Pejabat Agama Islam Daerah Seremban
Azwan termenung seketika di hadapan mejanya. Laporan serta beberapa borang pernikahan yang terkumpul di atas mejanya masih belum disentuh lagi sedari tiga puluh minit yang lalu. Fikirannya teringat akan isterinya yang tercinta.
Sejak dua hari ini, Fatin sudah berubah secara drastik sikapnya. Dahulu, dia adalah seorang gadis yang sopan santun namun kebelakangan ini, wanita itu agak berlainan. Sikap Fatin menjadi agak agresif di dalam hubungan kelamin antara mereka. Bagaikan tidak cukup dengan aksi malam semalam, pagi tadi sebelum menunaikan solat Subuh, sekali lagi wanita itu meminta belaian dirinya.
Baginya, perubahan Fatin itu sedikit sebanyak memberikan keuntungan terhadap dirinya namun daripada sudut lain, terdapat perasaan takut dengan perubahan sikap itu. Hal ini menyebabkan dirinya mengelamun jauh sehingga dia gagal melakukan rutin kerjanya.
"Hoi!"
Azwan terkejut mendengar bunyi tepukan meja itu. Kelihatan rakannya, Daus sudah tercegat berdiri di hadapannya sekaligus menghentikan lamunannya yang panjang itu. Azwan kemudian mula menyambung kerjanya yang tertangguh itu.
"Jauh sangat mengelamun itu. Kalau aku tak tepuk meja tadi, mesti kau tak sedar kewujudan aku kan", kata Daus kepada rakannya. Azwan hanya tersengih sambil meraup wajahnya. Tertangkap pula dengan rakannya. 'Siapa suruh termenung, kan dah kantoi', kata Azwan di dalam hati.
"Haa sudah, tersengih seorang diri pula. Aish, dah lah. Aku nak buat kerja aku ini", kata Daus lagi sambil kakinya melangkah ke arah mejanya. Azwan menarik nafas lega kerana lelaki itu tidak bertanya lebih lanjut tentang perkara yang difikirkan. Baginya, isu ini tidak sesuai dikongsikan bersama rakan kerana ini membabitkan maruah isterinya juga.
Tiba-tiba, dia mendapat satu idea. Hanya seseorang sahaja yang boleh mendengar luahan masalah ini. Dirinya kemudian tersenyum seorang diri sebelum menyambung semula kerjanya. Orang itu akan dihubungi ketika waktu rehat tengah hari nanti.
***
1.00pm
"Weh, jom lunch", kata Rifqi yang sudah selesai mengemas meja kerjanya kepada Azwan.. Mejanya terletak bersebelahan dengan Azwan manakala meja Daus pula terletak di bahagian hujung sebelah kanan pintu pejabat. Justeru, sukar untuk dia berbual dengan rakannya mahupun mencuri tulang. Tidak lama selepas itu, Daus datang menyertai mereka berdua.
"Korang berdua pergilah dahulu. Aku nak telefon mak aku sekejap. Ada perkara nak bincang sikit", kata Azwan sambil mengeluarkan telefon pintar daripada saku seluarnya. Selepas itu, dia terus beredar meninggalkan dua lagi rakannya yang masih tercegat di situ.
"Pelik betul Azwan hari ini. Macam ada masalah besar sahaja", kata Daus kepada Rifqi.
"Mungkin ada masalah antara keluarga agaknya. Kita tak payahlah tanya sangat. Dia mesti cerita juga dengan kita nanti. Macam kau tak kenal pula kawan kau itu. Eh, jom. Karang habis pula lauk kak Som itu", balas Rifqi.
Mereka berdua berlalu meninggalkan pejabat itu.
Sementara itu, Azwan yang berada di satu bilik lain mula mencari nombor telefon Nasuha, ibunya. Hanya wanita itu sahaja yang boleh mendengar akan cerita ini. Setelah menjumpai nombor telefon itu, dia terus menekan butang panggil pada skrin telefon pintarnya.
***
Nasuha baru sahaja selesai memasak untuk makanan tengah hari. Ketika dia baru sahaja ingin melabuhkan punggungnya di atas kerusi, telefon rumah yang terletak di bahagian tengah rumah berdering secara tiba-tiba. Dengan perasaan malas, wanita itu bangun lalu menuju ke arah telefon itu.
"Aduhai, aku baru nak duduk. Siapa pula yang telefon ini".
Sambil berjalan, Nasuha mengomel sendirian. Gagang telefon itu diangkat lalu ucapan salam diberikan. Tersenyum ceria dirinya apabila mengetahui bahawa anaknya sedang menelefon rumahnya.
"Waalaikumsalam, kau rupanya Wan. Mak baru sahaja selesai memasak. Sekarang waktu rehat kan? Dah makan ke itu?", soal Nasuha di talian.
"Belum lagi mak, Wan nak telefon mak dulu sebab ada perkara yang Wan nak tanya mak ini", soal Azwan di hujung talian.
"Perkara apa itu dik? Macam perkara besar pula", soal Nasuha semula.
"Ini tentang menantu mak itu, Fatin. Sebelum itu, Wan nak tanya dulu. Masa mak mengandungkan kami dulu, ada tak perkara yang mengubah emosi mak ke, mengidam perkara lain ke?", soal anak bongsunya lagi.
Nasuha tersenyum sahaja. Kini, anaknya sedang melalui proses yang pernah dilalui oleh suaminya dahulu serta anak-anak lelaki yang lain. "Perangai ibu mengandung ini biasanya dia cepat emosi. Suka fikirkan perkara yang bukan-bukan, sampai satu tahap dia fikir keadaan anaknya dalam perutnya itu masih hidup atau tidak. Misalnya, hari ini dia pandai menendang tapi esok tak. Haa, maka dia pun mula fikir bukan-bukan".
"Mak rasa, Fatin itu masih di dalam tempoh awal kandungan kan. Dia dah mula tunjukkan tanda-tanda begitu ke?", soal Nasuha.
"Buat masa ini, belum lagi dia tunjukkan sikap pelik dia yang macam itu. Cuma, ada satu sikap dia ini yang buatkan Wan rasa seram sikit", kata Azwan lagi.
Nasuha hanya berdiam diri menantikan apa yang ingin dikatakan oleh anaknya. Kedengaran daripada suara anak bongsunya itu sedikit takut untuk mengatakannya. Akhirnya, Nasuha yang bersuara kepada talian itu.
"Apa yang seramnya? Mak tunggu sahaja daripada tadi ini benda yang kau nak cakap", kata Nasuha menyebabkan Azwan tertawa di talian. Azwan kemudiannya menceritakan tentang perubahan nafsu seksual isterinya. Mendengarkan perkara itu, Nasuha tertawa besar mendengarnya.
"Huh, dia kalau ketawa, tak ingat dunia", Nizam hanya menggeleng sahaja mendengar ketawa besar isterinya itu di ruang tamu. Ketika ini, lelaki itu sedang menonton televisyen.
"Tak ada lah seram mana pun benda itu Wan. Kau juga yang untung nanti. Tapi, memang betul ada sesetengah ibu mengandung akan jadi begitu. Pada mak, itu perubahan yang bagus sebab tandanya dia selalu inginkan kau berada bersamanya. Ada itu lagilah Wan, tak boleh langsung bau badan suaminya sampaikan disuruhnya lakinya tidur di luar", kata Nasuha sambil tertawa.
Nizam yang mendengar kata-kata isterinya hanya mampu mencebik sahaja. "Dia lah itu dulu, huh", getusnya perlahan mengingatkan kembali kenangan mudanya sewaktu Nasuha sedang mengandungkan Anuar dahulu.
"Kau hadap sahaja perkara ini. Setiap suami akan dapat bahagian masing-masing dalam melayan karenah isterinya. Lagipun, anak kau juga yang dikandungnya itu. Kau turut sahaja apa yang dimahukannya selagi ianya tidak memudaratkan", pesan Nasuha kepada anaknya yang masih berada di atas talian.
"Baik mak, terima kasih ya atas pesanan mak. Wan tak tahu nak cerita perkara ini dengan siapa. Itu yang Wan telefon mak itu. Wan nak pergi makan tengah hari ini. Ada masa, Wan telefon lagi ya", ujar Azwan di hujung talian.
"Baiklah, kalau ada sebarang keraguan atau nak memohon nasihat, telefon sahaja mak. Mak akan bantu jika mampu. Jaga diri ya dik, kirim salam dengan Fatin sekali, Assalamualaikum", gagang telefon itu diletakkan sekaligus menamatkan panggilannya. Wajahnya tersenyum sahaja mendengar suara anak bongsunya tadi. Dia sendiri tidak sangka bahawa lelaki itu akan bergelar ayah nanti.
***
9.00pm
Di kediaman rasmi mereka berdua, Azwan sedang leka menonton televisyen sambil isterinya dengan rutin seorang guru, iaitu menanda buku sekolah para pelajarnya. Sesekali dia melihat ke arah skrin televisyen yang menayangkan filem arahan P.Ramlee. Hari ini, filem Anak Bapak pula setelah minggu lalu filem Anakku Sazali.
Fatin meletakkan pen merahnya lalu menyandarkan kepalanya di atas paha suaminya itu. Tubuhnya terasa sedikit letih disebabkan hal ehwal yang berlaku di sekolah. Azwan hanya mengusap sahaja rambut isterinya itu.
"Bang, nak minta tolong boleh?", soal Fatin sambil kepalanya mendongak melihat suaminya yang duduk di atas sofa.
"Apa dia?", balas Azwan. Fatin tersenyum penuh makna. Tangannya mengusap paha suaminya yang bersarung dengan kain pelekat itu.
"Badan Atin macam lenguh-lenguh sikit, boleh tak abang tolong urutkan? Tapi tak nak di sini. Urut dalam bilik", kata Fatin sambil tersenyum. Azwan meneguk air liurnya. Dia pasti, sesi mengurut itu akan berubah ke adegan lain nanti.
"Ke abang nak tengok cerita ini? Tak payah lah ya. Dah berapa kali ulang dah", kata Fatin lagi. Azwan hanya mengangguk lalu bangun daripada kerusi.
"Nak dukung", kata Fatin lagi. Buntang mata lelaki itu mendengar perkataan itu. Dia tersenyum penuh makna lalu tanpa sebarang kata, dia mendukung isterinya menyebabkan wanita itu menjerit kecil sebelum mereka berdua tertawa.
Share this novel