Taman Dusun Nyior
Seremban
Suasana meriah di perkarangan rumah pengantin perempuan dapat dirasai. Kehadiran sanak saudara di kedua-dua belah pihak selain rakan taulan membanjiri kawasan rumah sama ada di luar mahupun di dalam. Masing-masing menanti dengan penuh debaran. Satu pasangan mempelai sehati sejiwa akan disatukan sebentar lagi.
Sementara itu, di dalam rumah berkenaan kelihatan pengantin lelaki sedang berpeluh mendengar khutbah nikah yang disampaikan oleh tok kadi. Beliau adalah Khairul Azwan bin Khairol Nizam, bekerja di sektor kerajaan di Pejabat Agama Daerah Seremban. Hari ini merupakan hari bahagia dia dan pasangan yang dikenali selama 2 tahun akan berakhir dengan hubungan suami isteri yang sah. Nun jauh di sana, kelihatan pengantin perempuan yang bernama Fatin Nabihah duduk bersimpuh sambil ditemani pengapit dan juga ibunya.
Fatin Nabihah adalah seorang guru yang mengajar di sekolah rendah yang tidak jauh dari rumahnya. Berkenalan secara tidak sengaja di gelanggang badminton sebelum mereka mula berkawan dan menyulam perasaan antara satu sama lain. Baginya, Khairul adalah lelaki yang menepati ciri-ciri yang dicari olehnya.
"Baiklah, sekarang kita akan mulakan. Jadi saya perlu 2 orang saksi dan seorang wali. Wali akan menikahkan anak perempuannya jadi saya akan lihat daripada tepi", kata-kata tok kadi itu menyebabkan 2 orang lelaki yang juga daripada kalangan anggota keluarga Azwan dan Fatin. Masing-masing mula mengambil tempat duduk berhampiran. Orang ramai mula bersiap sedia mengeluarkan telefon bimbit dan kamera untuk merakamkan detik manis bersejarah ini.
Wali iaitu bapa kepada Fatin, Abdul Ghani duduk berhadapan dengan bakal menantunya. Perasaan sayu dan sebak bersarang di dalam hatinya namun tetap ditahan. Satu tanggungjawab besar akan dilepaskan kepada seorang lelaki bergelar suami. Bayangan anak kecil berlari bermain bersamanya satu ketika dulu tergamat dalam memorinya. Azwan menyedari akan hal itu namun dia tetap tenang.
"Baiklah encik Abdul Ghani, kamu akan lafazkan akad anak perempuan kamu. Saya hanya duduk di tepi sahaja. Dua orang saksi sila pasang telinga dengan jelas ya", tok kadi sempat memberikan peringatan kepada Ghani sebelum melafazkan akad nikah anak perempuannya. Ghani tampak tenang namun daripada raut wajahnya masih nampak bayangan sedih bercampur sebak.
Seluruh hadirin mula menumpukan perhatian kepada 4 orang lelaki di dalam bulatan itu. Azwan dan Ghani mula berjabat tangan untuk lafaz akad. Jurukamera professional dan hadirin lain sudah bersedia dengan kamera amatur masing-masing. Tumpuan utama sudah tentu terarah kepada Azwan dan Ghani. Tangan kanan dua lelaki itu sudah bersatu berjabat salam.
"Khairul Azwan bin Khairol Nizam", Ghani mula menyebut nama penuh bakal menantunya itu.
"Saya".
"Aku nikahkan dikau dan aku kahwinkan dikau dengan anak perempuanku Nurul Fatin Nabihah binti Abdul Ghani dengan mas kahwinnya RM 200 tunai", selesai sahaja ucapan berkenaan, Ghani menggoncangkan tangan itu tanda lafaz akad perlu di balas.
"Aku terima nikahnya Nurul Fatin Nabihah binti Abdul Ghani dengan mas kahwinnya RM 200 tunai", serentak itu giliran Azwan pula membalas goncangan tangan itu.
