Bab 13

Romance Completed 24458

“SEMUA sekali RM 26.30. Cik nak bayar pakai cash ke?”

“Kad.”

Juruwang itu terus menekan-nekan terminal petak yang berada di atas meja sebelum kemudiannya diberikan kepada aku. Aku sentuh kad debit pada bahagian bergambar kad buat beberapa saat sehinggalah skrin berdetik. Selesai dengan pembayaran dan terima resit, barulah aku angkat semua barang yang aku beli.

Berdiri di sisi kereta, aku terus seluk tangan ke dalam beg. Geledah mencari kunci kereta yang memang tak pernah nak memudahkan aku. Sentiasa tenggelam masuk ke lubuk terdalam walaupun aku sudah masukkan ke dalam poket beg tangan itu elok-elok. Entah aku yang ganas sangat, atau poketnya sudah terkoyak.

“Alisa.”

Dengar saja namaku dipanggil, aku terus pusing pandang belakang. Kening terjungkit saat lihat si pemanggil yang segak walau hanya berbaju T. Qairul.

“Eh, Qairul? Awak buat apa dekat sini?” soalku.

Pakaiannya kasual saja. Maksudnya, dia tak ada apa-apa urusan berkaitan kerja dekat sini kan?

“Hai? Tak suka ke tengok saya dekat sini?”

Eh, dia ini. Memang genetik kaum kerabat Fareez ini suka jawab soalan dengan soalan agaknya. Kalau tengah jawab ujian lisan, confirm gagal dan pakej dapat penyepak. Lagi-lagi kalau cikgu yang mengendali ujian itu ialah ayah aku.

“Tak adalah macam tu. Saya tanya je, awak buat apa dekat sini?”

Qairul kuntum senyum. Aku pula terus buka pintu kereta dan letak plastik tadi di seat penumpang belakang.

“Bakeri mommy saya ada dekat depan sana tu. Saya singgah untuk hantar order dari office. Awak pula buat apa dekat sini? Shopping?” balas Qairul.

Lah? Bakeri Auntie Lyn ada dekat area sini juga ke? Aku baru tahu! Selama aku duduk sini, tak pernah lagi aku perasaan wujud sebuah bakeri yang maha sedap itu.

“Tak adalah. Saya beli barang sikit je. Bakeri Auntie Lyn dekat mana? Saya tak perasan pula selama ni.”

Qairul senyum lagi sebelum terus tunding jari ke arah sebuah bangunan yang terletak tidak jauh dari sini. Oh! Patutlah aku tak pernah perasan wujud bakeri dekat situ. Sebab kedainya ada di dalam shopping mall yang aku memang sangat tak rajin nak masuk. Kerana kalau masuk, memang paling kurang sekeping not purple akan habis punyalah.

Membazir!

“Jadi apa pula awak buat dekat sini?” Aku tanya dia lagi. Sebab walaupun bakeri itu tak berapa jauh dari sini. Tapi kalau jalan kaki memang makan masa sepuluh minit juga.

“Saya pergi jumpa kawan lama kejap dekat kedai mamak tepi tu. Dari jauh saya dah nampak cik bidadari jatuh dari langit tengah sibuk pilih roti. Tu yang saya datang,” jawab Qairul.

Alahai! Bidadari jatuh dari langit? Kalau dengar dek Kak Hanan, mahu berguling dia ketawa. Aku, jatuh dari langit? Bidadari? Ini namanya babi jatuh dari jentolak!

Tapi Qairul kata dia jumpa kawan dia kan?

“Habis tu, awak tinggalkan kawan awak ke?” soalku lagi. Hai laa… Dekat sini pun sudah terserlah genetik penyiasat tak bergaji ibu itu. Banyak pula soalan aku!

Aku lihat Qairul terus tersengih sebelum anggukan kepala, mengiakan.

Wah! Bertuah punya kawan! Kalau aku jadi kawan dia itu, memang aku terus datang sini, piat telinga dia dan seret pergi kedai mamak itu semula. Tak terus bersuara, aku perhatikan Qairul yang masih tersengih itu. Dia memang kacak betul. Kalau ikutkan sengal aku, mahu aku terus ajak dia kahwin. Sepuluh kali tengok pun mukanya tetap mengingatkan aku dengan Halit dalam Pera Palace.

“By the way, awak sorang je ke? Fareez tak ada?” Qairul lihat sekeliling. Cari Fareez kut.

“Tak ada. Saya sorang.” Demam apa pula aku nak bawa Fareez beli barang dekat kedai runcit?

“Nak terus balik?”

Terus balik? Aku geleng sebagai jawapan. Sebab aku memang tak terus balik. Nak singgah ke pasar sekejap untuk beli barang basah seperti ikan dan lain-lain. Nak isi semula peti sejuk yang sudah kosong itu. Lagipun kalau tak pergi beli barang dapur, aku memang tak nak terus balik rumah. Aku nak jalan-jalan cari kerja kosong. Kerja sementara jumpa kerja yang sesuai dengan kelayakan aku. Duduk di rumah saja pun bosan. Kena bebel dengan Kak Hanan lagilah bosan. Bosan tambah sakit telinga.

“Kalau macam itu, apa kata awak ikut saya ke bakeri? Boleh awak tengok-tengok bakeri mommy. Tapi mommy tak adalah. Cawangan ini jauh sikit dari rumah, jadi mommy jarang datang.”

“Boleh ke?” Wah, tawaran yang menyeronokkan! Bolehlah aku beli brownies!

“Mestilah boleh. Kalau awak nak ikut, awak follow saya dari belakang. Kedainya dekat depan outdoor parking je. Tapi saya nak ke Mamak dulu. Ambil barang dan jumpa kawan sekejap,” balas Qairul. Senyumnya melebar sehingga mata jadi sedikit sepet. Gigi yang tersusun rapi dan putih bersih buatkan aku terpukau seketika.

Cantiknya senyum dia! Klinik pergigian mana yang dia pergi ye? Mahal tak agaknya?

“Okey, pergilah. Saya menyusul.” Aku ikut kuntum senyum bersama jari yang dibentuk ‘o’. Nak jugalah tunjuk gigi yang aku baru floss tak sampai sejam tadi.

Qairul mengangguk. Sebelum dia berlalu pergi, sempat dia ingatkan aku untuk tak tukar fikiran. Macam takut benau kalau aku tak ikut dia. Rasanya Qairul patut bersyukur kalau aku ubah fikiran. Sebab aku sudah pasang cita-cita untuk minta diskaun kaw-kaw dekat dia nanti. Tuntut janji! Ha Ha Ha!

“WANGINYA!” Inilah yang paling best tentang bakeri. Bila masuk saja, terus semerbak bau roti. Wangi dan menenangkan. Tambahan lagi di sini menyediakan minuman seperti kopi untuk pelanggan yang nak dine in. Semerbak bau biji kopi. Rasa macam baru masuk pintu ke mana saja terus ke Eropah.

Suasana yang sangat tenang. Seperti kafe yang sesuai untuk para introvert. Pelanggan pun tak ramai. Siap ada rak buku kecil di tepi bersama papan ‘Don’t speak loudly'. Ada ruang untuk bersila juga. Kenapalah tak namakan saja kafe? Mungkin sebab khususnya dalam bidang bakeri?

Mataku terpandangkan susuk wanita berambut panjang yang sedang duduk di sudut bakeri ini. Tenang bersama secawan air entah apa dan kek red velvet. Di tangan ada sebuah novel. Side profile yang cantik dengan hidung mancungnya.

“Mari.” Khayalan mati bila Qairul bersuara. Nada paling perlahan tanpa berbisik.

Qairul bawa aku masuk ke dalam sebuah bilik yang pada pintunya tertulis ‘staff only’. Sebelum pintu tertutup, aku cepat-cepat berdiri di depan pintu dan tahan dengan badan. Tak mahu pintu tertutup dan tinggalkan hanya kami berdua di dalam bilik. Takut mendatangkan fitnah. Aku masih tak ready nak ganti heroine tangkap basah. Hidupku sudah kronik tahap novel, jangan nak ditambah!

Aku hanya diam memerhatikan Qairul yang terus ambil sehelai kertas dan pen. Telefon dikeluarkan sebelum dia catat senarai yang sepertinya nama pencuci mulut itu di atas kertas. Itulah yang Qairul maksudkan dengan hantar order tadi agaknya.

Boleh tahan panjang senarainya. Sampai depan belakang diisi. Mentekedarah teruk!

Selesai. Qairul terus keluar semula sebelum melangkah ke arah kaunter. Kertas diserahkan kepada pekerja dan Qairul kembali mendekatiku. Senyuman dikuntumnya.

“Awak pilih je apa yang awak nak. It’s my treat.”

Mata membulat. Bibir digigit suka. Apa dia? Qairul nak belanja? Pilih apa saja?

“Betul ini? Saya boleh bayar sendiri tahu...” Aku cuba berlapis-lapis sikit. Kalau terus setuju, takut dilabel mengambil kesempatan.

“Saya tahu awak boleh bayar sendiri. Tapi yang ini, biar saya bayarkan untuk awak. Pilihlah apa saja,” kata Qairul.

Awww! Hati tiba-tiba berbunga. Rasa macam sedang berlari di tengah laman mak cik-mak cik Korea pada musim bunga. Sambil layan bunga di hati, sambil itulah aku tunding jari ke arah pencuci mulut yang ada dalam kotak display. Pekerjanya yang ambil dan bungkus. Tapi disebabkan orang belanja, aku tak sampai hati nak ambil ikut nafsu. Ambil sikit-sikit sudahlah.

“Itu je?” soal Qairul sebaik saja aku berhenti menunding.

“Tak bolehlah banyak sangat. Nanti diabetes.”

“Sebenarnya bakeri mommy ada bagi dua pilihan untuk pelanggan. Ada dessert yang gunakan stevia berbanding gula biasa, contohnya cup cake. Dan ada juga yang guna gula biasa je. Mommy nak beri pilihan untuk orang yang ada diabetes merasa pencuci mulut sedap dan manis tanpa naikkan kadar gula dalam darah.”

Oh?!

Aku terus perhatikan kotak display semula. Bila diteliti barulah aku tahu cara untuk bezakan kedua itu. Yang gunakan stevia, ada logo berwarna hijau di bawah nama pastri. Wah, bagusnya! Bakeri yang hebat dengan idea yang menarik. Sesuai untuk diabetes dan diet.

Baru nak pandang Qairul semula, tiba-tiba mataku jatuh pada kertas yang tertampal di dinding belakang Qairul. Mata dikecilkan.

Jawatan kosong. Part time. Ada KWSP dan lain-lain. Ada elaun. Kami mementingkan keseimbangan antara hidup dan kerja bagi setiap pekerja, jadi bakeri tidak beroperasi pada sabtu ahad dan public holiday.

Ha! Tepat pada masanya!

“Macam mana nak minta kerja?” Aku pandang Qairul. Sengihan dilayang bila lihat keningnya yang sudah terjungkit.

Qairul pusing pandang belakang. Mungkin baru faham apa yang aku maksudkan, terus dia tergelak kecil. Tangannya naik mengelus rambut sebelum Qairul bersuara. “Awak nak minta kerja dekat sini?”

Aku angguk sebelum dahi berkerut bila Qairul tergelak lagi. Okey, apa yang lawak? Lawak sebab aku tanam anggur atau sebab aku tak sesuai bekerja di sini?

“Alisa... Mati saya kalau Fareez tahu yang awak nak kerja dekat sini.”

Oh? Sebab Fareez? Tapi apasal pula sampai mati. Aku tahu yang itu hiperbola saja, tapi rasanya Fareez memang tak ada kuasa untuk tentukan apa-apa. Mana aku nak kerja itu hal aku kan? Atau mungkin Qairul bercakap sebagai orang yang fikir kami ini ada hubungan. Bakal isteri!

“Tapi saya nak kerja... Sementara je. Tak boleh ke?” Aku pasang muka sedih. Tangan diangkat naik ke dada lalu disatukan. Macam tengah minta angpau. Mata dikelip-kelip comel.

Qairul sengih. Masih nampak serba-salah nak terima permintaan aku. Macamlah si Fareez itu nak cekik dia kalau dia bagi aku kerja. Ke memang Fareez akan cekik dia?! Ish, tak mungkinlah! Kalau dia buat perkara macam itu, akulah orang pertama yang akan tarik rambut dia. Biar gugur rambut perang dia itu.

“Alisa, awak tahu yang awak boleh dapatkan kerja dan gaji yang lebih baik kalau awak minta saja dengan Fareez kan?”

Eh, ye tak ye kan? Kenapalah aku tak pernah terfikir untuk minta kerja dekat Fareez? Tapi tak naklah. Aku rasa kalau aku minta dengan Fareez, sudah nampak macam pakai cable pula. Tak adil. Kesian orang lain yang lebih berkelayakan.

Coi! Macamlah Fareez itu nak sangat terima aku kerja. Cable konon!

“Tapi saya tak nak kerja dengan Fareez. Saya nak kerja dekat sini. Boleh makan brownies hari-hari.” Sengih lagi.

“Okeylah. Bila awak nak mula kerja? Saya akan beritahu manager cawangan ini dan mommy.”

Uish, terus tanya bila nak mula?

“Tak ada interview ke?”

“Saya tengah interview awaklah ni. Bila boleh kerja?”

“Bila-bila je. Esok pun boleh!”

“Kalau macam itu, datang esok. Baju putih dan seluar biru. Jeans biru straight cut dan kemeja putih pun boleh. Itu tema pekerja di sini. Tak ada uniform. Nak pakai baju T pun tak ada hal, janji ikut tema.”

“Dah dapat kerja ke ni?”

Qairul sengih lalu angguk.

Yeay!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience