan berita ini. Selepas ini, mungkin dia akan menyebarkan perkara ini kepada ibu bapanya pula.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience