Flashback
Dua Tahun Lalu
Nasuha terkedu menerima panggilan daripada Azwan. Perkhabaran yang diterima itu jelas mengejutkan dirinya serta ahli keluarga yang lain. Dania Alisa, atau mesra disapa sebagai Lisa yang bakal menjadi menantunya bulan hadapan telah pergi buat selamanya.
Nasuha segera mendail nombor telefon anaknya yang kedua iaitu Khairul Anuar. Memandangkan lelaki itu sangat rapat dengan Azwan, hanya Anuar yang menjadi harapan buatnya. Setelah menunggu beberapa saat, panggilan itu dijawab jua.
"Hello, Assalamualaikum Nuar. Kau tengah kerja ke?", soal Nasuha.
"...".
"Mak nak minta tolong kau sikit. Kau tahu kan pasal Lisa? Dia meninggal dunia kerana kemalangan. Kalau kau tak kisah, mak nak kau pergi jemput Azwan di pejabat dia. Mak risau kalau dia memandu sendirian dengan perasaan sedih macam itu", kata Nasuha kepada Anuar di hujung talian.
Nizam yang sudah bersiap untuk berangkat itu hanya berdiri di belakang isterinya. Dia juga terkejut dan sedih dengan berita itu. Bahu wanita itu ditepuk seketika membuatkan Nasuha menoleh ke arahnya. Bibirnya membuat isyarat bahawa dia sedang berbual dengan Anuar.
"Baiklah. Mak dengan ayah nak pergi ke rumah Lisa sekejap lagi. Kita jumpa di sana ya", kata Nasuha sebelum meletakkan gagang telefon rumahnya. Seraya itu juga, dia menoleh ke arah Nizam lalu menghamburkan tangisan yang telah ditahan sejak tadi.
"Sabar Suha, kita anggap ini ujian buat keluarga kita. Ajal maut itu semuanya di tangan Allah. Siapalah kita untuk menghalang pemergiannya", kata Nizam dengan nada berkhemah dalam memujuk isterinya.
"Menantu kita dah tak ada bang. Suha sedih bila dengar berita ini. Suha tak dapat nak bayangkan bagaimana penerimaan Azwan sekejap lagi. Sebulan sahaja lagi bang", kata Nasuha dalam nada hiba. Hati wanitanya sendiri akui bahawa pilihan Azwan itu adalah tepat kerana Lisa adalah seorang gadis yang sopan santun.
Nizam hanya mampu mengeluh. Dia kemudian mengarahkan Nasuha agar bersiap untuk bertolak ke rumah keluarga behsan mereka. Sayang seribu kali sayang, hubungan itu tidak menjadi kenyataan. Mereka akan kekal menjadi kawan sahaja antara dua keluarga.
***
"Assalamualaikum".
Seisi rumah keluarga arwah Lisa menoleh ke arah tetamu yang hadir. Dua orang lelaki berjabat tangan dengan tetamu yang lain. Salah seorang daripada mereka kelihatan kusut pada raut wajahnya. Para tetamu yang lain hanya mampu menumpang simpati sahaja. Kelihatan kedua ibu bapa Azwan juga sudah tiba di kediaman ini.
Azwan kemudian mula menangis hiba setelah melihat sekujur tubuh yang akan sah menjadi isterinya bulan hadapan telah kaku tidak bernyawa. Azwan segera menuju ke arah jenazah itu sambil cuba ditenangkan oleh tetamu serta ahli keluarga si mati.
"Awak... Kenapa... Kenapa awak... Pergi... Secepat ini", Azwan mengongoi di hadapan jenazah arwah Lisa. Tangannya hanya mampu memegang kain tempat pembaringan Lisa sahaja. Anuar hanya mampu menepuk-nepuk belakang adiknya itu supaya lebih bertenang.
"Tak elok kita terlalu meratap pemergian dia. Bimbang akan mengganggu kewarasan fikiran kita. Sabar ya nak", Jamil, bapa kandung arwah Lisa juga melakukan tindakan sama seperti Anuar. Air matanya diseka sedikit. Dia juga masih terkejut dengan pemergian anak perempuannya secara tiba-tiba ini.
"Macam mana boleh jadi macam ini pakcik? Macam mana Lisa boleh kemalangan?", soal Azwan dengan nada sedih. Baru sahaja dia bertemu dengan tunangnya itu dua hari yang lalu. Suara serta senyuman gadis itu masih terbayang di wajahnya.
"Ada orang langgar arwah malam tadi semasa dia nak melintas jalan. Kereta yang dipandu itu pun terbabas juga. Katanya, pemandu masa itu sedang mabuk. Oleh sebab kecederaan Lisa agak parah, Lisa meninggal dunia di wad kecemasan waktu itu juga", kata Halimah yang duduk berhampiran dengan Azwan.
Azwan hanya tunduk memandang lantai. Tangannya mencengkam kain seluarnya kerana terlalu geram. Kes pemandu mabuk melanggar orang lain yang tak bersalah semakin berleluasa. Siapa sangka, kes seperti itu telah menimpa kepada dirinya.
"Sekarang, pemandu itu dalam tahanan polis", giliran Jamil pula yang bersuara.
"Siapa yang tergamak bunuh Lisa, pakcik?", soal Azwan dengan nada tidak puas hati. Anuar yang masih berada di samping adiknya hanya mampu menepuk-nepuk bahu lelaki itu.
"Jangan cakap begitu Wan. Kau kena redha dengan pemergian ini", Anuar bersuara pula. Tangannya mencapai senaskah buku surah Yassin yang sudah disediakan di bahagian tepi kepala Lisa. Buku itu diserahkan kepada Azwan.
"Kalau kau betul-betul sayang dan cintakan dia, kau sedekahkan bacaan ini kepada dia. Roh dia mesti sedih tengok kau dalam keadaan ini. Kita boleh bersedih, tapi jangan melampaui batas", katanya sambil tangannya masih menghulurkan buku berkenaan kepada Azwan.
Azwan mengambil buku itu. Tangannya menggigil sewaktu membuka helaian itu kerana masih tidak percaya dengan apa yang dilaluinya ketika ini. Perlahan-lahan, suaranya kedengaran mula membacakan surah Yassin itu. Masih kedengaran sebak pada bacaannya sambil tangannya masih menggigil memegang buku itu.
Air matanya tidak berhenti jatuh daripada tubir matanya. Segala kenangan manis sewaktu awal perkenalan dan sebagainya terbayang di fikirannya. Wajah manis Lisa yang tidak kedekut memberikan senyuman itu ditenung seketika sambil bacaan masih lagi berterusan.
***
Beberapa Hari Kemudian
"Seorang perniaga barangan vapor, yang didakwa memandu dalam keadaan mabuk mengaku tidak bersalah melanggar seorang wanita hingga menyebabkan kematian di sini pagi tadi".
"Tertuduh, Mohd Fattah Mohd Yunus, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Sheila Abdul Malik".
Nizam, Nasuha serta Khairul Izyan yang menyaksikan Buletin Utama di saluran TV3 itu hanya mampu beristighfar panjang sewaktu nama tertuduh itu disebut oleh pembaca berita, Kamarudin Mape. Mereka sendiri kenal dengan tertuduh itu.
"Buat malu orang kita sahaja. Awak itu orang Islam, minum arak pula. Lepas itu, mengaku tidak bersalah pula. Ish, geram pula mak mendengarnya", kata Nasuha sambil matanya masih tepat memandang ke arah kaca televisyen itu.
"Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman tidak kurang RM 8,000 dan tidak lebih RM 20,000 atau penjara tidak kurang daripada 3 tahun dan tidak lebih 10 tahun serta lesen memandu dibatalkan".
"Pegawai pendakwa, Saiful Mizwan menawarkan jaminan RM 10,000 dengan syarat lesen memandu digantung sehingga kes selesai".
"Haa ya, lepas itu bila dah bebas, dia buat balik", bentak Izyan yang bangun daripada tempat duduknya. Lebih baik dia beredar daripada mendengar berita yang menyakitkan hatinya. Langkahnya diatur ke dapur untuk menyiapkan makanan buat seseorang.
***
Izyan membuka pintu bilik Azwan dengan berhati-hati. Dulang makanan yang berada di tangannya dibawa dengan berhati-hati. Kelihatan Azwan masih berbaring dengan kain selimut yang menyelubungi tubuhnya. Wanita itu hanya mampu mengeluh.
Setelah makanan diletakkan di atas meja, tubuh Azwan digerakkan supaya bangun. Dahi lelaki itu disentuh lembut. Masih terasa panas pada dahi itu. Tidak lama kemudian, Azwan mula memberikan tindak balas dengan bangun daripada pembaringannya.
"Makan ya dik, mak masak sedap hari ini. Lauk kegemaran kau, gulai lemak ayam. Makan ya", kata Izyan sambil menghulurkan pinggan itu kepada adiknya. Hatinya sedikit kecewa apabila Azwan hanya menolak lembut pinggan itu.
"Tak apa kak, Wan tak lapar lagi. Tadi dah makan", kata Azwan dengan nada perlahan. Izyan sekali lagi mengeluh.
"Jangan tipu akak dik, kau dah 4 hari jadi begini. Makan tidak, apa tidak. Kau tak boleh terus macam ini. Mak dengan ayah risau tentang kau sampai suruh kami balik tengok kau", kata Izyan dengan nada berkhemah. Pinggan yang dipegangnya itu masih cuba diserahkan kepada Azwan.
"Wan okay sahaja, akak dengan abang tak balik pun tak apa. Wan okay", balas Azwan dengan nada lemah. Izyan sekadar menggeleng sahaja.
