7 Hari Kemudian
Kereta Proton Saga yang dipandu oleh Azwan telah tiba di hadapan sebuah rumah. Rumah berkenaan adalah milik Azwan yang telah dibeli secara ansuran kepada bank. Semuanya atas usaha menyimpan di ASB selama 5 tahun untuk dia memiliki sebuah rumah sendiri.
"Sayang, bangun kita dah sampai".
Azwan menggerakkan tubuh Fatin yang telah sah menjadi isterinya. Selepas majlis kedua belah pihak, mereka sempat berbulan madu di Pulau Perhentian selama 3 hari 2 malam. Kini mereka telah tiba di sebuah rumah bagi menjalani kehidupan baru selaku pasangan suami isteri.
Fatin tersenyum selepas mencelikkan anak matanya. Pandangan dialihkan ke arah rumah di hadapan kereta suaminya. Hati wanitanya tertanya-tanya dimanakah tempat ini. Rumah di hadapan matanya bukan sebuah rumah banglo mewah seperti yang diidamkannya tetapi ianya tetap menarik minatnya.
"Hah. Tengok apa lagi itu, mari ambil beg kita", kata Azwan bagi menyedarkan Fatin yang masih termenung. Wanita itu kemudian keluar daripada pintu kereta lalu mengambil beg pakaian beroda dari dalam bonet kereta berkenaan. Setelah itu, dia mengikut daripada belakang langkah suaminya menuju ke rumah itu.
"Rumah siapa ini bang?", soal Fatin lembut kepada Azwan saat tangan lelaki itu memulas anak kunci pada pintu pagar berkenaan.
"Mulai hari ini, ini adalah rumah kita berdua. Kita akan mulakan kehidupan baru kita di sini", kata Azwan tersenyum sambil memandang ke arah isterinya. Wanita itu tersenyum manis. Langkah pasangan suami isteri itu mula masuk ke bahagian dalam rumah.
Mata Fatin kagum melihat persekitaran di dalam yang bersih dan cantik. Susun atur barangan di dalam rumah itu tidak banyak namun sudah cukup memadai untuk permulaan kehidupan mereka. Barangan seperti sofa, almari solek di dalam bilik, almari kecil untuk menyimpan pakaian semuanya lengkap di dalam rumah ini.
Azwan tersenyum melihat isterinya yang kelihatan gembira dengan kediaman ini. Walaupun hanya rumah teres satu tingkat yang sederhana, dia berharap kediaman ini sudah cukup selesa buat mereka berdua.
"Macam mana sayang, suka tak?", soal Azwan sambil memegang tangan isterinya sewaktu mereka berdua melangkah ke arah dapur. Fatin masih tidak lekang daripada memberikan senyuman manis sambil menggenggam lembut tangan suaminya.
"Mestilah suka. Cantik rumah ini, simple sahaja. Kenapa sayang tak pernah tahu rumah ini?", soal Fatin lembut sahaja.
"Sahaja abang nak rahsiakan daripada sayang. Nanti tak jadi surprise kan. Hehehe", kata Azwan lagi sambil tersenyum.
Fatin tersenyum sambil mengusik hidung lelaki itu. Dia kemudian bergerak lagi melihat bilik air dan tandas pula. Selepas itu, langkahnya diatur ke dalam bilik tidur pula.
"Wah dah siap ada katil ya", kata Fatin lagi lalu menghempaskan punggungnya di atas tilam katil itu. Katil bersaiz queen kelihatan baru dan cantik dengan kain cadar berwarna merah hati. Azwan yang baru tiba terjengul kepalanya di hadapan pintu.
"Bila abang beli barang-barang dalam rumah ini? Ke memang dah ada sebelum ini?", Fatin bertanya lagi kepada suaminya.
"Barang-barang ini abang beli lama dah. Cuma 2 minggu sebelum majlis, abang beli televisyen siap pasang Astro sekali dekat luar itu. Kemudian abang dengan pertolongan Bang Long dan Bang Ngah kemas rumah ini bagi cantik semua", kata Azwan sambil tersenyum lagi.
Azwan melangkah masuk ke dalam bilik tidur itu. Langkahnya dirapatkan ke arah isterinya yang masih tersenyum manis. Tangannya sempat membelai kepala Fatin yang masih lagi bersarung dengan tudung jenis shawl.
"Katil ini antara barang pertama masuk dalam rumah ini. Penting katil ini nanti bukan sekadar untuk tidur sahaja. Tapi..", sengaja Azwan ingin menduga isterinya dengan tidak menghabiskan kata-kata. Wanita itu pantas mencubit perut suaminya sehingga lelaki itu menjerit kesakitan.
"Siang-siang pun nak menggatal ya. Tunggu malam nanti ya sayang. Petang nanti nak beli barang lagi. Sekarang kena berehat-rehat dahulu", kata Fatin sambil menggosok perut suaminya yang menjadi mangsa cubitan.
"Hehehe, abang sahaja nak bergurau. Tak sangka kena ketam pula. Okay petang nanti kita pergi Giant beli barang dapur. Tugas bahagian barangan dapur sekarang menjadi milik sayang. Kalau tak ada atau dah habis, bagitahu abang ya", kata Azwan lagi.
"Baiklah bang".
-----------------------------------------------------------
4pm
Giant Senawang
Fatin kelihatan sibuk memilih barang sambil tangannya memegang kertas bertulis senarai barangan utama yang perlu dibeli. Barang-barang lain seperti beras, tepung, gula Melaka, gula putih serta garam sudah selamat berada di dalam troli. Dia bergerak lagi menuju ke bahagian minyak masak.
Sementara itu, Khairul Azwan leka menolak troli di belakang isterinya. Anak matanya sempat melihat beberapa hadirin yang datang sekeluarga bahkan ada yang berdua. Dirinya tersenyum melihat kebanyakkan hadirin lelaki menolak troli di belakang isteri masing-masing sama seperti apa yang dilakukannya ketika ini.
'Selamat datang Wan ke alam rumah tangga', hati kecilnya berbicara sendirian.
Sedang dia melihat sekeliling, tiba-tiba anak matanya ternampak kelibat seseorang. Seorang lelaki bersama seorang wanita serta kanak-kanak yang duduk di atas troli sedang leka memilih barang.
"Aziz. Weh Ziz".
Lelaki yang dipanggil Aziz itu berpaling. Senyuman manis terukir lalu mereka berdua berjabat tangan sambil tertawa. Mereka sempat berbual kecil bertanyakan khabar sesama mereka.
"Akhirnya kau kahwin juga kan. Aku minta maaf weh sebab tak datang majlis kau. Aku tak sihat masa itu. Satu keluarga kena demam panas", kata Aziz sambil memegang troli.
"Tak apa weh. Kesihatan lebih penting. Lagipun hadiah yang kau kirim dekat budak-budak ini pun aku dah dapat. Siot kau kan, bagi aku hadiah minyak lintah", kata Azwan secara berbisik. Ketika itu isteri Aziz berada agak jauh sedikit daripada mereka.
Aziz tertawa besar. "Habis, orang rumah kau tahu tak pasal minyak itu?".
"Aku sorok diam-diam. Dah lah masa buka hadiah itu di hadapan keluarga belah perempuan. Nasib baik tak ada yang perasan. Ish, sempat kau dajal aku kan", kata Azwan sambil tertawa.
"Dah kau pun pedajal aku bagi kondom berduri. Haa ambil kau kena balik. Hahaha", Azwan pantas menutup mulut Aziz. Mereka berdua memang jenis kepala gila.
Kedua-dua lelaki itu memanggil pasangan masing-masing untuk diperkenalkan. Fatin menuju ke arah suaminya lalu bersalaman dengan isteri Aziz yang bernama Syahirah.
"Ini isteri dia. Haa yang ini comel nie anak dia, Firdaus. Kan weh?", soal Azwan inginkan kepastian. Aziz tersenyum sambil menganggukkan kepala.
Firdaus kelihatan agak malu-malu bersalaman dengan Fatin. Barangkali baru pertama kali bertemu berbanding Azwan yang sudah acapkali mereka berjumpa sebelum dia bergelar suami orang lagi. Fatin tersenyum sambil sempat berbual bersama Syahirah. Sembang orang perempuan.
"Okay lah weh, aku gerak dulu. Banyak lagi nak kena beli ini", kata Azwan sambil berjabat tangan dengan sahabatnya.
"Okay weh, nanti kalau ada masa roger aku. Boleh lepak ke nanti", kata Aziz pula.
"In Sha Allah".
Mereka berdua pun berpisah dengan pasangan masing-masing.
-----------------------------------------------------------
Azwan termenung melihat resit pembayaran yang telah dibuat tadi. Segala jenis barang dapur telah dibeli termasuk set pinggan mangkuk, kuali, periuk bahkan mesin pengisar juga. Fatin yang berada di sebelah melihat suaminya masih merenung kertas resit berkenaan.
"Abang tengok apa itu?".
Azwan terkejut. Namun dia mengawal perasaan itu dengan menoleh ke arah isterinya sambil tersenyum. Kertas resit tadi disimpan di dalam beg dompet kulit miliknya.
"Tak ada apa, saja tengok resit itu. Okay lepas ini nak pergi mana? Balik terus ke atau nak singgah mana-mana lagi?", soal Azwan sambil mula menekan pedal minyak dengan gear reverse.
"Tak tahu lah. Terus balik kot. Ke abang nak singgah McD itu?", kata Fatin sambil tangannya memakai tali pinggang kaledar.
"Abang rasa nak terus balik sahaja", kata Azwan.
"Eh, awal lagi bang kalau nak balik. Jom pergi drive thru itu kejap. Rasa teringin pula nak McFlurry", kata Fatin sambil membuat memek muka comel dengan mata terkebil-kebil memandang suaminya.
'Dah agak dah. Itu yang petik aku nak singgah itu', kata Azwan di dalam hati. Dia tidak mencemuh namun sekadar berbicara sendirian.
"Okay jom. Abang pun nak aiskrim situ juga", kata Azwan sambil tersenyum.
Kereta yang dinaiki kini menuju ke arah restoran McDonalds bersebelahan dengan Giant itu. Di bahagian drive thru terdapat banyak kereta yang beratur menunggu giliran termasuk kereta Azwan.
Azwan masih lagi termenung memikirkan duit perbelanjaan tadi. Beliau tidak sangka boleh habiskan wang yang banyak untuk barangan dapur sahaja.
'RM 400 lebih siak habis. Macam tak percaya sahaja'.
Namun begitu, dia segera beristighfar di dalam hati. Tidak mahu terlalu memikirkan akan perkara berkenaan memandangkan kini dia sudah berkongsi hidup bersama wanita yang dicintainya. Mengeluh kerana wang habis untuk isi rumah adalah perkara yang tidak masuk akal baginya. Fikirannya melayang sewaktu mengikuti kursus kahwin dahulu.
"Orang lelaki jangan mengeluh kalau duit banyak habis dekat barang dapur. Kalau isteri cakap 'bang, beras dah habis. 'Bang, gas dah habis'. Jangan kita mengeluh. Buat apa kita nak mengeluh dengan barang yang perlu ada dalam rumah sebab itu adalah tanggungjawab kita.
"Kalau perbelanjaan dah sesak atau sebagainya, suami jangan pendam sorang-sorang. Beritahu isteri perbelanjaan bulan ini sekian-sekian, kita kena jimat sekian-sekian. Utamakan apa yang perlu sekian-sekian. Jangan kamu minta duit isteri pula."
Azwan tersenyum teringat akan kursus yang diikuti bersama Fatin. Secara tiba-tiba, Fatin menepuk lembut bahu suaminya menyebabkan dia terkejut. Segera ditoleh ke arah isterinya. "Hah kenapa yang?".
"Jalan. Dok termenung pula".
Azwan termalu sendiri lalu menekan minyak perlahan bergerak ke bahagian pesanan untuk memesan makanan secara drive thru. Setelah selesai, kereta mula bergerak ke bahagian pembayaran dan makanan yang dipesan sudah pun sampai.
Azwan dan Fatin tersenyum senang mengambil aiskrim berkenaan. Kereta mula bergerak meninggalkan kawasan itu. Fatin kemudian mengambil aiskrim miliknya sambil mengarahkan suaminya melakukan perkara yang sama sepertinya.
"Abang goyang sedikit tau tangan itu. Atin nak buat boomerang".
Azwan mengikut sahaja apa yang disuruh oleh isterinya. Hati lelakinya sedikit gembira kerana dapat melakukan video itu bersama insan yang tersayang. Selama ini, dia selalu membuat video di aplikasi Instagram berkenaan bersama rakan-rakan lelakinya. Ternyata perasaan itu tidak sama jika bersama insan tercinta.
'Demi Allah, aku mencintainya keranaMu'.
Share this novel