Tok kadi yang bertugas tersenyum. Matanya memandang dua saksi dengan isyarat sah atau tidak lafaz berkenaan. Dua saksi berkenaan tersenyum lantas menganggukkan kepala.
"Sah ustaz".
"Alhamdulillah".
Hanya satu kali lafaz, Khairul Azwan dan Fatin Nabihah sah menjadi pasangan suami isteri. Hadirin yang lain mula berbisik melafazkan ucapan syukur ke hadrat Ilahi. Azwan tersenyum sambil melihat isterinya di hujung sana tersenyum memandangnya. Rasa gembira bercampur sebak di dalam hatinya. Tanggungjawabnya kini menjadi lebih besar selaku ketua keluarga, bahkan bakal menjadi bapa kepada zuriat-zuriat yang akan datang.
Fatin pula mengelap air mata yang bergenang di tubir matanya. Dia sempat memeluk erat tubuh ibunya. Walaupun gembira, perasaan sedih juga ada. Selepas ini, tiada lagi tempat bermanja di sisi ibu bapa. Tiada lagi tempat untuk bergaduh manja selain tidak dapat lagi mendengar leteran daripada ibunya.
------------------------------------------------------------------------------
11.00pm
Azwan masuk ke dalam bilik pengantin yang sudah siap dihias oleh juruandam bersama pasukannya. Kelihatan isterinya yang tercinta sedang duduk di atas katil. Lagaknya tampak sopan dan malu kerana pertama kali akan berdua-duaan bersama seorang lelaki yang sah menjadi mahramnya. Malam pertama ini sudah tentu menjadi perkara yang ingin diminatinya oleh pasangan yang baru sahaja berkahwin.
"Assalamualaikum, dah tidur ke?", Azwan mengucapkan salam sambil menutup pintu bilik. Punat kunci pada tombol juga telah ditekan. Kini hanya mereka berdua sahaja di dalam bilik tidur ini. Pasangan mana yang tidak berdebar berhadapan situasi ini.
"Waalaikumsalam, belum lagi. Tunggu Wan lah", kata Fatin lembut. Sehelai selendang menutupi bahagian kepalanya. Azwan menyedari akan hal itu namun tidak pula dia ingin mengambilnya. Bimbang jika dikatakan dia adalah lelaki gelojoh.
"Tak panas ke pakai selendang dalam bilik?", soal Azwan sambil tersenyum. Nada suaranya juga lembut sahaja. Dia sudah melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan isterinya. Degupan jantung kedua-dua pasangan itu jelas semakin kencang.
"Nak buka dah", Fatin mula membuka kain selendang yang membaluti bahagian kepalanya. Maka terserlah mahkota wanita miliknya yang selama ini dijaga daripada pandang lelaki ajnabi. Mahkota itu kini hanya boleh ditatapi, dibelai mahupun diusap dengan penuh kasih sayang oleh seorang lelaki bernama suami.
"Cantiknya sayang malam ini. Abang bertuah sangat dapat memiliki sayang sebagai permaisuri hati abang. Abang janji akan bersama sayang sehingga ke akhir hayat abang", kata Azwan sambil tangannya membelai rambut isterinya yang dipotong dengan gaya bob cut. Fatin tersenyum simpul sahaja apabila Azwan membelai rambutnya.
"Tak perlu berjanji bang. Sebab Atin tahu kata-kata abang bukan sekadar janji kosong sahaja, tetapi pasti", balas Fatin sambil memegang tangan Azwan yang masih setia membelai anak rambutnya.
"Tak sangka akhirnya kita disatukan. Walaupun nampak macam ada halangan sebelum ini, tetapi Alhamdulillah jodoh kita kuat. Akhirnya kita berdua ada di dalam bilik ini", kata Azwan lagi.
Kedua-duanya mula bergurau senda sesama sendiri. Perbualan kosong sekadar menghulurkan hati masing-masing sebelum lampu kamar ditutup.
Share this novel
Apasal tulis tak habis