"Okay kau cakap? Kau jangan tipu akak Wan. Mak cakap kau meratap pemergian Lisa sampai demam berhari-hari. Kau tak boleh begini dik. Jangan dikenang pada yang telah pergi", kata Izyan masih memujuk dengan nada lembut.
Azwan hanya berdiam diri. Kepalanya tunduk memandang bawah. Sekeping gambar yang berada di tangan kirinya ditenung seketika. Izyan yang menyedari gambar itu pantas mengambilnya lalu dikoyakkan gambar berkenaan.
Azwan terpana melihat reaksi spontan kakaknya. Gambar insan tercintanya itu telah dikoyakkan sebegitu rupa. Baginya, Izyan tidak patut bertindak sebegitu rupa. Hatinya secara tiba-tiba mendidih sambil merenung tajam ke arah kakaknya.
"Kenapa kau koyakkan gambar Lisa? Kenapa?", Azwan menempik kakaknya secara tiba-tiba. Izyan terkejut melihat perubahan drastik adiknya namun dia cuba untuk menguatkan semangatnya. Baginya, untuk menyedarkan Azwan daripada terus begini adalah dengan cara kekerasan.
Azwan bingkas bangun lalu menerkam Izyan yang sedang duduk. Izyan yang sudah bersedia pantas menepis terkaman itu lalu memusingkan tubuh Azwan. Sepantas kilat, tubuh Azwan sudah terbaring di atas katil sambil Izyan duduk di atas perutnya.
"Izyan, Azwan. Kenapa ini".
Nasuha berdiri di hadapan pintu setelah terkejut mendengar tempikan daripada Azwan. Dia lebih terkejut kerana melihat Izyan bertindak agak kasar terhadap adiknya.
"Kau nak buat apa dengan aku tadi? Pasal gambar itu sahaja, kau nak belasah aku? Kau nak cekik aku? Kau sanggup buat begitu dengan darah daging kau sendiri?", kata Izyan dengan nada suara kuat. Panggilan Nasuha tidak diendahkan.
Izyan bangun daripada tubuh adik lelakinya lalu diangkat tubuh Azwan daripada pembaringan. Izyan memaut kedua kakinya kepada tubuh Azwan sambil kedua-dua lengannya memeluk leher Azwan. Di hadapan mereka kelihatan Nasuha serta Nizam sedang berdiri di hadapan pintu dengan riak wajah terkejut.
"Sekarang kau tengok, orang-orang penting dalam hidup kau. Mereka berdua itu siang malam bersusah payah nak besarkan kita. Mereka berdua antara yang paling risau dengan keadaan kau sekarang. Kau tengok betul-betul muka mereka itu".
Nasuha hanya mampu mengelap air matanya yang jatuh manakala Nizam hanya memandang sayu sahaja ke arah mereka dua beradik itu. Azwan masih berdiam diri sambil pandangannya tetap ke arah kedua ibu bapanya.
"Aku faham perasaan kau sekarang tapi kau kena ingat Wan, kau tak akan dapat kembalikan seseorang yang telah pergi buat selamanya. Sekarang, kau memang telah kehilangan seseorang yang kau cintai, tapi kau masih ada perkara yang paling bernilai dalam hidup kau sekarang. Itu Wan, di depan mata kau sekarang ini".
Azwan merenung wajah kedua ibu bapanya dengan pandangan sayu. Tiba-tiba, dia berasa bersalah dengan kedua ibu bapanya ketika ini. Hanya kerana pemergian insan yang dicintai, dia telah membuatkan kedua ibu bapanya risau akan kesihatan dirinya. Wajah Nasuha serta Nizam ditenung sayu.
Izyan melonggarkan cengkaman di leher Azwan. Kemudian dia bersuara lagi, "Dik, orang yang kita cinta kalau pergi, kita boleh cari yang lain. Tapi kalau ibu bapa kita pergi, perkara itu tak boleh di cari ganti Wan".
Azwan tunduk sayu lalu bangun daripada katil bujangnya. Dia berjalan ke arah kedua orang tuanya lalu tunduk memegang kaki Nasuha serta Nizam namun pantas dihalang oleh Nasuha.
"Maafkan Wan mak, maafkan Wan", kata Azwan dengan nada sebak. Seraya itu, mereka bertiga saling berpelukan. Azwan melepaskan kesedihannya kepada dua insan paling bernilai dalam hidupnya. Insan yang tiada galang ganti jika dipisahkan selamanya suatu hari nanti.
Izyan yang menyaksikan adegan itu hanya tersenyum sahaja. Air matanya diseka sedikit yang gembira dengan perubahan adik lelakinya. Dia kemudian melangkah ke arah tiga beranak itu lalu berpelukan sesama mereka.
Akhirnya, Azwan menjamah makanan yang dibawa oleh Izyan itu. Dua beradik itu sempat memohon maaf sesama mereka atas kekasaran yang dibuat. Nasuha hanya tersenyum sahaja menyaksikan situasi itu. Bak kata pepatah, air yang dicincang, tak akan putus.
Share this novel