BAB 17

Romance Completed 9100

Minah memandang di kejauhan. Lautan yang luas, kian ganas dengan ombak yang membadai. Kehilangan ayahnya masih lagi menjadi misteri. Entah bagaimanakah keadaannya? Masih hidupkah atau bagaimanakah dia? Musim sekarang musim ribut dan musim air pasang besar. Dulu Minah selalu bermenung di tepi pantai ini selepas cintanya ditolak oleh Pidot, atau nama sebenarnya Mohd Firdaus. Cinta Minah ditolak kerana badan Minah yang agak gempal. Bukan itu saja, Pidot juga turut menghina Minah.

Sekarang kehadirannya di sini kerana menunggu seseorang yang begitu amat bermakna dalam hidupnya. Pak Hamidlah pendorong dan penguat semangat Minah. Walaupun Minah membesar tanpa kasih sayang seorang ibu, tapi Minah tidak pernah rasa kehilangan. Minah sendiri pun membawa ke mana saja nama ibunya. Nur Imanina, itulah nama ibunya, tapi selepas nama itu diberi kepada Minah, Minah asyik menangis tanpa henti sehingga ayahnya memanggilnya dengan nama Minah.

Tak pernah jemu Minah memandang laut. Sesekali kepalanya di dongakkan ke atas. Betapa Allah itu Maha Berkuasa menciptakan langit dan bumi. Betapa tenang dan damainya hati saat memandang ciptaanNYA.Walau sekusut mana pun jiwa. Sepedih mana pun hati. Dengan memandang dua anugerah Allah di depan matanya ini, fikiran Minah pasti akan tenang kembali. Kehidupan ibarat lautan. Adakalanya begitu tenang, tapi ada kala dilanda taufan. Hidup tak semestinya akan bahagia berpanjangan. Sekali sekala Allah akan menguji kesabaran dan ketabahan kita.

''Panjang isteri abang ni bermenung? Ingat abang ke?'' Minah disapa seseorang. Entah sejak bila lelaki ini duduk di sisinya. Minah langsung tak perasan. Mindanya jauh mengembara entah ke mana. Lelaki di sisi direnung tidak berkelip. Hairy mengawang-gawangkan tangannya di hadapan Minah, membuatkan Minah tersedar dan mengukirkan senyuman.

''Bila abang sampai?'' soalan diajukan sambil tangan Hairy diraih dan di bawa ke bibirnya.

''Sayang rindu abang tak?'' Hairy bertanya perlahan. Wajah di hadapan matanya di renung sepuas hati. Tiga hari tak jumpa Minah, hidupnya serba tak kena. Makanan yang Mak Mah masak pun sudah tak enak di tekaknya. Padahal selama ini masakan Mak Mahlah yang dibedalnya hari-hari.

''Rindu sangat. Minah rasa macam nak peluk saja abang la ni. Tapi kesian pulak dekat orang lain yang dok tengok. Satgi depa jeles pulak kat Minah.'' Minah berkata jujur dalam nada bergurau. Hairy dah tersenyum nakal. Boleh tahan jugak Minah ni.

''Dah tu, jom la balik.'' Hairy ambik ayat gurauan Minah tu sebagai ayat serius.

''Buat apa? Sat lagi la kita balik. Minah nak tengok matahari terbenam.'' Minah halakan lagi pandangannya ke tengah lautan. Ayah, cepat balik ayah. Minah rindu. Tak semena-mena air mata Minah mengalir. Selepas balik ke kampung, Minah cuba menjadi kuat, tapi bila Hairy sudah ada di sisi, entah kenapa Minah menjadi sebak. Minah seka air mata cepat-cepat, agar Hairy tak sempat perasan kegusaran hatinya.

''Kenapa ni sayang? Sedih lagi? Ayah tak apa-apa kot. Nanti ayah baliklah tu.'' Terkesan Hairy dengan wajah Minah yang sayu membuat dia turut terasa sebak. Ditahannya perasaan sebak itu sekuat mungkin.

''Bukan, Minah terharu. Allah hadirkan abang dalam hidup Minah memang tepat pada masanya. Semuanya ada hikmahnyakan? Minah kena kawen dengan abang. Mula-mula Minah tak boleh terima kenyataan tu. Lebih-lebih lagi bila Minah terpaksa tinggalkan ayah dan ikut abang ke Kuala Lumpur. Abang tu dah la garang macam singa jadian..'' Minah terhenti seketika dan tertawa kecil. Pinggangnya dicucuk Hairy. Minah terjerit kecil.

''Sedap saja cakap abang ni singa jadian. Abang ngap baru tahu.'' Hairy pura-pura marah. Minah hanya ketawa, kemudian dia sambung balik kata-katanya tadi.

''Kalau nak difikirkan secara logik dengan akal yang waras, Allah memberi kita sesuatu tu mesti bersebabkan? Dia bagi singa jadian kat Minah, dan dalam sekelip mata singa jadian tu bertukar jadi kucing parsi yang manja dan mengoda.'' Minah terhenti dan ketawa lagi bila Hairy mengeletek pinggang dia pula.

''Minah bersyukur sangat, sebab bila abang dah bertukar jadi kucing parsi ni abang nampak sweet sangat.'' Minah menyambung kata. Hairy kerutkan dahi. Macam tak kena saja ayat tu.

''Sweet? Kenapa tak macho ke, handsome ke?'' Minah pula kerut dahi. Perasan sudah Nur Hairy Harris ni.

''Mata Minah, mulut Minah..ikut suka Minah la, nak tengok abang macam mana pun. Nak cakap apa pun.'' Minah cakap selamba, sambil mengawal dirinya agar tak gelak. Sekali lagi Minah kena geletek. Bertubi-tubi Minah menepis. Akhirnya kedua belah tangan Hairy dipegang dan mata mereka saling merenung di antara satu sama lain.

''Abang sayang Minah?'' tercetus pertanyaan itu dari kedua ulas bibir Minah. Hairy tersenyum. Angguk tidak, geleng pun tidak. Tapi Hairy tanya balik soalan kat Minah.

''Minah nak tahu ke?'' beria-ia Minah mengangguk. Serius wajahnya. Hairy tak menjawab. Dihalakan pandangannya ke arah laut. Matanya merenung jauh. Minah sabar menanti.

‘’Aku Cinta Kau Minah!'' tiba-tiba Hairy melaung. Terbelalak mata Minah. Cepat-cepat Minah menekup mulut Hairy dengan tangan kanannya.

''Abang..kalau ya pun. Janganlah bagi tau satu dunia.'' Hairy sudah ketawa mengekek. Dua tiga orang lelaki yang sedang memancing berdekatan dengan jambatan Pulau Bunting memandang ke arah mereka.

''Relax ar sayang. Biar la mereka nak tengok pun. Bukannya nak luak.'' Hairy ketawa lagi. Akhirnya Minah pun turut tersenyum sama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience