Bab 9

Romance Completed 24458

“CIKGU DANIAL ada tanya tentang kamu dekat ayah.”

Daripada menunduk kopek petai, aku terus angkat kepala pandang ibu di depan dengan mata yang sudah terbeliak. Bukan terkejut, tapi takut. Sebab orang tanya pasal aku dekat ayah itu dah biasa. Yang tak biasanya, kalau ibu dan ayah sampaikan kepada aku.

“Ayah tolak kan?” soalku.

“Status terkini, pending.” Pula dah? Ini dah macam status report kes dekat telco je. Siap ada pending bagai.

“Kenapa ayah tak tolak lagi?” soalku lagi.

“Ibu yang tak kasi ayah tolak. Ibu nak tunggu kamu balik sini baru ibu tanya dan bagi jawapan dekat Danial.”

“Tolak jelah, ibu.” Tak fikir dua kali, aku terus lempar jawapan. Apapun memang kena tolak dulu semuanya. Menyesal, kemudian boleh cerita.

“Tolak lagi? Masuk yang ni dah kali keenam kamu tolak. Kalau enam-enam tu lelaki yang sama tak apalah juga. Ini lelaki lain-lain, ada yang besar, ada yang kecil. Ada yang miskin, ada yang kaya. Satu pun tak ada yang kamu terima. Apa nak jadi ni, Alisa? Nak jadi andartu ke apa?” Itu dia! Ibu dah mula membebel. Kalau aku salah cakap sikit je, mesti ibu terus keluarkan rotan dia.

“Alisa muda lagilah ibu…”

“Ha! Itulah skrip kamu dari tiga tahun lepas. Tak sedar diri umur tu dah bertambah-tambah. Kamu tu perempuan. Jangan nak jual mahal sangat. Waktu muda inilah kena kahwin. Nanti dah tua, dah kendur semua, siapa yang nak?”

Heiii… Kendur-kendur jangan main, hokey!

Aku dengar ibu mengeluh geram bila aku pilih untuk diam dan tutup mulut. Aku ini bukannya apa, tapi aku tak nak menjawab sebab aku rasa aku dah terlalu tua untuk kena rotan dengan ibu lagi. Sebab kalau aku menjawab, confirm aku kena punya!

“Macam inilah, Alisa. Cuba kamu jujur dengan ibu. Kamu dah ada pilihan hati ke belum?” soal ibu.

Pilihan hati? Ada… Tapi pilihan hati itu nun jauh di sana. Terlalu jauh dari jangkauan. Di korea. Lee Jae Wook kesayanganku.

“Tak ada,” jawabku. Nak jawab Lee Jae Wook? Mahu ibu campak aku masuk dalam parit nanti. Jangan cari pasal!

“Dah tu, kenapa kamu tak nak terima Danial tu? Okey apa si Danial tu? Kerja ada. Rumah ada. Kereta ada. Rupa tu tak berapa nak ada, tapi kira okeylah.”

Aku tersengih. Sempat lagi ibu kutuk Cikgu Danial itu ye. Kalau Cikgu Danial itu dengar, mahu menangis lelaki itu. Walaupun Cikgu Danial itu kureng sikit, tapi boleh tahan apa rupa dia?

Ceh! Aku cakap macam itu, tapi aku baru je tolak dia tadi. Aku ini bukan tolak sebab rupa dia. Aku tolak sebab aku tak ready nak kahwin. Lagi-lagi dengan dia! Orang yang aku hanya kenal kerana dia pernah jadi cikgu praktikal zaman sekolah aku dulu. Mengajar subjek Bahasa Melayu. Zaman itu, ibu dan ayah pun belum bersara lagi. Sekarang Cikgu Danial itu dah jadi guru bertauliah.

“Ibu jangan tak tahu. Alisa ni dia punya taste anak-anak ongkaye! Anak orang biashe-biashe dia tak layan, ibu. Kena hensem, macho dan bergaya. Nak kena ada BMW sebiji. Cikgu Danial tu pakai Bezza je. Baju pula nak kena jenama Polo. Cikgu Danial tu hentam baju T pasar malam dua helai RM 10 je, ibu.” Kak Hanan yang baru masuk ke dalam dapur terus mencelah.

Grr… Nasib baiklah kakak. Kalau adik, dah lama aku sepak terajang lepas itu campak masuk dalam perigi. Bukan main kuat lagi Kak Hanan menyindir aku. Siap pelat-pelatkan perkataan depan bini bekas cikgu Bahasa Melayu.

“Banyaklah cerita korang berdua. Orang macam tu wujud dalam novel je. Nak cari dekat dunia? Lelaki umur 50 an, perut boroi tu banyaklah. Tu, kamu tengok je muka orang kaya dekat internet sana. Siapa je yang perut kempis?”

Fuh… Yakinnya ibu kata lelaki macam itu tak ada. Kalaulah ibu nampak Fareez atau Qairul, mahu ibu terus kena sawan. Terkejut! Lengkap semuanya. Lagi-lagi si Fareez itu. Anak orang berada, hensem, macho, bergaya, kaya, ada BMW dan paling penting, berakhlak sikit.

“Ha… Itulah yang ibu tak tahu. Dekat KL sana berlambak lelaki spesis ni. Tak percaya, tanya Alisa.”

Aku terus jegilkan mata pada Kak Hanan. Ada pula dia cakap macam itu dekat ibu? Suruh tanya aku pula itu! Kalau ibu soal siasat aku lepas itu kantoi apa yang aku buat nanti macam mana? Mahunya malam ini juga ibu suruh ayah nikahkan aku dengan Cikgu Danial itu. Merenyam sangat ibu kata!

Kak Hanan balas jegilan aku dengan satu senyuman mengejek. Sengaja je dia ini! Tunggulah malam nanti, aku menyamar jadi cik punti baru Kak Hanan tahu.

“Alisa? Betul ke apa yang Hanan cakap tu? Kamu ada berkawan dengan siapa-siapa ke? Baik kamu jujur dengan ibu. Jangan nak bercinta lama-lama. Bawa dia datang jumpa kami…” Bla… bla… bla. Ibu sambung berleter.

Tak boleh jadi ini. Sebelum ibu mula buka mahkamah di tengah-tengah dapur, baiklah aku cabut lari dulu. Kalau siasatan sudah bermula, memang tak ada harapan lagi nak lari. Confirm aku kena gari punyalah nanti.

Tapi macam mana nak lari? Kopek petai pun belum siap lagi ini…

“Tak baik anak dara keluar sama-sama dengan lelaki. Tak kiralah ada teman ke tidak. Tetap tak elok. Kalau betul dah berkenan, suka sama suka. Bawa jumpa ibu dengan ayah. Suruh dia datang sini bawa keluarga dia….” Bla… bla… bla…

Ha! Idea dah mari!

“Ibu ni bukannya apa. Ibu nak berkenalan dengan keluarga pilihan hati kamu tu. Nak tengok orangnya macam mana. Nak siasat anaknya tu macam mana…”

“Adoi!!!” Aku mengaduh kuat sambil tangan pegang perut.

Terus tersenyap ibu jadinya. Berkerut dahi ibu tengok aku yang sudah macam kena sembelit ini. Punyalah first class lakonan aku. Menangis Zul Ariffin.

“Kamu dah kenapa?” soal ibu.

“Aduh, duh… Sakit perutlah, ibu. Ni mesti makanan RNR tadi tercemar. Sakitnya, ibu. Awwww…” Dan sambil berawww aku terus bangun dan buka langkah keluar dari dapur. Punyalah panjang aww aku itu, sampai ke depan pintu bilik barulah aku berhenti beraww.

Aku pandang dapur semula sambil tersengih. Ibu pula terus menggeleng geram. Nasib baik dah jauh!

Misi cabut lari, berjaya. Muehehehe.

TELEFON berbunyi dan nama Encik Muhammad terpapar di skrin telefon. Aku pandang ibu dan ayah yang sedang duduk bersila di sebelah aku. Muka dua-dua pun sudah ada gaya perisik handalan. Ini mesti nak tahu siapa yang call aku malam-malam. Aku terus sorokkan telefon lalu bangun dan terus mencicit lari masuk ke dalam bilik. Nasib baik sempat lari sebelum ayah suruh jawab telefon dekat depan dia. Haha.

Yang Fareez ini pun dah kenapa call aku malam-malam?

“Helo?” Macam biasa, aku berhelo dulu.

“Apasal rumah kau gelap?” soal Fareez.

Apasal rumah aku gelap? Gelap sebab aku tak ada dekat rumahlah. Apa punya soalan daa…

“Saya ada dekat rumah ibu. Rumah tu tak ada siapa. Kak Hanan pun balik sekali. Kenapa encik tanya? Dan macam mana encik tahu rumah saya gelap?”

“Aku dekat depan rumah kau. Apasal kau tak beritahu dekat aku yang kau nak balik rumah ibu kau? Buat penat je aku angkut mama dan papa datang sini.”

Jatuh terus rahang aku bila dengar balasan Fareez. Dia angkut mama dan papa dia ke rumah Kak Hanan? Dah buang tebiat ke apa Fareez ini sampai ke rumah Kak Hanan dia angkut mama dan papa dia?

“Encik fikir saya ni bini encik ke semua benda nak kena beritahu encik dulu? Encik tu pun satu, buat apa datang rumah kami?” soalku.

“Kau tu bekerja dengan aku. Bekerja pula jadi calon isteri paling tak semengah. Mana pun kau pergi, kau kena beritahu aku dulu. Ni sekarang macam mana ni? Aku dah terpacak depan pagar rumah kau. Mama siap bawa baju nak tidur sini.” Hai… Cara Fareez membalas kata-kata aku itu macam ada aura nak cari gaduh je.  Tak semengah dia kata? Habis, dia tu semengah sangatlah ye?

Sabar jelah!

“Macam mana apa? Balik jelah!”

“Eh, menghalau?”

“Menghalau apanya? Saya tak ada dekat rumah. Kalau degil sangat. Silalah pecah masuk rumah tu. Nanti saya hantar resit claim semua kerosakan dan cas menginap semalaman.” Dengan penuh geramnya aku membalas.

“Loyar buruk pula kau ye? Rumah ibu kau dekat mana?”

“Dekat Sekinchan. Kenapa?” soalku. Jangan dia kata yang dia nak angkut mama dan papa dia ke sini pula sudahlah. Mahu meninggal aku nak jawab semua soalan ibu.

“Sekinchan? Hmm…” Dan tiba-tiba Fareez mute kan panggilan kami.

Hai… Kenapa hati aku tiba-tiba rasa macam tak sedap je. Berdetuk-detak semacam. Ini bukan sebab jatuh cinta. Ini rasanya sebab ada benda tak baik yang bakal beri salam sekejap lagi.

“Hantar location rumah ibu. Kitaorang on the way ke sana.”

Dalam lima minit menunggu, tiba-tiba Fareez bersuara semula. Dan on the way?! Alamak! Dah salah skema jawapan! Patutnya aku kata rumah ibu ada dekat Uganda tadi!

Baru aku nak menghalang Fareez, tiba-tiba…

“Hai, Alisa!” Mama…

Oh my god!!! Matilah aku! Macam mana aku nak halang kalau dah mama pun hijacked panggilan kami? Ini mesti Fareez punya kerja. Mesti dia pasang loud speaker sebab dia tahu yang aku takkan berani menghalang kalau ada mama dia.

Kotornya permainan kau!

“Hai, ma…” Penuh tak reda aku membalas sapaan mama. Matilah aku…

“Fareez tengah memandu ni… Mama tolong pegangkan telefon dia,” kata mama lagi.

Huaaaa… Itu semua alasan dia je mama! Dia itu jangan kata telefon. Kalau nak pegang anak rimau sekor sambil memandu pun tak akan jadi masalah. Dia itu nak buat Alisa yang teraniaya ini terpaksa akur je ma, oiii!

“Alisa hantar location dekat Fareez ye, sayang? Mama tak sabar nak jumpa dengan keluarga kamu.” Cerianya suara mama Fareez. Betul-betul tak sabar ini.

“Err… Okey, ma…”

Huaaaa… Apa aku nak buat ni? Tolong aku! Somebody! Send help!

“Send location cepat. Sejam lagi sampai. Nanti apa-apa saya call lagi. Bye.” Dan tutt… Walaupun depan mama dan papa, Fareez tetap kurang kunyit. Tak sempat aku nak kata apa dia dah end call. Sopan sikit sebab bahasakan diri saya je.

Tapi sekarang ini macam mana?! Matilah aku! Apa aku nak kata dekat ibu dan ayah?

Ahh! Ini semua salah Fareez. Aku cekik kau nanti Fareez!!!

....

Haaaa, rindu dia orang tak? Hehe.

Kalau rindu, jangan lupa share story ini dekat kawan-kawan ??

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience