Bab 16

Romance Series 21005

PINTU kereta dibuka. Fareez berdiri di situ sambil pandang aku yang masih tak mahu angkat muka. Hanya tunduk dan termenung sedari tadi memikirkan nasib diri. Nasib diri sekarang dan nasib diri kemudiannya jika Fareez tak datang tadi. Puas Fareez cuba tarik perhatianku, tapi aku tetap membisu. Aku bukan tak mahu bercakap, cuma aku rasa terlalu penat untuk bercakap.

Di Balai polis tadi pun, Fareez yang banyak bercakap. Aku hanya bercakap bila diminta. Itu pun pendek-pendek dan perlahan. Aku betul-betul rasa lembik semacam. Penat yang entah kenapa. Rasa mahu tidur saja.

Dalam diam, aku bersyukur. Fareez yang banyak bantu aku hari ini. Bawa aku untuk buat laporan polis. Bantu aku untuk kemukakan aduan kepada pihak hotel termasuklah permintaan untuk lihat CCTV lobi, lif dan aras 17 bagi mendapatkan bukti dan muka kedua-dua lelaki itu.

Berpeluh-peluh aku bila pihak polis tanya kenapa aku ikut lelaki itu masuk hotel. Sampai boleh terlupa yang aku masuk hotel itu kerana dijanjikan untuk ke restoran, bukan bilik. Nasib baiklah Fareez tolong jawab berdasarkan mesej yang aku hantar beberapa jam lepas termasuklah tunjuk bukti perbualan kami. Tentang hotel dan buffet.

“Nak singgah mana-mana? Kau belum dinner kan?” Fareez menyoal. Tetap berdiri sambil pegang pintu kereta yang separuh terbuka.

Aku geleng.

“Tapau?”

Geleng lagi.

“Tapi kau belum makan lagi, Alisa.”

“Saya tak nak...” Lemah aku bersuara. Badan rasa seram sejuk. Tenagaku hilang entah ke mana. Aku hanya nak katil dan selimut.

Pelukan di tubuh sendiri makin aku rapikan. Badan semakin mengerekot dalam posisi duduk di tempat duduk belakang kereta Fareez. Pendingin hawa terasa begitu mencucuk sejuk. Hidung sakit. Bibir dan mulut kering.

Aku angkat kepala bila tiba-tiba tubuhku terasa diselimuti sesuatu yang tebal. Kot Fareez. Fareez letak kotnya menyelubungi sekitar bahu dan belakang badanku. Aku cepat-cepat kemaskan kot pada tubuh. Mujurlah tubuh Fareez berganda saiz aku. Tak perlu sarung betul-betul pun bajunya sudah mencukupi untuk selubung tubuh.

Lebih selesa dan kurang sejuk.

“Pakai kot tu. Aku dah turunkan suhu aircond,” katanya sebelum pintu ditutup semula. Fareez duduk di tempat duduk pemandu. Sempat mata kami bertentangan melalui cermin pandang belakang.

Pandangannya masih sama. Protective.

“Aku hantar kau balik ke rumah Hanan, terus mandi, solat isyak dan rehat. Jangan fikir sangat tentang ini. Aku akan buat apa saja untuk sumbat mamat tu dengan kawan dia dalam lokap. Aku akan tolong kau buat legal action termasuklah hire lawyer. Serahkan semua kepada aku. Kau rehat je.”

Aku diam. Hanya berbalas pandangan dengannya melalui cermin pandang belakang. Mata berkelip lembut sebagai ganti ucapan terima kasih buat Fareez. Emosiku yang tak stabil buatkan air mata laju saja menitis. Terharu dan bersyukur.

Fareez baca doa dan mulakan pemanduan. Diam antara kami sehinggalah Fareez berhenti di depan Watson. Dia keluar dan masuk ke dalam Watson buat beberapa minit. Tak lama kemudian, Fareez keluar semula bersama beg saiz sederhana.

Masuk saja ke dalam kereta, Fareez terus serahkan plastik itu kepada aku.

“Panadol activefast, Salonpas, Cap Kapak, Vicks dan air Cap Badak. Aku tengok kau macam nak demam. Kalau makin teruk, aku bawa kau ke klinik. Sementara ini, kau gunalah apa yang ada dalam itu dulu,” kata Fareez.

Aku diam lagi. Tapi diamku tak selari dengan air mata yang tak berhenti mengalir. Emosi aku terlalu berlebihan. Semuanya jadi dua kali ganda. Dua kali ganda terharu.

Lebih terharu bila Fareez sempat menyelit di drive-thru McDonald’s dan belikan aku set burger sebagai persiapan awal kalau-kalau aku lapar nanti.

Setibanya kami di depan rumah, aku lihat Kak Hanan terus menerpa ke arah kereta Fareez. Nampaknya Kak Hanan sudah menunggu aku di luar rumah sedari tadi. Wajah Kak Hanan risau dan resah. Aku ada beritahu apa yang berlaku secara ringkas kepada Kak Hanan semasa dalam perjalanan ke balai polis. Kerana terlalu takut, aku meraung sambil mengadu segalanya kepada Kak Hanan.

“Alisa! Okey tak ni, Alisa? Ya Allah, Fareez tangan kau itu dah kenapa pula?!” Kak Hanan bantu aku keluar daripada kereta. Plastik ubat-ubatan dan kertas makanan pun Kak Hanan tolong bawa sama.

“Hanan, tolong bagi Alisa rehat dulu. Jangan tanya apa-apa dan siasat apa-apa. Emosi dia belum stabil. Dia masih trauma dan takut. Nampak macam nak demam. Please keep an eye on her,” pesan Fareez sebaik saja dia turut keluar daripada kereta. Aku dan Kak Hanan dipandang bergilir sebelum Fareez mengerdip lembut seakan sebuah keizinan untuk aku terus masuk ke dalam rumah.

Dan aku pula, cepat saja pusing lalu melangkah lemah masuk ke dalam rumah. Macam robot. Tapi aku tak terus naik ke atas. Sebaliknya aku rebahkan tubuh dia atas sofa ruang tamu. Terlalu letih untuk panjat tangga yang tidaklah tinggi pun itu.

“Tangan kau tu kenapa?” Terdengar suara Kak Hanan menyoal.

“Tak ada apa, sikit je ni. Tolong jaga Alisa. Jangan kacau emosi dia. Jangan biarkan dia berkurung. Jangan letak apa-apa objek tajam berdekatan. Jangan ceritakan kepada orang lain kecuali kita bertiga. Jangan...”

“Ye, aku tahu. Tak payahlah kau nak gelabah sangat sampai sanggup senaraikan satu-satu 'not to do list’ untuk aku. Aku akan jaga Alisa elok-elok. Dia adik aku, mesti aku akan jaga sebaiknya. Kau tak payah risau sangat,” pintas Kak Hanan.

Diam seketika.

“Bagi aku nombor kau.” Fareez bersuara lagi. Kali ini satu arahan.

Diam sekali lagi. Mungkin sedang berbagi nombor telefon. Dan diam itu buatkan kantuk yang memang sudah sedia ada ini semakin kuat. Mata semakin kuyu dan pedih. Aku pejamkan mata. Menunggu masa untuk terlelap.

“Kalau ada apa-apa masalah atau Alisa tak okey, tolong mesej aku. Call pun tak apa. Aku akan angkat,” kata Fareez.

“Ye. Aku akan update pasal dia setiap hari.”

Diam.

“Fareez.” Kak Hanan memanggil lembut.

Diam lagi.

“Kau sangat ambil berat tentang adik aku. Kadang-kadang aku hairan sama ada korang ini memang hanya seorang majikan dan pekerjanya atau lebih daripada itu.”

Diam lagi... Lebih lama. Dan aku juga jadi lebih mengantuk. Mata menghitung detik untuk menarik aku ke alam mimpi.

“Kau sayang adik aku?” Soalan terakhir yang aku dengar sebelum aku lena dibuai mimpi yang tidaklah indah.

BUTANG bernama ‘padam’ aku tekan sebelum butang bernama ‘pasti’ ikut ditekan sama. Post yang dibuat beberapa bulan lalu itu hilang daripada laman muka buku milikku. Satu nafas panjang penuh kelegaan aku hela. Tenang sebaik saja post itu hilang. Tiada lagi yang bernama calon isteri upahan. Cukuplah dengan apa yang ada dan siapa yang boleh aku percayai. Aku sudah serik.

Kalau Fareez masih perlukan khidmat aku, aku sedia membantu. Tapi untuk mengenali yang baru, harap maaf tapi aku cukup serik. Kesucian lebih mahal harganya berbanding upah yang diberi. Tawarlah walau satu negara penuh hasil bumi dan minyak pun, aku tetap tak mahu.

Nanti aku mahu tukar nombor dan hanya berikan nombor baru itu kepada orang yang aku percaya semata.

“Alisa.” Namaku dipanggil serentak pintu bilik diketuk lembut. Kak Hanan.

Aku bangun dan buka pintu. Kak Hanan kuntum senyum untuk aku sebelum beri isyarat mata ke arah tingkat bawah. Ada orang datang agaknya. Ibu ke? Ayah? Along? Tapi mereka tak tahu apa yang berlaku. Kak Hanan dah bersetuju untuk tutup mulut supaya mereka tak susah hati dan akhirnya suruh aku balik untuk tinggal di Sekinchan.

Tanpa banyak soal, aku terus sarung tudung. Baju yang sudah sedia berlengan panjang itu aku tarik-tarik sedikit bagi memastikan auratku tertutup rapi. Sedang menuruni tangga barulah aku tahu siapa yang datang. Tubuh yang sedang duduk membelakangi aku itu milik Fareez.

Sedar kehadiran aku, Fareez terus bangun. Aku dipandang atas bawah sebelum matanya hinggap lama pada wajahku.

“Duduklah,” kataku. Aku duduk di kerusi bertentangan Fareez.

“Kau macam mana? Dah sihat?” Fareez labuhkan duduk. Tubuhnya cenderung ke arahku.

Aku angguk. “Sihat, alhamdulillah. Saya demam sekejap je.”

“Masih trauma?”

“Trauma tu tak hilang setakat seminggu, encik. Tapi saya okey.” Aku senyum. Faham yang Fareez risau.

Fareez mengangguk lembut. Diam sekejap di antara kami.

“Lelaki berdua tu dah kena tangkap.” Fareez buka mulut semula.

“Baguslah.”

“Aku akan pastikan mereka dapat hukuman paling maksimum.”

Aku diam. Hanya mampu balas dengan senyuman. Fareez yang banyak membantuku selepas insiden itu berlaku. Dia yang datang selamatkan aku melalui panduan lokasi GPS. Dia juga yang bantu aku buat laporan polis yang membolehkan kami untuk buat permohonan kepada pihak hotel bagi melihat semula rakaman CCTV dan sebagainya. Dia jugalah yang sentiasa bertanya tentang aku melalui Kak Hanan.

Kak Hanan yang beritahu. Katanya Fareez minta nombor Kak Hanan pada malam itu selepas aku masuk ke rumah. Kak Hanan kata, setiap hari mesti ada dua kali Fareez akan bertanya tentang aku. Pagi dan malam. Kak Hanan sempat mengusik, tapi aku boleh senyum je.

“Kau dah makan?” soal Fareez. Nampak macam dah habis topik saja.

Agaknya dia pun tak biasa dengan aku yang kurang bercakap. Selalunya aku yang ajak dia berbual, dan dia yang akan senyap. Ini sudah terbalik pula.

“Dah. Encik dah makan?”

Lambat-lambat Fareez geleng. Aku tersengih. Agaknya dia tanya soalan itu sebab dia dah lapar kut.

“Kalau encik nak makan, saya boleh hidangkan. Kak Hanan ada masak nasi lemak ayam berempah.”

“Yang kau masak tak ada?”

Terjungkit keningku bila dengar soalan Fareez yang laju semacam. Tak teragak-agak seakan itulah kehendaknya. “Encik nak saya yang masak ke?”

Fareez terkulat kejap sebelum ikut tersengih. Kepala digeleng sebelum dia bersuara, “saja tanya. Dah lama tak makan masakan kau.”

Oh...

“Maaflah, tapi saya memang tak ada mood nak memasak. Lain hari, saya akan masak untuk encik. Hari ini, encik makanlah masakan Kak Hanan dulu. Kak Hanan masak pun sedap tahu?”

Fareez pandang aku lama sebelum bersama bibir yang tersenyum manis, dia mengangguk. Aku bawa Fareez ke dapur. Ambil pinggan dan letak nasi lemak. Yang lain sudah dihidang siap atas meja. Fareez tinggal sudukan dan ngap.

“Encik nak minum apa?”

“Air sejuk pun okey.”

“Takkan air sejuk je?”

“Tak suka manis,” katanya.

Aku menurut saja. Ambil gelas dan isi air sejuk. Tapi hmm, tak suka manis. Maksudnya manisan dari bakeri Auntie Lyn itu memang bukan untuk dia. Jadi mungkin ke betul yang manisan itu untuk teman wanitanya? Kenapa aku rasa hati seakan mengharapkan yang itu memang untuk Fareez sendiri tanpa ada penglibatan wanita lain?

Aku duduk dan perhatikan Fareez. Sesekali nampak jugalah dia angkat muka dengan bibir yang sedikit terbuka seperti mahu katakan sesuatu, tapi sudahnya dia batalkan dan kembali tunduk. Agaknya dia nak komplin apa-apa tentang nasi lemak itu, tapi rasa tak manis  memandangkan makanan itu percuma dan dia sedang duduk di depan adik kepada tukang masaknya.

Hai, pelik-pelik dia ini. Macam manalah hanya masakan aku yang kena dengan tekak dia? Ibu dan ayah pernah kata yang masakan aku selalu pedas. Dia suka pedas ke? Aku memang suka pedas, tapi tak tahan pedas. Walau dah berpeluh-peluh pun aku akan telan juga sebelum esoknya berperang dalam jamban.

Sekali makan dan dia sudahi dengan teguk air dalam gelas sehingga licin.

“Tak nak tambah?” soalku. Selalunya aku tengok Fareez ini makan bertambah. Tak akan satu senduk je kut hari ini?

“Kenyang.”

“Pula?” Tadi kata lapar. Baru makan satu senduk dah kenyang? Ye yelah itu. Ke sebab masakan itu tak kena dek tekak yang terlebih cerewet?

Fareez bangun sambil angkat pinggan dan cawan. Dia basuh keduanya sendiri. Aku pun tak ada tawar untuk basuhkan semua itu. Jauh lagi nak kata ‘eh, tinggal je dekat situ’. Pandai makan, pandai basuh ye! Tambahan lagi lelaki. Kecil besar je aku tengok lelaki yang dimanjakan ibu. Tolonglah sedar yang anak itu akan membesar jadi suami kepada seorang perempuan. Kalau itulah didikannya, memang jadi bibiklah perempuan itu nanti.

Seperti ajaran ibu, alonglah yang paling banyak buat kerja rumah. Tukar gas dia. Jemur kain dia. Basuh tandas dia. Kemas rumah dia. Basuh pinggan dia. Keluar pergi beli barang dapur pun dia wajib ikut. Bukan hanya untuk jadi tukang angkat barang, tapi untuk masuk ke dalam dan beli barang sekali. Tengoklah sekarang, Kak Long itu berpantang pun semuanya along seorang yang jaga. Dia yang masak, dia yang buat kerja rumah dan dia jugalah yang jaga anak. Mana tak bahagia kak long dapat laki macam itu.

Pangkalnya, semula bermula daripada ibu bapa. Ajaran ibu bapa akan membentuk anak di masa akan datang. Jangan layan anak seperti raja. Nanti kau dikakikan. Biar dia layan kau seperti permaisuri, insyaAllah bahagia dunia dan akhiratnya.

....

Jeng!!!

Ha, lain kali fikir segala akibatnya bila kita buat sesuatu keputusan tau? Tengok apa jadi? Nasib baik ada calon suami jadian datang menyelamat?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience