Sepak mula dimulakan oleh pasukan Fattah. Permainan serba pantas dengan para pemain saling bertukar hantaran pendek. Ada di antara mereka yang mempunyai kemahiran mengawal bola dengan baik sehingga sukar dirampas oleh Rifqi dan yang lain.
Fattah mula mendapat bola setelah menerima hantaran di sebelah kanan. Beliau mengelecek melepasi Mukmin yang cuba menghalang. Beliau melepaskan rembatan namun Rizqi, adik kepada Rifqi pantas bertindak menghalang rembatan itu. Bola keluar daripada permainan.
"Qi, tengok orang".
Azwan memberikan arahan kepada Rizqi yang tampak seperti hilang punca. Satu tendangan bebas dilakukan. Hantaran jauh mencari Lutfi, rakan sepasukan Fattah. Namun sayang sekali ianya berjaya dibaca oleh Azman. Pantas Azman memintas lalu hantaran ke hadapan dilakukan mencari Mukmin yang sudah berlari ke depan.
Serangan balas pantas berlaku. Situasi 3 lawan 1 terjadi dengan Mukmin masih mengawal bola. Rifqi berada berhampiran dengannya sudah meminta bola. Mukmin sudah nampak kelibat Rifqi lalu dihantarnya mengatasi pihak lawan. Kini Rifqi berhadapan dengan penjaga gol 1 lawan 1. Hanya dengan tendangan leret, Rifqi berjaya menjaringkan gol pertama.
"Gol!".
Daus bersorak begitu juga dengan 2 lagi wanita yang turut menyaksikan perlawanan itu. Namun begitu, hanya Days sahaja yang mengetahui akan pertaruhan perlawanan ini. Kedudukan kini menjadi 1-0. Bola kembali diletakkan di tengah gelanggang.
Tanpa membuang masa, Haziq, seorang lagi rakan sepasukan Fattah melepaskan rembatan kencang ketika pihak lawan belum begitu bersedia. Azwan juga begitu. Akibatnya, tendangan kencang itu tepat menerjah jaring menewaskan Azwan yang hanya mampu melihat sahaja bola itu masuk ke dalam gol.
"Yes! Terbaiklah Haziq".
Giliran penyokong pihak lawan pula yang bersorak. Mereka adalah pemain simpanan yang dibawa oleh Fattah. Ada 3 orang kesemuanya. Kelebihan jelas dimiliki oleh pasukannya berbanding pasukan Azwan yang hanya seorang sahaja pemain simpanan.
Bola diletakkan semula di tengah. Semua pemain mula fokus. Sebarang kelalaian akan membawa padah. Rizqi memberikan kebelakang kepada Azman. Azman mengawal bola sambil matanya melihat sekeliling di mana rakannya berada. Walaupun cuba diasak oleh Lutfi, namun dia berjaya membuat hantaran kepada Rizqi yang berada di sebelah kiri.
Rizqi menerima bola lalu dilarikan ke depan. Mukmin yang sudah menanti akan hantaran mula membuka ruang dengan berlari di bahagian tengah. Rizqi melakukan hantaran tersebut tetapi sayangnya, ia berjaya dipintas oleh Khairul, seorang lagi pemain pihak lawan.
"Aduh Riz. Lambat".
Pihak lawan melancarkan serangan balas pula. Kini mereka pula berdepan dengan situasi 3 vs 1. Rizqi dan Mukmin berlari untuk turun ke bawah bagi membantu Azman. 3 pemain itu saling bertukar hantaran pantas untuk mengelirukan Azman.
"Haa, peluang kau Fat".
Azwan pantas berlari keluar daripada kotak D. Bola masih belum berada di kaki Fattah. Dia perlu bertindak segera sebelum terlambat. Situasi 1 vs 1 terjadi pula antara Azwan dan Fattah. Azwan melakukan slide tackle. Bola dimenangi oleh Azwan yang pantas menangkap bola berkenaan sebelum terlepas namun Fattah terjatuh di dalam kotak penalti.
Azwan bingkas bangun begitu juga dengan Fattah. Baru sahaja dia ingin membaling bola kepada rakannya, Fattah pantas menghalang dengan melanggar bahu lelaki itu. Bola terlepas daripada tangkapan. Azwan yang nyata berang pantas berlari ke arah Fattah yang cuba melakukan sepakan ke arah gol. Satu tackle lambat dilakukan tepat mengenai buku lali Fattah menyebabkan lelaki itu menyeringai kesakitan.
"Ambik kau. Main macam hanat lagi".
Lutfi yang nampak akan kejadian itu pantas berlari menuju ke arah Azwan. Baginya, tidak perlu untuk melakukan hal itu kerana ini hanya perlawanan persahabatan sahaja.
"Bro, kau apa hal main macam ini. Friendly je pun", kata Lutfi yang berdiri berdepan dengan Azwan namun pantas dihalang oleh Rifqi. Fattah bangun terhencut-hencut sedikit. Satu jelingan tajam diberikan kepada Azwan.
"Alamak, standard lah main bola macam ini. Kalau tak sanggup balik main telur lah", kata Azwan dengan nada berang. Beliau juga ditenangkan oleh rakan-rakan sepasukannya yang lain.
Sementara itu di luar gelanggang, Fatin jelas tidak senang dengan situasi itu. Lebih-lebih lagi apabila melihat suaminya berkata demikian. Dahlia sekadar menggelengkan kepala. Hanya Daus sahaja yang tenang menyaksikan adegan itu.
"Kenapa Azwan macam anti sahaja dengan Fattah itu?", soal Fatin kepada Daus. Daus berpaling melihat isteri rakannya itu.
"Ada peristiwa lama terjadi sampaikan Azwan dendam gila dengan Fattah. Perkara itu juga buatkan Azwan lama nak bangkit daripada kesedihan sebelum dia jumpa awak. Saya tak nak cerita. Baik awak sahaja tanya dia sendiri apa yang berlaku dulu", kata Daus yang bangun daripada kerusi untuk bermain pula menggantikan Rizqi.
-----------------------------------------------------------
Sudah hampir 40 minit mereka bermain. Kedua-dua pasukan kini terikat dengan jaringan 2-2. Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Perlawanan juga tampak semakin panas dengan beberapa aksi keras sudah berlaku terutama antara Fattah dan Azwan. Kedua-dua lelaki itu saling berbalas asakan siku, tackle selain saling merembat antara satu sama lain.
Azwan yang tidak lagi menjadi penjaga gol setelah tugas itu dipikul oleh Daus mula mendapat bola. Satu rembatan deras dilepaskan tepat mengenai bahagian perut Fattah yang berdiri di hadapannya untuk menghalang sebelum keluar daripada permainan.
"Last gol guys. Last gol".
Kata-kata daripada penjaga kaunter kedengaran seakan-akan memberitahu masa sudah hampir tiba. Mukmin pantas membuat hantaran kepada Azwan. Azwan yang berdepan dengan Fattah sekali lagi berjaya mengatasi lelaki itu. Satu hantaran lambung yang mengelirukan berjaya dilakukan untuk Azman yang menanti di hujung sebelah kiri.
Sentuhan pertama yang cantik berjaya dilakukan. Tanpa menunggu lama, satu hantaran ke bahagian tengah dalam kotak penalti dilakukan untuk Rifqi yang berlari ke arah kawasan itu. Satu tampanan mudah berjaya dibuat.
"Gol!".
"Yes! Kita menang".
Mereka bersorak riang setelah menang. Selepas itu, kedua-dua pasukan keluar daripada gelanggang untuk bersiap. Fattah dan rakan-rakannya menuju ke kaunter untuk membuat bayaran. Setelah itu, mereka saling bersalaman antara satu sama lain sambil berharap dapat bermain lagi di masa akan datang.
Fattah dan Azwan saling bertentang mata sebelum berpisah. Azwan tersenyum sinis sambil membuat isyarat loser kepada lelaki itu.
-----------------------------------------------------------
"Sekarang, beritahu Atin apa dah jadi antara korang berdua?".
Fatin dengan raut wajah tidak berpuas hati bertanyakan lagi untuk kali ke 5 setelah keluar daripada kompleks futsal itu. Azwan tersengih sambil menggelengkan kepala. Tangannya masih setia memegang stereng kereta.
"Dah 5 kali ayang tanya pasal dia. Tak penat ke?", soal Azwan sambil tersenyum lagi.
"Masalahnya abang tadi memang tak puas hati betul dengan dia. Apa masalahnya? Cuba beritahu Atin", soal Fatin dengan nada tidak berpuas hati. Bukan dia ingin membela lelaki yang tidak dikenali itu, namun kerana tindakan suaminya yang agak kebudak-budakan.
"Standardlah sayang main futsal, ada tolak sikit, sepak kaki sikit. Kalau tak nak lasak sangat baik balik main congkak ke, dam haji ke", kata Azwan dengan nada sinis sambil tertawa kecil. Dia cuba bertenang.
"Ya lah itu. Daus cakap dengan Atin, ada peristiwa lama antara abang dengan mamat itu. Dia cakap kerana perkara itu abang dendam dengan dia sampai sekarang. Baik abang cerita dengan Atin apa sebenarnya yang berlaku dulu", kata Fatin lagi. Kepalanya kadangkala memandang cermin tingkap, adakalanya memandang suaminya.
Azwan jelas tidak selesa akan kata-kata isterinya. Satu rahsia lama yang cuba dipadamkan daripada ingatan. Namun rakannya pula membangkitkan kembali perkara itu.
'Sial kau Daus'.
"Daus cakap apa lagi dengan ayang?", soal Azwan dengan nada sedikit keras namun masih terkawal.
"Itu sahaja. Dia cakap dia tak nak cerita lebih baik abang sahaja yang cakap. Tak perlu rahsia lagi dengan Atin bang. Atin terima apa sahaja kisah silam abang dulu", kata Fatin dengan nada lemah lembut pula. Dia tidak mahu terlalu memaksa suaminya.
Azwan menarik nafas panjang. Dia sendiri tidak tahu sampai bila rahsia ini ingin dipegang daripada diketahui oleh Fatin. Lambat laun wanita itu pasti tahu jua.
"Baiklah, abang cerita dekat ayang. Ayang kena janji dengan abang supaya terima cerita ini seadanya. Ini semua masa lalu abang. Abang pun memang takkan bersama dia lagi", kata Azwan dengan nada perlahan.
Fatin terkejut seketika. Dia? Siapakah orang itu? Namun persoalan itu hanya bermain di benak fikirannya sahaja.
"Dulu sebelum kita kenal, abang hampir bertunang dengan seorang gadis. Nama dia Husna. Dia gadis yang baik. Tapi..", Azwan menarik nafas perlahan. Perkara lepas yang tidak mahu dikenang menerjah kembali memorinya.
"Allah lebih sayangkan dia. Satu malam dia meninggal kena langgar dengan kereta. Polis siasat rupanya Fattah yang langgar dia sebab mabuk. Oleh sebab dia mabuk, dia dibebaskan kerana minda tanpa sedar", kata Azwan lagi.
Fatin terkejut. Lelaki yang dibenci itu adalah peneguk air syaitan. Dunia semakin tenat.
Share this novel