BAB 4

Romance Completed 9100

Hairy yang ingin keluar bersantai pada mulanya, rasa tak sedap hati bila memikirkan Minah yang tinggal seorang diri di rumah. Lebih-lebih lagi bila memikirkan Minah sedang memasak. Pandai ke Minah tu guna dapur? Jumpa ke barang-barang yang nak dimasak? Terbakar pula rumah tu karang? Perbagai persoalan yang menjengah mindanya, membuatkan dia cepat-cepat pulang ke rumah.

Sampai saja di rumah, Hairy terus cari Minah. Satu rumah Hairy cari. Dalam bilik pun Minah tak ada. Haih, mana pulalah perempuan ni menyorok? Hairy buka pintu dapur. Hah! patut la pun. Ada saja Minah di pondok rehat belakang rumah tu. Entah apa yang dia buat? Tersengih-sengih sorang-sorang. Hairy masuk semula ke dalam rumah dan menuju ke arah peti ais. Dahagalah pula. Sampai di meja makan, Hairy terhidu sesuatu yang membuka seleranya. Diangkatnya tudung saji. Bibirnya dah mengukirkan senyuman. Buat penat aku risau saja. Cepat pula perempuan ni masak. Memandangkan nasi dan lauk masih panas dan semuanya sudah terhidang di depan mata, nak tunggu apa lagi.

Hairy duduk dan makan tanpa pandang sekeliling lagi. Seminggu kot selepas mereka nikah dia dipaksa tinggal di kampung Minah oleh papanya. Selepas itu papa dan mamanya bertolak ke Australia. Kakak sulungnya kak Aina pula yang menyusul selepas itu bersama suami dan anak-anaknya.

Pak Mod dan Mak Mah pembantu rumah dan tukang kebun mereka pula diberi cuti oleh Hairy, sebelum Hairy membawa Minah ke rumah mereka. Memang niat Hairy nak membuli Minah. Apatah lagi bila dia tinggal di kampung Minah, Minah yang selalu buli dia.

Hairy akui Minah memang pandai memasak, terutamanya ketam masak lemak cili padi. Perut tengah kenyang pun, kalau bau aroma masakan Minah, mesti akan terasa lapar semula.

''Lahh..encik Hairy dah balik? Lega Minah. Dah nak maghrib ni, ingatkan nak kena dok sorang-sorang dah kat rumah ni. Seram...'' dengar saja suara Minah, Hairy yang tengah makan tu terus tersedak. Cepat-cepat Minah tuangkan air dan hulurkan pada Hairy.

''Kau ni kenapa Minah? Tak pandai masak ke? Ayam goreng ni punyalah pedas..'' lain di hati, lain pula yang keluar di mulut. Walhal dia tersedak sebab terkejut dengan teguran Minah, bukan sebab ayam goreng tu.

''Ya ka pedas? Sorrylah encik Hairy, Minah tak rasa pun lagi. Pedas sangat ka?'' Minah sengaja bertanya begitu. Apa yang Minah lihat, ayam goreng tu banyak juga yang dah luak. Kuat juga Hairy ni makan, tapi mulut tu kalau tak komplen, tak sah.

''Ermm..memang pedas pun. Kau rasalah sendiri.''

''Minah belum lapar lagi. Nantilah, malam sikit baru Minah makan.'' Minah bukan belum lapar, cuma kalau boleh biarlah Hairy yang makan dulu. Almaklumlah, baru saja sampai dia sudah dihina oleh Hairy. Alang-alang dah kecil hati, biarlah dia terus mengalah. Minah pun sedar siapa dia di mata Hairy. Semasa di kampung, walaupun Hairy tak banyak cakap, tapi dia tak pernah pun berkasar dengan Minah. Seminggu mereka berkahwin, Hairy tidak menyentuh dia walau mereka tidur sebilik. Minah tak kesah pun, kerana Minah pun belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri.

''Yang kau tiba-tiba termenung saja depan aku ni, kenapa?'' Minah tersentak. Bibirnya terus melebarkan senyuman.
''Ni encik Hairy, Minah nak tanya. Mana semua orang dalam rumah ni?'' sejak tadi itulah soalan yang Minah nak tanya. Bila Minah tengok mod Hairy macam okey saja, barulah Minah cuba memberanikan diri.

''Aku tanya kau, kau tak jawab. Aku pulak yang kau soal?'' Hairy tak menjawab soalan Minah, malahan Minah pula dapat habuan jelingan tajam dari Hairy. Selepas selesai mencuci tangan, Hairy terus berlalu dan meninggalkan Minah di ruangan dapur. Minah kebam bibir sambil kepal penumbuk. Sakit hati betul dengan Nur Hairy Harris sorang ni. Grrr...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience