Hani dan Kak Long berada di dapur bersama makcik-makcik yang lain. Itulah kerja perempuan jika kenduri diadakan. Kak Ngah berada di Sarawak dan tak dapat cuti. Sedang riuh suasana, Hani memikirkan nasib adik perempuannya, Izi. Izi baru berusia sembilan tahun. Mama bernikah sekali lagi selepas enam tahun bercerai dengan Daddy. Daddy pun sudah lama berkahwin dan sebab utama mereka berpisah adalah disebabkan Daddy kahwin secara senyap.
Hani memikirkan nasib Izi yang manja dengan Mama mereka. Lepas ni Izi dah tak boleh tidur dengan Mama dah. Perasaan Hani masa tu sangat kecewa sehinggakan Hani bersumpah Hani tak nak jadi anak yang baik lagi. Bukan salah Hani dan bukan juga salah Mama. Semuanya ketentuan Allah. Cuma manusia sahaja yg selalu bersangka malang dengan ujian yang diberikan oleh Allah.
Selesai majlis pernikahan Mama, suasana di rumah pun mula sepi. Mama meminta anak-anak memanggil suaminya Ayah. Tapi untuk permulaan semuanya tidak semudah itu. Hani dan adik-beradiknya sudah terbiasa hidup tanpa seorang Ayah selama enam tahun.
Tinggal beberapa orang kawan-kawan Mama masih melepak di rumah. Hani melihat Izi sedang gembira bermain bersama anak-anak jiran. Hani berniat untuk ke kedai runcit beli Maggie Asam Laksa kegemaran Hani sejak dari kecil. Hani mulakan langkah dan Hani sendiri tidak menyangka bahawa disanalah bermulanya kisah seorang anak perempuan yang memberontak.
Sampai di kedai runcit yang Hani tujui, Hani capai sebungkus Maggie Asam Laksa. Hani hulurkan duit kepada taukeh kedai dan anak mata Hani terpandang rokok yang dijual sebatang-sebatang. Hani capai dan beli bersama mancis. Hani singgah di taman permainan dan duduk dalam gelap. Hani cuba nyalakan api mancis dan bakar rokok yang Hani dah selitkan ditepi bibirnya. Hani sedut rokok tersebut dan tiba-tiba kepala Hani pening. Tapi Hani tak peduli, Hani rasa suka masa tu. Ketika itu Hani baru berusia 14 tahun.
Share this novel