BAB 19

Romance Completed 9101

Semalam Minah beli bahan-bahan untuk buat laksa kat pasar malam, sebab Hairy teringin nak makan laksa utara. Laksa, Minah dah rendam sejak semalam lagi. Pagi ni awal-awal lagi Minah dah siang ikan dan rebus. Kuah laksa ni boleh guna macam-macam jenis ikan. Macam di kampung Minah ni selalunya jenis ikan yang digunakan selain ikan kembung, boleh juga guna ikan selangat, ikan put-put atau ikan parang. Untungnya tinggal di sini bila selalu dapat makan ikan segar, kecuali kalau musim ribut. Makan saja apa yang ada.

Resepi kuah laksa Minah memang sempoi sangat. Selain isi ikan yang telah dikisar ,Minah hanya guna cili padi atau orang belah utara ni panggil cabai melaka. Selain tu Minah lebihkan bawang besar. Bahan-bahan wajib lain tu biasalah. Daun kesom, bunga kantan, asam keping, garam dan serbuk perisa. Alah..nak buat kuah laksa ni main campak-campak saja. Yang penting, sesuaikan rasa garam dan asamnya. Jangan terlebih dan jangan terkurang.

Untuk sampah sarapnya yang Minah guna, eh..maksudnya daun yang ditaburkan atas laksa tu. Kalau ada pucuk lepai, Minah akan masukkan pucuk lepai. Kalau tak ada, macam biasalah, daun selom, salad atau pucuk gajus. Yang lain seperti bawang dan timun memang bahan yang wajib ada setiap kali nak makan laksa. Kuah laksa baru mendidih, Minah dah kecur liur. Semerbak bau hingga satu rumah boleh dihidu.

''Minah, buat laksa ka? Nanti huluq sepinggan.'' Ismadi dah melaung dari rumah sebelah. Haa..tu kan, bukan satu rumah boleh bau. Sampai rumah Mak Long pun boleh bau. Tu, Minah tak guna belacan lagi tu.

''Okey abang Is. Bukan setakat sepinggan. Berpinggan-pinggan pun boleh.'' Minah jengol kepala ikut pintu dapur dan melaung balik pada Ismadi yang sedang berehat di atas pangkin di luar rumah.

''Sedapnya sayang, dah boleh makan ke belum ni?'' Hairy sudah datang menjengah ke dapur. Minah yang sedang mengacau kuah laksa di dalam periuk dihampiri.

''Belum lagi, kuah baru mendidih. Biar lama sikit. Laksa pun baru rebus tu, belum lembut lagi.'' sambil berbual Minah perlahankan api dapur. Petua untuk masak sedap ni senang saja, api dapur mesti sentiasa perlahan. Lebih-lebih lagi bila mengunakan cabai atau rempah. Jangan sampai rempah atau cabai masak mengejut. Selain tak sedap, masakan juga akan cepat basi.

''Assalamualaikum, bila hang balik Minah? Patutlah dari jauh lagi ayah dok bau kuah laksa. Rupa-rupanya ada orang jauh balik.'' Hairy dan Minah sama-sama menoleh ke arah pintu dapur dan saling berpandangan selepas itu. Minah meluru kepada ayahnya. Dipeluknya tubuh tua itu.

''Ayah pi mana sebenarnya ni?'' Minah pimpin tangan ayahnya dan dibawa duduk di atas kerusi di ruangan dapur tu. Belum sempat Pak Hamid menjawab, Pak Long, Mak Long dan Ismadi dah terjengol di pintu dapur.

''Assalamualaikum..'' salam berbalas. Minah menjemput mereka masuk. Sekejap saja selepas itu rumah Minah sudah dipenuhi dengan penduduk kampung. Semuanya datang nak ziarah Pak Hamid yang kononnya hilang di laut.

''Kawan aku pangge kenduri di Pulau Sayak. Malas nak pi jalan darat, aku pi la dengan bot. Bila tengok cuaca tak berapa elok, depa tahan aku, tak bagi aku balik...'' Pak Hamid buka cerita. Berkali-kali cerita yang sama bila sorang demi sorang datang bertandang. Hari itu rumah Pak Hamid dah macam buat kenduri. Laku pula laksa Minah. Tengahari tu pun pakat bergotong royong masak nasi di rumah Pak Hamid. Ismadi jadi tukang masak. Yang lain tu tolong siang apa yang patut. Hairy tolong keluarkan duit dan beli barang-barang masakan. Heh..nasib kaulah Hairy!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience