BUNYI enjin kereta masuk ke dalam halaman rumah terus buatkan aku telan air liur sepuluh kali. Tak perlu keluar tengok siapa pun aku sudah tahu gerangan tetamu yang bakal bertandang kejap lagi.
Itu dia… Bala sudah mari!
Selalunya tetamu bawa rahmat. Ini kali pertama tetamu bawa kiamat ke dalam rumah. Mampuslah aku nak menjawab nanti.
“Eh? Siapa pula yang datang malam-malam ni?” Ibu bersuara sambil bangun ambil tudung sarung dan terus berlalu ke muka pintu bersama ayah.
Aku pun sama, ambil tudung dan membuntuti ibu dan ayah. Kak Hanan yang tadinya terperap dalam bilik pun terus keluar nak tengok tetamu yang datang waktu isyak ini.
“Uish! BMW! Kereta siapa pula ni? Salah rumah ke apa?” Ayah pula bersuara kali ini.
Aku lihat pintu bahagian belakang dibuka. Mama dan papa keluar sebelum mama lambai tangan kepada aku.
“Hai… Menteri mana pula rajin turun padang malam-malam ni, bang?” soal ibu.
Dan aku dengan separuh redanya angkat tangan lalu membalas lambaian mama. Terus terdongak ibu dan ayah bila tengok aku berlambai sakan dengan ‘menteri’ dua orang itu.
“Siapa tu, Alisa?” soal ibu.
Aku tak terus jawab soalan ibu. Pandang Fareez yang baru turun dari kereta dan terus melangkah penuh segak menuju ke arah kami diikuti dengan mama dan papanya. Geram saja aku tengok muka tak bersalah dia bila bertentangan mata dengan aku.
Kau ini Fareez… Kalau tak disebabkan ada mama dan papa kau dekat belakang. Dah lama aku cekik-cekik kau sampai tercirit!
“Uish… Segaknya! Siapa pula ni Alisa? Kawan Hanan ke?” Ibu berbisik dengan aku bila Fareez dah tinggal selangkah berjarak dari kami.
“Ha… Kalau ibu nak tahu. Itulah bakal menantu ibu dengan ayah!” Itu dia! Bantuan yang tak diperlukan dah tiba!
Eii! Kak Hanan ini! Ada juga yang aku cekik sekali dengan Fareez nanti. Kenapalah kena beri jawapan macam itu? Kenapa tak tunggu Fareez je yang buka mulut. Manalah tahu kalau tiba-tiba terbuka pintu keinsafan lepas tengok muka ibu yang garang lalu terus jujur dan beritahu apa hubungan kami yang sebenarnya ke?
“Ha? Menantu?!” Naik pitching ibu sambil terbeliak pandang aku. Ayah pun sama. Sudah tak berkelip.
“Bukan menantu, mak cik. Bakal menantu. Belum akad lagi.” Dan Fareez pula dengan murah hati pergi betulkan semula panggilan ibu. Siap tersenyum mesra lagi.
Tak membantu, weh! Tak membantu! Memang gelap gelita dah masa depan aku sekarang. Mampuslah aku!
Fareez tunduk bersalaman dengan ayah. Kemudian bersalaman pula dengan along yang entah bila keluar dari bilik sekali dengan isteri dan anaknya. Mama Fareez pula terus bersalaman dengan ibu sambil memperkenalkan diri dengan penuh ramahnya. Begitu juga dengan papa Fareez.
Dekat sini aku boleh nampak betapa keluarga Fareez ini sangat merendah diri dan tidak berlagak. Buktinya, mama dan papa Fareez langsung tak sebut gelaran mereka. Hanya kata ‘apa khabar? Saya Rita, mama Fareez’. Dan begitu juga dengan papa Fareez. Humble betul. Langsung tak sebut tittle yang ada di depan nama. Tiba-tiba rasa bangga pula bila dapat panggil dua orang berada yang humble ini dengan panggilan mama dan papa.
“Eh! Mari masuk. Dah malam ni.” Senyum lebar ayah sambil peluk bahu bakal besan jadiannya masuk ke dalam rumah. Siap bersembang mesra macam dah sepuluh tahun berkawan.
Habislah!
Masuk saja semua ke dalam rumah. Ibu terus halau aku dan Kak Hanan untuk bancuh air dan keluarkan apa-apa snek atau pencuci mulut untuk menjamu tetamu walaupun tetamunya sudah menolak kerana tak nak susahkan kami.
Dari dapur, aku pasang telinga curi dengar perbualan mereka di depan sana. Sudah macam majlis bacaan yasin masing-masing pun. Duduk dalam bulatan. Ayah duduk di sebelah papa Fareez, kemudian ada Fareez, along, isterinya, ibu dan mama Fareez.
“Ni semua dari mana?” Ibu menyoal Fareez.
“Kami dari KL, mak cik. Ingat nak ke rumah Hanan. Mama nilah, tiba-tiba pula mengigau nak pergi jumpa Alisa malam-malam.” Selamba saja Fareez bercerita.
“Maaflah, kami terus serbu je. Bukannya apa, saya ni tiba-tiba teringin sangat nak jumpa dengan Alisa. Rindu masakan dia. Dah dua minggu dia tak datang rumah saya. Itu yang ajak Fareez ke sana. Tapi lain pula kejadiannya.” Mama pula yang becok bercerita.
“Oh! Ia ke? Alisa ni nak kena ni. Haram nak beritahu kami yang dia dah ada pilihan hati. Bila tanya je lari.” Ibu jeling aku yang tengah skodeng dari dapur
Uit! Tajamnya mata itu. Nasib baik ramai orang. Kalau tidak, mahu ibu dah bawa keluar rotan paling tebal untuk sebat aku.
“Kami ni tak menganggu ke? Malam-malam redah masuk rumah orang,” soal papa sambil pandang ayah dan ibu bergilir.
“Ganggu apa pula. Tetamu kan bawa berkat dalam rumah. Tak ada menganggunya. Lagipun dah nak berbesan kan nanti? Ni, malam ni kamu semua tidur je sini. Fareez boleh pinjam baju along kalau tak bawa baju,” balas ayah.
Yeay… Nightmare dah bermula.
Aku terus pandang Kak Hanan yang sudah tersengih-sengih sambil masukkan puding jagung yang sudah siap dipotong ke dalam piring. Bukan main seronok lagi dia bila tengok kehancuran hidup aku ini.
Kak Hanan letakkan piring ke atas dulang. Lepas itu ambil pula teh yang sudah siap aku bancuh dan turut diletakkan atas dulang. Kak Hanan angkat dulang sambil tersengih pandang aku. Sambil lalu di depan aku, sambil itulah Kak Hanan buat muka minta penyepaknya.
“Kepakk! Kepakk! Keboom! Keboom! Selamat pengantin baru…”
Eii… Kalau esok keluar di muka depan surat khabar yang seorang perempuan mati mengejut disyaki akibat dicekik. Tahu-tahulah siapa punya angkara ye?
Sekembalinya kami di ruang tamu, terus mama Fareez buka ruang untuk aku duduk di tengah-tengah antara ibu dan mama. Ini pun sama, tak membantu. Confirm kena pangganglah aku dekat tengah-tengah ini dengan ibu. Tapi rela tak rela, terpaksa jugalah aku duduk.
Sempat aku jeling Fareez yang sedang bersembang dengan along. Mesra betul dua manusia itu. Panas pula aku tengok kemesraan yang terjalin tak sampai setengah jam lepas berjumpa.
“Elok sungguhlah rupa Fareez ni. Kalau yang macam ni, ibu okey je. Dah ada plan bila nak nikah ke?” Ibu bisik dekat aku.
Plan nak nikah? Plan nak nikah tak ada. Kalau plan nak bercerai memang sekarang pun aku boleh bentang.
“Inilah ye lelaki yang Hanan cerita tadi? Oh… Pandai kamu sembunyikan ye, Alisa?” Ibu bisik lagi sekali.
Aduhai, ibu… Tolonglah jangan letak harapan tinggi sangat. Alisa dengan Fareez takkan ke mana-mana. Sudahnya nanti, mesti akan berakhir dengan alasan yang kami tak serasi.
Rancak bersembang sampaikan semua terkejut bila jam ibu berdenting-dentung memberi amaran pada seisi rumah yang sekarang dah masuk jam 12. Jam ibu ini pun satu. Seram sangat. Kalau aku duduk sorang dekat rumah ini, sumpah aku terus buat pecutan keluar.
“Dah pukul 12 ni. Fareez, pergi ambil beg dalam kereta,” arah mama.
Fareez menurut. Terus bangun dan melangkah keluar dari rumah. Bila tengok Fareez keluar, aku pun terus minta diri untuk keluar juga dengan alasan nak tolong Fareez. Padahal aku ini tengah asah kuku nak cakar satu muka dia. Geram aku!
Laju kaki menapak ke arah Fareez yang sedang keluarkan beg baju mama dari dalam bonet. Nampak saja aku, Fareez terus bersuara.
“Buat apa dekat luar ni? Pergi masuk dalam. Dah malam.”
Amboi! Tak bersalahnya muka dan suara itu.
“Apa encik buat ni?” soalku.
Fareez kerutkan dahi. Pandang aku sebelum matanya meleret turun pandang beg baju mama di tangan. Kemudian dia pandang aku semula.
“Angkat beg?”
Eii… Aku cekik juga anak Datin Rita ini karang. Lain yang aku maksudkan, lain pula yang dia faham.
“Maksud saya, apa encik buat dekat sini? Kenapa encik datang sampai ke sini? Kenapa tak bagi alasan apa-apa?” soalku. Aku perlahankan suara sehabis baik. Takut orang dalam rumah dengar. Memang habislah aku dengan Fareez dikejar dengan parang nanti.
“Mama yang berkeras nak datang sini. Nak jumpa kau. Nak buat macam mana lagi? Takkan aku nak ikat mama aku pula?” balasnya.
Boleh tak kalau aku nak kata, kenapa tak ikat je?!
“Habis tu, sekarang ni macam mana? Apa saya nak jawab dengan ibu dan ayah nanti? Encik pun satu, datang-datang terus mengaku bakal menantu.”
Aku dengar Fareez mengeluh perlahan. Geram dengan aku agaknya. Dia tak tahu yang aku ini lagi geram dengan dia. Kalau ikutkan hati, memang aku cakar muka dia cukup-cukup. Tak pun aku selamkan muka dia dalam minyak panas biar bertukar jadi Voldemort.
“Perkara ni kita dah bincang dulu. Bila kita dah selesai dengan semua hal ni, aku akan kata dekat mama dan papa yang kita tak serasi. Kalau kau takut sangat nak hadap ibu dan ayah kau nanti, biar aku je yang sampaikan dekat mereka.”
Kan aku dah kata. Solution Fareez semudah itu je. Dia tak kenal ibu dengan ayah aku itu jenis yang macam mana. Kalau dah buka sesi soal siasat, memang polis pun boleh kalah. Kalau PDRM ambil ibu jadi pegawai penyiasat, confirm semua unsolved cases boleh settle dalam sekelip mata.
“Encik cakap senanglah…”
Fareez melangkah ke arah aku bersama dengan beg baju mama. Dia berdiri di depan aku sambil tunduk pandang aku. Jangan tanya kenapa Fareez terpaksa tunduk kalau tak nak makan kaki.
“Trust me, querida. Semuanya akan berjalan lancar dan habis dengan lancar. Bila sampai masanya, aku sendiri yang akan tutup semua kisah antara kita ni. Aku takkan susahkan kau. Okey?” Lembut Fareez bersuara. Bagai sedang menabur janji.
Aku terus mendongak pandang dia. Sekali lagi diingatkan, jangan tanya kenapa!
“Janji?”
Fareez kuntum senyum nipisnya sambil mata merenung aku dalam-dalam.
Dan lambat-lambat aku pun ikut senyum juga. Lega sikit hati ini bila Fareez dah berjanji macam itu. Nampaklah sikit lampu torchlight menghiasi masa depan aku yang sudah gelap tadi.
Lama main mata, tiba-tiba Fareez ketawa perlahan. Apa yang lawak entah. Ada tahi cicak jatuh dari langit hinggap dekat dahi aku ke?
“Dah, pergi masuk sana. Tak payah nak tayang muka masam tu lagi. Kau fikir kau comel buat muka cemberut tu?”
Helo! Aku memang comel pun. Tak ada siapa yang dapat nafikan. Kau je yang buta mata dan hati. Cis! Pigi daa…
Aku terus jeling dia sekali sebelum berpusing dan melangkah menuju ke arah pintu rumah. Dari luar aku boleh nampak mama yang beria-ria minta narita kerana mama nak tidur di atas lantai. Katanya rindu suasana kampung. Padahal, bukanlah kampung sangat pun rumah ibu ini. Kiranya rumah moden juga. Cuma tak sebesar dan semewah rumah mama je.
“Alisa!” Kaki terhenti melangkah bila Fareez memanggil. Aku terus pusing pandang dia semula.
“Kau kenal Ursula?”
“Watak Disney itu?
“Hm, bila kau jeling, muka kau sama scary dengan dia.”
What?! Dia samakan aku dengan watak jahat itu? Tak guna betul.
Aku terus buka selipar yang tersarung di kaki sebelum aku layang selipar itu terus ke arah Fareez. Sambil ketawa kecil, Fareez mengelak balingan selipar getahku.
Ish! Tak kenalah pula!
“Kutip selipar tu balik!” Aku menjerit kecil lalu masuk ke dalam rumah. Suka hati dia saja kata muka aku scary. Aku kunci pintu ini karang baru tahu. Kau tidurlah dekat luar sana sorang-sorang.
Tawa mengejek Fareez kedengaran sehinggalah aku labuhkan duduk bersama dengan yang lain.
Grr… Sabar jelah aku!
...
Heh! Mula dari bab ini dan ke depan, korang akan terperangkap untuk terus baca Querida Cinderlisa. Korang mesti ingat yang Fareez itu satu-satunya 'calon suami jadian' dia kan? Tapi tidakkk.
Oh, korang tahu tak yang salah satu impian saya adalah untuk sentuh buku saya sendiri? Mestilah saya boleh print sendiri untuk kegunaan peribadi, tapi feeling dia lain. Saya dah cuba banyak kali dan habiskan bertahun-tahun masa untuk berusaha dan halang diri daripada mengalah. Semuanya untuk tengok impian itu jadi kenyataan.
Aci tak kalau saya kata yang impian tu hampir jadi kenyataan?
Satu lagi, Rayyan Halzeri bercuti sekejap ye. Saya demam semula. Entah kenapa bulan lepas sampai bulan ini saya asyik sakit je. Agaknya Allah bagi cara untuk diet kut. Hehe
Apapun, terima kasih sebab baca Querida Cinderlisa❤️
Share this novel