BAB 20

Romance Completed 9100

''Alhamdulillah..ayah tak apa-apa. Lepas ni ayah tak payah pi ke laut lagi la. Ayah ikut Minah dok Kuala Lumpur na. Bolehkan bang?'' sambil mengajak ayahnya, Minah tanya juga pendapat Hairy. Hairy mengangguk sambil tersenyum, tapi Pak Hamid pula yang mengeleng.

''Ayah tak boleh, laut ni dah macam darah daging ayah dah. Dari muda lagi ayah dah turun laut. Tak pa la Minah, hang jangan dok risau sangat la pasai ayah ni. Hidup mati ni, Allah dah letak dah. Hang duduk pi la atas gunung mana pun, kalau dah sampai ajal tu dia mati jugak.'' mendengar saja kata Pak Hamid, Minah dah jadi kelu. Hairy pun tak berani nak menyampuk apa-apa. Pak Hamid sentiasa tegas dengan kata-katanya. Kalau dia cakap hitam. Hitamlah. Takkan ada putih.

''Tapi minggu depan ayah kena pi jugak Kuala Lumpur. Papa dengan mama nak balik. Papa cakap nak buat kenduri kesyukuran sikit. Sambil tu nak sambut menantu baru.'' Hairy yang diam sejak tadi mula bersuara. Minah sudah resah semacam.

''Ha..ayah hang macam mana Hairy? Sihat dah dia?'' Pak Hamid turut berminat untuk mengetahui keadaan bisannya itu. Dengar kata paru-parunya bermasaalah, selepas lemas di laut hari tu.

''Alhamdulillah ayah, dua tiga hari lagi kalau tak ada apa-apa aral, papa dan mama akan balik ke Malaysia.'' ceria saja Hairy bercerita. Minah sudah mula tarik muka, sebab dia langsung tak tahu apa-apa. Kecik hati.

''Abang tak bagi tau kat Minah pun.'' Minah bersuara rajuk. Hairy tergelak. Timbul idea untuk menyakat Minah.

''Minah tak tanya. Lagi pun mana boleh bagi tau Minah, nanti Minah mengamuk pulak.'' Sekali lagi Minah rasa semacam. Tadi nak sambut menantu baru. Sekarang dah takut dia mengamuk pula. Sapa nak kawen? Minah bersoal jawab dalam hati. Hairy dipandang sambil menjongketkan keningnya beberapa kali. Hairy tak faham maksud Minah. Dia jongketkan balik keningnya pada Minah.

''Hiesyy...'' Minah pegang tangan Hairy dan heret Hairy keluar dari rumah. Pak Hamid hanya mengeleng melihat gelagat anak dan menantunya. Teringat Pak Hamid ketika mereka baru berkahwin. Minah paksa Hairy turun ke laut bersama dia. Kononnya, Minah nak suruh Hairy belajar jadi menantu seorang nelayan. Sudahnya, tiga hari Hairy terlantar sebab mabuk laut. Minah suruh Hairy belajar jahit pukat yang koyak. Minah juga suruh Hairy tolong Minah masak dan macam-macam lagi yang Minah suruh. Hairy ikut saja apa yang Minah suruh tanpa membantah sikit pun. Bagus sungguh Hairy tu. Pak Hamid puji Hairy dalam hati. Pak Hamid pandang saja anak dan menantunya itu sampai hilang dari pandangannya.

Minah heret Hairy menuju ke pangkin belakang rumah yang mengadap ke laut. Mereka sama-sama melabuhkan punggung di atas pangkin sambil mendengar ombak yang sesekali memukul pantai. Minah selesakan kedudukannya sambil mengadap Hairy.

''Baik abang cakap betul-betul, sapa yang nak kawen?'' Minah tanya Hairy dengan suara serius. Hairy pun buat muka serius sama. Langsung tiada senyuman di bibirnya.

''Abang la, siapa lagi? Papa dengan mama nak abang kawen untuk kali kedua.'' Minah terdiam. Hatinya bagai terhiris. Perasaannya dah mula sebak. Mindanya sudah berfikir yang bukan-bukan. Rasa tersisih, tak dihargai dan sebagainya. Melihat wajah Minah, Hairy sembunyi senyum. Jahat bebenor hang ni Hairy.

''Dengan sapa?'' perlahan Minah bertanya.

''Yang pastinya bukan dengan Minah.'' air mata Minah mula bergenang. Tersiat rasa hati. Minah sedarlah Minah ni sapa. Minah bangun dan menuju ke arah laut. Langkahnya diatur satu persatu. Hairy yang melihat langkah Minah yang menuju ke arah laut, mula mengelabah. Air mata Minah semakin laju mengalir. Minah hanya membiarkan air matanya membasahi pipinya. Laut yang dituju semakin hampir. Hairy dengan pantas menghentikan langkah Minah. Kedua-dua bahu Minah dipegang. Hairy pusingkan tubuh Minah supaya mengadap ke arahnya. Minah tundukkan wajah sambil menahan esakan.

''Minah tak mahu tahu ke abang nak kawen dengan siapa?'' Minah mengeleng. Tangan Hairy yang memegang kedua belah bahunya ditepis. Minah teruskan langkah menuju ke laut. Hairy tak berputus asa. Minah terus diekori.

''Abang nak kawen dengan Nur Imanina bt Abd Hamid!'' Hairy melaung kuat. Minah menghentikan langkahnya. Bibirnya dikebam. Kau nak main-mainkan aku ya Nur Hairy Harris. Kau tunggu balasannya. Minah berpusing ke belakang dan mengadap Hairy.

''Mak Minah dah lama tak ada, abang nak kawen dengan mak Minah tu pasai pa?'' Minah bersuara kuat melawan deruan ombak.

''Bila pulak abang cakap abang nak kawen dengan mak Minah?'' Hairy pula yang blurr.

''Abang baru saja cakap, abang nak kawen dengan Nur Imanina bt Abd Hamid.'' Minah masih serius. Hairy semakin tak mengerti.

''Betul la tu, habis yang Minah cakap abang nak kawen dengan mak Minah tu, kenapa? '' Minah tak menjawab soalan Hairy. Diheretnya Hairy masuk ke dalam rumah. Pak Hamid yang masih berada di ruang tamu tersenyum simpul. Tadi Minah heret Hairy keluar. Sekarang dia heret Hairy masuk ke dalam bilik pula. Hai..anak perempuan sorang ni. Masa nak suruh menikah dulu beria-ia reyau tak mau kat Hairy. Takut kena dera la dan macam-macam lagi alasan yang Minah bagi. Sekarang ni sapa yang dera sapa? Pak Hamid gelengkan kepalanya berkali-kali.

Masuk ke bilik Minah dah selongkar laci almari solek. Hairy hanya memandang tanpa kata. Cari punya cari, selongkar punya selongkar, akhirnya Minah mengeluarkan sekeping kertas yang sudah berubah warna. Dibelek seketika dan kemudian dihulurkan pada Hairy.

''Apa ni?'' Hairy cuak.

''Surat mati mak Minah.'' Minah masih menghulurkan kertas itu kepada Hairy.

''Buat apa Minah bagi kat abang pulak?'' Hairy masih menyoal.

''Abang ambil saja la, baca.'' bila Hairy masih tak mengambil kertas yang diberi, Minah memegang tangan Hairy dan memaksa Hairy untuk membaca isi kandungannya. Hairy menurut. Sekejap kemudian Hairy memandang Minah. Wajah terperanjat dipamerkan. Minah mengangguk.

''Cuba abang tengok masa dan tarikh. Sama macam dalam surat beranak Minah. Sebab itu setiap kali birthday Minah, Minah tak pernah sambut. Kami buat kenduri tahlil untuk arwah mak. Minah pun nak minta kat abang, bila birthday Minah, Minah tak mau hadiah tapi Minah nak abang bawa Minah ziarah kubur mak. Boleh?'' Minah pandang Hairy tak berkelip. Berharap sangat dia Hairy akan tunaikan permintaannya. Hairy tak menjawab. Sengaja membiarkan Minah tertunggu jawapannya. Tubuh Minah ditarik dalam pelukannya. Mindanya sedang berfungsi mencari idea.

''Abang..'' Minah tolak tubuh Hairy perlahan. Matanya memandang tepat ke wajah Hairy, mohon soalannya dijawab.

''Boleh..'' Minah dah ukirkan senyuman.

''Tapi, ada syaratnya.'' Hairy menyambung kata. Senyuman Minah mati serta merta.

''Minah lahirkan ramai anak untuk abang, boleh?'' Hairy bisikkan syaratnya ke telinga Minah. Kemudian tawa Hairy meledak bila Minah membuntangkan matanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience